Buaya Jadian Batang Rajang

Hai semua. First aku nak ucapkan terima kasih kepada pihak Fiksyen Shasha kalau cerita ni di-upload. Nama samaran yang aku akan gunakan untuk upload story kat sini ialah Darkse. Aku asal orang Sarawak.

Story yang aku nak ceritakan ni terjadi dekat seorang kawan perempuan aku. Nama dia aku letak Rasti ( bukan nama sebenar). Perkara ni terjadi masa umur Rasti 16 tahun, form 4 (2016). Sesuatu yang malang terjadi apabila Rasti mandi di Sungai Batang Rajang pada suatu petang (areanya aku takkan sebut untuk jaga privasi keluarganya). Seperti penduduk kampung yang lainnya, sungai rajang tu sahajalah sumber air mereka semenjak beberapa bulan kerana bekalan air sering terputus. Kalau ada pun airnya akan di stock untuk dijadikan bekalan air minuman.

Segala aktiviti harian seperti mencuci pakaian, piring dan mandi akan dilakukan di sungai. Masa Rasti mandi, takda sesiapa pun menemaninya. Meskipun sungai area mereka terkenal dengan kisah penampakkan buaya, Rasti tidak takut untuk mandi kerana sudah terbiasa. Oleh kerana hari sudah menghampiri malam, dia memutuskan untuk mandi di atas jeti sahaja dan tidak turun ke sungai. Ketika dia mengauk air menggunakan baldinya dia terjumpa sebentuk cincin emas di atas kayu reput berhampiran tiang jeti.

Pada mulanya, dia menganggap cincin tersebut milik penduduk di rumah panjangnya lalu mengambil cincin tersebut untuk dibawa balik dan diserahkan kepada tuai rumah (bahasa melayu: ketua kampung/ ketua di rumah panjang) Oleh kerana terpesona dengan kecantikkan cincin tersebut. Dia telah pun mencuba memakainya di jari. Akan tetapi, ketika dia hendak melepaskan cincin tersebut, cincin tersebut seolah olah mengecil dan tidak dapat dikeluarkan dari jari nya. Rasti pun cepat cepat mandi dan balik ke rumahnya.

Setibanya di sana, Rasti menceritakan perkara tersebut kepada ibunya. Ibunya yang mendengarkan cerita Rasti itu menjadi terkejut dan serta merta meraung menangis. (menurut masyarakat iban, amatlah pantang untuk mengambil barang kemas/ duit ataupun apa apa sahaja yang dijumpai di tempat yang aneh seperti hutan ataupun tempat yang tidak masuk akal dan membawanya pulang. Ini kerana barang barang tersebut dipercayai milik mahkluk alam lain. Sekiranya seseorang mengambilnya dia akan dianggap mahkluk alam lain sebagai menerima mereka dan mereka akan menjadikan orang tersebut ‘tunang’ mereka.) Sangkaan ibunya betul apabila manang ( bahasa melayu: dukun/ bomoh, Bagi masyarakat iban ‘manang’ ialah seorang bomoh yang beperanan mengubat seseorang daripada gangguan mahkluk halus dan dapat berkomunikasi dengan roh. Bukan bomoh jahat untuk membuat ilmu sihir terhadap orang.) yang mereka temui malam itu mengatakan bahawa cincin tersebut merupakan barang dari alam lain dan Rasti telah pun menjadi tunangnya.

Menurut manang itu, Rasti telah pun menjadi tunang “bunsu baya” ( bahasa melayu: buaya jadian.) Malangnya manang itu tidak dapat mencari jalan untuk menolong Rasti. Cincin yang terdapat di jari Rasti juga tidak dapat ditanggalkan. Dan pada malam hari Rasti akan bermimpikan buaya dan kadang kadang memimpikan dirinya didatangi seorang lelaki yang sangat handsome yang akan berasmara dengan dirinya. Dan yang pelik lagi, bilik serta tilamnya sering berpasir setiap pagi dia bangun sehinggakan Rasti sendiri takut untuk tidur dan keliru dengan mimpinya yang seperti nyata itu. Keadaan Rasti juga semakin teruk. Berat badannya susut secara mendadak dan dia kelihatan lesu sepanjang masa.

Rasti juga tidak ke sekolah. Hal ini kerana selepas kejadian tersebut Rasti seperti biasa balik ke asramanya pada hari Ahad. Malam tersebut kata kawannya, Rasti terlihat aneh kerana telah merangkak ke bilik air dalam keadaan mata terpejam dan geraknya mirip seperti buaya. Rasti juga dikatakan telah mencakar pintu bilik asramanya sehingga meninggalkan kesan cakaran. Apabila mengetahui hal itu keesokan paginya, Rasti segera memaklumkan ibu bapanya dan dia dibawa pulang pada pagi Isnin. Di rumah, ibu bapanya telah menjemput beberapa orang manang dari rumah panjang lain dan cuba mengubati Rasti, mereka juga telah menggunakan bantuan dari paderi dari gereja di bandar berhampiran. Selain itu , mereka juga mencuba menggunakan rawatan Islam yang disarankan teman mereka. Namun keadaan Rasti makin teruk. Upacara dan pengorbanan di sungai juga telah dilakukan oleh keluarga Rasti untuk menyelamatkan Rasti. Korban berupa ayam dan b**i disembelih dan darahnya dialirkan ke sungai. Sungai di kawasan mereka berdarah sepanjang satu minggu tersebut.

Piring ( bahan ritual yang dipersembahkan sebagai korban ataupun “makanan” kepada mahkluk alam lain ataupun kepada roh moyang/dewa masyarakat iban) telah pun disediakan dan diletakkan di tebing sungai oleh orang kampung sebagai tanda meminta ampun dan memohon kembali ‘semengat’ (bahasa melayu: roh) Rasti untuk dilepaskan dari menjadi tunang bunsu baya. Namun alangkah terkejutnya apabila keesokan harinya semua piring yang dibuat mereka telah berteraburan dan dirosakkan. Hari demi hari pun berlalu dan Rasti semakin lesu dan hilang selera makan. Mereka juga telah pergi ke hospital sebagai harapan terakhir mereka untuk cuba menyelamatkan Rasti. Rasti dikatakan tidak mempunyai apa2 penyakit dan diberikan vitamin untuk meningkatkan selera makannya sahaja oleh pihak hospital. Rasti juga sering mengelamun.

Sudah genap seminggu semenjak kejadian Rasti menemukan cincin tersebut, Rasti semakin sakit. Rasti yang dulunya cantik, energetic dan banyak bercakap bertukar kelihatan pucat, penat dan mendiamkan diri. Mimpi Rasti sering menjadi. Dia menceritakan kepada ibunya, bahawa dia bermimpi menghadiri perkahwinan di mana dia menjadi pengantin kepada lelaki handsome yang sering muncul dalam mimpi nya. Menurut Rasti, lelaki tersebut merupakan ketua kepada masyarakatnya. Dia juga menyatakan dirinya dilayan dengan istimewa di sana dan dianggap ratu setelah menikahi lelaki tersebut. Di dalam mimpinya, Rasti tidak sedar yang lelaki tersebut ialah bunsu baya (buaya jadian), ketika dia sedar dan ingin melepaskan diri dia seolah olah tidak dapat bergerak. Badannya akan terkunci dan dia tidak dapat mengeluarkan suara di dalam mimpinya. Ibu dan ayahnya yang mendengarkan mimpinya itu menjadi semakin sedih dan menangis. Ahli keluarganya semua berasa takut dan saling menangis mendengar mimpi Rasti.

Malam pun menjelang. Malam itu Rasti tidur dengan tenang dan telah menghembuskan nafas terakhirnya sebelum subuh menjelma. Pagi itu dipenuhi dengan tangisan apabila mereka mendapati Rasti telahpun meninggalkan mereka. Cincin yang terdapat di jari Rasti masih tidak dapat ditanggalkan. Mayat Rasti didandan dan diletakkan di ruai untuk disenggai’ #-nyenggai’ ( dalam masyarakat iban, seseorang yang telah m**i itu akan diletakkan di ruai [ruai ialah ruang bilik kosong yang menyatukan satu rumah panjang yang bersambung sehingga ke rumah paling hujung. Dan ruangan ruai ini tempat menempatkan tetamu dan menjadi pemisah bilik dan ruang luar rumah. Kalau korang still tak faham, cer google la. Kalau still tak faham jumla melawat ke sarawak, pergi ke kampung budaya kat kuching ada rumah contoh rumah panjang masyarakat iban di sarawak.

Dan dalam upacara nyenggai’ ini bertujuan agar mayatnya dapat ditatap oleh sanak saudara untuk kali terakhir. Sanak saudara dari jauh bolehlah sempat melihatnya sebelum dikebumikan. Dan ini seringkali berlangsung 3hari 3malam mengikut kemampuan dan budget sesebuah keluarga. Ada kalanya nyenggai ni dilakukan satu malam je. Dalam upacara nyenggai ini seorang tukang sabak ataupun dalam bahasa melayunya ‘penangis’ akan berjaga sepanjang malam untuk menangisi mayat tersebut. Tangisan yang ditangisnya mempunyai maksud dan cara penyampaian tertentu. Macam syair just lain sikit and mengikut kepercayaan lama iban. Tangisan yang mempunyai ‘leka sabak’ atau ‘buah sabak’ iaitu isi yang disebut semasa menangis amat penting untuk mengiringi roh si m**i berjalan menuju ke destinasinya. Dan bukan semua yang boleh menjadi tukang sabak. Tukang sabak dipilih dan mereka selalunya didatangi dewa/orang dari alam lain melalui mimpi untuk menyuruh mereka menjadi tukang sabak. Menurut nenek saya, seorang tukang sabak akan spontan menangis dan dirinya akan masuk ke alam lain secara astral dan mampu melihat ke alam roh untuk membantu si m**i ke alam lain. Segala yang dilihat mereka akan disebut dalam leka sabak ataupun tangisan mereka itu. Kenapa saya ceritakan tentang tukang sabak tu? Sila lanjutkan membaca yer. )-#

Malam tu ahli keluarga Rasti berjaga untuk menjaga mayat Rasti. Ibunya yang telah penat menangis mengambil keputusan untuk tidur berhampiran mayat Rasti dan telah bermimpi dirinya didatangi oleh anaknya Rasti. Dalam mimpinya, Rasti berpakaian bak seorang puteri iban lengkap dengan barang kemas yang cantik wajahnya yang berseri seri. Pada masa yang sama kelihatan di samping Rasti seorang pemuda sasa yang mukanya tidak dapat dilihat oleh Mak Rasti lengkap memakai pakaian mewah. Di dalam mimpinya itu Rasti telah memberitahu ibunya bahawa mulai saat itu, semua keturunan mereka tidak akan diganggu di kawasan berair. Haiwan terutamanya buaya tidak akan sesekali menumpahkan d***h keturunan mereka. Dan untuk yang terakhir kalinya, Rasti memberitahu ibunya bahawa mereka tidak akan hidup susah selepas kematian Rasti. Rasti menyuruh ibunya memotong kukunya dan di simpan untuk dijadikan ubat pengaya (mendatangkan kekayaan/ kemewahan). Selepas itu, ibunya tersedar dan segera melakukan yang disuruh oleh Rasti. Selepas Rasti dikebumikan, kuku2 nya yang d******g ibunya berubah bentuk menjadi batu halus.

