Deria Keenam

Assalamualaikum, aku adalah salah seorang pembaca setia Fiksyen Shasha. Ianya menjadi kegilaan aku sekarang dan aku menjadi ketagih, kalau tak baca tulisan mengenai horror memang tak sah walhal aku sendiri seorang penakut.

Entry kali ini aku nak ceritakan sedikit rentetan pengalaman yang aku alami sejak aku masih kecil. Aku sendiri tidak pasti adakah ini kebolehan melihat ‘alam lain’ atau imiginasi ku sahaja. Wallahualam. Aku merupakan anak ketiga dari empat adik beradik. Ceritanya bermula sewaktu aku berumur 10 tahun dan itu adalah kejadian mistik pertama dan aku masih ingat segar dalam ingatan setiap saat kejadian tersebut. Ceritanya bermula begini, pada hari cuti minggu iaitu hari Sabtu, salah seorang makcik ku membawa kami berkelah di sebuah kawasan rekreasi Air Terjun terkenal di Selangor. Memang best dan menyeronokkan sedar tak sedar lewat petang pukul 5 baru pulang ke rumah dan usai pulang aku terus tidur tanpa menunaikan solat fardhu dan mandi terlebih dahulu.

Sedar tak sedar jam menunjukkan pukul 11 malam dan aku terjaga disebabkan sejuk dan terus terpandang ke arah jam yang terletak di dinding, dan selepas itu terpandang ‘sesuatu’ berdekatan tingkap dan ‘sesuatu’ itu kelihatan sangat jelas disebabkan cahaya lampu diluar tingkap yang memang abah akan pasang bila malam. Allahuakbar! Aku kaget! Dan tubuhku kaku tidak boleh bergerak untuk bangun. Aku membaca Al-Fatihah, 3 Qul dan Ayatul Kursi tetapi tidak jelas sebutan ayat-ayat tersebut, tak tahu mengapa aku tak boleh sebut dengan jelas. Aku pejam mata tapi tak mahu tertutup dan ‘sesuatu’ masih lagi disitu tegap berdiri memandang Ayatul Kursi yang digantung di dinding iaitu sama dengan mengadap kiblat.

‘Sesuatu’ tersebut aku gambarkan seperti mumia dan aku memang jelas ingat ketinggian dek kerana cahaya lampu yang terang di sebalik tingkap. Sedar tak sedar subuh pun hampir sepanjang usaha aku untuk membaca ayat-ayat quran yang jelas tak jelas sahaja sebutannya. Usai sahaja dari itu aku terus mendapatkan ibuku dan menceritakan apa yang terjadi. Ibu hanya tergelak besar dan berkata itu hukuman untuk orang yang lupa solat! Aduh ibu ni, orang betul-betul dia bilang main-main (dialog P.Ramlee). Abah dan adik beradik yang lain pun mengiyakan. Cerita itu habis disitu dan susun atur bilik ku aku ubah supaya mataku apabila bangun tidak ternampak lagi tingkap dengan cahaya lampu yang terang menyuluh masuk.

Selanjutnya, kisah mistik ku masih lagi berterusan, pada umur 10 tahun juga seingat aku, aku pernah cuba tidur lewat ditemani oleh kakak ku menonton televisyen. Jam menunjukkan pukul 11 malam dan mata aku masih segar. Tiba-tiba aku terdengar bunyi air di bilik air yang kuat disimbah dari atas ke bawah tapi tidak menyentuh badan! Kalau menyentuh badan pasti perlahan bunyi nya ini bunyi terlalu kuat seakan-akan dicurah dari siling dengan air yang banyak. Aku pandang kakak dan pandangan kami bersilih ganti, pasti kakak terdengar juga. Bunyi itu hilang selepas curahan air pertama, selang beberapa minit terdengar lagi, bunyi yang sama! Ah, sudah! Aku terus melompat ke arah kakak dan seakan mahu menangis tapi kakak menutup mulutku dan suruh diam. Bila bunyi sudah reda kami buka semua lampu di dalam rumah, dimana waktu itu semua ahli keluarga yang lain sedang lena tidur diulit mimpi.

