Assalamualaikum & salam sayang buat semua pembaca setia FS. Terima kasih admin sebab sudi menyiarkan penulisanku.
Cerita ini adalah berdasarkan pengalaman aku sendiri ketika masih menuntut ilmu di salah satu universiti swasta 6 tahun yang lalu. Tahun terakhir pengajian aku sibuk dengan final year project (FYP). Aku mula perasan aku menjadi seorang yang penakut. Aku akan gelisah setiap kali masuknya waktu maghrib. Aku juga mula susah untuk tidur dan sangat berat menunaikan solat. Setiap kali aku hendak tidur, pasti ada mimpi pelik yang berulang. Mimpi tersebut ialah aku sering ditinggalkan oleh keluargaku dan kenalanku. Dalam mimpi itu aku bagai terpaku di tanah pada saat semua orang pergi menjauh melambaiku.
Hari demi hari aku juga susah untuk belajar. Acapkali laptop dibuka, aku akan muntah. Automatik gastrik menyerang. Setiap kali buka nota, aku akan alami sakit kepala yang bukan kepalang. Syukur rakan sekelas perasan akan perubahanku. Katanya aku kelihatan gelap, muram, kusam dan sentiasa pucat. Sehingga pensyarahku mendekatiku. Beliau mencadangkan agar aku menetap di rumah kawan lain sehingga FYP ku selesai. Alhamdulillah segalanya lancar walaupun aku hampir gagal.
Tiba masanya aku pun pulang ke negeri kelahiranku. Ibuku membawaku berjumpa dengan seorang ustaz. Setelah ustaz berjaya ‘scan’ diriku dia pun bertanya;
‘dulu adik sewa rumah dengan kawan ke? Berapa orang?’
‘ya ustaz. 4 orang semuanya’
‘kawan adik sorang tu asal utara ke? Rambut Panjang? Selalu masak kat rumah?’
‘hmm ada ustaz’
‘Allahuakbar’
Lalu ustaz mula menerangkan bahawasanya aku telah pun disihir oleh rakan serumahku. Bukan aku sahaja, malah rakan serumahku yang lain juga. Namun akulah yang paling jarang memakan masakannya. Ustaz memberitahu tujuan si ‘dia’ berbuat begitu adalah untuk menundukkan kami semua supaya kami patuh akan semua yang dia inginkan. Rancangan agak menjadi kerana baru aku sedar, dua orang rakan serumahku susah untuk berkata tidak kalau dia berkata sesuatu. Lain halnya denganku, kami sering berbeza pendapat dan aku lebih senang berurusan sendiri.
Dek kerana aku ini agak degil baginya, dia mencuba taktik lain untuk menundukkanku. Sepanjang minggu FYP dia jarang berada di rumah. Ustaz menerangkan pada ketika itulah dia memasang pendamping atau mudah digelar saka untuk menjatuhkanku. Sesi rawatan bermula. Pada hari pertama aku dimandikan dengan mandian air limau purut. Usai mandi, aku berasa pedih pada tubuhku dan bahagian dahi. Sebelum rawatan dimulakan ustaz menyuruhku membaca surah Alfatihah sebanyak 7 kali dan 3 qul. Sepanjang rawatan ustaz berpesan agar tidak berhenti berselawat. Aku disuruh duduk dengan posisi badan menegak dan mata dipejam. Aku mendengar alunan azan dan ayat ruqyah dibaca.
Perlahan-lahan aku terasa seperti ada sesuatu yang bergerak di tubuhku. Semakin lama bacaan ayat suci, semakin sakit aku rasakan. Di belakang badanku terasa seperti ada cakaran tajam, manakala bahagian dadaku terasa dihimpit hingga aku sukar bernafas. Kemudian aku merasa seluruh tubuh panas dan perutku seperti sedang menari. Aku terasa ada pergerakan diperutku sehingga aku tertunduk menahan sakit. Setelah beberapa lama, ustaz menyuruhku bangun dan buka mata. Rawatan kedua disambung esok hari kerana aku sudah terlalu lemah.
