Assalamualaikum geng, dah lama tak menulis di Fiksyen Shasha. Hampir bertahun jugak lamanya. Jadi, ini ada true story yang aku nak kongsikan dengan korang. Cuma, nama nama yang ada dalam cerita ini terpaksa aku ubah.
Aku dan isteri tinggal di sebuah rumah flat di dalam daerah negeri Selangor. Kami berpindah ke rumah ini setelah berkahwin. Rumah ini adalah hadiah perkahwinan kami dari bapa mertuaku.
Rumah kami mempunyai dua bilik bersais besar dan satu bilik kecil. Satu daripada bilik besar merupakan bilik kami dan satu lagi adalah bilik untuk tetamu. Manakala bilik yang kecil aku jadikan sebagai perpustakaan mini.
Suatu malam kami bercadang untuk tidur di bilik tetamu. Bilik itu menghadap ke ruang tamu dan pintunya sentiasa terbuka. Setelah menutup semua lampu, kami berdua masuk ke bilik itu. Aku membiarkan lampu bilik itu terbuka kerana sememangnya aku tidak gemar tidur dalam suasana yang gelap.
Malam itu sebelum tidur, isteri aku bertanya tentang kisah kisah menakutkan yang pernah aku alami. Pada mulanya aku hairan kenapa dia meminta aku bercerita kisah yang dia sendiri tidak suka. Aku pun bercerita padanya kisah yang yang dialami aku sendiri mengenai makhluk bunian yang ingin bersahabat dengan adik sepupuku, Raikal.
* * * * *
Raikal berumur 5 tahun ketika itu, dan rumahnya terletak bersebelajan sahaja dengan rumahku di kampung. Di sana kebanyakannya merupakan saudara mara kerana menurut cakap cakap orang lama, datuk moyangku yang membuka kampung itu.
Seperti kebanyakan anak kecil yang membesar di kampung, petang itu Raikal bersama rakan rakannya mandi di sungai. Sungai itu berada di hujung lorong kampung.
Mereka leka bermain sehingga waktu senja. Apabila kedengaran azan maghrib berkumandang, mereka kelam kabut naik ke tebing dan bergegas untuk balik ke rumah dengan cepat. Terbayang wajah ayah dan ibu masing masing sedang menanti mereka pulang, dengan rotan ditangan.
Setelah melihat rakan rakannya berlari naik ke tebing, Raikal pun mengikuti mereka. Ketika dia mahu mengejar mereka, dia terdengar satu suara.
“Raikal, tunggulah aku!”
Langkah Raikal terhenti, dia tertanya tanya siapa lagi rakan yang dibelakangnya kerana seingatnya, yang terakhir keluar dari sungai adalah dirinya.
Raikal memandang kebelakang, alangkah terkejut dirinya apabila melihat kepala yang menyerupai wajahnya. Hanya kepala tanpa badan, terawang awang sambil tersenyum kepadanya.
“Janganlah tinggalkan aku!” rayu kepala itu lagi.
Raikal yang ketakutan berlari pergi meninggalkan kawasan sungai dan kepala yang menyerupai wajahnya itu. Ketika dia berlari kerumahnya itulah kami berselisih.
Aku yang ketika itu baru pulang dari kerja menegurnya.
“Adik, laju laju ni nak pergi mana?”
Dia terus berlari laju tanpa mempedulikan aku, biasanya kalau kami bertemu di mana mana, dia akan menegur aku terlebih dahulu. Aku kehairanan dan menceritakan kepada Abah dan Mama tentang kelakuannya.
“Nak cepat lah tu, takut ibu dia marah.” kata Mama.
Malam itu setelah selesai makan, kami sekeluarga menonton tv di ruang tamu. Aku keluar sebentar ke halaman luar untuk merokok. Dari jauh aku melihat kelibat seseorang berjalan menuju ke rumahku, apabila diamati orang itu adalah bapa saudaraku Pak Tam, bapa Raikal.
Pak Tam beritahu yang Raikal disampuk jembalang dan dia telahpun memanggil Ustaz Lah untuk merawat Raikal. Dia meminta Mama untuk menemani isterinya, Mak Tam. Mendengar cerita dari PakTam, kami sekeluarga terus bersiap ke rumahnya.
