Bubur (sambungan)

Berita tentang kematian Wan telah sampai ke telinga semua penduduk kampung, tidak ketinggalan juga kampung-kampung yang berdekatan. Ada yang menuduh bahawa abang kandung kepada Rosli telah mengamalkan ilmu hitam sepanjang hayatnya sehinggakan bila sudah meninggal dunia ‘benda’ tu tidak mahu meninggalkan badannya dan ingin membalas dendam kepada semua orang kampung kerana tidak membantu dirinya ketika diancam oleh Razak. Ada juga yang mengatakan bahawa keluarga Rosli pernah membela saka dan saka itu selama ini duduk diam, sekarang waktunya untuk saka itu bangun dan mencari pengganti yang baru. Ada juga yang mengatakan bahawa keluarga Rosli ni membela hantu raya dan semua pembunuhan yang berlaku adalah disebabkan hantu raya itu dan Rosli adalah penjaga baru kepada hantu raya itu. Ada juga yang mengatakan bahawa Rosli ni sebenarnya daripada planet Namek.

“Sudah, sudahlah tu. Wan sudah kembali ke rahmatullah. Kita sedekahkan saja doa dan bacaan al-Quran buat dia.” pujuk Mila bagi meredakan kesedihan yang menyelubungi diri Rosli.

“Saya ada kat situ kak. Tapi saya tak mampu nak buat apa-apa.” kata Rosli kepada Mila. Rosli telah pun menceritakan segala yang terjadi kepada ketua kampung dan juga tok imam. Mereka akan menyiasat perkara ini dengan lebih mendalam. Bantuan daripada pihak polis juga sudah pun dilakukan dan pada malam harinya beberapa anggota polis akan menetap dikampung itu untuk berjaga. Empat orang anggota polis ditempatkan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Indah Bayu. Walaupun ramai diantara pihak polis tidak mempercayai dengan cerita gangguan oleh makhluk halus itu, namun mereka tetap juga menjalankan tanggungjawab sebagai polis. Orang ramai sudah tidak rasa selamat lagi untuk menetap di kampung Indah Bayu selepas berita kematian dua orang penduduk kampung itu dan seorang lagi penduduk yang berasal daripada kampung sebelah. Ketiga-tiga mereka mati dalam keadaan yang tragis. Ramai daripada penduduk kampung Indah Bayu telah pun keluar dan berpindah ke kampung yang lain. Ketua kampung tidak dapat menghalang perbuatan mereka itu kerana ianya adalah hak mereka. Semakin hari kampung Indah Bayu semakin sunyi dengan manusia. Hanya tinggal puluhan sahaja lagi penduduk yang masih menetap dan tidak mahu meninggalkan kampung halaman dan kesayangan mereka itu. Hal ini telah mendapatkan liputan meluas ke seluruh Malaysia. Ada pihak tidak bertanggungjawab telah pun datang ke tanah perkuburan dikampung itu dan meminta nombor ekor daripada pusara Ramli.

Akibat daripada itu, bilangan kematian hari demi hari semakin meningkat, ramai orang luar datang dengan niat tidak elok dan mereka telah mendapat balasan yang setimpal. Ada di antaranya yang mati di panah dengan petir. Ada yang terkambus ke dalam tanah. Ada juga yang hilang kepala secara misteri. Disebabkan itu, gangguan makhluk halus semakin menjadi-jadi dikampung Indah Bayu. Kini, hanya tinggal Mila, Rosli, dan ketua kampung sendiri. Mereka bertiga sahaja yang masih menetap, manakala ahli keluarga ketua kampung telah pun berpindah ke negeri lain. Pihak polis sudah tidak berani lagi untuk berjaga dikampung tersebut kerana ramai anggotanya telah pun menjadi mangsa. Kini, tidak ada lagi pihak daripada luar yang sanggup untuk menyinggah atau pun datang ke kampung Indah Bayu. Kampung tersebut semakin hari semakin dilupakan oleh orang ramai. Ada yang menyuarakan agar kampung tersebut dihapuskan terus kerana gangguan daripada makhluk halus itu telah pun merebak ke kampung-kampung yang berdekatan. Namun, ketua kampung dan juga tok imam masih berdegil. Mereka memberikan jaminan bahawa mereka akan menghapuskan makhluk itu semua akan tetapi, mereka berdua terkorban ketika sedang bertempur. Yang tinggal untuk berjuang hanyalah Rosli dan Mila.

“Tinggal kita berdua saja lagi kak. Ada baiknya akak pindah. Biar saya saja yang menguruskan semuanya. Biarlah saya berjuang hingga ke titisan darah terakhir.” kata Rosli kepada Mila.

