Chalet Pantai Cenang

Assalamualaikum admin. Terima kasih sudi tayangkan kisah aku yang berjela-jela ni. Ni ada satu lagi kisah peram. Tulis lama dah baru teringat nak share. Terima kasih juga kepada semua pembaca dan followers yang menyokong perjuangan aku selama Ini. Boleh follow page aku- EDI ARJUNA.

Langkawi, Desember 1994.

1st time ni bhaaaaiii….1st time. Dia punya perak buih tu tak boleh nak habaq tatkala pertama kali menjejakkan kaki ke tanah Pulau Langkawi. Tu pun, tara nak sampai sini punya la jenuh. Macam-macam cabaran. Tersilap bas, tertinggal bas, kena berdiri dalam bas dari Butterworth ke Kuala Perlis. 3 jam mabuk jalan. Dah naik feri, mabuk laut pula lagi. Tak larat nak muntah dah. Tapi kami enjoy. Sebab ini trip bujang pertama kami setelah dinobatkan sebagai hero remaja kat kampung kami. Maklumlah baru habis SPM.

Sapa tak kenai kami kat kampung tu? Tok imam, tok siak, tok penghulu, nenek kebayan, marka kampung lagilah…semua kenai kami berlima. Dah la hensem-hensem belaka, pandai hormat orang tua pula tu. Takat jemuan sikit-sikit pi mandi dalam kolah masjid apalah sangat kan?

Jam 1 petang kami dah terpacak di Jeti Kuah, Langkawi. Terduduk sebenarnya. Lembik lutut lepas mabuk laut. Kena pula musim tu musim beralun. Duduk dalam feri berasa macam duduk dalam mesin basuh. Setelah menenangkan diri, kami bergerak mencari kereta sewa. Tak susah pun. Tuan kereta sewa yang mai cari kami. Dia tawarkan sebuah Proton Saga berwarna perak, tayar standard semua standard. Harganya RM60 untuk sehari. Boleh la kan.

Dah dapat kereta sewa apa lagi….yak yak yeaaayy yak yak yeaaaayy. Bermulalah bachelor party kami di Langkawi selama 3 hari 2 malam. Ya Allaahhh syiookkknyaaaa. Terasa bebas seperti itik terlepas kandang.

Hala tuju kami yang pertama ialah….taktau. Kami taktau nak pi mana pasai semua pertama kali mendarat ke pulau ini. Semua bingai main redah ikut dan ja. Dulu-dulu mana ada Agoda bagai. Nak booking pun taktau nak cari celah mana. Jadi, kami singgah makan dulu kat Pekan Kuah dan bertanya pada masyarakat yang ada di situ.

Setelah mendapatkan maklumat dan peta pulau, kami berangkat menuju ke Pantai Cenang. Tak payah cerita la Pantai Cenang tu dok belah Barat Daya ka Timur laut ka, semua orang tau. Langkawi bukan besaq mana pun.
Dalam usaha mencari tempat penginapan tu, kami jumpa satu perusahaan chalet yang duduknya agak ke dalam kampung, tapi masih di tepi laut. Aku dan Cek turun menuju ke kaunter pertanyaan. Kaunter tu bukan macam kaunter di hotel-hotel, lebih kepada meja tauke kedai kopi kat kampung kami ja.

“Assalamualaikum kak. Sini ada bilik kosong?” Aku bertanya pada kakak kaunter yang sedang khusyuk menyelak helaian surat khabar. Dia pandang kami. Muka tak manis langsung. Jawab salam pun tak.

“Berapa orang?”

“Lima kak.”

“Lima tadak. Kalau ampa sanggup duduk bilik tiga orang ada la. Extra charge lagi dua puluh satu kepala.”

“Ooo…harga berapa?”

“Berapa malam nak dok?” Terus dia menutup surat khabar dan keluarkan kalkulator.

“Tiga hari dua malam kak.”

“Campoq extra charge semua sekali dua ratuih lima puluh. Deposit lima puluh. Kalau ada barang rosak, kain tola hilang deposit burn.” Jawabnya lagi. Cengey kemain haih. Baru sudah makan tebuan ka apa?

