#CikEdot – MOYANG 4 : Namaku, Rubiah

MOYANG 4 – AKU, RUBIAH.
Nukilan : Dee Edot (CikEdot)

Kisah 1 – SEGUNI BERAS
======================

Tukkk! Tukkk! Tukkkk!

Tukkkk! Tukkkk! Tukkkkk!

Ketukan kuat di daun pintu mengejutkan aku dari lena.

“Argh, siapa sahaja yang mengetuk pintu seperti mahu roboh!”

Tukk! Tukkk! Tukk!

Ketukan yang entah ke berapa kali. Bingit rasanya. Aku melangkah longlai. Cucuk sanggul aku ambil lalu aku sisipkan di kepala. Aku menuju ke muka pintu.

Selak ditarik. Daun pintu kukuak perlahan. Terjengol 3 wajah di hadapanku. Wajah seorang dari mereka aku kenal. Sekejapan, 2 orang lelaki bermata sepet itu mengacukan sesuatu di pangkal leher. Aku membulat mata.

Wajah mereka aku pandang. Tajam. Bibirku terkumat kamit. Memasakkan mantera.

“Angkat benda sial ini dari leherku. Lekas!”

Arakian, mereka mengikut kata. Tiada bantahan.

“Rubiah. Wa mahu minta tolong. Ikut Wa sekarang.”

Lelaki bermata sepet yang aku kenal itu membuka bicara.

“Mahu kemana sahaja hendak kau bawa aku tengah-tengah malam begini Ah Seng?”

“Ikut sahaja Rubiah. Nantu Lu tahu. Cepat!”

Wajah Ah Seng dan dua orang lelaki berpakaian seragam dan bertopi lusuh itu aku pandang kejap. Di sisi mereka tersisip senapang benet yang menyentuh leherku tadi. Arghh. Ada apa ini sebenarnya? Monologku dalam hati.

Perlahan aku lantunkan kata batin….

“Hulubalang! Sisik Cantik Puteri! Dampingi aku!”

Dua ekor harimau putih dan seekor ular berukuran sepemeluk batang nyiur, pantas mengekoriku. Menjadi perisai.

*****

Gelap malam belantara dan diamnya 3 orang manusia di hadapanku membisukan suasana. Hanya ngilaian suara cengkerik menyenggama halwa telinga. Arah tujuku masih lagi samar. Makin lama, langkahku dibawa jauh ke dalam hutan tebal.

20 minit berlalu…

Aku tiba di sebuah khemah. Beberapa mata lelaki sepet memandangku. Ada yang mengusap-usap dagu. Ada yang menjelir lidah lalu membasah bibir. Jelak! Aku menjegil mata. Menghantar isyarat. Syahadan, mereka menunduk. Takut.

“Rubiah. Lu masuk dalam khemah. Ketua Wa punya perempuan mau beranak. Kasi sambut itu anak. Cepat!’

Aku mengangguk. Baru aku faham usul tujuan aku dipanggil.

******

Beberapa ketika berlalu.

Aku hanyirkan tanganku menyambut kelahiran seorang zuriat dari hasil manusia petualang, penjajah Tanah Malaya. Ditelan mati emak, dibuang mati bapak.

“Rubiah, mari Wa hantar Lu pulang!”

“Tak perlu Ah Seng. Aku pulang sendiri.”

Ah Seng diam. Kemudian mengangguk.

“Nah. Ini satu guni beras. Lu punya upah.”

Aku menyambutnya. Rezeki buat anak-anakku.

“Ah Seng. Ingat! Jangan pernah sesekali orang-orangmu menghunus senjata di leherku. Jangan pernah sesekali orang-orangmu menyentuh keluargaku. Kelak membawa padah!’

Ah Seng mengangguk perlahan.

Aku tinggalkan khemah dan kelompok manusia itu. Ya. Ini bukan kali pertama aku dipanggil. Khidmatku sentiasa ditagih di hutan belantara. Sehingga aku digelar tali barut komunis.

