Bus Stop

Salam semua. Ini kali pertama aku menulis panjang di media sosial. Aku terbaca sebuah kisah di sini tempoh hari dan aku pun terasa hendak berkongsi pengalaman. Mana tahu, mungkin terjawab persoalan-persoalan berkenaan dengan apa yang dialami aku sekeluarga. Terima kasih membaca.

Pada tahun 2008, aku dan suami mengambil keputusan untuk membeli sebuah rumah yang agak terpencil. Rumah tersebut dibina sebagai rumah contoh untuk satu kawasan perumahan baru pada masa itu. Jika anda ingin membeli rumah, orang perseorangan boleh ke rumah contoh untuk melihat sendiri dalam rumah, dengan perabot serba lengkap. Barulah senang untuk bayangkan keadaan rumah sebelum membelinya. Apabila kebanyakan rumah telah dijual, kami bertanya pada agen perumahan jika rumah contoh ini boleh dijual pada kami. Kami agak tertarik dengan rumah bereka bentuk moden dan minimalist yang dibina sebuah sahaja dan dikelilingi kawasan halaman yang agak luas. Kami ditawarkan harga yang agak berpatutan, siap dengan kelengkapan perabut dan elektrik yang tersedia.

Mesti ada yang cakap, “ha, rumah kalau dijual murah ni, mesti ada yang tak kena. Mesti berhantu, sebab memang agak clichè jugalah dalam cerita hantu bila beli rumah murah ni, kan?”

Rumah kami memang tak ada masalah. Memang rumah impianlah kiranya. Sudah 12 tahun kami duduk di rumah kami ni, dan sudah ada 2 orang anak sejak kami berpindah di sini. Kehidupan kami sekeluarga aman damai.

Aku nak ceritakan mengenai bus stop di depan rumah ni sebenarnya. Rumah kami agak terpencil. Kawasan rumah yang merupakan klon-klon rumah kami terletak agak jauh dari sini. Jalan memasuki rumah ini juga kecil. Satu jalan untuk keluar dan masuk dan jalan berakhir di hadapan rumah kami. Jalan m**i. Selepas jalan m**i ada bukit dan belukar. Jadi macam tak masuk akal di hadapan rumah kami ada bus stop. Tiada siapa tahu bila bus stop itu dibina, yang aku tahu sejak mula pindah lagi dah ada. Aku dan suami selalu buat lawak, kata senang la nak pegi KL, naik bas je depan rumah. Dalam lawak, ada juga rasa tak selesa.

Bus stop tu agak usang, tidak berbumbung. Tempat duduk bersimen untuk dua orang (tapi kalau mengikut SOP COVID 19, seorang sajalah sekarang yang boleh duduk. Kalau ada yang nak duduklah). Ada sebatang tiang yang dicat hitam-kuning dan penanda simbol bas hitam-kuning juga yang telah pudar ditelan usia. Ada sebuah pokok ketapang besar di sebelah bus stop, menjadikannya redup walaupun tak berbumbung.

Oleh kerana tiada bas yang berhenti di bus stop itu, kami agak hairan mengapa tidak dirobohkan saja. Boleh juga kami bercucuk tanam kawasan itu. Ada satu masa, suamiku bertanya di pejabat majlis perbandaran tempat kami mengenai bus stop tersebut tapi setelah diperiksa rekod, pihak majlis perbandaran kata memang mereka tidak pernah mendirikan mana-mana bus stop di kawasan tersebut. Mungkin pihak JKR atau JPJ lebih arif, katanya. Tak apalah. Ada bus stop tu pun tak mengganggu siapa-siapa.

Yang peliknya, kadang-kadang jika kami sibuk di belah belakang rumah seperti di dapur, bilik air atau bilik belakang, kedengaran bunyi bas di depan rumah. Memang kami jarang dengar bunyi kenderaan di hadapan rumah kami kecuali tetamu atau abang-abang delivery. Jadi kalau bunyi bas tu memang jelas, dengan enjin bas yang agak kuat. Bila dijenguk, tiada pula basnya. Kalau ada bas pun, bagaimana nak buat u-turn, jalan m**i agak sempit. Memang kena undur juga. Tiada cara lain.

Bunyi bas ni memang sudah jadi kebiasaan. Tapi tak mengikut waktu tertentu. Kadang-kadang pukul 3 ke 4 pagi pun berbunyi.

Kalau itu tak pelik lagi, ada sesetengah orang memang tak nampak langsung bus stop tu. Contohnya adikku, Lina. Dia selalu datang rumahku lepak-lepak. Setelah beberapa tahun berpindah di situ, satu hari masa makan, kami dengar bunyi bas. Lina tanya, “Bas mana pulak tu? Sesat ke?”