Aku memang tak boleh dengan orang sombong berangin tak tentu pasai ni. Namun disebabkan hari dah lewat petang dan kami pun tak larat dah nak memusing cari tempat lain, maka kami bersetuju untuk menginap di situ.

Setelah membayar duit penginapan, kakak tu menyerahkan kunci chalet bernombor 105.

“Bilik ampa kat hujuuuuuuuuuunnnggg sekali, tepi bukit kecik. Betoi-betoi tepi laut. Kona kanan jalan terus ja sampai hujung.” Katanya lagi.

Kami berpatah balik mendapatkan kawan kami lagi 3 orang yang sedang menunggu di kereta.

“Ada ka?” Tanya Kaka.

“Ada. Hujuuuuuuuuuuuuuuuuunnnggg sekali.” Jawab Cek beria-ria sebab seronok sangat nak berjimba tepi laut. Kami semua tengok muka dia serentak.

“Awat?” Tanya Cek kembali.

“Tak payah la panjang-panjang. Hujung sudah la. Pasaipa nak kena hujuuuuuuuunngg macam tu?!” Balas Jan.

“Laaa. Salah ka? Betoi la hujung.” Jawab Cek. Hahahah.

Cek ni memang perangainya kalut sikit. Tapi berkira dia ni. Kalau duduk makan dengan dia, masa bayar tu 5 det pun dia tuntut balik. Kalau ada belen sekupang untuk kami pun dia akan bagi balik. Tapi kalau dia kata nak belanja, memang dia belanja sungguh sampai termonyeh-monyeh nak telan. Sebab tu dia yang paling kaya antara kami.

Jan pula jenis kepala angin. Benda kecik boleh jadi besaq. Kaka, jenis mulut jelabaih. Main cakap ja apa yang dia nak cakap. Apek pula, dia yang paling tenang dan rasional. Aku, disebabkan aku ni anak kepada tok guru depa masa belajar mengaji dulu, depa kena dengaq cakap aku la. Persahabatan kami dah mencecah belasan tahun. Dari zaman pakai lampin hingga sekarang. Kemana-mana pun kami berlima. Jadi, tak timbul soal terasa hati atau sentap bagai. Masing-masing dah kenal hati budi.

Setelah dipastikan kereta selamat dikunci, kami bergerak menuju ke bilik. Seperti yang Kakak Tebuan tu kata, bilik kami di hujung sekali bersebelahan sebuah bukit kecil. Bukit tu pun serupa busut ja, tinggi sikit dari bumbung chalet.

Dah sampai, aku buka pintu bilik. Naaaahh….!!!

Bilik dia dah serupa stor rumah pak menakan aku. Boleh muat 3 orang tapi kami sumbat 5 orang. Nanti nak tidoq pandai-pandai la adjust. Dindingnya pula dari papan berbentuk tirus ke atas seperti bumbung rumah minang. Toilet dia, masa aku buka pintu ada tiga empat ekor lipas tengah berbincang sapa nak berak dulu. Sempit pula tu. Aku test duduk mencangkung, berlaga lutut dengan dinding. Sah-sah krem kaki masa nak berak. Toilet tu terpisah dengan bilik mandi di sebelah yang juga sempit dan berbau hanyaq (hanyir). Namun, kami terima seadanya sebab kami pun mai terkejut tergempaq.

Keadaan di situ agak sunyi macam tak ramai orang. Kawasannya pula macam tak terjaga. Rumput panjang-panjang dan siap ada tempat pembakaran sampah lagi depan chalet kami. Daun-daun kering berselerakan atas beranda chalet. Sempat juga aku berletiaq. Ni apa punya pemalaih ni? Kami ni tetamu dari jauh tau. Walaupun bukan menteri tapi kami bayaq tau.

Jam 5 petang selepas solat jama’ takhir, kami masih belum ada hala tujuan. Taktau nak tala ke mana. Tapi kami dah berpakat, keluar round island dulu kemudian cari tempat makan. Kami tinggalkan bilik, hidupkan enjin kereta dan mulakan pengembaraan kami menjelajah pulau legenda Mahsuri itu.

