DI ROGOL PENUNGGU TASIK Bahagian Kedua

Beberapa bulan setelah kejadian itu, aku telah di sahkan hamil. Tapi aku tidak pasti samada ini adalah benih dari suamiku ataupun daripada makhluk itu. Untuk pengetahuan semua, kami sebenarnya masih lagi belum dikurniakan cahaya mata walaupun usia perkahwinan kami sudah pun menjangkau lima tahun. Apabila mendapat berita tentang kehamilan ini, sudah pastilah suamiku orang yang paling gembira kerana sudah lama dia menantikan kehadiran seorang zuriat.

Tetapi entah kenapa, hati dan perasaanku sentiasa tidak tenteram. Aku merasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena pada kandungan ini. Sementelah lagi dengan kejadian yang menimpa aku pada malam itu. Ianya menambahkan kusut di fikiranku. Semenjak di sahkan mengandung, emosi aku menjadi tidak stabil.

Suamiku sentiasa menasihatiku dan memberikan kata-kata semangat. Katanya ini semua mungkin berpunca dari pembawakan budak. Aku cuba untuk berfikiran positif dan menerima nasihat suamiku. Namun aku masih tetap gagal untuk mengawal perasaanku.

Beberapa perubahan aneh juga telah berlaku padaku semenjak aku mengandung. Aku kini lebih suka meratah ikan sungai sedangkan sebelum ini aku agak tidak menggemari ikan sungai lantaran baunya yang hanyir.

Jika suamiku membawa hasil tangkapan dari sungai ataupun tasik, jarang sekali aku menjamahnya. Melainkan jika suamiku membawa pulang hasil tangkapan dari laut, barulah aku akan menjamahnya. Jika suamiku tidak keluar memancing, aku akan menyuruhnya membeli ikan-ikan sungai di pasar.

Perubahan sikapku juga agak ketara. Aku menjadi lebih baran daripada sebelum ini. Pantang ada sedikit kesilapan kecil, pasti akan berlaku pergaduhan dengan suamiku. Selalunya suamiku yang lebih banyak mengalah dan lebih suka mendiamkan diri bilamana aku sedang marah-marah dan membebel. Adakalanya dihatiku terdetik rasa bersyukur kerana mendapat seorang suami yang penyabar.

Kerap juga di malam hari aku bermimpi yang pelik-pelik. Mimpi seperti di kejar manusia berbadan ikan di sebuah tasik, mimpi lemas di dalam tasik, mimpi budak-budak mandi di tasik dan banyak lagi mimpi yang aneh-aneh yang semuanya berlaku di kawasan tasik. Tapi yang lebih menghairankan aku adalah, kesemua tasik yang muncul di dalam mimpi aku adalah tasik yang sama. Walaupun berlainan mimpi tapi aku cukup pasti bahawa ianya adalah tasik yang sama.

Usiaku kandunganku kini sudah menganjak usia lapan bulan. Setiap kali melakukan pemeriksaan di klinik, doktor mengatakan yang kandunganku sihat dan tidak mengalami apa-apa masalah. Aku juga dijangka akan bersalin pada hujung bulan hadapan. Segala persiapan menyambut kelahiran bayi telah pun dilakukan oleh suamiku. Dia nampak begitu bersemangat serta ceria sekali. Aku tahu dia tidak sabar menantikan kelahiran bayi ini. Sedikit sebanyak gelagat suamiku yang teruja mencuit hatiku dan mententeramkan perasaanku.

Tarikh yang dijadualkan untuk aku bersalin telah pun tiba malah jika diikutkan ianya telah pun melepasi tarikh jangkaan. Namun masih tiada tanda-tanda untuk aku bersalin. Mungkin tarikh yang diberikan oleh doktor itu tidak tepat. Kerana ada juga berlaku kes bersalin lewat dari tarikh yang dijadualkan. Dan banyak juga berlaku kes bersalin lebih awal daripada tarikh yang diberikan. Jadi mungkin tarikh yang doktor berikan padaku ini juga tidak tepat. Tetapi setelah usia kandunganku memasuki bulan ke sepuluh, baru lah aku mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena pada kandunganku. Mana mungkin sudah sepuluh bulan bayinya masih tidak mahu keluar. Pemeriksaan yang dilakukan oleh doktor mengatakan kandunganku dalam keadaan normal. Tidak ada sebarang masalah pada kandunganku. Tetapi anehnya masih belum ada tanda-tanda untuk aku melahirkannya. Doktor ada memberikan cadangan untuk melakukan pembedahan bagi mengeluarkan bayi itu. Suamiku juga sependapat dengan doktor. Tetapi aku menolak cadangan itu. Aku pun tidak pasti kenapa aku menolak cadangan tersebut.

