B*NUH DIRI

Kisah ini terjadi kira-kira 16 tahun yang lalu. Ketika itu aku masih berkhidmat di sektor swasta, di sebuah syarikat industri minyak yang memfabrikasikan platform untuk digunakan oleh syarikat gergasi pengeluar minyak di tengah lautan.

Aku seorang setiausaha di bawah seorang Pengarah Kanan syarikat tersebut. Disebabkan bilangan staf yang bertambah dan ruang kerja yang terhad pejabat kami telah berpindah ke bangunan sebelah yang lebih gah dan tinggi bilangan aras bangunannya.

Setiap hari aku bersama beberapa orang rakan sepejabat akan makan tengahari di seberang jalan berdepan bangunan kami. Kadang-kadang aku makan beramai-ramai, ada masa aku makan seorang diri.

Suatu hari, selesai mengisi perut di waktu tengahari, aku melintas jalan sambil mendongak ke langit melihat galaknya sinaran matahari yang panas menyengat menyinari bumi. Usahkan hujan, awan pun tidak sudi bertandang meredakan suhu yang mendidihkan otak ini.

Tiba-tiba, mataku tertangkap sesuatu yang terbang melayang-layang bagaikan naskhah akbar dari atas turun ke bumi. Berdebuk!! Bunyinya agak kuat hingga berjaya menarik perhatian orang-orang di sekitar radius terjatuhnya objek tersebut. Kugosok mataku yang berpinar, kepalaku sakit akibat menahan teriknya panahan mentari, secepatnya kubuka mataku kembali. Anak mata kubuntangkan luas-luas, cuba memfokuskan ke susuk objek yang berbunyi kuat tadi. Kelihatan seperti.. ohh tak mungkin, mesti aku tersalah pandang, bermonolog aku di dalam hati. Kaget. Pantas aku menoleh kiri dan kanan, secepatnya kulintas jalan yang lengang dari kenderaan ketika itu.

Astargfirullah!! Di depanku bukan suatu objek biasa, sebaliknya seorang manusia. Masih jelas diingatanku, kulitnya yang berbirat kehijauan di sebalik t-shirt putihnya yang terselak menampakkan perut. Dia menggelupur beberapa saat, sempat dia bergerak penuh kepayahan ke tepi daripada laluan utama kenderaan keluar dari parkir di situ. Seorang perempuan Cina yang masih muda. Tidak berfikir panjang atas dorongan ingin tahu yang kuat, aku memberanikan diri mendekatinya yang hanya berjarak beberapa langkah dariku.

Masih dalam keadaan terkejut, aku memandangnya tidak berkelip. Dapat kusaksikan dadanya yang berombak perlahan-lahan terhenti. Mendiang m**i di tempat kejadian. Mayatnya kemudian ditutupi kertas suratkhabar oleh guard yang menjaga parkir di situ. Orang-orang semakin ramai mengerumuni tempat itu, tapi tiada yang berani kedepan sedekat aku. Aku mendengar suara-suara memberi laporan mereka kepada rakan masing-masing. Dikatakan gadis Cina itu tertekan dengan keadaan keluarganya. Bapanya sendiri baru b*nuh diri, mendiang mengalami depresi dan mengambil keputusan mengakhiri nyawanya sendiri dengan terjun dari tingkat enam bangunan ini.

Tidak berapa lama kemudian pihak polis dan ambulans tiba, perlahan-lahan aku yang seolah tersedar dari pukau menjauhi tempat kejadian. Melangkah longlai ke pejabatku yg terletak di tingkat 22 bangunan tersebut. Semangatku seolah hilang. Aku meneruskan kerja separuh hati, di mataku masih terbayang-bayang peristiwa hitam yang kusaksikan sebentar tadi.