“Entah. Berhenti kat bus stop la kot,” kataku. “Bus stop mana pulak?” Aku muncungkan mulut tunjuk depan rumah. Lina boleh dia tak nampak. Aku bawa dia depan rumah pun dia tak nampak. Dia nak pegi tengok dekat-dekat tapi aku halang. Biarlah. Jangan kacau.

Selepas itu, kami sekeluarga agak berhati-hati dengan tetamu yang nampak dan tak nampak bus stop tersebut. Kebanyakannya nampak. Ada segelintir je tak boleh nampak. Kami tak nak besar-besarkan lagi cerita. Tapi kadang jadi bahan jenaka kami suami isteri, macam kerusi tuan direktor cerita Bujang Lapok. Tapi ini lagi ‘real’ dan nasib baik tak pernah lagi orang ‘alamat nak mampus’ kalau tak nampak. Eh jangan mintak!

Okay. Aku sambung lagi kejadian yang lebih pelik. Semasa anak sulung ku Adam berumur 6 tahun, kami selalu tinggal berdua kerana suami kerja di luar kawasan. Setiap 5 ke 7 hari akan balik cuti selama 2-3 hari. Satu hari Adam sakit perut. Mula-mula biasa saja. Salah makan agaknya. Sudah ambil ubat dia pun tidur. Malam tu badannya agak panas dan bila dikejutkan dia mengerang-gerang kesakitan, mukanya pucat. Aku tak tunggu lama, aku dukung dia dengan selimut-selimut sekali bawak masuk kereta. Dibuatnya masa tu bateri kereta m**i sebab aku lupa tutup lampu kereta sejak petang tadi, balik rumah masa hujan.

Dalam keadaan panik aku nak telefon 999 – line tak ada. Selalu memang line masalah dan kami tak ada landline. Ini sebelum ada broadband. Internet pun tak ada. Dalam keadaan separuh panik, aku dukung Adam jalan keluar rumah. Niatnya nak tahan kereta yang lalu di jalan besar atau cari phone signal yang lebih kuat. Jalan sunyi sepi sebab dah agak lewat. Adam pulak agak berat, masih megerang kesakitan. Terlalu buntu, aku patah balik menuju ke rumah. Termengah-mengah dukung Adam yang badan agak semangat tu. Mungkin aku boleh hidupkan kembali kereta (lepas kejadian ni, terus aku beli jumpstart kit untuk kereta).

Dalam keadaan yang tak keharuan, aku dudukkan Adam di tempat duduk bus stop depan rumah dan aku ke hulu hilir cari phone signal. Tak sampai beberapa minit, aku nampak ada cahaya lampu kenderaan menuju ke jalan rumah. Makin lama makin terang sampailah aku dapat lihat bentuk bas. Aku ke tengah jalan tahan bas. Aku berlari mendapatkan Adam dan kembali ke arah pintu bas. Pintu bas dibuka dan nampak pemandu bas sudah turun ke pintu.

“Kenapa anak akak ni?” pemandu bas bertanya.

“Dia sakit sangat. Saya nak ke hospital. Boleh tak bawak saya kat hospital. Nanti saya bayar tambangannya berapa-berapa pun. Kereta saya pulak buat hal.”

“Okay kak, masuk-masuk saya hantar,” kata pemandu bas sambil separuh angkat Adam.

Setelah 10 minit dalam bas, aku mula bertenang. Aku lihat pemandu tu muda lagi, dalam lingkungan 20-an. Berbaju kemas, uniform biru. Orangnya kurus tinggi. Basnya pula selesa. Ala Rapid KL. Bas kota. Nampak baru tapi tak perasa logo syarikat mana. Siap dipasang muzik dalam tu. Mungkin pemandu tengok aku cuak sangat kot, nak bagi tenang sikit. Oleh kerana tiada penumpang lain, aku dan Adam duduk di tempat duduk paling depan, dekat dengan pemandu.

“Dik, bas ni memang selalu ke pegi ke kawasan rumah akak tu?” aku tanya.

“Ada la juga kekadang. Ini bas ‘charter’ kak, kalau ada orang nak pegi tu, kami lalu la kat situ,” terang pemandu bas tu lagi.

Aku pun diam kembali. Dalam hati tak tenang, datang juga perasaan ingin tahu.

“Dik, orang pegi kat kawasan rumah akak tu buat apa?”
Pemandu tu tergelak kecil.
“Iye la. Itu kan kawasan pasar. Sibuk la sikit. Akak tak kisah ke duduk kawasan pasar diaorang. Tak bising ke?” pemandu tu bertanya aku.

