CINCIN PUSAKA

Tajuk : Cincin Pusaka
Penulis : Mad Pi

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para pembaca sekalian. Aku doakan semuanya dalam keadaan baik sahaja. Aku harapkan wabak Covid-19 semakin berkurang dan kita dapat meneruskan tugas seperti biasa nanti tanpa kesulitan…

Insya-Allah. Patuhi arahan pihak kerajaan, ‘Kita Jaga Kita’.Kebetulan pada satu hari aku menerima tamu, saudara dekat aku juga, Mamat…

Dia tahu aku ada menulis cerita seram jadi dia berbesar hati berkongsi satu kisah seram yang dialami oleh keluarga sahabatnya sendiri iaitu Ustaz Don Danish yang merupakan sahabat karibnya ketika menuntut di Mesir suatu ketika dahulu.Kisah ini mengenai cincin pusaka yang ditinggalkan oleh arwah ayah Ustaz Don Danish sendiri.

***

Kepercayaan bahawa satu-satu barang itu mampu memberi kekebalan adalah kepercayaan yang khurafat dan menyeleweng daripada akidah Islam. Tidak ada cincin, keris, tangkal atau apa sahaja yang mampu memberi kekebalan kepada pemakainya melainkan ianya mendapat bantuan daripada jin dan syaitan.

Apatah lagi jika ia diperasapkan pada malam-malam tertentu atas kepercayaan bahawa ianya berpenunggu. Maka, barangan kebal haram untuk dijual beli juga disimpan.

Jika menyimpan barang-barang seperti itu, mempercayai kekuasaannya dan kekeramatannya serta dalam masa yang sama, meyakini kesemuanya datang daripada Allah, dikhuatiri pemiliknya termasuk dalam golongan fasik.

Sekiranya ia cuma barang yang dipusakai tanpa dipercayai bahawa ianya berpenunggu, ada keramat dan kuasa, tujuan menyimpannya hanya sekadar hobi, maka ia dibolehkan.

***

Sepuluh tahun yang lepas ketika Ustaz Don Danish masih belajar di Universiti Al Azhar, Mesir, tersarung di jari manisnya cincin pusaka pemberian arwah ayahnya.

Sebentuk cincin perak diikat dengan bukan batu permata tapi hanya dengan sebentuk kayu berbentuk bujur. Ia kelihatan biasa dan tiada apa-apa yang luar biasa dirasainya.

Seperti kebanyakan cincin biasa yang dipakai oleh lelaki supaya terlihat kejantanannya.Begitu juga dengan wanita, cincin emas dipakai sebagai perhiasan untuk menyerlahkan kewanitaan masing-masing.

Jadi tidak peliklah kenapa perempuan sukakan barang kemas. Pada satu hari sahabat baiknya datang bertandang ke rumah. Haeryanto, juga salah seorang penuntut seuniversiti dengan Ustaz Don Danish.

“Assalamualaikum ya akhi,” Haeryanto memberi salam dan bersalaman dengan rakannya itu.

“Waalaikumussalamwarahmatullah ya habibi.” Jawab Ustaz Don Danish.

“Kaifa haluka ya akhi?” (Apa khabar sahabatku?)

“Ana bikhoir, Alhamdulillah, mu anta?” (Khabar baik, bagaimana pula dengan kamu?)

“Alhamdulillah, bikhoir.” Balas Haeryanto.

“Tafaddhol ya akhi,” Ustaz Don Danish menjemput Haeryanto masuk.

Kebetulan ketika itu, dia baru sahaja selesai menggoreng nasi. Menunya cukup ringkas. Berlaukkan telur hancur ditambah sedikit budu kiriman dari ibunya di Malaysia. Maklumlah dia berasal dari Kelantan. Budu dengannya tiada berpisah.

Lagipun begitulah nasib hidup di negara orang. Kena berjimat cermat. Kebetulan Haeryanto pun suka budu. Selesai makan Haeryanto dihidang pula dengan teh jasmin asli dari Tanah Arab.

“Wah enak bangat anta buat teh hangat ni Don,” puji Haeryanto.

“Ah anta ni ada ada saja,” balas Ustaz Don Danish sambil ketawa. Lalu dia menyanyi satu lagu dikir barat yang agak terkenal di Malaysia.

Ado seko anak tupa atah jula moktey,
Kudung eko perut laaapa,
Jaley cari makeyyy.

“Anta tau siapakah anak tupai itu,” soal Ustaz Don Danish.

