Cerita seram di Pejabat

Salam sejahtera para pembaca sekalian, nama saya Linno. Ini adalah kali kedua saya menulis
cerita seram di Fiksyen Shasha, memandangkan sekarang saya sedang kuarantin, jadi saya
ada masa terluang untuk menulis. Untuk makluman pembaca, saya bertugas sebagai
Penolong Pegawai Penyiasat (AIO – Assistant Investigation Officer) di Selatan Tanah Air. Kisah
yang saya nak ceritakan ini adalah kejadian yang berlaku sepanjang saya bertugas sebagai AIO
di satu Balai di satu Daerah di Negeri belah Selatan Tanah Air (Daerah dan nama Balai biarlah
menjadi rahsia).

Kisah seram ini berlaku pada saya sekitar tahun 2015, pada masa itu saya sedang bertugas 24
jam berseorangan di pejabat (pada masa ini pejabat saya di pejabat Detektif di Aras 1),
selepas saya mengambil keterangan pengadu dan membuka kertas siasatan (IP). Semasa
saya tengah buat IP dalam jam lebih kurang 3.00 pagi, saya telah nampak kelibat satu
perempuan (bangsa tidak pasti) berjalan limpas di hadapan pejabat saya menuju ke
hujung pejabat (pada masa itu saya tidak tutup pintu pejabat saya). Saya pun
keluar untuk melihat, namun apabila saya keluar dari pejabat saya, saya dapati
perempuan tersebut tiada di situ, saya berasa hairan sedangkan di koridor tersebut
adalah dinding dan tiada pintu untuk keluar. Saya abaikan perkara tersebut dan beranggapan
salah tengok dan saya masuk semula ke pejabat saya untuk sambung buat kerja saya.

Selepas siap buat kerja, dalam jam 5 pagi, saya balik ke Kuarters. Kuarters saya tinggal berada
di belakang IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah), jadi saya hanya berjalan kaki sahaja untuk
balik, namun untuk balik ke kuarters, saya perlu lalu pintu pagar rumah sampah (tempat
buang sampah), dan pada masa itu, saya ternampak satu lembaga hitam, besar dan tinggi
berdiri di tepi pagar rumah sampah tersebut, saya tiada pilihan, saya terpaksa lalu jalan
tersebut untuk balik ke rumah, kalau saya ikut pintu depan, saya perlu pusing satu pusingan
dan ia sangat jauh, jadi saya ambil keputusan untuk lalu sahaja di tepi lembaga tersebut,
sambil mulut berkomat-kamit membaca segala doa. Selepas saya limpas lembaga dan rumah
sampah tersebut, saya berasa lega kerana tiada apa-apa kejadian yang tidak diingini berlaku.

Semasa saya sampai di bawah Kuarters, pada masa itu saya belum tekan butang lift dan saya
nampak lift bergerak turun dari tingkat atas ke aras G. Jadi saya tunggu sahaja lift itu bergerak
turun dan pada masa yang sama saya juga berasa lega kerana beranggapan ada penghuni
yang turun. Namun apabila lift tersebut berbunyi “Ting” dan pintu lift terbuka, saya dapati
tiada orang di dalam lift tersebut. Saya berdiri diam-diam di depan pintu lift tersebut sehingga
pintu lift tersebut tutup. Saya tunggu dalam 5 minit di depan lift tersebut baru saya tekan
butang lift untuk naik ke rumah saya.

Ini adalah kejadian pertama yang di alami oleh saya dan sehingga kini kejadian tersebut masih
segar dalam ingatan saya. Selepas beberapa bulan, saya berpindah ke pejabat di Aras 2 kerana terdapat kekosongan pejabat kerana terdapat AIO berpindah dan saya telah isi kekosongan pejabat AIO tersebut. Semasa di pejabat di Aras 2, banyak gangguan yang telah di alami oleh
saya dan rakan-rakan sekerja saya. Pada mulanya gangguan hanya bunyi-bunyi biasa sahaja
dan kami abaikan sahaja.

Kemudian pada tahun 2017, semasa saya berada di pejabat pada waktu malam, saya selalu
dengar bunyi pintu pejabat di bahagian depan dibuka, kemudian saya dengar bunyi seperti orang berjalan dalam keadaan seret kaki, saya tunggu kalau orang itu limpas depan pejabat
saya, memandangkan pintu pejabat saya tidak ditutup, namun lama saya menunggu tiada yang limpas, tapi bunyi berjalan itu masih berkedengaran. Saya pun keluar dari pejabat saya
untuk tengok, apabila saya di luar pejabat saya, saya dapati tiada sesiapa pun di situ,
saya ke hadapan pejabat dan dapati tiada orang, saya keluar ke koridor pejabat dan saya
juga dapati tiada sesiapa di situ. Saya balik semula ke pejabat saya untuk sambung buat kerja
saya. Ganguan berkenaan bunyi seseorang berjalan seret kaki tersebut telah lama berlaku,
cuma sebelum ini kejadian tersebut tidak sekerap ini, sehingga kini gangguan tersebut masih
ada, saya hanya mampu berdoa supaya benda itu jangan munculkan diri sahaja. Saya sering
bercakap dengan benda itu yang bahawa saya hanya tumpang disini sahaja untuk bekerja
mencari rezeki, saya buat kerja saya dan kamu buat kerja kamu, saya tiada ganggu kamu,
kamu pun jangan ganggu saya.

