Di Sebalik Cermin

Salam sekalian kepada para pembaca. Kisah yang bakal aku titipkan ini bukanlah sebuah cereka kosong, melainkan satu titik hitam dalam hidup aku yang tidak pernah aku ceritakan kepada sesiapa pun sebelum ini, termasuklah ahli keluarga sendiri. Ego remaja aku waktu itu sangat tinggi aku tidak mahu dicap sebagai seorang penakut, dan aku juga enggan dituduh sebagai sengaja mereka-reka cerita demi meraih perhatian. Namun, setelah sekian lama memendam rasa, aku rasa inilah masanya untuk meluahkan segala-galanya.

Kejadian ini berlaku sewaktu aku berada di tingkatan enam rendah. Pada malam tersebut, keadaan cuaca agak membahang dan melekit. Aku dan seorang rakan sekelas bernama taufiq (bukan nama sebenar) mengambil keputusan untuk mengulang kaji pelajaran di beranda atas rumah pusaka milik datukku.

Di beranda itu, terdapat sebuah meja kayu jati panjang yang dikelilingi oleh empat buah kerusi sandar lama. Kedudukan beranda itu agak tinggi, membolehkan kami melihat terus ke arah kawasan kebun getah yang terletak bertentangan dengan rumah. Kami mula membuka buku nota sejurus selepas selesai menunaikan solat isyak, kira-kira jam 9:00 malam.

Suasana pada mulanya tenang, hanya ditemani bunyi helaian kertas yang diselak dan petikan pen. Namun, selang setengah jam kemudian, satu perasaan aneh mula merayap masuk ke dalam sanubari aku. Jantung aku tiba-tiba berdegup kencang tanpa sebab yang jelas. Tiba-tiba sahaja aku teringat hari tersebut merupakan malam Jumaat Kliwon mengikut kalendar jawa yang sering disebut oleh datuk.

Sambil mengesat peluh dingin di dahi, aku memilih untuk mengunci mulut. Aku tahu benar perangai Taufiq jika aku meluahkan rasa sangsi ini, pasti dia akan terus mengemas beg dan memecut pulang menaiki motosikalnya, meninggalkan aku keseorangan dalam ketakutan.

Masa berlalu dengan begitu perlahan sekali. Sedang aku khusyuk meneliti formula matematik, ekor mata aku menangkap sesuatu yang tidak kena. Di hujung meja kayu jati kami, dalam kawasan yang agak terlindung daripada cahaya lampu kalimantang, terdapat satu entiti lain yang sedang duduk di kerusi kosong.

Entiti itu kelihatan seperti gumpalan asap hitam yang pekat dan tumpat, membentuk susuk tubuh manusia yang tinggi melampau. Kulitnya, jika boleh dipanggil kulit, kelihatan seolah-olah menyerap segala cahaya di sekelilingnya.

Apa yang membuatkan darah aku tersirap sehingga ke ibu jari kaki adalah wajah makhluk tersebut. Walaupun wajahnya gelap gelita tanpa hidung mahupun mata, bahagian mulutnya kelihatan sangat jelas. Makhluk itu tidak mempunyai bibir apa yang terpampang hanyalah barisan gigi yang halus, panjang, dan tajam berselirat, saling bertindih seperti rahang seekor jerung purba yang bersedia untuk membaham mangsa. Dan yang paling mengerikan, mulut itu sedang mengukirkan satu senyuman yang sangat lebar sehingga mencecah ke bahagian telinga.

Kepala hitam itu bergerak seolah-olah mengikut rentak pergerakan kami sekejap dia menoleh ke arah aku, dan sekejap lagi dia berpaling memerhatikan Taufiq yang sedang ralit menulis. Aku terpaku, seluruh urat saraf aku terasa membeku. Kerana terlalu panik, aku memalingkan muka memandang Taufiq dengan riak wajah yang mungkin sudah pucat lesi seperti mayat. Taufiq yang menyedari perubahan mendadak pada wajah aku segera meletakkan pennya.

Dia memandang aku atas bawah lalu bersuara dengan nada separuh berbisik, “Kau dah kenapa pandang aku macam tu? Muka macam orang tertelan batu jek. Dah kenapa? Sakit perut nak membuang ke?” Mendengarkan soalan lurus Taufiq, aku tergelak kecil dalam keterpaksaan, satu cubaan bodoh untuk menutup rasa seram sejuk yang sedang mencengkam seluruh jiwa.

Menjelang jam 10:45 malam, apabila aku memberanikan diri untuk menjeling semula ke hujung meja, susuk tubuh hitam tersebut sudah tiada di situ. Kerusi kayu jati itu kembali kosong.