Biarlah. Asal aku tahu asal tujuanku.

Kisah 2 – CILI
=============

Dulang yang ditatang penuh berisi bunga melur, kemboja dan cempaka aku letakkan di atas para.

Tempayan tanah berukir daun akar melarat, aku buka penutupnya. Cedok air kayu bermulutkan tempurung kelapa aku suakan ke permukaan air. Aku siram air jernih itu ke atas dua pasang kakiku. Dingin.

“Rubiah.”

Aku menoleh ke belakang. Dahlan yang sedang ralit mengupas sabut kelapa menghentikan kerjaannya, memanggilku.

“Ada apa kau panggil aku? Apa mahumu?”

“Rubiah, kemarilah kau sebentar. Ada berita yang mahu aku perihalkan padamu.”

Aku melangkah malas.

Arghh. Baru sahaja aku mencuci kakiku, dipanggilnya pula aku mencecah tanah merah semula. Mahu apa sahajalah orang tua ini. Dahlan, aku dekati.

“Ya, apa dia?”

“Kau dari mana?”

“Masakan kau tidak tahu bang Dahlan? Aku ke baruh mencari bunga buat mandianku. Kenapa kau tanya?”

“Sahaja aku bertanya. Rubiah, ada kau dengar cakap-cakap orang tentang kau?”

“Tidak. Kenapa? Apa ada sesuatu yang mahu kau sampaikan padaku bang Dahlan?”

“Rubiah. Usai kau kerjakan urusanmu bermandi bunga, tidak payahlah kau keluar lagi. Duduk sahaja di rumah, temankan aku dan anak-anak.”

“Ehh. Pelik benar mahumu bang Dahlan. Masakan aku tidak boleh keluar? Aku ada janji untuk ditunaikan. Bini Tauke Ah Hock baru lepas beranak. Akukan yang membidannya kelmarin. Hari ini, aku diminta untuk urutkan dia. Jadi, jangan kau menghalang-halang aku dengan pekerjaanku.”

“Janganlah kau berdegil Rubiah. Dengarkan sahaja kataku ini demi keselamatanmu.”

“Arghh. Kau seperti tidak mengerti. Ada apa sebenarnya ini? Terus terang sahaja!”

Aku menjadi bungkam. Meluat pula bila mana aku mahu dikongkong segala urusanku. Jelek.

“Begini Rubiah. Aku ke kedai simpang pagi tadi. Ada aku temukan Mak Leha. Dia berpesan padaku, jangan dibenarkan kau keluar dari rumah.”

“Ehh, kenapa pula Mak Leha berpesan begitu?”

“Katanya, si Kalsom dan Samsiah mahu menyerang kau. Mahu dicilikan kemaluan dan mulutmu. Bilang Mak Leha, mereka sakit hati. Cemburukan kau dengan suami masing-masing. Itu sebab, aku melarang kau keluar Rubiah. Aku khuatir.”

“Apa? Mahu dicili-cilikan kemaluan dan mulutku? Hahahhaha… Mereka fikir, aku ini anak kecil? Sembarangan! Sedangkan komunis dan bintang tiga tempatnya di bawah tapak kakiku sahaja! Ini Rubiah, bang Dahlan. Besar tapak tangan, nyiru aku tadahkan!”

“Jangan kau berdegil Rubiah. Dengarkan sahaja kataku. Aku suamimu.”

“Kau diam-diam sahaja di rumah bang Dahlan. Jaga anak-anakku. Soal aku biar aku uruskan. Jangan kau ikut campur. Titik.”

Terdengar keluhan halus di bibir Dahlan. Aku melangkah meninggalkannya di halaman. Aku meluru masuk ke dalam rumah, menuju ke kamar tidur. Ada yang perlu aku lakukan.