Bukan itu sahaja gangguan yang di alami, kadang-kadang masa malam di pejabat kedengaran
bunyi mesin fotostat di hadapan pejabat berbunyi sendiri seperti ada orang tengah
menggunakannya, sedangkan pada masa itu tiada orang yang menggunakan mesin fotostat
tersebut. Bila ke hadapan pejabat untuk tengok dan dapati tiada orang, maka kami akan
cabut plug mesin fotostat tersebut supaya ia tidak berbunyi lagi.

Kadang-kadang nampak kelibat perempuan rambut panjang, berkain putih, namun muka
tidak nampak, dan hanya nampak bahagian belakang perempuan tersebut sahaha limpas di
hadapan pejabat, apabila banyak kali alami benda yang sama dan saya yakin yang limpas itu adalah bukan manusia, saya pun abaikan sahaja dan terus cepat-cepat menyiapkan reten
harian bertugas dan balik rumah.

Yang ini kejadian yang di alami oleh rakan sekerja saya, kejadian berlaku pada akhir tahun
2020, pada masa itu dalam jam lebih kurang 10 lebih malam, Puan Lara dan Tuan Fung berada di pejabat sedang berbual dan ketawa, secara tiba-tiba mereka dengar bunyi suara ketawa mengilai Puan Nikki. Puan Lara dan Tuan Fung pun keluar daripada pejabat untuk melihat dan
dapati pejabat Puan Nikki gelap, tanda tiada orang. Puan Lara dan Tuan Fung telah bertanya
kepada Sjn JD samada dia ada dengar suara Puan Nikki ketawa dan mengilai, Sjn JD
menyatakan dia tiada dengar bunyi ketawa tersebut dan Sjn JD juga beritahu yang Puan Nikki telah balik tadi dalam jam 8 lebih malam.

Kejadian pada awal Bulan Januari Tahun 2021, semasa Puan Lara bertugas 24 jam di pejabat dan pada masa kejadian lebih kurang jam 1 pagi, Puan Para menyatakan yang terdapat bunyi
di atas siling pejabat seperti dipukul-pukul oleh sesuatu secara berterusan dan lama juga
kejadian tersebut, kemudian baru senyap. Selepas itu, Tuan Fung telah keluar dari pejabat dan mahu pulang, Puan Lara telah meminta Tuan Fung untuk teman sekejap sebab reten bertugas harian ada sedikit lagi mahu siap. Puan Lara telah ceritakan bunyi siling dipukul kepada Tuan Fung dan Tuan Fung menyatakan tiada dengar bunyi tersebut.
Selepas siap buat reten tersebut, Puan Lara dan Tuan Fung pun masing-masing
balik ke Kuarters.

Antara gangguan lain yang di alami adalah seperti berikut: 1) Kadang-kadang di bahagian
depan pejabat kami, di sofa ruang menunggu bunyi seperti orang bercakap-cakap, suara
kedengaran seperti ada orang ramai sedang bercakap, namun apabila ke hadapan untuk
tengok dapati tiada orang, 2) Bunyi di dalam pejabat IO atau AIO, pada masa itu IO atau AIO
tersebut tiada di pejabat, tetapi di dalam pejabat berbunyi seperti ada orang, bunyi macam-
macam, 3) Nampak bayang orang limpas di tingkap pejabat, tapi apabila pergi tengok dapati
tiada orang, 4) Semasa tidur di pejabat kena tindih oleh sesuatu, baca ayat-ayat berkomat-
kamit lama juga la baru benda itu lepaskan, benda apa tidak tahu sebab tidak nampak, 5)
Apabila kami tahu di pejabat kami ada sesuatu, saya ada beritahu Puan Lara cadangkan mahu
pagarkan pejabat dengan renjisan air yassin, namun apabila saya keluar dari pejabat Puan
Lara dan balik ke pejabat saya, saya telah ditolak dari belakang oleh sesuatu yang tidak
dinampak oleh mata kasar, nasib baik tidak jatuh tersungkur sebab saya sempat berpaut pada
kerusi.

Sehingga kini kami masih di ganggu oleh benda tersebut. Apa yang kami boleh buat adalah
hanya berdoa sahaja.

Okaylah, saya kongsi kisah seram di pejabat saya sehingga di sini sahaja. Saya minta maaf
sekiranya cerita saya ini kurang menarik atau seram dan ayat saya mungkin agak terabur. Di
sini, saya nak ucapkan terima kasih kepada pihak FS yang sudi siarkan cerita
saya dan tidak lupa juga kepada pembaca yang sudi baca cerita saya. Terima kasih semua.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Linno

2 thoughts on “Cerita seram di Pejabat”

  1. Ayat bkn berterabur tapi lebih kpd susunan ayat dlm teks pengaduan org awam di balai polis. Saya pula bekerja di hospital..tp amat bernasib baik sbb adanya entiti yg rajin mengejutkan ( secara ketukan di pintu secara perlahan dan sayup2 bunyinya ) jika saya terlelap semasa sdg bekerja…selalunya pd pukul 2.30 pagi ke atas.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.