BUKAN AKU!

TAJUK: BUKAN AKU!
Oleh: Qiara Zuryhana

Cerita ini adalah inspirasi daripada kisah benar yang terjadi kepada diri aku sendiri. Aku garapkan dengan ayat yang lebih dramatik supaya seronok nak membacanya. Kalau ada persamaan dengan mana-mana cerita yang lain, aku tak kisah sebab hal ini benar-benar berlaku dalam hidup aku. Andai sama, itu satu kebetulan.

Pengalaman ini terjadi semasa aku di sekolah menengah berasrama penuh. Ketika menghadapi kejadian itu, tidaklah terasa seram sangat. Tapi bila diingat semula, memang boleh demam jadinya.

Ketika cuti hujung minggu, sekolah aku mengadakan program motivasi. Sebenarnya lebih kepada aktiviti pembimbing rakan sebaya memandangkan peserta terlibat dalam kalangan pelajar tingkatan dua, manakala fasilitator terdiri daripada pelajar tingkatan empat (termasuk aku). Pelajar tingkatan satu, tiga dan lima pulang ke kampung masing-masing.

Pada sebelah malam, ketika semua peserta berada di dalam dewan besar, aku dan Mira baru sahaja keluar dari aspuri. Semasa dalam perjalanan, kami melalui bangunan utama yang menempatkan bilik darjah dan pejabat.

Entah kenapa, ekor mata aku tertangkap kelibat di hujung koridor tingkat satu. Betul-betul dekat tangga bersebelahan tandas. Dalam keadaan gelap gelita sepanjang jalan, perasaan jadi tidak tenang. Tiba-tiba sahaja merinding bulu roma.

Disebabkan rasa ingin tahu yang menebal, aku berpaling. Jelas, sosok tadi masih berdiri tegak di situ. Pandangan agak jelas kerana lampu betul-betul ada di hujung koridor itu. Aku menghela kelegaan, fuh!

“Mira… kau tengok kiri. Aini kat koridor tingkat satu tu, kan?”

Teman di sebelah aku yang dari tadi tak berhenti mengomel, pantas berpaling. Terus lenyap dengung bebelannya tadi. “Errr… entahlah, Ara. Eh, cepatlah jalan!”

Respons Mira menambahkan rasa seram sahaja. Aku terus cepatkan langkah sehingga menjadi seperti berlari pula. Peluh dingin merenik di dahi. Masing-masing diam membisu. Mira sudah berlari laju, meninggalkan aku yang terkial-kial cuba menyainginya.

Sebaik tiba di dewan, Mira terus berlari ke bilik fasilitator. Aku tetap mengekorinya. Program masih belum bermula, tetapi beberapa fasilitator sudah mula mengendalikan peserta.

“Aini… Aini!”

Jeritan Mira membuatkan deru nafasku semakin laju. Apa yang terjadi? Aku juga terus masuk ke bilik fasilitator. Senyap, sunyi sepi.

Terkebil-kebil mataku melihat Aini yang sedang mengusap belakang Mira. Beberapa fasilitator juga mengelilinginya dengan riak wajah cemas. Aini?

“Eh… kau kat sini?” Soalanku seiring dengan panahan mata yang tertancap pada batang tubuh Aini.

Mira mengerlingku sekilas. Sendu tangisnya terus mendayu. Wajahnya pucat. Kenapa pula dengan Mira?

“Aku memang kat sini dari tadi. Solat maghrib di sini. Aku belum keluar ke mana-mana lagi.” Jawapan Aini membuatkan aku ternganga. Lemah sendi lutut, aku terjelepok.

“Korang check… cuba check… betul ke dia?” Suara Mira tergagap-gagap. Semua mata tertumpu kepadaku.

“Ini akulah. Qiara. Kenapa kau cakap macam tu, Mira? Kau dengan aku jalan sama-sama dari asrama tadi. Kita datang sama-sama.” Seperti orang dituduh bersalah, aku membela diri.

“Ta… tadi. Kau tunjuk kat tepi toilet tadi… Tu… tu… muka kau! Memang kau!” Pucat lesi muka Mira, tapi rasanya lebih pucat muka aku!

“Aku nampak Aini!”

“Aku nampak kau! Sebijik! Dengan baju kurung kau, tudung kau, muka kau! Cuma… cuma… mata tu… mata tu menakutkan aku! Renung tepat kat aku, macam marah sangat. Tapi mulut kau macam senyum. Ah, aku tak tahulah! Mulut kau lebar… panjang… nampak macam senyum tapi pelik. Bibir kau macam nak sampai ke telinga! Tapi tu memang muka kau!”

Aku memang tak boleh hadam kata-kata yang keluar dari mulut Mira. Aku pandang satu per satu rakan-rakan yang ada di situ. Masing-masing pucat lesi.

“Aku tak pergi toilet…” Aini menafikan maksud pandanganku.

Suasana jeda seketika. Masing-masing kelu dan keliru. Sejuk angin hasil putaran kipas menambahkan aura seram yang dirasa. Aini, Mira, Huda, Ina dan Fiqah sudah menghimpitku. Lega juga mereka yakin yang aku bukannya hantu!

Selang beberapa minit, Erma muncul sambil menjinjing bungkusan plastik. Kuat suaranya memberi salam.

“Eh…” Wajahnya yang ceria berubah serta merta. Erma seperti keliru, lenyap terus senyum di bibirnya.

“Cepatnya kau ada kat sini, Ara. Tadi masa aku balik dari rumah Cikgu Salina, aku nampak kau duduk kat bangku tepi padang. Bila masa pulak kau lari berdesup ke sini? Kot ya pun… mana ada jalan pintas dari padang tu.”

Pang! Bagai tamparan kuat yang membuatkan telinga aku berdengung dan wajahku berbahang panas!

Erma duduk di sebelah aku. Satu per satu wajah rakan-rakan dipandangnya. “Kenapa ni?”

“Bukan aku tu… Bukan aku.” Itu sahaja yang mampu aku katakan.

Seperti dijangka, giliran Erma pula kepucatan. Terkebil-kebil, mungkin dia cuba mencerna apa yang aku katakan.

Aku cuma nak semua tahu, itu bukan aku!.

Qiara Zuryhana
Tiada lagi iklan menganggu,kini 1 unit iklan sahaja dalam web FS. Web Makin laju. Jika rasa iklan menarik perhatian anda, mohon view untuk support web FS. TQ
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
Support FS

12 comments

  1. Great story. Qarin si penulis kut. Tapi kalau Qarin, kita akan nampak jelamaan kita sahaja, maksudnya jika Qarin tersebut adalah Qarin Qaira, maka Qaira dan Mira akan nampak Qaira sahaja, tapi apa yg berlaku, Mira nampk Qarin Qaira, Qaira pula nampak Qarin Aini. Ape pun, cerita ini sangat best. Singkat, padat dan berjaya timbulkan unsur keraman.
    9/10

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.