Sampai sahaja di rumah Pak Tam, aku melihat Raikal sedang berbaring memeluk tubuh diruang tamu. Badannya menggigil seperti kesejukan. Menurut Pak Tam, mereka telah membawanya ke klinik namun doktor menasihati supaya Raikal dibawa berubat secara tradisional setelah bacaan laporan kesihatan di klinik menunjukkan suhu badan Raikal normal.
Ustaz Lah tiba dan terus meminta semua yang ada membacakan Surah An Nas dan Ayat Kursi berulang kali. Dia merapati Raikal yang masih lagi menggigil. Tangan kanannya mengusap kepala Haikal sambil membacakan Surah Al Fatihah dengan kuat.
Aku lihat reaksi Raikal berubah, dia terus duduk bersimpuh menghadap Ustaz Lah. Dia memandang tajam kepada kami semua dengan senyuman yang menyeramkan. Ustaz Lah memberikan isyarat supaya kami meneruskan bacaan kami, dan dia terus bertanya kepada Raikal.
“Siapa anak ini dan dari mana asal anak?”
“Aku kuntum, dari kampung bunian seberang sungai di hujung kampung.” jawab Raikal, namun suaranya seperti suara perempuan. Lenggok gaya tubuhnya digerakkan menyerupai gaya perempuan.
“Kenapa kamu ganggu anak ini?” tanya Ustaz Lah lagi.
“Aku nak berkawan dengan dia, semenjak dia lahir aku sudah menyukainya.”
Mak Tam yang dari tadi cuma memerhatikan proses rawatan itu tiba tiba bersuara dengan kuat.
“Tak boleh…dunia kamu dengan dunia kami lain!”
Wajah Raikal yang sedang dirasuki bunian itu membuat reaksi seperti merajuk dengan jawapan Mak Tam dan mula menangis teresak esak.
“Ibu dia sudah tak izinkan, pulanglah ke tempat asal kamu. Jangan ganggu anak ini lagi.” kata Ustaz Lah, kemudian meneruskan bacaan Ayat Kursi.
Kepala Raikal mengangguk perlahan, menandakan makhluk bunian itu bersetuju untuk meninggalkan tubuhnya. Selesai bacaan Ayat Kursi oleh Ustaz Lah, tubuh Raikal pun rebah namun sempat aku dan Abah menyambutnya.
Selesai sudah Ustaz Lah merawat Raikal malam itu. Dia kemudiannya membuat air tawar untuk diberi minum kepada Raikal bagi memulihkan semangatnya.
Kata Ustaz Lah, Raikal mungkin terkejut dengan apa yang dia nampak manakala makhluk bunian itu juga telah lama memerhatikan Raikal.
“Kalau berkawan sahaja mungkin tak jadi masalah, kalau masuk ke alam dia…”
“Kalau masuk ke alam dia?” tanyaku kerana Ustaz Lah tidak menghabiskan ayatnya. Aku menjadi seronok dan ingin tahu lebih lagi tentang orang bunian.
“Susah nak balik semula ke alam kita ini.” jawab Ustaz Lah memandangku.
Sedang kami bersembang mengenai kampung bunian, Abah buat pertama kali menceritakan pada kami yang sewaktu kecil, Abah pernah terlihat kelibat seorang pemuda yang berjalan di kawasan hutan membukit seberang sungai di hujung kampung itu.
Dari berjalan, pemuda itu mula merangkak lalu tubuhnya berubah menjadi seekor harimau belang. Harimau itu terus menghilang dalam kawasan hutan itu. Namun selepas kejadian itu, Abah tidak lagi bertemu dengan pemuda itu.
Aku terfikir, adakah pemuda yang Abah nampak sewaktu kecil itu juga orang bunian dari kampung yang sama?
Aku tidak pulang kerumah pada malam itu, kerana menemani Raikal tidur di ruang tamu rumahnya. Walaupun datuknya juga tidur sekali di ruang itu, aku tetap sukar untuk melelapkan mata. Takut juga, mana tahu si kuntum tu datang semula.
* * * * *
“Jadi alam bunian itu wujud?” tanya isteriku setelah aku selesai bercerita tentang Raikal.
“Mungkin wujud, mungkin juga tidak. Tapi kalau tanya pada orang yang pernah mengalami pengalaman yang sama, mereka akan menjawab alam bunian itu wujud.”