“Hahhh? Enggak tau sih, siapa? ”

“Itu anta lah, ha ha ha,” mereka sama-sama ketawa.

Tiba-tiba Haeryanto terpandang cincin yang dipakai Ustaz Don Danish. Lalu bertanyakan pasal cincin itu. Dia melihat dengan teliti. Haeryanto ni ada pengetahuan serba sedikit dalam ilmu mistik. Dia meminta Ustaz Don Danish ke dapur dan mengambil pisau yang paling tajam.

“Sekarang anta pegang cincin anta ni kemas kemas,” pinta Haeryanto.

“Aduh kok anta ni kenapa tiba tiba aja nyuruhin ana begini segala,” soal Ustaz Don Danish.

“Ahhh anta ikutin aja apa yang ana suruh,” balas Haeryanto.

“Hasanan ya akhi,” Ustaz Don Danish mengikut.

Haeryanto pun cuba memotong rambut Ustaz Don Danish, tapi gagal. Dia cuba sekali lagi dengan agak keras. Ustaz Don Danish tergamam.

“Eh, cuba ana pula yang p****g rambut anta,” pinta Ustaz Don Danish.

Dengan mudah rambut sahabatnya itu terputus. Haeryanto lalu menerangkan pada Ustaz Don Danish. Cincin tersebut adalah asbab membuatkan dirinya kebal. Tidak akan terluka sedikit pun kalau dicederakan.

Kalau dia menoreh kulit Ustaz Don Danish sekalipun pasti tidak akan terluka.Cincin itu diikat dengan sesuatu yang kelihatan seperti kayu akan tetapi hakikatnya bukan kayu. Ia adalah satu bahagian daripada ubi kayu yang setelah sekian lama hidup.

Pada bahagian itu dipercayai dihuni jin yang menyebabkan pemakainya bersifat kebal. Wallahua’lam.

“Eh ana tidak mahu la benda benda macam ni, anta ambillah. Kalau anta tidak mahu anta buang lah di mana mana,” ujar Ustaz Don Danish.

***

Kini Ustaz Don Danish sudah berkahwin. Sudah ada dua orang isteri pula tu dan dikurniakan tiga cahaya mata. Ustaz Don Danish, ‘wa caya sama lu, respek, ha ha ha’. Terbaik katanya Boboiboy. Dia tinggal berjauhan dengan ibunya memandangkan dia bekerja di daerah yang lain.

Suatu hari dia menelefon ibunya. Tengah berbual-bual bertanya khabar ibunya itu, tiba-tiba kedengaran suara kanak-kanak sedang bermain di dalam rumah ibunya itu.

“Abang long ada balik ke mak, macam dengar suara budak-budak je kat rumah tu,” soal Ustaz Don Danish pada ibunya.

“Takdalah mana ada ngah, ibu sorang je kat rumah ni, mana ada abang long kamu balik. Kan PKP sekarang ni,” jawab ibunya.

Ustaz Don terpinga-pinga. Jelas pada pendengarannya tadi ada suara kanak-kanak bermain di rumah ibunya itu. Bukan sekejap tapi lama. Takkanlah mainan perasaan sahaja kot. Lalu dia mengabaikannya. Lagipun ibunya sendiri berkeras mengatakan bahawa hanya dirinya berseorangan sahaja.

Pada suatu malam, di rumah ibunya, pintu rumah diketuk-ketuk. Ibunya membuka pintu. Rupa-rupanya anak sulung Ustaz Don Danish, Darwish yang mengetuk pintu. Darwish anak Ustaz Don Danish dengan isteri pertama yang datang.

“Eh! Kamu rupanya Darwish, nenek ingat siapa la tadi yang ketuk pintu tak bagi salam.” Ujar ibunya, “Mana yang lain?” Sambungnya lagi.

“Entah, ngantuklah nek nak tidur,” balas Darwish lalu berbaring di atas sofa.

Ibu Ustaz Don Danish tertanya-tanya ke mana pulak anak dan menantunya ni. Pelik juga Darwish datang seorang diri. Dilihatnya Darwish yang sudah lena dibuai mimpi terbaring di atas sofa lalu dia menuju ke bilik untuk mengambil kain selimut.

Setelah dia ke ruang tamu dia mendapati Darwish sudah hilang. Dia mencari di seluruh rumah termasuklah di halaman pun tapi tidak dijumpainya. Dia menelefon Ustaz Don Danish.