Sejengkal buluh yang tersandar di tepi dinding, aku capai. Aku tuangkan isinya di atas tapak tanganku. Nah, terletak elok sebunjut kecil uncang berkain guni kepunyaanku.

Tali serat yang tersimpul pada bunjut uncang itu aku leraikan. Aku keluarkan barang kesayanganku, cucuk sanggul. Nafas kutarik sedalamnya….

‘Awan arak dikaki langit.
Bayu laut memecah ombak.

Masakan,
Berguruh petir di anjung bulan?
Berkokok pagi ayam betina?
Janji bersulam janji.
Kata bersulam kata.

Penjagaku, Menjaga aku!
Bawakan jiwa dan semangat puteri,
Pinjamkan perkasa si Hulubalang,
Roh dan jasad, kita bersatu!’

Telan nafas.

Cucuk sanggul bersepuh emas, aku dekatkan ke bibir lalu kucium. Arakian, ia aku bawa ke atas kepalaku dan aku sisipkan di celahan sanggul.

Aku senyum menyungging bibir. Wajah ke dua-dua mereka yang beriri hati dan berniat jahat itu mula berlegar di minda.

“Musuh tidak kucari. Namun, jika ada yang berkehendak… aku turuti sahaja hajatnya.”

Berkebaya pendek, bersarung batik lepas dan berselendang hijau malar. Aku melangkah menyusuri jalan bertanah merah. Arghh. Memang sengaja aku melewati kedai Ah Meng di simpang jalan.

Ke mana lagi hendak aku tuju jika mahu terserempak dengan si Kalsom dan Samsiah? Ini sahajalah tempat mereka membeli barang dapur. Harap-harap, pertemuan ini menjadi nyata. Kalian yang berkehendak bukan?

Terlakar sebaris senyuman di wajahku. Dari jauh, sudah terlihat dua tubuh keding milik Kalsom dan Samsiah. Aku percepatkan langkahku, menghampiri.

“Aku dengar, kalian berdua mahu bertemu aku. Apa hajat kalian? Arghh. Sudah kalian gilingkan lada untuk dicilikan kemaluan dan mulutku?”

“Erkkk….A..a..ku. Tidak Rubiah. Tidak. Kau salah faham barangkali. Aku tidak tahu apa-apa. Tanyakan sahaja pada Kalsom.”

“Ehhh. Kenapa pula aku? Bukan kau kah yang beria-ia berhajat. Kelmarin lagi, sudah kau gilingkan lada. Kau cemburukan Rubiah dengan abang Jalal. Jadinya, bukan aku Rubiah. Kau tanyakan Samsiah.”

“Tidak. Bukan aku.” Jawab Kalsom pantas.

“Kau Kalsom. Bukan aku.” Balas Samsiah.

“Argggghh. Sudah!! Cakap-cakap belakang sahaja kemampuan kalian? Berdegar bagai guruh, aku sudah di hadapan mata, kalian jadi menikus pula. Apa lagi ditunggu? Seranglah aku!”

Aku medekati sepohon pinang di pesisir jalan bertanah merah. Mulutku terkumat kamit membaca mentera.

Hiaghhhh!

Papp!!!!

Kalsom dan Samsiah termengkelan. Lantas mereka berpelukan, menggigil ketakutan. Pohon pinang yang aku cabut dengan sebelah tangan, aku lemparkan di hadapan mereka.

“Ingat! Ini Rubiah. Cakapku, perbuatanku bukan olok-olok. Jika kalian menjual, aku bersenang hati membeli. Sekali lagi, aku dengar kalian cakap-cakap belakang tentang aku, nahas!”

Kalsom dan Samsiah mengangguk-anguk persis belatuk. Erhh, bodoh!

Aku berlalu pergi.

Kisah 3 – SEDAPNYA, GULAI AYAM!
===================================

Pemergian Dahlan sedikit sebanyak terkesan dihatiku. Kebaikannya mengahwini aku yang bertatus ibu tunggal dan sama-sama memelihara anak-anakku, tidak pernah aku lupakan. Aku janji untuk menjaga zuriat peninggalannya.