Masuk bulan ke sebelas dan seterusnya memasuki bulan ke dua belas. Maknanya sudah genap setahun aku menanggung kandungan ini. Namun masih juga belum ada tanda-tanda aku akan melahirkannya. Kandunganku kini menjadi buah mulut jiran-jiran tetangga. Cerita dengan cepat tersebar dari mulut ke mulut mengatakan aku mengandung setahun tapi masih belum beranak. Aku menjadi malu untuk keluar rumah. Aku hanya berkurung sahaja di dalam rumah. Aku juga kehilangan selera makan. Aku hanya cuma boleh menjamah ikan sungai sahaja. Itulah makananku setiap hari. Berat badanku turun mendadak akibat kekurangan zat-zat yang diperlukan.

Sehinggalah pada suatu malam aku telah bermimpi. Di dalam mimpi itu aku sedang berdiri dihadapan tasik yang sering muncul di dalam mimpi-mimpiku sebelum ini. Sekelilingku gelap gelita. Yang jelas pada pandanganku hanyalah tasik itu sahaja. Tiba-tiba muncul satu suara dari arah tasik. Jasadnya tidak kelihatan. Hanya suaranya sahaja yang ku dengar.

“Marilah datang ke mari,

Bawakan dia kepada kami”

Suara itu seperti memberikanku arahan. Pada mulanya aku tidak mengendahkan mimpi itu dan beranggapan ianya cuma mainan tidur. Tetapi pada malam seterusnya aku masih didatangi mimpi yang sama. Sehinggalah tujuh malam berturut-turut aku mendapat mimpi itu, barulah aku menceritakannya kepada suamiku. Setelah mendengar apa yang kuceritakan, suamiku diam seolah berfikir sesuatu. Akhirnya dia menyatakan yang kami perlu pergi ke tasik itu. Tasik di mana dia dan kawan-kawannya memancing suatu ketika dahulu. Tasik yang tersorok nun jauh di dalam hutan dan tidak ramai yang tahu mengenainya. Kerana tasik itulah punca semua ini berlaku.

Kami kemudian menuju ke rumah ustaz yang merawat aku dahulu. Tujuan kami adalah untuk meminta pertolongan dari ustaz itu supaya mengikut kami ke tasik tersebut. Sekurang-kurangnya ada seorang yang mahir dalam bidang perubatan islam bersama kami. Ustaz tidak memberikan jawapan. Tetapi dia meminta izin dari suamiku untuk melihat kandunganku. Suamiku memberikan keizinan. Ustaz meletakkan tangannya hampir di perutku tetapi tidak sampai menyentuh perutku. Kemudian dia memejamkan matanya. Tidak lama kemudian dia membuka mata dan bersuara. Apa yang keluar dari mulut ustaz itu mengejutkan kami.

“Sebenarnya dalam kandungan kamu ini kosong. Tiada budak di dalamnya. Apa yang kamu nampak dan rasakan selama ini hanyalah mainan iblis. Tetapi iblis telah meletakkan sebahagian dari dirinya ke dalam kandungan kamu. Dan menjadikan kamu sebagai ibu tumpang untuk bahagian dirinya yang laknat. Kini sudah genap setahun bermakna bahagian dirinya sudah matang. Jadi dia ingin menuntutnya kembali daripada kamu” Terang ustaz itu dengan panjang lebar. Suamiku mengangguk tanda faham kerana beliau sudah menjangkakan perkara sebegini. Kemudian beliau menanyakan sekali lagi kepada ustaz tentang ajakan untuk menemani mereka pergi ke tasik itu. Adakah ustaz itu sanggup menemani mereka ataupun tidak.

“Kamu berdua tidak perlu ke sana. Jangan sesekali kamu patuh pada arahan iblis. Isterimu sedang sarat. Mana mungkin dia dapat meredah hutan tebal dalam keadaan sedemikian? Itu cuma perangkap iblis. Isterimu pasti akan kehilangan nyawa jika pergi ke tasik itu. Biarkan mereka yang kemari mengambil sendiri hak mereka. Mereka pasti akan datang kemari jika mereka benar-benar mahukan hak mereka”

Kami akur dengan jawapan ustaz. Seterusnya kami serahkan pada ustaz untuk melakukannya.

