Dari Hujung Koridor

Aku Rizal yang bekerja sebagai juruteknik penyelenggaraan di sebuah hotel lama yang terkenal dengan seni bina klasiknya yang mewah, namun juga diselubungi pelbagai kisah misteri. Hotel ini mempunyai sayap bangunan yang sangat panjang, dan di tingkat empat, terdapat koridor paling sunyi yang jarang sekali dihuni oleh tetamu. Di situlah bermulanya pengalaman yang paling menggerunkan sepanjang kerjayaku.

Pada satu malam, aku ditugaskan untuk memeriksa kerosakan sistem pendawaian lama di sayap tingkat empat. Sudah pukul 2 pagi. Koridor itu terasa amat panjang, dengan lampu-lampu malap yang berkelip-kelip, memancarkan cahaya jingga yang menyeramkan ke atas permaidani usang. Sepanjang koridor, pintu-pintu bilik kelihatan sama, tersusun rapi seolah-olah ia berbaris tanpa hujung.

Aku sedang sibuk membetulkan kotak fius di tengah-tengah koridor. Bunyi alatan kerjaku seolah-olah ditelan oleh kesunyian yang tebal. Tiba-tiba, aku merasakan satu perasaan yang aneh perasaan diperhatikan. Aku berhenti bekerja, menegakkan badan, dan mataku segera menjamah ke arah hujung koridor yang gelap.

Di sana, di ambang bayangan yang pekat, aku ternampak satu kelibat. Ia adalah susuk tubuh seorang wanita yang sedang berdiri tegak. Dia kelihatan memakai pakaian putih, dan rambutnya yang panjang menutupi wajahnya.

Aku berfikir secara logik. Mungkin itu adalah tetamu yang baru keluar dari bilik. Aku cuba bersuara. “Cik? Boleh saya bantu?”

Tiada jawapan. Susuk itu hanya berdiri, tidak bergerak, tidak bersuara. Suasana semakin tegang. Aku mula berasa bulu romaku meremang.

Aku memutuskan untuk tidak mempedulikannya dan kembali menyambung kerja. Namun, tidak sampai seminit, aku mendengar bunyi yang amat perlahan dan seret, seperti kain yang bergeser dengan permaidani.

Aku mengangkat kepala semula dan melihat ke hujung koridor. Kelibat wanita itu kini sudah berada lebih dekat denganku, mungkin hanya tinggal separuh jarak dari kedudukannya yang asal. Pergerakannya begitu senyap, seolah-olah dia tidak berjalan, tetapi hanya meluncur di atas lantai.

Jantungku mula berdegup kencang. Aku tahu ini bukan tetamu. Aku segera meninggalkan alatan kerjaku dan bersedia untuk melarikan diri.

Aku segera berpaling dan berlari ke arah lif yang terletak di hujung koridor yang bertentangan. Dalam pelarianku, aku sempat melirik ke belakang. Aku melihat kelibat putih itu masih mengekori di belakangku. Pergerakannya tidak seperti manusia ia seperti satu jelmaan yang sedang melayang, dan rambutnya yang panjang mengibas-ngibas di udara.

Aku menekan butang lif berulang kali, berdoa agar pintu lif segera terbuka. Ketika aku menunggu, aku terdengar bunyi seretan yang kini sudah sangat dekat di belakangku. Aku dapat merasakan hembusan udara yang dingin di tengkukku.

Pintu lif terbuka. Aku segera melompat ke dalam, dan tanpa menoleh lagi, aku menekan butang ‘G’ untuk ke tingkat bawah. Sebaik sahaja pintu lif tertutup, nafasku tercungap-cungap, aku terduduk di lantai lif.

Keesokan harinya, aku menceritakan pengalaman ini kepada penyelia hotel. Dia hanya menghela nafas panjang. “Sudah lama tiada yang diganggu di koridor itu, Rizal. Dulu ada seorang juga pernah di ganggu, namun slepas itu tiada lagi gangguan. Harap lepas ni Rizal lebih berhati-hati dan cuba untuk memabawa kawan kalau nak ke koridor tu”

Sejak hari itu, aku sentiasa memastikan aku tidak bertugas sendirian di Tingkat Empat selepas tengah malam.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.