“Engkau pun sudah cedera teruk Li. Macam mana akak nak tinggalkan kau. Kau saja keluarga yang akak ada.” balas Mila teresak-esak. Rosli hanya mampu diam tanpa berkata apa-apa. Apakah nasib yang bakal menimpa mereka pada kemudian hari?
Dengan berbekalkan ilmu yang dipelajari daripada tok imam, Rosli mempertahankan kampung Indah Bayu itu daripada ancaman makhluk halus. Walaupun tinggal dia bersama Mila saja lagi, tetap dia berdiri teguh di atas bumi yang nyata. Namun, hari demi hari, musuh yang datang menyerang semakin ramai dan semakin kuat. Rosli bukanlah seorang pahlawan mahu pun pendekar, apatah lagi seorang yang berilmu tinggi di dalam bab-bab sebegini. Akan tetapi, dia tidak pernah ada perasaan untuk menyerah kalah dan dia terus percaya bahawa Allah itu Maha Esa. Perjuangan dengan lelaki misteri yang dipanggil bomoh terus berlanjutan. Yang anehnya, tidak pernah dia bersua muka dengan bomoh tersebut, sebaliknya dia hanya bertempur dengan pengikutnya sahaja. Banyak kali terlintas difikiran Rosli, jika dia dapat menewaskan sang ketua durjana sudah pasti pengikutnya akan turut jatuh tersembam ke bumi. Siang dan malam terus berlalu, sejuk panas tidak dihiraukan, Rosli tetap terus beradu, walaupun cederanya tidak ringan.

“Li..akak sudah tak tahu sekarang hari yang ke berapa. Yang pasti, kita sudah terlalu lama disini. Terlalu lama kita bertahan. Akak dapat merasakan bahawa kita akan kecundang juga nanti.” tegur Mila yang begitu bimbang akan kecederaan pada diri adik iparnya itu. Semakin hari semakin parah, tidak pula sembuh, ingin berjumpa dengan doktor pakar, akan tetapi, mana ada manusia di kampung itu lagi selain mereka berdua. Bagi Rosli, jika dia keluar setapak daripada kampung itu, bermakna dia telah menyerah kalah.

“Allah akan bantu kita kak. Akak jangan risau. Selagi saya masih bernyawa, selagi itu saya akan lindungi akak dan kampung ini saya akan kembalikan ia seperti sediakala.” balas Rosli sambil menahan kesakitan yang teramat sangat. Sudah hampir tiga jam mereka berehat, makanan harian mereka hanyalah pucuk paku dan air masak sahaja. Tidak pernahnya sempat untuk Mila memasak, hanya mampu memetik pucuk yang ada dan merebus ianya untuk dijadikan pengisi perut yang kosong.

“Mereka dah datang, cepat pergi bersembunyi..” arah Rosli kepada Mila. Lantas Mila segera berlari bersembunyi di bilik bawah tanah di rumah ketua kampung itu. Rumah itulah yang dijadikan sebagai markas buat mereka selama ini. Kerana tanaman disekitarnya begitu subur dan banyak. Sungai juga berdekatan untuk mereka mengambil wudhuk atau pun menyucikan diri. Dihadapan Rosli kini berdirinya seekor lembaga berbadan tegap serta tinggi, matanya berwarna merah darah. Lembaga itu melayangkan sebuah tumbukan ke arah Rosli, namun, Rosli sempat mengelak lantas dengan segera Rosli membalas serangan tersebut. Serang balas dari Rosli mengenai lembaga itu lalu membuatkan lembaga itu terjatuh ke atas tanah. Datang pula seekor lagi lembaga berbadan tegap serta tinggi menyerang Rosli dari arah belakang, serangan tersebut yang begitu padu tepat terkena pada belakang badan Rosli lalu membuatkan dirinya turut jatuh tersembam ke bumi.

“Hari ni kau hantar yang sado-sado ya? Aku akan hapuskan semuanya!” jerit Rosli lalu dia bangun dan melompat tinggi dan melayangkan satu sepakan yang padu ke arah muka lembaga yang menyerangnya itu tadi. Lembaga itu tidak sempat untuk mengelak serangan yang dilakukan oleh Rosli. Namun, serangan tersebut tidak berjaya menumbangkan lembaga itu, akan tetapi, Rosli terus menerus melakukan serangan yang bertubi-tubi. Kesakitan yang dialami tidak dihiraukan sama sekali, yang penting bagi dia pada waktu itu adalah untuk menghapuskan lembaga-lembaga yang telah pun menerima arahan dari bomoh yang telah pun memulakan huru-hara dikampung tersebut. Mila ketika dibilik bawah tanah, tidak berhenti-henti berdoa kepada Illahi agar Rosli diselamatkan. Begitulah keadaan mereka setiap hari, musuhnya tiba tidak kira waktu, ada kalanya tiba ketika mereka sedang tidur, ada kalanya mereka tiba waktu mereka sedang menunaikan kewajipan.