Sepanjang trip ini, Cek bertindak sebagai driver dan aku Co-Pilot. Kerja aku tengok peta. Kalau silap, depa maki aku beramai-ramai. Masa dok belek peta tu aku nampak satu nama tempat yang macam best…TELUK DATAI. Melihat kepada kedudukannya yang kena naik bukit dan di kelilingi hutan tropika, hati ni berasa tertarik pula. Aku kan suka hutan? Suka tempat yang sunyi.

“Ni…Teluk Datai. Ampa mau kita pi tempat ni?” Tanya aku kepada jemuan yang lain.

“Ada apa situ?” Soal Jan di belakang.

“Ada beach club. Jom la pi tengok.” Jawab aku penuh konfiden. Masa tu bodo lagi. Mana tau club tu tempat orang kaya-kaya. Bukan macam kelab judi kat kampung aku.
Semua bersetuju dengan cadangan aku. Kami pun menyelusuri jalan Pantai Cenang, menghala ke Pantai Kok dan seterusnya mendaki bukit ke Pantai Pasir Tengkorak. Orang utara sebut Passsiaq Tengkorak. Kat situ kami berhenti sat, tangkap gambaq sekeping dua habuan nak tunjuk kat marka. Dari Pasir Tengkorak kami maju lagi ke depan menuju ke Air Terjun Temurun. Berhenti lagi, tangkap gambaq lagi guna kamera filem gulung. Ralit punya ralit, dekat jam 7petang baru kami tiba di Teluk Datai.

Dah sampai situ, memang dah nak gelap la. Dok pula tengah-tengah hutan. Sampai satu simpang, aku nampak ada satu signboard bertulis THE DATAI. Signboard tu pun dah nampak mewah.

“Kona kanan Cek. Kita masuk dalam.” Kata aku.

“Kita boleh masuk ka?”

“Kalau tak boleh masuk kita keluaq balik la.”

Tanpa banyak soal, dia pun kona kanan dan menuruni satu jalan sempit yang kiri kanannya ada tebing bukit yang tinggi. Di sebelah kiri jalan tu ada satu tokong cina kecil yang di lantainya ada beberapa jenis buah-buahan yang masih fresh. Mungkin baru diletak ja kat situ. Aku tak peduli sangat pun. Kamu dengan agama kamu, aku dengan agama aku.

Kami terus masuk ke dalam hingga hingga tiba di depan sebuah resort yang cantik lagi mewah. Kereta yang parking kat situ semua bangsa Mercedes, Volvo, Porsche, Ferrari. Kereta kami bangsa Proton Saga 4 pintu tayar standard clutch pendek. Angkat lebih, sikit enjin m**i.

Tak boleh jadi, bukan level-level kami nak bercanda di situ. Kena patah balik. Cek terus buat satu pusingan dan kembali mendaki bukit untuk keluar dari kawasan tu. Masa nak gerak keluar tu sekali lagi kami melintas tokong cina di tepi jalan. Cek memandu perlahan sebab jalan tu agak mencanak dan sempit.

Dalam kesamaran senja tu, dari jauh aku nampak satu kelibat tubuh manusia memakai baju warna putih sedang duduk melutut di depan tokong. Cara dia tu nampak macam tengah menyembah tokong tu la, siap ada batang gaharu di tangan. Baju dia jenis gown yang putih bersih. Dari bawah gown tu aku nampak kaki dia terjuntai ke belakang….punya putih melepak gebu macam kuih talam. Muka dia aku tak nampak sebab tertutup dengan rambut yang panjang hingga ke dada.

Dah menjadi kebiasaan aku, kalau nampak benda yang tiada keperluan untuk aku tegur, aku takkan tegur. Cek dan yang lain-lain pun macam tu. Tapi….Kaka ni yang lain sikit. Mulut puaka Chandramuki dia tu tak dapat ditahan-tahan. Tambah lagi kalau nampak amoi putih melepak macam tu.

“Hoiiihh…..amoi tu semayang apa time macam ni? Maghrib tak masuk lagi.”

Aku dah macam….eeiiiiii. Dia ni laaaa. Belum sempat aku tahan dia dari terus berkata benda yang bukan-bukan, terus dia buka tingkap. Lahannnatt betoi…

“Ammmmoi….sudah mau gelap ni moi. Takmau balik ka?” Katanya tersengih-sengih dengan kepala dihulurkan keluar kot tingkap belakang.