Serta-merta, suasana berat yang menghimpit dada aku tadi beransur ringan. Aku melepaskan keluhan lega yang amat dalam, menyangka bahawa gangguan itu sudah berakhir dan makhluk itu telah pergi meninggalkan kami. Namun, sangkaan aku meleset sama sekali.

“Rajinnya korang…”

Satu bisikan yang sangat dekat, seolah-olah datangnya tepat dari arah belakang cuping telinga kiri aku, memecah kesunyian. Suaranya garau, berlendir, dan sarat dengan nada sindiran yang amat dingin. Bahu aku ternaik kerana terkejut. Aku segera menoleh ke belakang, ke kiri, dan ke kanan dengan pantas, namun beranda itu kosong melompong. Aku memandang ke arah Taufiq.

Malangnya, taufiq langsung tidak terkesan kerana dia sedang memakai fon telinga tersumbat rapat, asyik melayan lagu-lagu rock kapak sambil tangannya masih laju menulis nota sejarah. Aku bertindak merentap lengan baju Taufiq dengan agak kasar, membuatkan dia tersentak dan menanggalkan fon telinganya dengan dahi yang berkerut.

“Apa hal kau ni, main tarik-tarik baju pula?” tanya Taufiq, jelas agak rimas dengan gangguan aku.

“Kau… kau ada dengar suara tak tadi? Ada orang tegur kita,” bisik aku dengan suara yang terketar-ketar.

Taufiq memasang telinga seketika sebelum menggelengkan kepala. “Suara apa benda pula? Aku tak dengar apa-apa pun melainkan lagu dalam telefon aku ni jek. Kau ni dah mengantuk sangat kot, khayalan jek lebih.” Dia kembali menyumbat fon telinga ke dalam lubang telinganya tanpa menunggu jawapan daripada aku.

Aku terkilan. Demi Tuhan, aku yakin 100 peratus bahawa suara itu bukan satu ilusi atau mainan perasaan. Bulu roma di seluruh lengan dan tengkuk aku meremang tegak, sehingga terasa pedih di kulit. Keadaan sekeliling rumah entah bagaimana bertukar menjadi tersangat sunyi secara mendadak. Angin malam yang tadinya bertiup sepoi-sepoi bahasa kini mati sepenuhnya.

Malah, bunyi cengkerik mahupun kuakan katak dari arah kebun getah yang biasanya memekakkan telinga, langsung tidak kedengaran. Dunia seolah-olah disenyapkan secara paksa oleh satu kuasa ghaib yang tidak kelihatan.

Hanya pada jam 11:45 malam, Taufiq akhirnya menguap luas sambil meregangkan badannya. “Aduh, mengantuk gila la pulak. Rasa macam dah tak boleh masuk dah apa yang aku baca ni.” Aku yang memandangkan jam sudah hampir ke angka 12 tengah malam segera bersuara, “Memang dah lewat sangat ni, Fiq. Jalan nak balik rumah kau tu dahlah sunyi, kena lalu tepi kawasan kubur lama pulak tu. Kau okay ke nak rempit balik sorang-sorang malam buta macam ni?”

Taufiq terdiam sejenak. Keberaniannya yang seakan-akan tinggi tadi nampaknya mula luntur apabila memikirkan laluan pulang ke rumahnya. “Hmm… betul jugak cakap kau. Kalau kau tak keberatan, aku tumpang tidur sini jelah malam ni. Esok pun hari Sabtu, cuti sekolah kan.” Aku terus mengangguk setuju. Sekurang-kurangnya, kehadiran Taufiq di dalam rumah dapat mengurangkan sedikit rasa terancam yang sedang aku rasakan.

Kami berdua mengemas buku-buku lalu melangkah masuk ke dalam rumah. Keadaan di dalam rumah sudah gelap gelita. Mak dan ayah, serta adik-adik yang lain semuanya sudah lama melayari bahtera mimpi. Satu-satunya sumber cahaya yang ada ialah biasan samar daripada lampu ruang tamu kecil yang sengaja ditinggalkan bernyala setakat untuk menerangi jalan ke tandas.

Memandangkan bilik tidur aku terletak di bahagian paling hujung berhampiran dengan dapur, aku berjalan di hadapan sambil memegang erat pergelangan tangan Taufiq, membimbingnya meredah kegelapan ruang tengah agar tidak melanggar mana-mana perabot.

Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam bilik, Taufiq terus meminta izin untuk ke bilik air bagi membersihkan diri dan mencuci kaki sebelum tidur. Sambil menunggu Taufiq selesai, aku berjalan menuju ke bahagian dapur untuk meneguk segelas air bagi membasahkan tekak yang terasa amat kering.