Ketika Mila sedang khusyuk berdoa tanpa henti, dia terdengar suara jeritan milik Rosli yang begitu kuat sekali. Hatinya berdebar-debar untuk ingin tahu apa yang berlaku kepada Rosli, apakah Rosli sudah kecundang? Ingin saja Mila melangkah keluar daripada bilik bawah tanah itu akan tetapi, janjinya pada Rosli tidak mungkin dia akan mungkiri. Dia berjanji bahawa dia tidak akan pernah keluar daripada bilik bawah tanah itu selagi Rosli sendiri tidak menjemputnya untuk keluar. Walaupun dia sudah sedia maklum bahawa makhluk itu semua mampu untuk menyamar akan tetapi, Rosli sudah pun memberitahu kepada Mila jika dia yang memasuki ke bilik bawah tanah itu, dia akan mengucap dua kalimah syahadah dahulu. Jika tidak, bermakna bukanlah ia bukan Rosli. Di atas pula, Rosli sudah hampir kehabisan tenaga akibat serangan bertubi-tubi daripada musuh dan juga kecederaan pada dirinya tidak pernah sempat untuk sembuh. Dua ekor lembaga itu tadi hanya berdiri berhampiran Rosli dan merenung wajah Rosli bengis. Mata Rosli hampir terpejam akibat terlalu sakit dan letih, dia hanya mampu berdoa dan redha sahaja pada ketika itu dan berharap agar Mila tidak keluar daripada tempat persembunyiannya. Hampir saja Rosli ingin memejamkan matanya, dia terdengar suara dua ekor lembaga itu tadi menjerit seperti berada di dalam kesakitan. Perlahan-lahan Rosli membuka matanya, dihadapannya jelas dua ekor lembaga itu terbakar, yang hairannya, dari mana datangnya api tersebut?

“Bangun lekas, jembalang tu semua dah mati.” jelas kedengaran suara seorang insan berjantina lelaki menegur Rosli dan membantu Rosli untuk bangun dari tempat dia terbaring itu. Rosli cuba untuk melihat wajah lelaki yang membantu dia itu namun, akibat daripada pertempuran itu tadi dia menjadi terlalu penat dan pengsan ditempat kejadian.

Apabila dia Rosli tersedar daripada pengsannya, dia mendapati bahawa dirinya berada di atas tilam yang empuk. Disebabkan dia berasa hairan dengan keadaan tersebut, dia bingkas bangkit dan memerhatikan keadaan sekelilingnya. Dia berada di dalam sebuah bilik dan dia amat kenal bilik itu kerana di bilik itulah dia seringkali berehat selepas bertempur dengan musuh. Telinga dia menangkap suatu perbualan yang agak tidak berapa jelas diluar bilik. Hatinya risau akan kakak iparnya, lalu Rosli bangkit dan berjalan keluar dari bilik, dia menuju ke arah suara manusia berbual itu tadi.

“Li.. kau dah bangun?” tegur Mila selepas dia menyedari kehadiran Rosli. Mila memapah Rosli hingga ke tempat duduk. Dihadapan mereka ada seorang lelaki yang tidak dikenali sama sekali.

“Siapa kau? Kau yang bantu aku tadi?” tanya Rosli lemah. Kesakitan yang dia alami itu masih lagi belum pulih dan nafasnya seperti tidak mencukupi.

“Aku dahulu dikenali sebagai Frost. Tapi engkau panggil saja aku Qadim.” jawab Qadim ringkas. Qadim menceritakan segala-galanya kepada Mila dan Rosli. Dia dalam perjalanan untuk menyelesaikan misteri yang ditinggalkan oleh arwah kawannya. Dan secara tidak langsung, dia tiba ke kampung itu. Dan dia juga dapat merasakan suatu kuasa jahat sedang menyelubungi kampung tersebut ketika dia melangkahkan kakinya buat kali pertama. Dan firasatnya kuat mengatakan bahawa ada hamba Allah berada di dalam kesusahan dan memerlukan bantuan.

“Selepas itu, aku nampak kau tewas dengan kuasa syaitan. Lantas, dikesempatan itu aku terus menjalankan tanggungjawab aku sebagai seorang hamba Allah.” sambungnya lagi. Mila dan Rosli hanya menggangguk tanda faham. Rosli juga menceritakan kepada Qadim akan kenapa dia masih lagi tidak meninggalkan kawasan kampung dan berpindah saja ke tempat yang lain.

“Yang kau lawan ni bukan bomoh. Dia adalah syaitan. Jasadnya saja manusia.” jelas Qadim. Rosli dan Mila menumpukan sepenuh perhatian kepada apa yang ingin Qadim sampaikan.

“Syaitan dan Iblis ni pandai berupa-rupa, kerana itu memang sumpah dia dengan Allah bahawa dia akan menyesatkan kita semua ini. Apa yang kau lawan selama ini hanyalah tenteranya saja, atau erti kata lain, anak buahnya saja.” sambung Qadim lagi. Rosli tertunduk ke bawah, dia termenung seketika. Terlintas difikirannya, jika Qadim tidak muncul tadi, sudah pasti nyawanya akan melayang.

“Beginilah..Aku akan bantu kau dalam menghapuskan syaitan-syaitan itu semua dan mengembalikan keamanan kampung ini. Tapi dengan satu syarat…” kata-kata Qadim terhenti selepas mereka bertiga terdengar bunyi dentuman kuat dari atas bumbung rumah. Qadim dan Rosli sudah sedia maklum siapakah dalang kepada bunyi dentuman tersebut. Qadim mengarahkan Rosli untuk duduk saja disitu bersama Mila sementara dia keluar dan pergi siasat. Setibanya Qadim dihalaman rumah, dia meninjau ke atas bumbung namun, tiada sesiapa disitu.

“Hmm..syaitan..” bisik Qadim di dalam hati. Lalu dia menutup rapat matanya dan membacakan sesuatu, kemudian dia membuka matanya kembali dan terus merenung ke atas bumbung rumah. Kelihatan seekor lembaga warna hitam dan berbulu sedang terapung di atas bumbung rumah tersebut. Qadim hanya tersenyum selepas dapat melihat kelibat lembaga tersebut.