Cepat-cepat Apek tarik kepala dia masuk dan bubuh sebiji starlite tang dahi.

“Kepala hotak hang pi tegoq macam tu. Gatai merela ngat aiihhh?” Kata Apek.

“Laaa. Aku tanya ja pun, bila nak balik?”

“Tak payah la tanya. Biaq pi la kat dia. Hang ni semua benda nak tanya. Jumpa lembu kambing bewak semua nak tanya, nak tegoq. Dok diam-diam boleh tak?” Sambung Jan pula.
Masing-masing dah hangin dengan kelaku Kaka. Tapi tu lah….marah macam mana pun nanti dia buat lagi.

“Ha lah haa laaaahhh. Tapi dia buat apa semayang time ni?”

“Allahurabbiii. Biaq pi la dia nak semayang time bila pun. Tu agama dia. Awat mangkaq ubi sangat taktau dia ni? Hang punya semayang tu ikut time tak?” Balas Apek pula.

Kaka terdiam tak kata apa. Dah kena setepek kat dahi, kena beletiaq dua tiga perenggan baru dia dok diam.

Perjalanan kami diteruskan untuk keluar dari situ. Hari kian gelap. Misi seterusnya mencari kedai makan setelah acara petang itu langsung tak membawa faedah. Buat perabih minyak kereta ja. Kami tiba di pekan Kuah sebaik waktu menghampiri Isya’. Sempat singgah masjid dulu sebelum cari kedai makan.

Selesai mengisi perut dengan segala jenis makanan laut, kami memutuskan untuk balik ke chalet. Badan letih dah ni. Dari pagi tadi dok pi mai pi mai tak sempat nak rehat.

Tapi tobat lahum hang tak boleh tidoq bila duduk sebilik dengan kawan baik. Ada ja benda nak jadi. Lawan tarik kain, main porker, mengutuk Kakak Tebuan, mengumpat marka masing-masing dan macam-macam lagi la. Sekali tengok jam dah pukul 1 pagi. Mata ni tak larat angkat dah, tapi sengaja ditahan sebab nak happy dengan kawan-kawan. Cek ajak lepak luar bilik. Nak hisap rokok sambil hirup angin laut katanya. Aku dan Apek ikut keluar, tinggal Kaka dengan Jan kat dalam tengah ready nak tidur.

Lama juga kami lepak luar bilik, masing-masing bersidai atas tembok chalet. Entah berapa batang rokok yang kami pump taktaulah. Lepas sebatang cucuh sebatang lagi. Angin pun sepoi-sepoi ja malam tu, asap rokok berkelun kat beranda chalet. Ni kalau ada yang bukan perokok duduk situ confirm masuk ICU.

Tengah rancak bersembang, Cek bersuara macam ni…

“Awat rokok ni bau pelik?”

“Bau apa?” Tanya aku pula.

“Pelik la. Takkan rokok Langkawi bau macam ni?”

Aku mengembang kuncupkan hidung cuba mengesan bau pelik yang datang dari rokok kami tu. Ya. Bau dia lain macam. Nak habaq lagu mana pun taktau.

“Haa laaa. Bau macam gaharu. Wangi semacam.” Kata Apek.

Aku buat tak kisah. Lantak la bau apa pun janji masa hisap tetap rasa rokok.

Tiba-tiba Apek cuit aku. Dia tak bersuara, tapi matanya meminta aku memandang ke satu tempat…di bawah pokok kelapa yang bertentangan dengan bukit kecil bersebelahan chalet kami.

Mulanya aku tak perasan. Bila tenung lama-lama baru aku nampak. Sekujur tubuh berwarna putih sedang duduk melutut kat bawah pokok tu. Di tangannya ada gaharu yang sedang berasap. Asap tu melentok liuk ditiup angin lalu menerjah ke hidung kami. Kepalanya terangguk angguk macam sedang menyembah sesuatu.

“Weh. Tu bukan amoi tadi ka?” Bisik Cek, tangannya secara spontan berpaut ke bahu aku.