Aku mengingatkannya tentang peristiwa semasa kami meronda bersama rakan rakan dengan menunggang motorsikal ke Hentian Rehat Janda Baik melalui jalan lama.
Malam itu aku membonceng sahaja, kerana isteriku lebih cekap menunggang motorsikal disebabkan aku ini rabun dan silau pada lampu kenderaan lain, lebih lebih lagi bila waktu malam.
Semasa dalam perjalanan aku cukup yakin yang kami semua telah melalui jambatan yang dihadapannya sebuah kuil kecil sebanyak dua kali. Aku fikirkan hanya aku seorang yang perasan akan perkara itu, rupa rupanya apabila sudah sampai di hentian rehat itu ada beberapa rakan kami turut bercerita perkara yang sama.
“Mungkin benda itu nak menguji kita.” kata seorang rakan, hasilnya kami semua pulang ke Ampang melalui jalan lebuhraya, walaupun perjalanannya lebih jauh.
Isteriku ketawa kecil bila terkenangkan cerita itu. Katanya aku memeluknya dengan kuat semasa dia menunggang dengan laju. Aku juga ketawa dan mengaku bahawa aku ini takut dengan kelajuan.
Tiba tiba isteriku berhenti ketawa, aku lihat matanya seperti terpaku melihat sesuatu di hadapan pintu bilik sebelum dia menekapkan wajahnya ke dadaku. Aku juga mengalihkan pandanganku dari memandang ke arah pintu.
“Kenapa sayang?”
“Sayang nampak ‘benda’ kat ruang tamu.” jawab isteriku perlahan. Aku membacakan beberapa surah pendek yang aku hafal, lalu aku tiupkan ke kepalanya. Aku memberanikan diri untuk keluar ke ruang tamu. Isteriku memeluk aku dari belakang, tidak mahu ditinggalkan.
“Bismillah…” aku melangkah keluar dari bilik, aku bertekad sekiranya muncul apa juga jenis makhluk akan ku bertakbir dengan sekuat hati. Aku melihat disekeliling ruang tamu.
Syukur tiada apa apa yang menjelma, aku membuka semua lampu yang ada pada malam itu. Dan kami membuat keputusan untuk tidur di ruang tamu.
Menurut isteriku, dia ternampak satu sosok seperti nenek yang bongkok berjalan melintasi di ruang tamu dan berhenti memandangnya sebelum menghilang. Aku menelan air liur mendengar apa yang dilihat oleh isteriku.
Isteriku meminta supaya aku memastikan agar dia tidur terlebih dahulu sebelum aku tidur. Belum pernah lagi aku melihat isteriku takut seperti malam itu. Aku membaca surah An-Nas berulang kali sehingga dia tertidur.
Selepas malam itu, selama seminggu kami tidur dengan membuka semua lampu yang ada. Isteriku takut untuk tinggal seorang di rumah, dia akan menunggu aku di tempat kerjanya sehinggalah aku menjemputnya untuk pulang bersama. Begitu juga kalau hari cuti, isteriku akan meminta agar hari cutinya sama dengan hari cuti aku.
Aku pernah meminta kepada rakanku yang mempunyai kelebihan untuk mengesan kehadiran makhluk ghaib supaya memeriksa keadaan rumah kami. Kata rakanku, rumah kami selamat dan tiada makhlus ghaib yang menumpang.
“Mungkin perasaan takut dia terbawa bawa selepas kau bercerita seram pada dia malam itu.”
“Atau mungkin masa dia lalu tu dia nak tunjukkan rupa dia pada isteri kau.”
Selepas dari kejadian itu juga, isteriku akan mengelak daripada mendengar atau membaca tentang cerita seram. Tiada lagi filem seram yang kami tonton bersama dan aku juga tidak lagi bercerita tentang perkara yang menyeramkan kepadanya.
*****
Ketika aku mengarang kisah ini, isteriku telahpun lupa akan peristiwa yang berlaku pada malam itu. Dia tidak ingat langsung, dan aku pun tidak mahu dia mengingatinya. Jikalau dia teringat, aku pasti isteriku itu akan dihantui ketakutan yang amat sangat.
Dan sudah pasti, suasana seram kembali menyelubungi rumah ini.
nota tepi : Raikal pun dah besar dah, habis sekolah dah. Entah entah nanti dah nak kahwin. Cepat benar masa berlalu…
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
Follow Whatsapp FS KLIK SINI