“Engkau cari pasal dengan orang yang salah, syaitan!” jerit Qadim sekuat hati tanda marah. Lalu, sebuah pertempuran hebat pun berlaku di antara Qadim dengan syaitan tersebut. Bumi seperti bergegar, pokok dikiri dan kanan bergoncang hebat. Rosli dan Mila muncul dimuka pintu selepas mendengar jeritan dari Qadim. Qadim mengarahkan mereka berdua agar berdiri di situ saja dan bersiap sedia untuk sebarang kecualian. Qadim mula membuka langkah silatnya yang dia pelajari daripada gurunya disebuah perkampungan orang bunian di Gunung Ledang. Secara tiba-tiba, sekumpulan burung gagak hitam muncul entah dari mana, datang menyerang Qadim akan tetapi setiap serangan dapat ditepis oleh Qadim dengan tenang. Mulut Qadim tidak henti-henti membaca ayatul Qursi. Burung gagak itu semua tadi cuba untuk menyerang Qadim kembali, lalu Qadim menggenggam penumbuk kanannya lantas dilepaskan satu tumbukan padu ke tanah, maka gugurlah semua burung gagak itu tadi. Angin bertiup kencang, pokok-pokok semua seperti sedang mengetawakan mereka bertiga. Bintik-bintik peluh mulai muncul di dahi Mila, dia merasakan sedikit ketakutan pada ketika itu.

“Jangan takut! Itu yang mereka mahukan. Mereka ingin kita takut! Ingat! Tiada yang lebih berkuasa selain Allah Maha Besar!” nasihat Qadim kepada Rosli dan Mila. Dan Rosli menyuruh Mila untuk berzikir dan tenangkan hati. Mila mengangguk tanda setuju dan terus melakukan seperti yang disuruh. Jelas kedengaran hilai tawa daripada lembaga yang sedang terapung di atas bumbung itu. Qadim memeluk tubuhnya dan memejamkan matanya rapat. Mulutnya terkumat-kamit membacakan sesuatu. Lembaga itu tadi datang menghampiri Qadim, dan melepaskan satu tumbukan tepat ke dada Qadim namun, Qadim sedikit pun tidak berganjak dari tempat di berdiri. Lembaga itu seakan marah kerana serangannya tidak memberikan kesan kepada Qadim. Kemudian, Qadim membuka matanya, wajahnya kelihatan begitu sekali, persis seorang ayah yang marah kepada anaknya yang gagal dalam setiap mata pelajaran disekolah. Kaki kanan diangkat separas dada kemudian dihentakkan ke atas tanah sekuat-kuatnya. Akibat dari perbuatan Qadim itu, lembaga tersebut jatuh tersungkur. Qadim mengulangi perkara itu beberapa kali sehingga lembaga tersebut jatuh tertiarap dan tidak boleh bangun lagi. Kemudian, Qadim mengeluarkan sebilah keris dari dalam bungkusan kain berwarna kuning, sarung keris itu dipacakkan ke atas tanah, dan bilahnya ditikam terus ke arah tengkuk lembaga itu. Bergema suara lembaga menjerit kesakitan, sehinggakan Rosli dan Mila bergoncang lutut akibat mendengar jeritan garau daripada lembaga itu. Qadim menikam terus menerus sehingga lembaga itu terbakar dan menjadi debu, terus angin yang kencang tadi telah meniup debu tersebut terbang pergi entah ke mana. Qadim mengambil sarung keris yang dipacakkannya tadi, dia menyarung kemas keris itu dan membungkusnya kembali ke dalam kain berwarna kuning. Lantas, dia berjalan menuju ke arah Mila dan Rosli. Tiada setitik peluh pun wujud diwajah Qadim, wajahnya kelihatan begitu tenang.

“Alhamdulillah..mereka tidak akan berani datang mengganggu untuk beberapa hari. Marilah kita berehat dahulu sementara itu kau boleh memulihkan kecederaan yang kau alami.” kata Qadim. Mila dan Rosli mengucap syukur panjang, mereka berterima kasih kepada Qadim kerana tanpa bantuan dari dia sudah tentu mereka tidak selamat.

“Bukan pada aku. Berterima kasihlah pada Allah.. Tanpa izin dari Allah, ini semua tak akan berlaku. Ada hikmah disebalik segala kejadian.” pesan Qadim kepada Mila dan Rosli.

Matahari sudah mula kelihatan, Qadim dan Rosli sedang menyibukkan diri dengan berlatih bersilat demi memperkuatkan lagi kekuatan fizikal. Sementara Mila di dapur sedang merebus ubi untuk dijadikan sebagai sarapan mereka sebentar lagi. Peluh menitis dari celah ketiak Qadim dan Rosli, namun mereka tetap bergiat meneruskan latihan. Tiada burung yang berani melintas di atas mereka, hanya suara mereka berdua sahaja yang memecahkan kesunyian pada pagi itu.

“Sudahlah Qadim. Aku tidak mampu untuk meneruskan latihan lagi.” kata Rosli yang kepenatan akibat kecederaannya yang masih lagi belum pulih seratus peratus.

“Baiklah, kau pergilah berehat, aku ingin menyambung semula latihan.” balas Qadim sambil terus membuka langkah.