Upacara “memanggil” dilakukan pada malam jumaat selepas solat isya. Pada malam itu kami berdua duduk bersila dibelakang ustaz. Kelihatan ustaz tunduk sambil meratib membacakan sesuatu. Agak lama ustaz membacanya. Kepalanya di gerakkan ke kiri dan ke kanan sambil tangannya memegang tasbih. Beberapa kali aku mengalihkan kedudukanku kerana kakiku terasa lenguh dan kebas. Akhirnya ustaz membalikkan badannya dan mengadap kami. Ustaz memberikan arahan kepadaku supaya baring di hadapannya. Katanya makhluk itu sudah datang dan hampir sampai. Aku terus baring di hadapan ustaz. Suamiku duduk bersila di sebelahku.

“Jangan kamu takut melihat apa yang datang. Kuatkan semangatmu. Jika tidak mampu, pejamkan saja matamu dan banyakkan berzikir di dalam hati. Tetapi jangan berzikir di mulut. Kunci mulutmu dan berzikir sahaja di dalam hati. Ingatlah Allah itu maha berkuasa. Tiada sebarang makhluk yang mampu menandingi kekuasaan Allah”

Ustaz itu menerangkan dengan panjang lebar. Seterusnya ustaz itu meneruskan pembacaannya. Mulutnya terkumat kamit. Aku tidak mendengar apa yang dibacanya.

Tiba-tiba lampu di ruangan terpadam dengan sendirinya. Beberapa detik kemudian lampu kembali menyala. Usai cahaya kembali, mataku terbeliak dan aku hampir menjerit melihat di bumbung rumah terdapat satu makhluk hitam sedang merangkak berhampiran dengan kipas siling. Makhluk itu sedang memandang ke arahku. Badannya seperti manusia tetapi bersisik seperti ikan. Kepalanya juga seperti ikan dengan kedua biji bola matanya yang besar dan hitam. Mulutnya terbuka menampakkan gigi-giginya yang tajam. Tangan dan kakinya terdapat selaput seperti tangan dan kaki katak. Aku tidak berani memandang lama ke arah makhluk itu. Aku lantas memejamkan mataku.

“Ambil saja hak kamu. Kemudian pergi kamu dari sini. Jangan lagi kamu menyakiti anak cucu nabi adam. Binasa kamu aku kerjakan”

Terdengar suara ustaz seakan-akan menjerit. Serentak dengan itu aku rasakan kesakitan yang amat di bahagian perut. Tetapi tidak lama. Kesakitan itu kemudian beransur-ansur hilang. Aku meraba-raba perutku. Anehnya, perutku telah menjadi kempis. Aku membuka mata. Makhluk aneh di bumbung telah tiada.

Kemudian ustaz berkata “Alhamdulillah, sudah selesai. Dia telah mengambilnya. Sekarang kamu sudah bebas dari kawalannya. Dia tidak akan mengganggu kamu lagi”.

Aku memandang suamiku. Suamiku membalas dengan pandangan sayu. Aku tahu sememangnya dia merasa hampa kerana dia terlalu menginginkan seorang anak. Tapi hakikatnya, anak yang aku kandung itu bukanlah benih darinya. Walaupun merasa kasihan kepada suamiku, sedikit sebanyak hatiku merasa lega kerana aku telah bebas dari cengkaman makhluk penunggu tasik itu. Selepas kejadian itu, selama tujuh hari berturut-turut ustaz itu merawatku. Aku dimandikan dengan air bunga. Dan air yang digunakan untuk memandikanku diambil dari tujuh buah masjid yang berbeza. Katanya bertujuan untuk memulihkan semangatku serta memagar jasadku daripada didatangi kembali oleh penunggu tasik itu. Setelah selesai melakukan rawatan keatasku, keadaan menjadi kembali normal.

Kini setelah beberapa tahun berlalu semenjak kejadian itu, aku dan suami menjalani kehidupan seperti biasa. Kami cuba melupakan apa yang telah berlaku. Suamiku juga telah lama membuang segala kelengkapan memancingnya. Dia tidak lagi keluar memancing bersama rakan-rakannya. Masanya kini banyak dihabiskan dirumah bersamaku serta anak perempuan kami. Oh ya, lupa aku nak ceritakan. Selepas kejadian itu dengan izin Allah kami telah dikurniakan seorang cahayamata perempuan. Kali ini aku betul-betul yakin yang ini adalah hasil dari benih suamiku. Kini kehidupan kami bertiga bahagia dan aman. Walaupun kadang-kadang aku masih didatangi mimpi seorang bayi sedang bermain di sebuah tasik.

TAMAT

Penulis; Kapten

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 115 Average: 4.8]

1 thought on “DI ROGOL PENUNGGU TASIK Bahagian Kedua”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.