“Assalamualaikum Angah kamu di mana tu?” Soalnya.

“Waalaikumussalam ibu, ada ni di rumah baru je siap makan malam, ada apa ye ibu? Rindu ke? Ha ha,” sempat Ustaz Don Danish bergurau dengan ibunya.

“Tak rindu pun, cuma nak tanya kamu ada balik rumah mak ke tadi sebab Darwish ada datang tadi, lepas tu tiba-tiba hilang.” Tutur ibunya.

“Takdalah ibu kami baru je pulang dari surau dan terus makan malam. Sekarang ada je Darwish tu dok main Mobile Legend dengan saya ni,” jawab Ustaz Don Danish.

Ustaz Don Danish kehairanan. Ibunya juga begitu. Mereka rasa pasti ada yang tidak kena. Dia berjanji dengan ibunya hujung minggu nanti dia akan pulang. Sementara itu, ibunya resah dan gelisah tatkala memikirkan apakah gerangannya semua itu.

Pada malam Jumaat minggu tersebut, ketika ibunya sedang lena, tiba tiba ibunya terjaga. Kedengaran suara kanak-kanak tertawa di ruang tamu. Dia pun keluar memeriksa langsung tiada apa. Sunyi sepi.

Sunyi dan sepi,
Tiada bintang yang berkerlipan di langit yang biru,
Tiada kawan untuk ku berkata kata dan bersenda.

“Ha ha ha ha.”

“Kik kik kik.”

Kedengaran suara ketawa di dalam bilik. Ibunya cuba mengintai. Alangkah terkejutnya dia bila terpandang seorang kanak-kanak yang tidak dikenali sedang melompat-lompat dia atas katil sambil ketawa. Kepalanya botak, badannya kurus kering dengan muka pucat lesi dan matanya pula merah menyala.

Dengan tidak semena-mena ibu Ustaz Don Danish pengsan. Si ibu sedarkan diri apabila dikejutkan oleh Ustaz Don Danish. Ustaz Don Danish terpaksa memecahkan pintu rumah akibat risau akan keselamatan ibunya. Dia hanya pulang seorang diri. Ibunya menceritakan segalanya yang dialami.

Kebetulan petang tu datang seorang penjaja minyak urut singgah ke rumah itu lalu menegur, “Ada sesuatu yang tidak kena dalam rumah ni,” katanya. Tanpa diberitahu, dia sudah sedia maklum bahawa ada penampakan kanak-kanak yang tidak dikenali di rumah itu.

“Ada simpan barang lama tak di rumah ni?” Soal penjaja itu pada ibu Ustaz Don Danish. Ibunya pula berfikir sejenak. Rasanya macam tiada lalu penjaja itu berkata lagi, “Mungkin ada barang peninggalan arwah yang masih disimpan?”

Baru ibu Ustaz Don Danish teringat akan sebentuk cincin peninggalan arwah suaminya yang tersimpan di dalam almari. Lalu dia mengeluarkan cincin itu lalu ditunjukkan pada penjaja tersebut.

Penjaja itu menerangkan cincin ini ada khadamnya. Oleh kerana sudah lama tidak diperasap, khadam itu mengganggu penghuni rumah ini. Baru dia teringat arwah dulu selalu perasapkan cincin tersebut. Pada masa itu dia tidak ikut campur, jadi dia tidak tahu menahu soal itu.

Ustaz Don Danish berbincang dengan ibunya lalu dia menyerahkan saja cincin itu pada penjaja tersebut memandangkan dia seorang yang ahli.

“Terpulang pada pakcik nak buat apa dengan cincin itu, buang ke sungai lagi baik,” kata Ustaz Don Danish dan penjaja itu menerimanya. Sejak pada itu, tiada lagi gangguan di rumah ibunya itu.

***

Dan sungguh jika kamu bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Nescaya mereka menjawab: “Allah.” Katakanlah: “Maka terangkanlah kepadaku tentang apa yang kamu seru selain Allah, jika Allah hendak mendatangkan kemudharatan kepadaku, apakah berhala-halamu itu dapat menghilangkan kemudharatan itu, atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, apakah mereka dapat menahan rahmat-Nya? Katakanlah: “Cukuplah Allah bagiku.” Kepada-Nyalah bertawakal orang-orang yang berserah diri. (Surah az-Zumar – 39:38)

TAMAT

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

MAD PI
Rating Pembaca
[Total: 11 Average: 4.5]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.