Mila muncul dari muka pintu rumah sambil membawa sedulang air kopi dan ubi rebus, dia berjalan penuh berhati-hati ke arah pangkin. Lalu dia mempelawa mereka berdua untuk bersarapan bersama. Qadim tidak menolak pelawaan tersebut, ternyata dia juga sudah merasa lapar kerana dia masih belum mengisi apa-apa ke dalam perutnya sejak semalam lagi. Kelihatan Rosli baru sahaja keluar daripada bilik air bersama tuala dikepala, jalannya masih lagi tidak betul. Qadim dan Mila menjadi terkejut dan bimbang apabila mereka melihatkan ada darah mengalir dibahu Rosli, lalu mereka berdua berlari mendapatkan Rosli dan menanyakan soalan.

“Oh, tadi ada lintah melekat kat sini. Tu yang berdarah ni, darah kotor. Jangan risaulah..” jelas Rosli. Qadim yang merasakan tidak puas hati dengan jawapan dari Rosli tetap terus memeriksa tubuh Rosli. Bimbang jika dia diserang ketika mandi tanpa disedari, kerana ilmu hitam ini ada bermacam-macam serangan, ada yang halus, ada yang tidak. Ada yang boleh dilihat melalui mata kasar, ada yang boleh dilihat melalui mata halus. Muslihat syaitan begitu bahaya untuk diendahkan. Selepas memeriksa tubuh Rosli, barulah Qadim berpuas hati apabila dia mendapati bahawa apa yang dikatakan oleh Rosli itu tadi adalah benar. Lalu mereka kembali berjalan ke pangkin dan menyambung semula menjamah makanan yang disediakan oleh Mila itu tadi.

“Kau orang boleh berehat untuk beberapa hari ni. Serangan aku semalam mampu membuatkan bomoh itu cedera dan dia harus berehat demi menyembuhkan dirinya.” terang Qadim kepada Mila dan Rosli, percakapannya itu membuatkan mereka berdua tergamam.

“Bagaimana kau mencederakan bomoh itu sedangkan yang kita lawan semalam hanyalah syaitan suruhannya?” tanya Rosli penuh perasaan ingin tahu,

“Bomoh itu bersubahat dengan syaitan yang di mana mereka berkongsi darah dan jiwa. Perjanjian yang dibuat melalui darah secara semulajadinya akan membuatkan diri dia terlibat sama dengan mana-mana akiviti syaitan itu.” jelas Qadim, Mila dan Rosli hanya menggangguk faham.

“Apabila dia menghantar syaitan suruhannya untuk menyerang kau orang, bermakna, dirinya juga turut berada ditempat kejadian.” sambungnya lagi. Mila menggaru kepalanya yang tidak gatal itu. Dia menjadi hairan dengan semua penjelasan yang diberikan oleh Qadim. Namun, dia tetap juga menumpukan perhatian penuh terhadap Qadim. Waktu terus berlalu tanpa mereka sedari, perbualan demi perbualan, percakapan demi percakapan. Sedar tak sedar, waktu zohor sudah menghampiri, Qadim mengarahkan Rosli untuk pergi mengambil wudhuk dan bersiap sedia untuk menunaikan kewajipan. Manakala Mila pula tidak dapat untuk turut serta akibat datang bulan.

Selesai sahaja mereka solat, sebuah kereta peronda tiba diperkarangan rumah itu. Dua orang anggota polis kelihatannya keluar daripada kenderaan tersebut dan datang menuju ke arah Mila yang sedang memerhatikan mereka sejak tadi. Sebuah senyuman dilemparkan ke arah Mila, kemudian, Rosli pula muncul dari arah dalam rumah bersama Qadim. Memang selalu juga polis berdua itu akan datang berkunjung, hanya mereka berdua sahaja yang berani untuk memasuki kawasan kampung tersebut disebabkan mereka adalah salah seorang daripada anggota yang terlibat dalam menjaga keamanan kampung itu pada waktu dahulu yang dimana pada waktu itu keadaan masih lagi belum huru-hara.

“Berapa kali kalian ingin datang memujuk? Aku sudah cakap beratus kali, aku tak akan pernah tinggalkan kampung ini!” kata Rosli tegas.

“Tapi bang, keadaan bahaya sangat kat kampung ni. Abang kena bawa kakak keluar. Lambat laun, kampung ni akan mereput juga.” balas salah seorang anggota polis itu. Kemudian Qadim pula mencelah dan memberikan jaminan bahawa dia akan menjaga Mila dan Rosli serta mengembalikan keamanan dikampung itu.

“Awak ni siapa pula?” tanya anggota polis itu kehairanan.

“Dia ni perantau dari selatan tanah air.” jawab Rosli.

“Oh, zaman sekarang adalah lagi ya perantau.” tanya anggota polis itu lagi.

“Kadang kala, ada perkara yang kita tidak nampak, ada perkara yang kita harus ambil tahu. Jika ianya diluar akal fikiran kita, janganlah memandai, binasa di lain hari nanti”. jawab Qadim sambil tersenyum. Kata-kata itu membuatkan dua orang anggota polis tadi terdiam dan tergamam. Jelas terpancar diwajah mereka berdua bahawa mereka memang tidak faham dengan apa yang cuba untuk disampaikan.