Berstatus janda bukanlah enteng. Di kampung ini, semakin menjadi-jadi kata fitnah memburuk-burukkan aku. Lebih-lebih lagi dari kaum hawa. Takut benar suami mereka diambil.

Jangan disalahkan orang lain jika sendiri tidak pandai melayan suami. Kecantikanku bukan salahku. Samalah juga akan perihalnya lelaki-lelaki hidung belang. Baik mereka yang berstatus suami mahupun bujang. Mereka tergila-gilakan aku. Rimas.

“Awang, oh Awang.”

“Ehh. Rubiah. Kau seorang? Mana anak-anakmu?”

“Ada, aku tinggalkan dirumah. Aku datang ini berhajat Awang.”

“Oh. Kalau begitu, naiklah dahulu ke atas. Kita bincang selepas menjamu selera.”

“Ehh. Tidak mengapa Awang. Di sini sahaja cukup. Segan aku pada isterimu, Zainab.”

“Allah. Apa yang mahu kau segankan Rubiah. Kau bukan orang lain. Arwah Dahlan kan sepupu aku. Naiklah Rubiah. Jemputlah ke atas.”

“Kalau begitu katamu, baiklah Awang.”

Jujur. Aku tidak keberatan dengan ajakan Awang tetapi aku tidak mahu Zainab bermasam muka. Bukan aku tidak tahu, dia sudah lama cemburukan aku dengan Awang.

“Zainab!”

Sekejapan, Zainab terjengul di balik dinding yang memisahkan dapur dan ruang legar. Wajah yang pada mulanya biasa-biasa itu, terlihat kelat tatkala dia memandangku. Aku perasan.

“Ya bang.”

“Bawakan nasi lagi sepinggan. Kita ada tetamu.”

“Baik.” sedepa muncungnya.

Aku hanya tersenyum. Ulah wanita cemburu, sekilas dapat kubaca.

Beberapa ketika berlalu. Zainab tidak juga muncul tiba.

“Zainab! Oh Zainab! Apa sahaja yang kau buat berlama di dapur? Kau mahu aku mati kebulurkah menunggumu?”

“Sekejap. Saya datang bang.”

Kelihatan, Zainab muncul bersama dulang yang ditatang.

“Alah, abang ni. Belum pernah lagi aku culas memberimu makan. Sengaja kau nampakkan salahku di hadapan Rubiah.”

“Sudahlah. Jangan dipanjang-panjangkan bebelanmu. Senduk nasi tu. Aku lapar.”

Zainab menyenduk nasi. Diberikan kepada Awang dan aku.

“Kau tidak makan sekali Zainab?” Tanyaku bersungguh.

“Tidak. Aku kenyang!” Acuh tidak acuh jawabnya.

Zainab meletakkan dua mangkuk gulai ayam. Semangkuk disuakan pada Awang. Semangkuk lagi, disuakan kepadaku.

Aku menerima mangkuk berisi gulai ayam itu sambil tanganku mengusap perlahan dasar punggung mangkuk.

Aku senyum. Menggeleng kepala.

“Awang. Boleh aku tukarkan mangkuk gulai ayam kepunyaanku dengan yang kau punya? Ayam ini bahagian isi. Aku tidak suka. Yang engkau punya, bahagian tulang. Aku suka. Bolehkah Awang?”

“Ehh. Boleh sahaja Rubiah. Tidak apa-apa. Nah. Ambillah.”

“Jangan bang. Jangan!!”

Jerit Zainab. Wajahnya tampak gusar.

“Ehh. Kenapa kau terjerit-jerit pula ni Zainab. Kenapa kau menghalang?”

“A… Abang kan suka bahagian tulang. Itu sebab saya asingkan. Biar saya ambil yang lain ya.”