Hahh….sudah. Kalau depa dua pun nampak, maksudnya benda wujud secara nyata. Kat sini aku dah tau. Amoi tu ikut kami balik. Semua ni tak lain tak bukan mulut Kaka punya angkara.

Di kala itu, kaki aku dah sedikit goyang. Tangan Cek yang memegang bahu aku turut terasa bergetar. Apek pula, sedut asap rokok terus telan.

“Jom masuk pelan-pelan.” Bisik aku lalu mengangkat kaki secara perlahan. Tolonglah, jangan ada bunyi time ni.

Walaupun berkemungkinan besar amoi tu dah marking kami dari tadi, tapi kami kena buat seolah-olah kami taktau benda. Tak nampak apa pun. Chill….yilleeekk. Padahal jantung macam dah nak pecah. Macam baru sudah sprint 100meter. Heart rate mencanak 170bpm. Laju gila baq hang.

Tak semena-mena….

Kreeekkkkkk……….kreeekkkk. Lantai berbunyi, langkah kami terhenti.

Aku pandang Cek yang badannya tu besar macam tongkang ubi. Aku jegilkan mata memberi isyarat…sekali lagi bunyi aku tendang hang ke tanah.

Namun, semuanya telah terlambat…

Brruummmm gedebum gedebam gedebum gedebambambambam…..

Cek dengan Apek berlari ke pintu. Aku tolak hang, hang tolak aku, aku siku kepala hang, hang pijak kaki aku. Depa berebut pintu yang satu untuk menjadi orang pertama yang masuk dulu. Kerana terlalu panik, depa siap lawan tutup pintu lagi hingga lupa kawan depa yang sorang ni tengah kejung kat luar.

Sekarang ni, tinggal aku sorang kat beranda tu. Bila aku berpaling ke arah pokok kelapa, amoi tu tengah pandang aku. Kalau lawa takpa la jugak. Ni aku nampak mata sepet dia ja. Hidung mulut apa pun tadak. Adoi laaa…!! Nak pengsan dulu ka macam mana ni?

Aku ketuk pintu kuat-kuat…

Bam bam bam…..bam bam bam bam…!!
“Bukak la woooiiii. Kunci aku kat luaq pasaipa? Nakharam betoi la tak guna punya kawan, sembang kencang pumpang pumpang sehidup semati kuboq sebelah sebelah. Pala hotak ampa bukak la pintu woiii….”

Kreeekkk…pintu dibuka. Muka Apek terjengoi dari dalam.

“Laaaa. Hang buat apa tang tu?” Soal dia dengan muka tak bersalah langsung.

Terus aku masuk ke dalam dan tutup pintu dengan laju.
Baammmmmm…!!!

“Ehh. Ingatkan hang masuk dah tadi.” Kata Cek. Dia sedang duduk menyandar di dinding bilik. Muka dia pucat. Dadanya turun naik menongkah nafas.

“Masuk dulu celah mana? Aku dok belakang ampa tadi. Jadah sungguh.”

Kami bertiga terperosok ke penjuru bilik. Muka ni jangan cakap la. Sekoq-sekoq tadak d***h.

“Betoi ka apa yang kita nampak tadi Di?”

“Hang nampak tak?” Tanya aku balik pada Apek.

“Pasai nampak yang aku tunjuk kat hang tu.”

“Allah. Benda apa tu Di? Takkan sampai ke sini dia follow kita? Dia naik teksi ka apa?”

Aku tiada jawapan nak bagi walaupun aku yakin amoi tu tak naik teksi. Kemungkinan dia tumpang kami masa nak balik ke sini tadi atau dia boleh fly ja ikut suka hati dia. Dah nama pun setan.

Waktu ini, Jan terbangun dengan muka taktau apa sebab terdengar kami buat bising.

“Weh. Hingaq la ampa. Bila nak tidoq?”

“Takleh tidoq ni Jan oiii. Semua ni Kaka punya pasai.” Jawab aku.

Aku berpaling ke arah katil Kaka. Dia baik punya lena tanpa sebarang masalah. Nak ja aku sepak turun katil.

Apabila keadaan sedikit tenang, kami memilih untuk tidur ja. Tidur berhimpit himpit. Alhamdulillah lena sampai ke cerah.