“Hari ni terasa lain pula suasana. Rasa aman dan tenang pula.” soal anggota polis itu lagi.

“Air yang tenang jangan disangka tiada buaya..” jawab Qadim sambil memeluk tubuh dan matanya tertumpu ke arah hutan yang berdekatan. Angin lembut meniup perlahan ke arah mereka.

“Kita ada pengunjung…” kata Qadim lagi. Mereka berempat menjadi tercenggang dengan kata-kata Qadim. Siapa pula yang datang mengunjung?

Dari arah hutan itu, muncul seorang lelaki tua bongkok. Lelaki tua itu berjalan perlahan ke arah tempat mereka berada. Qadim mengarahkan mereka berempat untuk menunggu di situ sementara dia pergi ke arah lelaki tua itu. Qadim mengambil keris yang berada di dalam rumah dan terus keluar berjalan menuju ke arah orang tua itu. Mereka berempat hanya berdiri sambil memerhatikan gerak geri lelaki tua itu.

“Bang, kenal ke dengan orang tua tu?” soal anggota polis itu. Rosli menggelengkan kepala menandakan dia tidak mengenali diri lelaki tua itu. Kemudian, dua orang anggota polis itu meminta diri kerana mereka sudah lama berada di situ. Mereka harus kembali ke balai. Sementara Mila dan Rosli masih lagi berada disitu memerhatikan Qadim berbual dengan lelaki tua itu. Pelbagai persoalan bermain difikiran Rosli ketika itu. Siapakah gerangan lelaki tua itu? Sedangkan dikampung itu hanya tinggal mereka bertiga, adakah lelaki tua itu adalah bomoh yang telah memusnahkan keharmonian kampung Indah Bayu? Jika ya, mengapa dia sebegitu berani memunculkan dirinya? Adakah dia berasa takut dan tergugat dengan kehadiran Qadim? Lama Rosli terfikir, tiba-tiba bahunya dicuit oleh Mila.

“Kau fikir apa tu Li?” tanya Mila yang merasa bimbang dengan adik iparnya yang dilihatnya begitu bengis dari tadi.

“Tiada apa. Menahan sakit je ni..” jawab Rosli membohong. Dia tidak ingin kakak iparnya mengetahui apa yang dia fikirkan.

Tidak lama kemudian, kelihatan lelaki tua itu berlalu pergi menuju ke arah jalan besar dan bergerak ke arah timur. Perlahan Qadim berjalan menuju ke arah pangkin. Mila dan Rosli menunggu Qadim untuk membuka mulut. Qadim yang sedar akan hal itu terus memberitahu mereka bahawa tiada apa yang perlu dirisaukan kerana lelaki tua itu hanyalah manusia seperti mereka juga cuma ilmunya terlalu tinggi dan susah untuk di duga. Dia hanya hanya mahu bermalam di surau kampung tersebut untuk semalaman.

“Jadi, malam ni mari kita ke surau dan kita solat bersama dengan lelaki itu. Surau tu pun aku dapat agak dah begitu lama terbiar kosong, bukan?” Mila dan Rosli hanya menggangguk dan mereka bersetuju untuk mengikuti Qadim untuk ke surau itu pada malam nanti.

Apabila matahari sudah terbenam, maka mereka bertiga pun bergeraklah menuju ke arah surau tersebut. Mila dan Rosli bagaikan terkejut apabila mereka tiba di surau itu. Suasana terang, cantik, surau itu seperti bercahaya. Mereka berdiri di depan tangga surau itu dan lelaki tua tadi muncul dimuka pintu dan menyambutnya mereka. Lalu mereka bertiga pun mendaki tangga surau yang tidak berapa tinggi itu.

“Awak semua dah makan ke?” tanya lelaki tua itu. Namun, tiada jawapan yang keluar dari mulut Mila dan Rosli.

“Terang sungguh tempat ni. Cantik.. Sudah terlalu lama kami berdua hidup dalam gelap. Nyamannya angin yang saya sedang rasakan sekarang ni” kata Rosli tergamam.

“Oh, tentang tu. Saya on kan saja semua lampu kat surau ni. Itu yang terang benderang je ni. Lepas tu penghawa dingin tu saya on kan jugak”. jawab lelaki tua tersebut. Jawapan itu membuatkan Mila dan Rosli tercenggang.

“Ada..ada..ada..ada elektrik lagi ke kampung ni???” tanya Mila. Dia memandang wajah Rosli yang turut juga kebingungan.

“Kalau tak ada, masakan semua lampu ni boleh hidup?” jawab lelaki tua itu. Qadim menepuk dahinya kerana tidak dia sangka bahawa Mila dan Rosli tidak pernah memeriksa samada kampung itu masih ada elektrik lagi atau pun tidak.

“Kampung ni sudah lama terbiar dan tidak ada penghuni lagi, saya sangkakan bekalan elektrik telah diputuskan.” jelas Rosli kesal. Jika dia tahu kampung Indah Bayu masih ada elektrik, sudah tentu dia pasangkan saja semua lampu yang ada dikampung tersebut. Sia-sia saja dia menggunakan obor selama ini.