Sesampainya di rumah, kuceritakan semuanya pada emak. Hatiku lega setelah kuluahkan segalanya. Malam itu, aku masih berjaga seperti biasa. Di katil bujang di tingkat tiga rumah teres ini, menjadi kebiasaanku membaca novel sebelum melelapkan mata. Ketika mataku ingin terlelap, sayup-sayup kudengar suara  perempuan menangis di luar tingkap, aduh.. siapa pulak yang menangis malam-malam ni, mendayu-dayu pulak. Mengganggu sungguh aku yang baru nak tidur. Kuselimutkan muka, kupekakkan telinga, akhirnya terlelap jua.

Malam esoknya, kejadian yang sama berulang, hampir seminggu. Kuadukan pada emak. Mak cakap, mungkin aku telah terkena badi mayat. Tiba-tiba bulu romaku meremang. Takkan lah.

“Dia ikut Ina balik rumah ke mak?”
“Haa.. tu laa hang berani sangat, lain kali benda-benda macam ni jangan dok pi sibuk.. kan dah kena ikut.”

Puas bebelkan aku, mak suruh aku amalkan ayatul kursi dan ayat tiga qhul sebelum tidur, hembus ke tapak tangan dan sapu ke seluruh badan. Atas kuasa Allah, alhamdulillah, gangguan itu hilang dengan sendirinya dan tidur malamku selepas itu tidak terganggu lagi.

Badi mayat bukan main-main, kalau kita insan yang lemah jauhi perkara-perkara yang boleh mengundangnya. Apa pun bentuk gangguan dapat kita atasi dari Maha Pencipta yang menciptakan kita dan dia. Tanpa izinnya segerun apa pun makhluk itu ia tidak berkuasa.

Tamat.

Hantar Kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Aidiena Zurina

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 3 Average: 5]

14 thoughts on “B*NUH DIRI”

  1. Semasa saya berumur 5-6 bulan terkena badi mayat. Sedang elok-elok main, terus melepek biru pucat & family bergegas ke hospital. Waktu itu 70an. Para doktor tiada jawapan untuk keadaan masa itu sebab acapkali dibawa family ke hospital setiap kali ‘menjadi mayat’ sampai doktor cadangkan ambil air tulang sumsum. Alhamdulillah, diketemukan dengan seseorang yang pakar dalam perubatan tradisional@Islam sempat sembuh sebelum diambil air sumsum. Dan ia pun mungkin sebab suasana pekerjaan ahli keluarga yang melibatkan bidang perubatan juga & pertembungan 2 keturunan yang berlawanan, wallahua’lam.

    Reply
  2. Oh… please la… badi mayat? Gangguan iblis semua tu… jgn salahkan mayat… aqidah boleh rosak… fitnah boleh timbul.. hati akan jadi keras jika anda percayakan badi mayat…

    Reply
    • Of course gangguan iblis syaitan…. Tapi lebih spesifik lagi badi mayat… Ada badi ayam hutan.. Badi monyet dan lain²…

      Reply
    • Betul, x pernah salahkan mayat.. apa pun gangguan di dunia ini asalnya dari Syaitan dan Iblis.. itu sekadar term yang digunakan manusia membezakan gangguan alam ghaib yang diterima supaya mudah faham.

      Reply
    • betul lah tu. gangguan iblis… cumanya ayat badi mayat tu nak merujuk seseorang terkena gangguan jenis apa. bukannya nak salahkan mayat dan memaksudkan betul2 perkataan badi dari mayat tu.. wallahualam

      Reply
  3. Apa laa kau nie… orang Melayu kata sahaja badi mayat… tak kan nak kata badi iblis… badi @ bahadi = pengaruh jahat dan laknat iblis & syaitan @ jin yang menghantui sesuatu tempat dan menggerak @ menghidupi benda, tubuh @ mayat… puncanya iblis…
    Dan orang Melayu pun tahu semua asal dan usulnya kerja gangguan syaitan… tempelak orang lain kau pun tetap Melayu… tegur beralasan dengan halus bahasa… orang Melayu pun tahu bukan mayat yang salah… orang Melayu nie pandai & tahu berbahasa…
    Please yourself…

    Reply
  4. Saya ada sahabat yg terkena badi mayat. Beliau kena mandi air rendaman telekung dan beberapa rawatan lain sebelum pulih sepenuhnya.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.