HARI KEDUA

Pada fikiran aku, gangguan amoi tu datang setakat malam tu ja. Tapi aku silap.

Siangnya kami sekali lagi pusing-pusing menjelajah pulau lagenda itu. Makam Mahsuri, Telaga Tujuh, Dayang Bunting semua kami pi. Siang itu juga kami ceritakan kepada Jan dan Kaka tentang apa yang berlaku semalam. Teruk Kaka kena berletiaq. Tapi biasa la dia. Masuk angin keluaq asap. Cuma dia agak jaga mulut juga la hari tu.

Malamnya, sekali lagi kami buka meja porker. Kami main jerami. Bukan jerami padi tu. Jerami ni salah satu game dalam permainan kad. Tapi bukanlah berjudi letak duit pun. Main sekadar suka-suka nak hilangkan bosan.

Hingga lewat tengah malam, kami terus siap sedia untuk tidu. Tadak pasai dah nak lepak luar hisap rokok. Semua pakat pump rokok dalam bilik. Berkelun asap sampai ke bumbung. Tunggu bomba tak mai semboq ja lagi.

Dah masing-masing penat, semua pakat lena habis. Antara jam 2 ke 3 pagi aku terbangun sebab nyamuk tengah buat kenduri. Habis miang badan aku kena ketit nyamuk. Kemudian aku ke toilet nak terkencing.

Dah selesai mengosongkan punci kencing, aku balik ke katil nak sambung tidur. Malam tu turn aku dengan Cek pula share katil. Tapi oleh kerana Cek ni dia punya serombong kapal tu tak boleh dibawa bincang, sampai bergegar bumbung chalet dia punya bunyi, aku pilih untuk sambung tidur di bawah, kat sebelah Kaka. Nak share katil dengan Apek pun katil tu single. Kalau aku terajang dia ke bawah boleh la aku tidur sorang. Takkan nak buat macam tu kan?

Aku letak bantal di bawah dan baring sebelah Kaka. Pusing pi pusing mai tak boleh lena la pula. Mata takmau pejam. Dari jam 2 pagi bawa ke 3 pagi dok berguling tak boleh lena. Aku paksa juga untuk pejamkan mata. Esok dah nak balik, nak harung mabuk laut dengan mabuk jalan lagi. Kalau tak cukup tidur malam ni mau aku pitam tengah jalan.

Setelah puas berpusing kiri kanan, akhirnya mata aku layu. Perlahan-lahan aku hanyut dibuai mimpi.

Namun, belum betul-betul nak hanyut, Kaka pula buat hal. Dia menyeringas kiri kanan. Sat sat melentang sat sat meniarap. Aku buka mata sikit nak tengok kot-kot dia bangun nak pi kencing. Masa aku tengok dia tu, muka dia bertentang dengan muka aku. Memang dia lena sungguh.

Aku pun pejamkan mata balik. Tetapi, bunyi nafas dia pula yang hinggap ke telinga aku. Bukan mengeruh, tapi bernafas macam orang penat hup hap hup hap minta nyawa. Mimpi ka apa dia ni?

Aku buka mata kembali dengan niat nak boh penampaq sekali. Namun hasrat tu aku batalkan bila aku terpandang sesuatu di belakang Kaka, betul-betul di bawah katil bersebelahan tempat dia tidur. Ada sebentuk wajah yang muncul di belakang bahu Kaka. Nampak sekerat ja dari rambut hingga separuh muka. Terkelipok kelipok mata aku waktu nampak benda tu. Maklumlah tengah mamai ayam lagi.

Waktu yang aku betul-betul tersedar ialah bila dia hulurkan tangan dan peluk tubuh Kaka dari belakang. Muka dia makin jelas, putih melepak macam baru sapu bedak siam. Mata dia sepet tapi nampak mata hijam ja. Hidung ada tapi tiada lubang. Sebahagian rambut dia dah tutup muka Kaka. Dia pandang aku dengan tajam. Berkocak jantung aku waktu tu. Baru aku sedar….amoi tu dah check in sekali dengan kami. Aku ni walaupun tadi dah kencing terus berasa nak terkencing sekali lagi siap pakej nak tercirit.