Waktu maghrib semakin hampir, mereka berempat menuju ke arah kolah surau itu dan mengambil air wudhuk. Sementara menunggu waktu solat, mereka berzikir dengan khusyuknya di dalam surau.

“Sudah masuk waktunya.” kata Qadim, lalu dia bangkit dari tempat dia bersila dan menuju ke arah alat pembesar suara surau dan dia melaungkan azan. Laungan azan itu kedengaran disetiap pelusuk kampung Indah Bayu yang sudah kian lama menyepi dari masyarakat. Sungguh merdu suara Qadim ketika melaungkan azan, kalah artis-artis yang ada. Sementara itu, disempadan yang memisahkan Kampung Indah Bayu dan Kampung Sebelah, dua orang penagih dadah sedang asyik dengan dunia mereka.

“Weh..weh..Mat..lu dengar tak apa yang gua dengar?”

“Eh..gua dengan azan..benda biasalah tu Kumis, apa lah lu ni..”

“Tak..tak..azan tu dari kampung ni Mat. Mana ada orang kat kampung ni. Kan semua dah lari..”. Lalu dua orang penagih dadah itu terus berlalu pergi dari port mereka kerana ketakutan.

Matahari mulai timbul dari arah timur. Kedinginan pada waktu pagi itu begitu menyenangkan. Mila, Rosli dan Qadim sedang berjalan melalui jalan raya yang sunyi tanpa hadir sesiapa. Selepas waktu subuh tadi, mereka terpaksa berpisah dengan lelaki tua tersebut. Beliau kini sedang meneruskan perjalanannya. Ketika dalam perjalanan untuk pulang ke rumah, mereka bertiga berbual kosong demi menghilangkan bosan. Namun, perbualan mereka terhenti saat Qadim menyedari bahawa mereka sedang diperhatikan dari suatu sudut yang tidak pasti. Kini mereka bertiga berada di dalam keadaan yang berwaspada. Pada bila-bila masa saja mereka akan diserang.

“Nampak gayanya bomoh tu sudah sembuh.” jelas Qadim. Mereka bertiga mempercepatkan pergerakan kaki supaya cepat tiba ke rumah. Setibanya mereka dirumah, Qadim dan Rosli melabuhkan punggung dipangkin demi menghilangkan rasa penat akibat berjalan. Manakala Mila pula terus masuk ke dalam rumah bagi menyediakan sarapan untuk pagi itu. Sedang Qadim dan Rosli termenung dipangkin, mereka dikejutkan oleh suara jeritan dari Mila. Lalu, mereka berdua bergegas berlari menuju ke dalam rumah demi mendapatkan Mila. Selepas mereka tiba dilokasi, mereka kelihatan agak terkejut dengan situasi yang berlaku pada ketika itu. Mila sedang memegang semangkuk bubur ayam dalam keadaan terketar-ketar.

“Bu..bu..bubur…ni…si..si..siapa..yang..bu..buat?” tanya Mila gagap. Qadim dan Rosli menjadi hairan dengan perkara yang berlaku. Qadim mengambil bubur itu dari tangan Mila dan memeriksa ia.

“Bubur ni telah disantau. Kau ada makan tak tadi?” tanya Qadim tegas. Mila hanya mengangguk tanda dia tidak sentuh sesuap pun bubur itu. Qadim terus mencampakkan mangkuk berisi bubur itu keluar rumah.

“Arwah suami aku saja yang minat makan bubur ayam itu. Itulah makanan terakhir dia akan tetapi dia tidak sempat untuk menjamahnya.” kata Mila sambil menangis. Qadim hanya memandang ke arah luar rumah sementara Rosli berdiri di antara sinki dan meja makan dan matanya merenung ke arah lantai rumah sambil menggenggam penumbuknya ketat. Kemarahan mulai membuak di dalam hati Rosli pada saat itu.

“Dia nak main cara halus.” kata Qadim.

“Siapa yang bodoh sangat nak terpedaya dengan trick macam ni? Ingat ni telemovie ke apa?” sambungnya lagi. Rosli meminta agar Qadim membawa kakak iparnya menuju ke arah ruang tamu untuk menenangkan diri sementara dia di dapur menyambung kerja Mila yang tertangguh. Qadim mengangguk tanda setuju dan mengajak Mila untuk ke ruang tamu rumah dan Mila hanya menuruti perintah. Perasaan marah masih lagi belum reda di dalam hati Rosli, perasaan ingin membunuh bomoh jahat itu semakin menebal di dalam sanubarinya.

“Aku nak lelap sebentar jika kau tak kisah, Qadim.” kata Mila dan Qadim membenarkan dia untuk melelapkan mata. Qadim menuju ke arah tangga depan rumah dan duduk di situ. Tidak lama kemudian Rosli muncul bersama sedulang air dan sedikit ubi rebus untuk dijamah pada pagi itu.

“Kakak aku mana?” tanya Rosli.

“Dia tidur kejap.” jawab Rosli.