Pada masa yang sama, beberapa orang yang berjaga menceritakan bahawa isi tangisan yang ditangisi si tukang sabak ataupun penangis itu menceritakan Rasti m**i dalam usia yang sangat muda dan tidak mahu meninggalkan ibu bapanya ( maksudnya roh si Rasti masih ada di rumahnya dan belum berangkat keluar meninggalkan mereka. Menjelang pagi, lirik/leka sabak nya bertukar bahawa Rasti sudah memulakan perjalanan nya ke alam lain. Dan yang mengejutkan mereka alam yang ditujui Rasti bukanlah alam yang selalunya ditujui orang m**i. Rasti sudah tiba di alam ‘bunsu baya’ dan dia disambut meriah oleh suaminya.
(Selalunya ketika orang iban m**i, untuk yang pagan mereka akan menuju ke tempat yang dipanggil batang mandai which terdapat di dunia selepas m**i and its like destinasi yang mesti dilalui oleh roh yang m**i. Dan tempat tu seringkali di mention oleh tukang sabak ketika menangiskan mayat dan itu membuatkan penduduk rumah panjang Rasti hairan kerana roh si Rasti tidak menlintasi alam selepas m**i yang akan dilintasi oleh roh.

Untuk ke alam selepas m**i ia diceritakan roh org tu akan lalui pelbagai tempat and last akan sampai ke batang mandai. Si tukang sabak hanyalah mampu mengiringi dia sampai ke situ sahaja kerana tukang sabak masih hidup. Tukang sabak mengiringi roh dan memastikan roh si m**i melintasi batang mandai. Tetapi yang lain berlaku kepada roh Rasti kerana dia hanya melalui beberapa tempat dan arahnya terpesong dari jalan roh yang sepatut dilalui kerana dia tidak sampai ke batang mandai.) So mereka ni cam confirmla yang si Rasti ni m**i kerana sudah sah menjadi isteri orang di alam lain dan untuk membolehkan mereka bersama Rasti telah m**i di dunia kita dan dihidupkan di dunia lain.

Kematian Rasti yang merupakan anak sulung dan harapan keluarganya untuk belajar ke menara gading dan mendapatkan kerja kerajaan agar dapat menaikkan taraf hidup keluarga mereka memberikan tamparan yang hebat kepada keluarga. Semua anak anak kecil di rumah panjang mereka juga kerap dinasihati untuk tidak mengambil barang2 yang dijumpai di hutan, sungai dan mana mana. Bagi mereka, cukupla Rasti sahaja yang menjadi korban bunsu baya. Kisah Rasti sememangnya membuka mata dan telah memberi pengajaran kepada mereka semua untuk berhati-hati.

Seperti yang dikatakan oleh Rasti, keluarga mereka tidak hidup susah. Adik Beradik Rasti semuanya pandai dan merupakan harapan kepada ibu bapanya. Anak kedua Mak Rasti berjaya memperolehi straight A pada SPM 2019 yang lalu. Selain itu, kebun Mak Rasti mendatangkan hasil yang lumayan. Mak Rasti yang dulunya sering berjual di pasar tamu kini menjadi pembekal sayur sayuran kepada supermarket besar di Sarawak. Ayah Rasti yang dulunya bekerja kuli telah dibawa berkerja kuli di negeri Johor dan mendapat gaji lumayan sebelum berhenti untuk join isterinya mengusahakan kebun mereka. Dengan hasil kulinya di Johor dia telah membeli beberapa bidang tanah untuk meluaskan kebunnya. Manakala Rasti kadang kadang akan mendatangi keluarganya melalui mimpi setiap kali bulan mengambang.

Itu saje. Sekian Terima Kasih.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Darkse

4 thoughts on “Buaya Jadian Batang Rajang”

  1. Aku pun org Sarawak dan nenek aku pun pernah menjadi tunang buaya tapi dengan izin tuhan nenek aku masih lagi hidup hingga ke hari ini dan kalau seseorang yang pernah menjadi bekas tunang buaya kulit mereka akn menjadi bintik bintik tanda sudah menjadi tunang buaya tapi aku juga tak tahu cerita selanjut nya tentang macam mana moyang aku dulu mengubat nenek aku sebab nya takut nanti kena marah kalau tanya macam macam😂😂

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.