“Tidak perlu Zainab. Aku boleh sahaja makan yang ini.”

“Jangan bang.”

“Argghhh. Kau ini!” Jerkah Awang.

Mangkuk kepunyaanku yang hendak aku tukarkan dengan Awang sebentar tadi, aku capai. Aku bangkit dari dudukku dan membawanya ke hadapan pintu.

“Kurrrr…Kurrrrr.”

Aku memanggil. Ayam kampung peliharaan Awang yang sedang bertebaran mencari makan di halaman, mendekatiku.

Mangkuk berisi gulai ayam itu aku lemparkan di halaman. Pantas, beberapa ekor ayam datang menghampiri dan berkerumun menghadap isi gulai tadi.

“Ehhh. Rubiah. Kenapa kau buang lauknya? Membazir sahaja. Sudah kubilangkan tadi, tukar sahaja dengan yang aku punya.”

Aku memandang wajah Awang yang sedikit kelat. Aku tahu dia marah kerana aku membazir. Tetapi, kelakuanku ini bersebab.

“Kokkkk kokkkkk kokkkkk!!”

Kelihatan, beberapa ekor ayam di halaman seperti tidak tentu arah. Ada yang terbang rendah kemudian mencecah tanah.

Ada yang melompat-lompat, menguis -nguis tanah tanpa henti. Ayam-ayam itu menggelitik kesakitan. Kecoh bunyinya. Nyaring kokokan yang bersahutan itu, memanggil Awang untuk bangkit dari silaan.

“Ehh. Kenapa pula dengan ayam-ayamku ini?”

“Ayam-ayam peliharaanmu berkelakuan pelik kerana memakan gulai itu Awang.”

“Maksud kau apa Rubiah?”

“Kau tanyakan sahaja pada Zainab. Aku yakin dia lebih tahu.”

Awang kelihatan bingung. Wajahnya bertukar dingin.

“Zainab! Zainab! Kemari kau!”

“A..da…apa bang?”

“Kau beritahu aku. Apa yang kau campurkan pada gulai Rubiah? Kau lihat ini, ayam-ayamku menggelitik mati. Kau cakap Zainab, Cakap!”

“Sa..sa..sa..ya.”

Aku merenung wajah Zainab. Terkilan.

“Zainab. Tidak perlulah kau cemburukan aku dengan Awang. Dia sudah kuanggap seperti saudaraku sendiri. Begitu juga dengan kau Zainab. Kenapa sampai hatimu mahu meracun aku?”

Zainab termengkelan. Awang menarik wajah bengis.

“Dasar perempuan bodoh! Isteri apa kau ini? Kau mahu meracun Rubiah?”

Awang melangkah laju turun ke bawah rumah. Sebatang kayu diambil. Dia menuju ke arah Zainab. Tubuh isterinya dibesit. Terpekik terlolong suara Zainab menahan sakit. Kedengaran berkali-kali dia memohon ampun dari Awang.

“Hulubalang. Terima kasih kerana kau bisikkan padaku. Mari kita pulang. Anak-anakku sudah kelaparan.”

Aku berlalu pergi. Hajatku tadi datang kemari bertemu Awang kerana mahu meminta seekor ayam peliharaannya untuk dibuat gulai. Kasihan anak-anakku, mereka lapar.

Tiada rezeki.

Kisah 4 – KESMARAN CINTA
===========================

“Celaka kau Hamdan! Sampai hati kau mempermainkan jiwaku. Kau tahukan aku cintakan kau Hamdan!” Tangis Saleha.

“Sudah kukhabarkan sedari awal Saleha. Aku ini tunangan orang. Kau hanya aku jadikan peneman suka-sukaku. Kau yang beriya benar menagih cinta. Jadi, akukah yang salah dalam soal ini?” Lagak Hamdan menutup cela.

Tanpa belas, Hamdan berlalu pergi meninggalkan Saleha yang lemas dalam tangisan. Tangis Saleha pada maruahnya yang tercemar. Habis madu sepah dibuang. Dasar bajingan!