Kami pergi ke arah bilik air yang terletak di hujung dapur. Kakak memang berani, aku yang penakut ikut rapat-rapat di belakang kakak dan memegang erat bajunya. Bila lampu dah dibuka kami tolak pintu bilik air sekuat hati dan tidak menemukan apa-apa! Lantai bilik air pun kering. Kami hanya tergelak disebabkan ada pula terjumpa ‘sotong kering’ dalam bilik air. Usai siang kami menceritakan semua pada abah, abah kata “hantu raya la tu, ada orang buta hujung kampung meninggal dan dikenali memang seorang pekebun dan setiap yang ditanamnya pasti menjadi dan mendatangkan hasil, abah syak hantu raya tu usik kamu orang sebab tidur lambat”. Mata aku membulat, biar betul?!

Seterusnya, perjalanan mistik aku diiringi dengan pemergian bonda tercinta. Ibu pergi sebelum sempat melihat ku menjejak kan kaki ke menara gading. Aku merintih kesedihan. Teringat kembali saat ibu terlantar yakni sakit yang tidak ketahuan. Tidak pernah ibu didiagnose dengan sakit yang akan membuatkan ibu terlantar. Aku tahu puncanya mesti ibu terlalu ikutkan perasaan disebabkan perbuatan abah yang tidak bertanggungjawab iaitu curang. Ya curang, abah ku rupa-rupanya sudah pun berkahwin dengan perempuan tersebut. Aku gelarkan sebagai Rekha. Mendengar namanya itu sahaja sudah pasti kalian beranggapan dia seorang yang tidak baik. Ya betul memang tidak baik, sudah lah merampas, mahu pula dia guna-guna kan ibu.
Seingat aku, ibu pernah terkena buatan Rekha, setiap kali azan sahaja ibu akan meracau. Abah bila tahu, baru sedar yang perempuan dikawini itu bukan calang-calang. Main hantar-hantar pula.

Sudahnya ibu dimasukkan ke wad dan gangguan sedikit berkurang. Tapi yang sedih, rupanya ibu dah tiada, abah yang ego masih lagi tidak dapat melepaskan ibu, keputusan untuk memakai mesin bantuan hayat dibuat tanpa persetujuan kami. Ibu dibiarkan jadi mayat hidup. Sedihnya tuhan sahaja yang tahu. Saat sebelum mesin dipasang entah macam mana Rekha boleh datang ke rumah dan berpesan supaya dibawakan kain batik lepas. Kakak aku yang keberangan terus menjerit dan menghalau Rekha. Sejak itu kami bersumpah “tanah ini haram untuk kau jejaki!”. Sejurus kemudian selepas perbincangan dibuat bersama keluarga besar kami sepakat setuju untuk mematikan mesin bantuan tersebut. Moment tersebut sunyi sepi hanya terdengar suara rintihan.

Seminggu selepas ibu dikebumikan Rekha berani datang ke rumah dan mengemas di belakang rumah. Kemudian kami mendapat berita dia demam keesokan harinya. Padan muka! Untuk pengetahuan kalian, aku dan adik beradik dibiarkan duduk sendiri dirumah kami dan abah tinggal bersama Rekha.

Episod horror bermula, abah berhajat untuk membesarkan bahagian dapur sebelum Aidilfitri menjelma dan berpesan supaya aku dapat mengemas barang-barang di dapur dan buang barang yang tidak diperlukan. Aku menurut sahaja. Sedang asyik aku mengemas para di atas dapur, aku terjumpa bunjut hitam. Kemas rupanya tidak berhabuk seolah-olah baru sahaja diletakkan disitu. Yang aku pelik, kedudukan bunjut tersebut di bawah kuali-kuali yang berat dan lokasi para tinggi perlukan tangga untuk dipanjat. Bunjut tersebut diikat dengan tali berwarna kuning. Aku memberanikan diri mengambil bunjut tersebut dan hampir terbaling dengan tak semena-mena bulu roma ku berdiri tegak!