Pasar? Setahu aku, nak ke pasar, aku kena pandu lebih sejam. Memang bukan dekat rumah aku la.

Aku ingat dia cakap pasal kawasan lain. Aku pun malas bertanya sebab risaukan Adam yang berpeluh-peluh walaupun bas berhawa dingin.

Pemandu bas tu hantar aku dan Adam betul-betul depan pintu masuk Kecemasan di hospital. Siap dukungkan Adam lagi ke dalam.

Adam dibaringkan di kerusi sementara menunggu bantuan. Aku tarik sikit uniform pemandu bas sebelum dia beredar dan hulurkan duit.

“Dik, terima kasih banyak, dik, kalau adik tak lalu kat situ, akak pun tak tau nak buat macam mana. Ni ambillah akak bagi.”

“Eh tak pe kak. Tak nak duit. Memang dah tugas saya. Nasib baik juga ada yang bagitau saya ada penumpang tengah tunggu kat situ. Ni pun saya kena pegi dah ni, dah lari dari jadual. Tapi diaorang tak kisah lambat sikit sebab tolong orang susah, kan” katanya lagi.

Aku pun cakap terima kasih lagi sekali dan terus ke kaunter pendaftaran. Setelah doktor kecemasan dan doktor pediatrik memeriksa Adam, didapati appendix Adam telah pecah dan perlu menjalani operation kecemasan.
Beberapa jam berlalu, sampai ke pagi, aku masih menunggu di hadapan bilik OT, masih lagi berdebar. Suami dalam perjalanan pulang. Ibu, ayah dan Lina menemaniku.

Operation berjalan lancar dan Adam kembali ke wad. Selepas beberapa hari, dia discharge dan kembalilah kami ke rumah.

Kini aku selalu memandang bus stop di depan rumah. Dari tingkap besar bilik tidurku di tingkat atas boleh nampak bus stop dengan jelas. Aku masih ingat perbualan aku dengan pemandu bas tu. Mungkin bukan sebiji-sebiji dialognya, tapi itulah isi perbualan kami.

Banyak persoalan yang melibatkan bus stop dan kawasan rumahku. Walau apa pun penjelasan, aku cukup bersyukur ada yang menolongku di saat genting. Kami sekeluarga masih tinggal di rumah ini. Bila p****g rumput, kami p****g sekali rumput di kawasan bus stop. Bersihkan daun-daun kering di situ, biar kemas. Bunyi bas juga masih kedengaran kadang-kadang. Tapi sejak kejadian malam itu, kami sekeluarga tak pernah nampak mana-mana bas yang lalu di situ lagi.

Nota:
– Maaf ya pengunaan bahasa tak betul. Tapi bila dah biasa kami sekeluarga rujuk tempat tersebut sebagai ‘bus stop’, agak kekok jika ditulis ‘perhentian bas’.
– kawasan rumahku terpaksa dirahsiakan kerana aku dan keluarga tidak mahu ‘privacy’ kami diganggu dan kawasan kami dijadikan tumpuan orang-orang yang mempunyai niat tak baik.
– Sudah terlebih banyak pembangunan di sini, kawasan hutan diterokai. Jadi biarlah kawasan rumah kami dan bus stop itu jadi tempat yang selamat dan tenang untuk semua.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Hope

12 thoughts on “Bus Stop”

  1. Best. Pemandu bas tu pun ikhlas membantu dan sis pun ikhlas tinggal kat situ takde rasa ragu2. Yakin dengan Allah. Kalau ada susulan lagi sambung ye sis. Terima kasih

    Reply
  2. bila dh masuk dalam bas, maksudnya dh nampak laa bas lalu jalan mana semua kan? habistu mcm mana pula bas buat u-turn? ke bas lalu je jalan m**i tu?

    Reply
  3. Penulis berjiran dgn bunian ni yg baik ni. Bunian pun ada jenis yg ada pengangkutan.. Ada pasar.. Ada masjid.. Mmg berani penulis duduk kawasan terpencil jauh dari jiran manusia mcm tu.. Kalau saya.. Huu.. Mmg x sanggup.. Sebab saya jenis mudah rasa ada makhluk lain walau x nmpk.. Bus stop ni tentu utk kegunaan bunian tersebut yg dkt dgn pasar mrk..

    Reply
  4. cerita macam ni la yang aku suka baca. Tak seram tapi ada unsur misteri. Kebanyakan cerita kalo part yang nampak-nampak lembaga tu macam kartun pun ada.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.