Kerana kebodohannya mempercayai janji manis Hamdan, dia tewas dalam kesmaran cinta pada lelaki durjana itu. Dia mengesat airmatanya. Wajah Rubiah melintas di minda. Ya, aku harus lakukan sesuatu!

******

Di halaman rumah Rubiah.

“Apa hajatmu kemari Sal? Apa mahumu?”

“Rubiah. Tolong aku!”

“Tolong apa?”

“Aku mahu kau ajar aku guna-gunakan orang. Aku didajal lelaki kerana asmara Rubiah. Hatiku sakit!”

“Kau mahu aku ajarkan apa? Merosak orang? Begitu?”

“Bukan merosak tetapi menggila. Aku mahu lelaki itu jatuh ke tanganku semula! Aku mahu dia kesmaran dan tergila-gilakan aku.”

“Baiklah. Aku boleh tolong kau. Tapi upahnya, beras dan batik sarong. Boleh?”

“Iya Rubiah. Boleh. Aku setuju pengerasnya.”

“Jika begitu, datang bertemu aku tengah malam ini. Janagn telat!”

“Baiklah.”

*******

“Rubiah. Kenapa kau bawa aku ke perigi lama ini? Sudahlah gelap tempatnya. Dingi pula angin yang meniup. Terasa bisa tulang belulangku.”

“Kau kata kau mahu aku ajarkan kau ilmu guna-guna. Tempatnya memang di sini. Jika kau takut, kita batalkan sahaja!”

“Ehhh. Jangan begitu Rubiah. Aku tanya sahaja. Aku sudah sedia.”

Rubiah menjeling wajah Saleha. Tajam.

“Buka pakaianmu. Berkemban dan bertinggung kau di atas tanah.”

Saleha akur. Melakukan apa yang disuruh Rubiah.

Rubiah meletakkan dulang kecil yang dipegangnya di atas tanah. Tali cedok air dipegang erat, seraya dia melepaskan cedok ke dalam perigi. Air yang dicedok dituang ke dalam sebuah bekas.

Dulang yang terletak di atas tanah diambil. 7 jenis bunga berwarna warni. Baunya harum semerbak. Diambil dalam genggaman, dan dimasukkan ke dalam bekas berisi air tadi.

Bibirnya terkumat kamit sambil tangan kanannya mengacau air itu mengikut pusingan arah jam. Sebanyak 7 kali pusingan.

“Nah. Kau ambil limau purut ini. Kau kupas kulitnya dengan bilah pisau. Mula dari pangkal membawa ke hujung. Kulitnya kau kupas jangan dibiar putus! Baca mantera ini.”

Paku serunduk paku serenang,
Tiga paku selaseh,
Pagi kau tunduk petang kau terkenang,
Terkenangkan aku hati kau kasih.
Sidi pengajar guru aku,
Sidi menjadi kepada aku!

“Kau seru namanya 3 kali di pangkal ayat. Bayangkan wajahnya. Seperti mana kulit limau itu tidak putus, begitulah juga kasihnya dia pada kau Sal. Lakukan cepat. Nanti aku mahu mandikan kau bunga. Lekas. Nanti waktu mustajabnya terlepas.”

Rubiah membuang pandang ke dada langit. Bulan mengambang penuh.

“Baik Rubiah. Aku mengerti katamu. Aku lakukan sekarang juga.”

****

Usai semua acara, Rubiah menyampaikan pesan.

“Sal. Ilmu ini pengikat kasih. Jika kau sudah mendapatkan dia, kalian bernikahlah. Jika kau tinggalkan dia, buruk padahnya.”

“Apa maksud katamu Rubiah?”

“Dia bakalan gila. Kau mengunci kasih dan nafsu kelakiannya. Dia hanya setia dan hanya mahukan kamu sahaja. Selagi kunci itu tidak kau leraikan. Jangan lupa pesanku ini.”