Aku memanggil abah dan abah pun hairan lalu di ambil bunjut tersebut dan katanya mahu bawa pergi berjumpa ustaz. Aku adukan hal tersebut kepada kakak, dan tidak semena-mena kepala ku di tempeleng. “kenapa kau bagi kepada abah?” aku dengan kosong menjawab, “kenapa?”. “sebab benda tu dia yang letak la apa lagi” kata kakak. Benda apa lah tu ye, bisik aku sendiri. Esoknya abah kembali ke rumah kami dan aku tanyakan abah, mana bunjut tersebut dan abah terus sahaja menjawab “abah dah terhilangkan””tapi abah dah tanya pada ustaz bunjut tu untuk jaga engkau adik beradik”. Aku pun melopong mendengar. Macam masuk tak masuk kepala sahaja. Apa la yang abah mengarut. Aku memang kurang percaya benda-benda mistik pada mulanya tapi aku pecaya mahluk halus itu wujud dan mereka akan menampakkan diri mereka bila rasa perlu sahaja. Jadi, aku membuat kesimpulan yang abah memang ada berbuat ‘sesuatu’ di belakang kami, yang kami tidak sedar.

Tahun berganti tahun, saat mula sahaja aku jejak kaki di universiti nun di seberang Laut China Selatan, aku jarang-jarang pulang ke rumah kecuali cuti semester itupun setahun sekali bukan setiap cuti semester. Sepanjang kepergianku macam-macam cerita aku dengar tentang kurangnya tanggungjawab abah kepada kami adik beradik. Bila aku pulang sahaja, perasaan ku akan jadi tidak enak, seperti bukan berada di rumah sendiri. Pernah satu ketika aku bermimpi tiga ekor ular sawa mengejar ku, seekor berjaya membelit, seekor mematuk dan seekor lagi masih terus mengejar. Aku hanya menganggap itu mainan tidur. Tidak itu sahaja, aku juga pernah ternampak lembaga hitam yang warnanya lagi kelam dari malam dan bentuknya seakan api tidak tetap di atas bumbung rumah. Allahu, aku bertanyakan pada ayah dan ayah cuba menanyakan kawannya yang juga pengamal perubatan islam. Menurut kawan abah, lembaga tersebut adalah musafir dan ingin berkawan dengan ku. Pesannya, kalau mimpi jangan terima apa-apa dan jangan tinggal solat fardhu. Itu sudah pasti dan seminggu lepas itu, aku kembali ke universiti dan aku kembali menjalani hidup normal dan tidak lagi ‘diganggu’.

Pernah masa aku menjalani praktikal di sebuah taman rekreasi kawasan semulajadi yang penuh pokok ara dan paya bakau. Kawasan yang cantik itu menjadi tumpuan apabila siang dan apabila malam ianya adalah tempat untuk ‘benda’ lain menumpang. Aku pernah ternampak lembaga hitam melompat dengan laju antara pokok ke pokok ara yang lain pada waktu hampir pukul 8. Cepat-cepat aku lari ke chalet tempat kami menginap sementara. Ada suatu malam, chalet kami ketiadaan air. Waktu tersebut hampir maghrib dan kami perlu mandi lantaran sudah kotor bermain lumpur pada waktu siang.

Tanpa berlengah kami pergi ke kawasan asrama dan mandi bilik air asrama. Pada masa itu kami tidak memikir kan apa-apa kecuali hendak cepat mandi dan menunaikan solat. Tidak semena-mena waktu mandi, aku terpandang siling dan apa yang aku lihat ruang siling ada yang terbuka dan terdapat sepasang mata tengah memerhatikan aku dan rakanku mandi. Ya Allah! Aku menjerit. Aku cepat-cepat berpesan kepada kawan ku segera mandi dan kita keluar. Kawanku tidak bertanyakan apa-apa dan setibanya di chalet aku terus menutup pintu dan kunci! Selesai sahaja solat dan membaca yassin baru aku bercerita. Apa yang pelik, tak mungkin manusia boleh mengintai dengan tiada bunyi pun kedengaran di atas siling? Takkan pula monyet nak keluar malam? Macam-macam bermain di fikiran. Bila siang sahaja kami terus keluar dan memeriksa meter paip di belakang chalet. Pili meter ditutup! Siapa punya kerja la agaknya! Kami mengadu juga kepada penyelia sebaliknya kami digelakkan ujarnya budak praktikal dulu tak pernah pun ada masalah macam ni. Kami senyum tawar sahaja dan berlalu pergi.

Sekian sahaja entry pada kali ini, ada masa aku akan cerita lagi pengalaman mistik aku.
SP

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Sorong_papan

2 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.