Mila yang sedang bersendirian di atas katil termenung jauh. Dia mengimbas kenangan-kenangan indah waktu bersama dengan suaminya ketika dia masih hidup lagi. Tidak dapat menahan sebak di hati, akhirnya airmata wanitanya kini gugur. Dan, dia terlelap dengan sendirinya. Dalam tak sedar, Rosli dan Qadim juga turut tertidur tanpa niat di tangga rumah. Dan dari jauh, munculnya seorang lelaki berpakaian seakan pendekar berjalan menuju ke arah rumah mereka. Setibanya lelaki itu di kaki tangga rumah, dia mengeluarkan sebilah keris lalu ditikamnya ke arah dada Rosli berkali-kali. Darah yang banyak memancut keluar akibat tikaman tersebut. Lalu, lelaki itu terus masuk ke dalam rumah dan menuju ke bilik di mana Mila sedang nyenyak dibuai mimpi.

Beberapa jam kemudian, Qadim dikejutkan dengan suara seorang lelaki yang amat dia kenali. Perlahan-lahan Qadim membuka matanya. Sinaran matahari membuatkan matanya agak pedih untuk dibuka. Kemudian, sebaldi air disimbahkan ke arah mukanya, barulah Qadim dapat membuka matanya seperti biasa. Dihadapannya berdiri seorang lelaki yang teramat dia kenal.

“Tok Penghulu?” kata Qadim. Dia menjadi hairan kenapa tok penghulu kampung bunian itu boleh berada disitu. Dan dia menjadi terkejut apabila dia mengetahui disebelahnya adalah jenazah Rosli yang berlumuran dengan darah. Lalu tok penghulu pun menceritakan segalanya kepada Qadim. Qadim termenung panjang, dia tidak menyangkakan bahawa dia boleh terpedaya dengan tipu muslihat syaitan.

“Macam mana tok penghulu tau semua perkara ni?” tanya Qadim.

“Aku bukan biasa-biasa seperti kamu, Dim. Melalui ilmu yang aku perolehi, aku boleh tahu apa yang berlaku dan siapa dalangnya. Dari rumah lagi aku sudah dapat rasakan bahaya yang sedang mengelilingi diri kamu. Lalu, aku tidak dapat menahan perasaan bimbang dan aku datang untuk membawa engkau pulang.” jawab Tok Penghulu tenang. Qadim terus termenung, hatinya merasakan begitu sedih pada saat itu. Dia tidak dapat menyelamatkan Rosli dan Mila pula sudah diculik oleh bomoh itu.

“Ayuh Qadim, mari kita selesaikan jenazah ini dulu dan jenazah hidup yang berkeliaran dikubur sana.” ajak Tok Penghulu. Qadim tersentak apabila mendengar apa yang keluar dari mulut tok penghulu.

“Jenazah hidup? Apa maksud tok?” tanya Qadim kehairanan.

“Aku percaya bahawa ianya adalah jenazah abang kepada jenazah didepan kita ni.” jawab tok penghulu.

Lalu mereka berdua pun terus memulakan tugas-tugas memandikan jenazah untuk dikebumikan. Kemudian jenazah Rosli diusung oleh tok penghulu seorang diri untuk dibawa pergi ke tanah perkuburan. Qadim agak terkejut dengan kekuatan fizikal yang dimiliki oleh tok penghulu itu. Setelah selesai melakukan proses pengebumian, mereka mencari-cari pula jenazah hidup yang disebutkan oleh tok penghulu awal tadi.

“Mila….abang nak bubur…abang nak bubur, Mila…~~~”

Qadim dan Tok penghulu menjumpai jenazah hidup itu dirumah milik Mila. Ketahuanlah mereka bahawa jenazah ini adalah Ramli arwah suami Mila dan abang kandung kepada arwah Rosli. Qadim menitiskan air matanya. Dia merasa sangat kasihan dengan nasib yang menimpa keluarga ini dan seluruh kampung Indah Bayu. Niat dia ingin membantu tetapi apakan daya, dia sendiri hanyalah manusia biasa dan tidak mampu untuk melawan takdir.

“Banyak lagi yang kau perlu pelajari, asahkan dulu ilmu yang ada. Aku akan bantu kamu, Qadim.” kata Tok Penghulu kepada Qadim yang sedang mengesatkan air matanya.

“Baiklah tok..” balas Qadim sambil melemparkan sebuah senyuman yang membuktikan bahawa dia masih lagi tabah dan kuat untuk meneruskan kehidupannya. Lalu mereka berdua menghampiri jenazah hidup tersebut. Bumi bergegar sekali lagi dikampung Indah Bayu akibat proses yang dilakukan oleh mereka berdua demi menghapuskan syaitan yang menghuni badan jenazah itu. Qadim berjanji di dalam hatinya bahwa dia akan menjadi lebih kuat dan menjadi lebih bersedia lagi untuk menyelesaikan tugas yang ditinggalkan oleh rakan setugasnya. Dan dia berjanji bahawa dia akan mencari bomoh itu hingga ke lubang cacing dan menyelamatkan Mila.

-Tamat-

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Perempuan Kalis Peluru @ akustatik

26 comments

  1. jalan cerita dah cantik dah..tapi mai kat part last mcm xtao apa2 dah..tiba2 ja dah tamat..writer klau boleh truskan cerita ini sebab mmg tergantung..siapa bomoh dan di mana mila.?

  2. better buat sambungan lagi..siapa bomoh tu?? knapa nak culik mila?? dapatkah qadim selesaikannya?? buat la sambungan..cant wait..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *