Dia Ikut balik?

Assalamualaikum! Ini adalah kali pertama aku tuliskan cerita seram yang tak berapa nak seram, suam-suam kuku pun belum tentu.. Sekadar picisan pengalaman poket hidup satahun jagung ini.

Pengalaman ni berlaku sewaktu aku cuti semester baru-baru ni. Yup baru lagi, aku yang sedang menaip cerita ni pun disebabkan masa lapang yang ada, awal-awal masuk semester baharu kan. Pendek kata, Aku merupakan seorang pelajar yang sedang menuntut di sebuah universiti, dekat Pahang. Mood novel on!

Segala-galanya normal macam kebiasaan. Aku sekadar melangut kat rumah, tak cari kerja sebab cuti sem yang singkat dan tuntutan skop kerja yang amat tidak menggalakkan pelajar cuti semester macam aku, menempah tempat di mana-mana kekosongan kerja yang bersifat ‘tetap’ tapi aku kan pegang status ‘sementara’.

Suatu hari, mak aku bermimpi buruk, yang mana dalam mimpinya berlatar belakangkan di dalam rumah kami sendiri. Mak aku kata, dalam mimpi tu adik bongsu aku yang berusia enam tahun berdiri di atas kerusi membelakangi kami yang sedang berkumpul secara melata di ruang tamu. Di tangan adik aku, ada sehelai kertas dan pencil warna.

Nampak gaya, dia sedang buat aktiviti mewarna seorang diri di ruang dapur. Bila mak aku panggil adik aku, sambil langkahnya turut sama berirama menuju ke dapur. Dia terpaku, bila melihat lembaga berambut panjang, duduk tidak jauh dengan adik aku. Dalam mimpi tu, berpegangkan kalimah takbir meniti di bibir mak aku, dengan berani dia menyeret kepala lembaga yang dah tak ada badan. Masa mak aku ceritakan dekat aku pasal mimpi dia ni, dia cakap dia semacam pegang rambut mahkluk ALLAH itu sahaja dan seretkan ke ruang tamu rumah. Bila mak aku terjaga, seriau satu badan.

Pendekkan cerita, waktu cuti sem baru-baru ni juga, Abah aku baru sahaja pulang berkursus dari Perak. Kakinya sakit dan membengkak. Bengkak yang kemerahan melata sekitar buku lali salah satu dari kakinya. Sakitnya sehingga terpaksa menggunakan tongkat. Dulu-dulu, abah pernah disinggahi ‘benda’ dekat kakinya sehingga terpaksa berjumpa dengan seorang pengamal perubatan Islam dekat daerah negeri aku juga.

Tapi, ironinya kaki Abah sakit lagi pada bahagian yang sama. Abah aku tak ada rekod menghidap sakit gout. Jadi, abah mengambil keputusan untuk berjumpa dengan pengamal perubatan yang sama yang pernah merawat kakinya dahulu. Gerak hati aku berat nak menjejakkan kaki ke rumah kenalan mak dan abah tu. Tapi aku ikutkan sahaja.

Selepas singgah solat mahgrib di masjid salah sebuah kampung yang tak jauh dah dari kedudukan rumah ustaz yang ingin mengubati kaki Abah aku, kami menyambung perjalanan. Aku tinggalkan jemaah masjid yang ramah dan penyayang dengan debar dada yang bersisa. Entah kenapa, nak kata resah tak resah, tak sedap hati ke apa tapi entahlah.

Rumah ustaz yang sedikit bercerun dan berlatarkan jalan berselut. Mujurlah tak ketara lecaknya. Salam diberi, kami disambut ramah oleh tuan rumah. Dia minta pamitan sebentar. Mungkin sahaja membuat apa yang perlu. Sementara aku mengambil tempat duduk paling hampir dengan pintu rumah yang sengaja dibiarkan terbuka luas.

Ustaz kembali mengambil tempatnya, duduk bersila bertentangan dengan abah aku. Berbasa-basi sebagai pembuka kata dan abah ceritakan duduk pangkal cerita sebenar. Ustaz dengan tertibnya, membaca ayat-ayat suci Al-Quran, proses rawatan dijalankan dan aku sekadar mengikuti bacaan yang tahu dalam diam. Pada waktu yang sama, sendawa sesekali keluar dari badanku.

Tangan dan kaki aku sejuk entah apa-apa. Apa pula yang tak kena ni? Aku menghulurkan tangan pada mak aku, diam-diam aku membiarkan mak aku merasai keanehan respon badan aku ni. Mak aku bisik, “Sejuknya tangan.” Aku tak tahu nak respons apa. Ustaz teruskan bacaan terhadap abah aku. Dia memandang ke arah kelopok duduk kami berhampiran dinding. Meremang bulu roma pun aku rasakan tak ada tanda-tanda nak hilang.

Mak menyuakan ayatnya pada ustaz, “sejuk tangan dia ustaz,”
“Sejuk? Tak apa. Sekejap lagi kita tengok.” Tenang ustaz jawab, menyambung kembali bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Sejuk di tangan dan kaki aku tak berkurang meskipun hanya kipas biasa dipasang, bukan pendingin hawa. Tapi, sejuk gemuruh tangan aku ni macam nak masuk buat pantun atas pentas. Aduh, dah kenapa lah pula?

Usai mengubati abah aku, aku pula yang dipanggil ustaz. Duduk berlunjur menghadapnya. Masih menjaga jarak dan tertib rawatan, ustaz alunkan lagi bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.
Tidak lama selepas itu, ustaz ajukan aku satu soalan, “Dekat tempat belajar kamu, ada benda warna putih tak? Macam Pontianak?”

Oleh kerana sebelum ni aku pernah ikut abah ke rumah ustaz, maka ustaz sedia ada tahu aku masih belajar di institusi menara gading ni. Ceh, menara gading. “Ada, ustaz. Pensyarah saya pernah cerita, waktu awal kampus ini dibuka, selalu juga ada sesuatu warna putih terbang dari bangunan belajar ke bangunan yang lain.” Lurus sahaja aku menjawab, mengikut rumor pensyarah aku bercerita dalam kuliah, buat hilang mengantuk agaknya.

Ustaz menggangguk perlahan, mengerti seraya berkata “kadang kita tak dapat bezakan antara Pontianak dan langsuir, sebab fizikal mereka hampir serupa.” Aku masih tekun mendengar. Ustaz menyambung ayatnya, “Saya tanya tu sebab dia ikut kamu balik.” Secalit senyuman tenang ustaz hadiahkan kepada aku. “Tapi, dah keluar dah. Ada dekat tebing luar rumah tu,” sambung Ustaz lagi.

Aku, waktu itu semacam blurr, bingung dan sewaktu dengannya yang senang cerita, tak dapat diungkapkan dengan kata-kata. ‘Benda ikut balik?’
“Kamu ada rasa orang pernah main rambut kamu?” Ustaz tanya lagi.
Aku menggelengkan kepala. Seingat aku pernah terasa seriau di bahagian atas belakang, berderau dan berceracak bulu roma aku saat aku solat asar bersendirian di bilik hostel ketika mingggu final peperiksaan, sebelum bermulanya cuti semester. Ustaz meneruskan bacaannya hingga selesai.

Alhamdulillah selesai perubatan islam aku malam itu, dengan air bacaan suci Al-Quran yang ustaz buat sebagai tawakal kepada-NYA. Dengan izin-NYA juga, kaki abah memang ‘ditumpang’ untuk kesekian kalinya. Tapi syukurlah, rawatan perubatan Islam berjaya dilaksanakan.

Bila difikir-fikirkan semula, padanlah mak aku bermimpi pelik sekitar jangka waktu sebelum aku berjumpa dengan ustaz. Biiznillah. Rantaian naluri ibu dan anak mungkin kuat ikatannya.

Aku sendiri pernah mendengar gangguan kecil sewaktu minggu Final Exam, sebelum cuti semester hari tu. Ketika kertas terakhir untuk final exam aku berjarak hampir sehari, aku yang duduk jauh dari kampus ni mengambil keputusan untuk tidak balik dari hostel bertemankan dua orang lagi teman serumah aku. Yang lain, semuanya bertebaran pulang bercuti di rumah.

Dalam tempoh study week itu juga, sekitar waktu subuh, satu hari itu aku dengar seakan miming lagu zaman-zaman lama kedengaran sayup-sayup bergema dalam bilik air. Kalau ikutkan imaginasi aku, seakan-akan terdengar lagu ‘buai laju-laju’ dalam versi miming. Aku kuatkan semangat takut-takut berani, habiskan sesi wuduk dan tunaikan solat macam biasa.

Kepada pembaca yang membaca cerita ringkas dan biasa-biasa ini, terima kasih aku ucapkan. Sedikit pesanan yang mampu aku katakan, walau apa pun kita buat tak kisah kerja ke, belajar atau apa sekalipun, mereka yang bukan dalam kalangan manusia, atau secara tepatnya golongan jin, iblis dan syaitan Laknatullah sentiasa ada di mana-mana.

Sentiasa behave dan beringat sebab kadang-kadang kita sendiri tak tahu ‘mereka’ boleh jadi ‘berminat’, ‘mengikuti’ kita dan segala cubaan gangguan yang lain. Hanya yang Kashaf atau diberi kelebihan oleh-NYA yang mampu merasai kehadiran ‘mereka.’

Teruskan melazimi bacaan ayat 3 kul dan ayat kursi masa nak tidur untuk keselamatan diri. Doakan aku sentiasa di bawah perlindungan ALLAH. Dan, aku doakan kepada yang membaca karya ini sentiasa dirahmati ALLAH. Sekian.

Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

RUNIA
FOLLOW FB KAMI.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.