Rawatan kedua bermula. Usai mandi air limau, sekali lagi ustaz berpesan agar aku membaca surah Alfatihah, 3 qul dan tidak berhenti berselawat. Apabila ruqyah dibacakan, aku mula rasa sakit yang bukan kepalang di dahi dan kepalaku. Seperti banyak jarum yang menyucuk-nyucuk dan terasa kepalaku ini seperti hendak pecah. Rambut yang ditutup tudung ini bagai ditarik-tarik. Sangat bisa aku rasakan. Aku menangis menahan sakit. Rawatan diberhentikan dan aku tidak boleh berjalan dengan stabil lalu rawatan seterusnya disambung lagi esok hari. Dengan rutin yang sama, kali ini aku merasakan kakiku kebas. Semakin lama terasa uratku mengencang sehingga aku terasa seperti ada objek besar dan tajam menghiris kulitku.
Setelah itu aku terasa kedua tanganku amat panas ibarat kulit disiram air panas. Aku juga muntah dengan banyaknya selepas rawatan tamat. Tapak kakiku terasa ditusuk dengan beribu jarum tajam. Rawatan kali ketiga ini mengambil masa yang paling lama dan paling menyakitkan. Aku terasa seperti tubuhku ini penuh dengan luka. Tekakku juga pedih sehingga aku hanya mampu menjamah bubur sahaja selama 3 hari.
Rawatan selesai. Ustaz dan pembantunya menunjukkan objek yang keluar dari tubuhku. Antaranya ialah satu jarum yang dibengkokkan hujungnya, 10 kuku panjang kira-kira 5 inci, serpihan kaca, kayu sederhana kecil yang dililit penuh dengan rambut, kayu kecil yang dibentuk tajam pada bahagian hujung, beberapa ekor ulat, 3 batang paku dan beberapa objek lain yang tidak dapat aku nyatakan sepenuhnya. Ibuku memberitahu ada kesan cakaran dibahagian belakang tubuhku. Setelah itu ustaz menerangkan sebab kebencian dan hasad dengki si ‘dia’ terhadapku. Pertama, kerana aku seringkali masuk dalam dean list, kedua kerana aku punya ramai kawan, ketiga kerana duit. Sungguh, tidak pernah aku terlintas akan perkara ini.
Tidak lupa juga, pada malam rawatan pertama dan kedua ketika tidur aku didatangi satu mahkluk hodoh (perempuan) berambut panjang, bertubuh sederhana tinggi, sangat kurus dengan wajah yang hitam serta kulit yang mengelupas dan berkuku panjang. Makhluk tersebut cuba mencapaiku dan hampir menyentuhku pada malam pertama. Pada malam kedua, sekali lagi makhluk tersebut cuba untuk mencapai tanganku tetapi semakin jauh. Kedua-dua percubaan gagal. Fuhh, selamat aku. Setelah diteliti semula, aku mula perasan sesuatu. Rupa bentuk fizikal makhluk tersebut sama seperti si ‘dia’ yang menyihirku.
Selesai sahaja malam ketiga tiada lagi gangguan datang padaku. Selepas bertahun berlalu, aku mendapat khabar berita si ‘dia’ sedang sakit. Aku maafkan apa yang kau buat padaku, kawan. Semoga kau bertaubat.
Banyak lagi sebenarnya gangguan yang aku alami sepanjang menempuhi kesakitan lalu tetapi cukuplah sampai di sini saja. Sudah terlalu panjang aku menulis rasanya. Terima kasih kepada yang sudi membaca, ambillah iktibar agar sentiasa berhati-hati memilih kawan, dan jagalah amal ibadat kita.
Sekian.. Assalamualaikum..
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
best. .
Sangat best. Cara bercerita santai dan mudah difahami.
Allahu kenapa lah dengkinya manusia tu ya. Harapnya dia sempat bertaubat. Dan kita yg lain ni pun, cemburu tu pun berpada2 jgnlah buat org mcm ni
cerita yang menarik.. mudah difahami..terbaik..sikap memaafkan tu lah yang tak semua orang mampu buat..
Perangai ko tu agaknya yg smpi buat org nk sihir ko
apa jadi ngan kawan yg lain?
best