BLOK ANGGERIK

Blok Anggerik merupakan salah satu dari kolej kediaman siswa yang cukup terkenal dalam kalangan penduduk setempat. Kisah penampakan makhluk halus yang sering mengetuk tingkap pelajar pada waktu tengah malam juga pernah hangat diperkatakan suatu ketika dahulu. Meskipun begitu, blok ini masih dibuka untuk penempatan kerana kepadatan pelajar yang terpaksa ditangani pihak pengurusan.

Salah seorang penghuni blok ini ialah Ameena. Sudah banyak kali dia mendengar cerita yang tidak enak tentang blok ini. Dia malas mengambil pusing. Namun tengah malam ini, entah kenapa tiba-tiba perutnya memulas. Dia cuba melupakan bayangan kisah yang bergentayangan di mindanya.

“Positif Meena, positif!” kata Ameena penuh semangat.

Ameena mula melangkah sendirian di koridor tingkat atas blok Anggerik. Keadaan bangunan yang sudah semakin usang dengan cat yang berkeruping membuatkan Ameena keseraman. Laju dia melangkah bertemankan cahaya lampu pedafluor yang berkelip-kelip. Hasratnya untuk ke tandas harus diteruskan.

Bunyi titisan air dari paip di sinki tiba-tiba membuatkan Ameena berasa seriau. Ditambah pula dengan lampu yang menyala hanya satu, lagilah menyebabkan Ameena semakin seram sejuk. Meskipun begitu, dia cuba positif dan meneruskan hasratnya.

“Eh, kenapa berkunci pula ni?” Ameena pelik. Pintu tandas pertama berkunci. Dia beralih pula ke tandas sebelah.

“Eh, kunci juga?” Ameena berkata sendirian sambil cuba untuk mengetuk pintu tandas tersebut. Memikirkan dia akan mengganggu orang di dalam, dia beralih sahaja ke tandas ketiga. Namun, tiba-tiba dia teringatkan sesuatu.

“Eh, bukankah tandas ni berkunci? Kenapa tiba-tiba terbuka ni?” gumam Ameena pelik. Setahunya, sejak dia berada di sini, tandas paling hujung ini sentiasa berkunci. Dia sendiri tidak tahu mengapa. Ameena malas mahu ambil endah. Perlahan-lahan dia menjengah tandas tersebut.

Kosong.

“Aku masuk jelah,” monolog Ameena lalu mengunci pintu.

Usai melepaskan hajat, tiba-tiba dia merasakan ada sesuatu yang memandangnya dari arah atas. Ameena meremang. Sepantas kilat dia mendongak. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat susuk lembaga berambut panjang mengurai dengan lidah terjelir sedang bertenggek di atas tandas. Mata yang merah dengan mulut yang tersenyum aneh begitu pegun menatapnya. Ameena ketakutan. Saat itu juga dia membuka pintu lalu cuba melarikan diri.

Tanpa disangka-sangka, tangannya dipegang dari belakang. Kepala lembaga itu sengaja dilentokkan betul-betul di atas bahunya.

“Kerja elok-elok tau,” kata lembaga itu dengan ketawa halus.

“Argh!!!” teriak Ameena kaget. Dia tidak mahu memandang lembaga itu. Dia mempercepat langkahnya sederas yang boleh. Rasa seriaunya kini meremang begitu sukar diungkapkan. Apa yang pasti, dia perlu lari dari situasi ini.

“Meena!” panggil satu suara secara tiba-tiba. Bahu Ameena terangkat lantaran terkejut mendengar namanya dipanggil. Dia cuba memekakkan telinga.

“Meena! Kau laju sangat nak pergi mana? Akulah, hei, ni akulah!” kata suara itu lalu menepuk bahu Ameena dari belakang. Tanpa semena-mena, Ameena jatuh terduduk lalu menutup telinga dengan kedua-dua belah tangannya. Dia takut.

“Meena, kau okay tak ni? Ni akulah, Tijah,” kata suara itu memegang bahu Ameena.

Ameena masih seperti tadi. Kaku.

“Meena. Hei, Ameena. Ni akulah. Tijah,” kata suara itu lagi cuba untuk meyakinkan Ameena.

Ameena membuka matanya perlahan-lahan untuk mengamati tuan empunya suara. Benar, itu ialah sahabatnya.

“Tijah!!! Aku takut!” kata Ameena seraya memeluk sahabatnya itu seerat mungkin.

“Kau kenapa ni?” soal Tijah yang turut pelik.

“Aku… Aku nampak sesuatu,” ujar Ameena sambil menunjuk ke arah tandas di hujung koridor. Tijah turut memandang ke arah tandas lalu berpaling semula ke arah sahabatnya itu.

“Kau nampak dia ya?” soal Tijah.

Ameena mengangguk dengan rasa takut yang masih bersisa.

“Jangan risau, dia okay. Kau tu baru masuk sini, memang tak kenal dia lagi,” kata Tijah sambil tersenyum.

Ameena pelik. “Apa maksud kau?”

“Dia yang selalu ketuk tingkap student dulu. Sekarang ni, dia nak bersara katanya. So, tugas kita ambil alih. Nah, pegang bakul ni. Ramai student tengah stay up untuk exam esok ni,” kata Tijah sambil menghulurkan bakul merah kepada sahabatnya itu.

“Haah lah. Patut dia pesan tadi suruh kerja elok-elok. Boleh pula aku lupa,” ucap Ameena sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia tersengih-sengih lalu menuju ke luar bilik pelajar yang masih berjaga di tingkat atas. Tangannya pantas mengetuk tingkap bilik itu.

“Dik, nak karipap?” kata Ameena dengan senyum menyeringai.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 93 Average: 4.4]
FIKRI FIQ

2 thoughts on “BLOK ANGGERIK”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.