Situasi tu berlarutan agak lama. Aku dah tak bergerak dari tadi. Bibir terkumat kamit mengulag membaca kalimah Ayatul Kursi tapi tak ada satu pun yang habis.

“Allahulaa…Allahula….Allahumma…Allah….Allahhh…” Itu ja yang boleh aku lafazkan. Punya menggelabah ni taktau nak habaq.

Dalam masa yang sama, Apek yang tidur di atas katil belakang aku pun turut terjaga. Dia seolah-olah tahu apa yang sedang berlaku. Masalahnya, tangan dia tu merayap mai ke perut aku. Aku tau dia dah takut. Boleh rasa tangan dia sejuk. Terus dia ramas perut aku dan picit sekuat hati dengan harapan aku bangun dan selesaikan masalah ni. Padahal aku memang tak lena dari tadi. Dok control jiwa ja ni takmau bagi natang amoi tu tau yang aku dah perasan kehadiran dia di situ.

Apek ramas dan cubit perut aku dengan kuat. Makin lama makin kuat dan makin kuat. Sakit la bodo. Sabaq la sat aku tengah cari jalan ni. Tapi boleh bercakap dalam hati je la.

Akhirnya oleh kerana tak tahan sangat dah, macam nak tersiat dah perut aku dicubit Apek, aku terpaksa bertindak sebelum perut aku berlubang.

Papppp…..aku tampar tangan Apek dengan kuat.

“Hoiiii……sakit la bodo. Sabaq la sat aku baru nak baca ayat kursi ni. Lupa tau tak? Lupaaaa….!!”

Serentak dengan itu, semua yang ada dalam bilik tu tersedar dari mimpi.

“Adoi hingaq laaaaaa!!. Hang mengigau ka Di?” Bebel Kaka sebaik dia duduk bersila depan aku. Amoi yang dok peluk dia tadi dah hilang.

Apek pula bangun dalam keadaan tercungap-cungap. Berpeluh sama macam aku. Keadaan dalam bilik jadi tidak sesunyi tadi. Semua pakat bangun nak kencing. Aku lihat jam, dah menghampiri jam 4 pagi. Terus aku arahkan semua bangun, ambil wudu’ dan baca Ayatul Kursi berulangkali. Baca sampai tersengguk seengguk punya mengantuk. Depa tanya pasaipa? Aku dan Apek ceritakan dari mula sampai habis. Ternganga depa yang lain, tambah lagi Kaka. Baru dia tau kesan dari mulut puaka Chandramuki dia tu. Tapi itulah, dia tak nampak pun setan tu. Aku, Cek dengan Apek ja yang diganggu. Kenapa? Entahlah. Hingga ke hari ni kami tak dapat jawapan.

HARI KETIGA…..acara berfoya-foya kami selesai setakat hari ini. Setelah dipulangkan balik kunci bilik dan ambil balik duit deposit, kami keluar dari chalet tu dengan perasaan tak puas hati. Pertama, bilik dia tak bersih, lipas dah buat macam rumah depa sendiri. Kedua, jamban sempit, susah nak berak. Ketiga, owner dia suka makan tebuan, tak ramah langsung. Keempat, ada amoi check in sekali. Walaupun yang keempat bukan salah pengusaha chalet tu, tapi aku tetap bagi 1 bintang ja.

Sekian, terima kasih. Ada lagi rentetan dari peristiwa ni sebenarnya, tapi aku malas dah nak tulis. Lenguh jari.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Edi Arjuna

17 thoughts on “Chalet Pantai Cenang”

  1. Aku berdekah dekah part apek kutil perut hang tu weh, sampai skrg takleh berhenti dekah. Kuajaq la buat lawak seram cemni 😂

    Sambung la lagi weh, best story hang! Aku siap imagine tau!

    Reply
  2. kalau baca cerita seram dye mesti tbe2 aku jadik giler.. tawe tkekeh aku sorg2 da macam hapeeee.. aku giler ke dye yg giler..

    Reply
  3. Gelak sorg2 baca ni..aku org sarawak pun dok baca ikut cara hang tulis..Sambung lh cita lagi..elok lh dah fefeeling seram..

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.