“Baik.”

Saleha senyum. Senyumannya tersirat makna.

****

2 purnama berlalu.

Rubiah singgah di kedai Ah Meng membeli barang dapur. Sedang leka dia memilih barangan, cupingnya menangkap cakap-cakap orang di belakangnya.

“Kasihan benar aku melihat nasibnya si Hamdan.”

“Kenapa dengan Hamdan?”

“Dia dah gila! Kau tidak nampak? Ke hulu ke hilir dia membawa selendang biru. Dicium. Kemudian merintih. Terjerit-jerit namanya si Saleha.”

“Sampai begitu sekali? Apa puncanya Leman?”

“Barangkali kena guna-guna! Sudahlah dia putus tunang mendadak, si Saleha yang dia tergila-gilakan itu pula tinggalkan dia. Kata orang, Saleha sudah pergi ke bandar besar ikut Taukeh cina kaya.”

“Kasihan Hamdan. Nasib…nasib.”

Rubiah hanya diam.

Kisah 5 – DENDAM BERAPI
===================================

“Sudah untuk hari ini. Esok sahaja kau datang. Tombong yang terkeluar, sudah aku masukkan ke dalam. Jangan kau renyah berbuat kerja berat. Nanti kalau terkeluar lagi sekali, aku tak mahu tolong.”

“Baiklah Rubiah. Aku dengar kata kau. Upahnya, apa dia?”

“Esok, kau bawakan aku ayam kampung seekor dan 3 cupak beras. Upah untuk kerjaanku 3 hari.”

Lai Mooi, isterinya Tauke Ah Hock mengangguk faham sebelum berlalu pergi. Subur bukan main perempuan cina ini. Setiap tahun, keluar satu anak. Menjaganya, culas.

Aku ke halaman rumah. Dedaunan kering dari pohon getah yang berterbangan, menutup hampir keselurahan halaman rumahku. Sakit mataku melihatnya. Aku mencapai penyapu lidi bertangkai kayu panjang.

Sementara menanti waktu untuk ke rumah Mak Leha, lebih baik aku menyapu halaman terlebih dahulu. Anak sulungnya, Latifah baru sahaja melahirkan. Aku yang menyambut anaknya kelmarin petang. Hari ini aku diminta datang untuk mengurut pula.

Sedang ralit aku menyapu dedaun, sekonyong angin datang menderu. Sekejapan, kerjaanku terhenti. Aku memandang keliling. Serasa, seolah-olah aku diperhatikan.

Angin bayu ini, lain benar pembawakannya. Berangin tetapi silirnya panas berbahang. Hatiku bertanda tanya. Kenapa apa? Dedaunan yang sudah aku kumpulkan tadi, berterbangan. Argh, bungkam hatiku. Penyapu tadi, kulemparkan ke tepi.

“Rubiah…Rubiah… Ada yang hadir!”

Hulubalang berbisik!

“Siapa yang hadir?”

Belum sempat aku peroleh jawapan, sebiji bebola api yang terbang diudara menuju laju tepat kepadaku.

Pappp!!!

Bebola api sempat hinggap kewajahku. Panas. Wajahku rasa terbakar. Aku jatuh terjelopok diatas tanah. Rengkunganku terasa kesat. Aku mengusap-usap wajah dan batang leher. Perit dan pedih.

Arakian, bebola api itu sekali lagi menuju kearahku! Dalam keadaan sakit yang teramat, sempat aku bacakan bait-bait mantera. Aku hembuskan pada bebola api. Dua ekor hulubalang memagariku rapat.

Kalakian, bagaikan tertolak, bebola api yang menuju laju itu beralih arah hinggap ke sepohon getah lalu membakarnya. Rentung sekelip mata!

“Celaka!”

“Sial!”

Aku menahan kesakitan. Perihnya bisa yang menjalar, menyesakkan. Urat beliratku bagaikan tersimpul. Sebelah tubuhku mati. Aku lumpuh!