Langkah aku terhenti serta-merta apabila mendapati tingkap nako di bahagian dapur rumah berada dalam keadaan terbuka luas. Langsir kain nipis yang menutupi tingkap itu beralun-alun lembut ditiup angin malam yang entah dari mana datangnya. Hati aku dipagut rasa hairan dan bimbang.

Selalunya, ayah adalah orang yang paling teliti dalam bab keselamatan rumah; sebelum waktu maghrib lagi, semua pintu dan tingkap pasti akan dipastikan berkunci rapat. Bagaimana tingkap dapur ini boleh terbiar terbuka luas sebegini rupa? Tanpa membuang masa, aku merapatkan cermin tingkap tersebut satu demi satu dan memusingkan tombol kuncinya dengan ketat, sambil mata aku sempat melirik ke luar kebun yang gelap pekat, bimbang jika ada mata lain yang sedang memerhatikan tindak-tanduk aku dari dalam semak.

Selepas memastikan semuanya selamat, aku kembali ke bilik. Taufiq sudah pun keluar dari bilik air dan tanpa membuang masa, dia terus merebahkan badannya di atas katil bujang aku lalu ditariknya selimut tebal sehingga ke paras dada.

Sesaat kemudian, kedengaran dengkuran halus menzahirkan betapa penatnya dia. Melihatkan katil yang sudah dipenuhi oleh tubuh Taufiq, aku tiada pilihan lain selain mengambil toto lama dari dalam almari, membentangnya di atas lantai simen yang beralaskan tikar getah, dan bersiap-siap untuk melelapkan mata.

Namun, tidur aku malam itu tidak mendatangkan ketenangan. Aku diserang satu mimpi ngeri yang amat luar biasa jalannya. Di dalam mimpi itu, aku mendapati diri aku sedang berbaring di atas katil di dalam bilik tidur utama milik mak dan ayah. Suasana bilik itu sangat sejuk, seolah-olah aku sedang berada di dalam sebuah bilik mayat.

Tiba-tiba, pintu bilik itu terbuka dengan perlahan dan susuk lembaga hitam berkepala besar yang aku lihat di beranda malam tadi melangkah masuk. Makhluk itu berjalan dengan gaya yang sangat aneh, seolah-olah melayang menujuk ke arah aku. Tanpa sempat aku berbuat apa-apa, kedua-dua belah tangannya yang panjang dan berkuku runcing terus menerkam lalu mencengkam leher aku dengan kuat.

Cengkaman itu terasa tersangat realistik sehingga aku dapat merasakan salur pernafasan aku tersekat. Aku cuba menjerit meminta tolong, aku cuba menggerakkan bibir untuk membaca ayat Kursi atau surah Al-Fatihah, namun lidah aku terasa seperti dikelukkan oleh satu bebanan yang teramat berat. Tiada sebarang bunyi yang keluar daripada kerongkong aku melainkan helaian nafas yang tersekat-sekat.

Dalam keadaan nyawa-nyawa ikan dan sedar bahawa aku tiada kekuatan fizikal untuk melawan, aku mengumpul baki semangat yang ada di lubuk hati yang paling dalam. Dengan satu sentakan kudrat yang terakhir, aku menggerakkan tangan kanan aku ke hadapan lalu melepaskan satu jeritan batin yang amat dahsyat: “Allahu Akbar!”

Serta-merta, lembaga hitam itu lenyap seperti asap yang ditiup angin kencang. Aku tersentak bangun dari tidur dalam keadaan terduduk di atas toto. Seluruh baju T-shirt yang aku pakai basah lencun dengan peluh, seolah-olah aku baru sahaja selesai meredah hujan lebat. Jantung aku mengepam darah dengan begitu laju seingga menghasilkan bunyi berdegup yang kuat di telinga. Aku segera mencapai telefon bimbit di sebelah bantal untuk melihat waktu. Skrin digital menunjukkan jam baru sahaja menginjak ke pukul 2:45 pagi.

Malam masih terlalu muda, dan perjalanan menuju ke waktu subuh terasa bagai satu keabadian yang menyeksakan. Aku kembali merebahkan diri dengan perlahan, menarik selimut sehingga ke paras dagu sambil mata aku meliar memandang ke sekeliling setiap sudut bilik yang gelap. Mulut aku tidak putus-putus membaca ayat Kursi, tiga Qul, dan doa tidur dengan suara yang perlahan namun jelas di telinga sendiri.

Di dalam hati, aku merayu kepada Yang Maha Kuasa agar malam itu cepat berlalu tanpa ada lagi sebarang gangguan ghaib yang datang menjenguk. Alhamdulillah, selepas hampir setengah jam bertarung dengan perasaan sendiri, fasa tidur yang lena akhirnya datang menyelimuti diri aku sehinggalah kedengaran azan subuh berkumandang dari surau berhampiran.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.