Wahai, Nenek Si B****!
Aku seru semangatmu.
Aku seru akan kekuatanmu.
Bersepuh taring emas.
Bertakhta kilauan cucuk sanggul.
Melingkar tubuh selendang hijau.

Ke mari kau,
Kemari, datang pada aku!
Beratapkan langit, berpijakkan bumi,
Bergentayangankan udara.
Kau, aku seru!

Bait mantera aku lagukan. Namun, kudratku tidak tertahankan. Kelam pandangan sebelum mataku tertutup rapat. Tubuhku rebah memyembah bumi.

3 Purnama berlalu.

Asap dari tepak yang berisi kemenyan, berkepul-kepul halus memenuhi ruangan kamarku. Hari ini, tubuhku kembali kepada asal. Mulutku yang herot, terbentuk sempurna. Tangan dan kakiku yang lumpuh juga telah boleh digerakkan semula.

Aku mencapai dulang yang berisi ramuan ancak dan jamuan buat penjaga leluhurku. Meraka harus aku raikan sebelum dihantar membuat kerjaan. Dendam kesumat terhadap si pembuat onar, tidak mampu tertahan lagi.

Ya. Hari ini, adalah harinya. Aku tahu kerjaan siapa yang menghantar bebola api. Niatnya untuk meragut nyawaku. Dasar sialan! Hanya kerana penolakan cinta, aku hendak dibalas. Maka, permainanmu ku sahut jejaka keparat!

2 hari berlalu.

Aku tersenyum puas bilamana mendapat perkhabaran, bahawa si polan itu sudah menemui ajal. Mampus kau! Bermain api sepuh, pendampingku melunaskan janji. Dendam berbalas dendam.

Hei…
Selagi wujud bulan dan bintang,
Kutitipkan kalian Hulubalang dan Cantik Sisik Puteri untuk menjaga leluhur keturunanku – Rubiah.

UNTAIAN KISAH BENAR INI MASIH BELUM TAMAT. BILA KESUDAHANNYA? AKU JUGA TIDAK PASTI…
====================================================

Guys, jika kalaian berminat untuk membeli naskhah terbaru dari saya berkolaborasi dengan 3 orang penulis, sila lawat le FB saya. Terima kasih.

Salam SayangπŸ’‹
CikEdot (FB: Dee Edot)

Penulis untuk picisan-picisan d bawah;

Kisah 1. Moyang 1

MOYANG

Kisah 2. Moyang 2 : Mak long & Nek Jah.

MOYANG 2 : MAK LONG & NENEK

Kisah 3. Moyang 3 : Aku & Mereka.

MOYANG 3: AKU & MEREKA

Kisah 4. Allah Kan Ada.

#CikEdot : Allah kan ada!

Kisah 5. Dendam Maria.

#CikEdot : Dendam MARIA!!

Kisah 6. Psycho Si Pencinta Sofea!

#CikEdot : Psycho! Si Pencinta SOFEA

Kisah 7. Gentayangan Wan Anum.

#CikEdot : Gentayangan Wan Anum

Kisah 8. Memori Ramadhan.

#seramramadhan: Memori Ramadhan CikEdot!

Kisah 9. Nikmatnya Darahmu!

#CikEdot:Nikmatnya Darahmu!!

Kisah 10. Kisah Satu Malam.

#CikEdot – Kisah Satu Malam!

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

CikEdot
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

12 comments

  1. Tertarik btul aku baca citer ni.. citer trsusun cantik, plot yg menarik.. w’pun bahasa ala2 melayu klasik, tp aku still boleh fhm n citer tu sampai..

  2. oh maiii aku rse ni cerpen terbaekk aku baca kt FS… trskan berkrya..aku baca mantera tu dlm masa yg sama rse takut nk baca kot ada yg jdikn aku “tuan”…tak kan??

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *