DIARI SEORANG PENULIS

DIARI SEORANG PENULIS

13.04.2018
1.20 am
Angah menutup laptop. Angah baru saja selesai mengemelkan bab satu dari senaskhah
manuskrip yang baru selesai ditulis. Ia tugasan angah dalam sebuah kelas penulisan.

Angah sebenarnya sudah tidak terdaya lagi. Lebih kurang tiga jam angah menulis bab
satu itu dengan terketar-ketar sambil terbaring. Angah tulis di henfon sebelum pindahkan ke
dalam file Word di laptop. Di saat angah cuba untuk emelkannya, angah gagahkan diri juga.

Angah tidak pernah menghantar emel sebelum itu. Semua urusan seperti itu dilakukan oleh
kaklong. Jadi angah telefon kaklong dan bertanyakan bagaimana. Kaklong bimbing angah satu-persatu. Ia memakan masa lebih kurang satu jam. Ditambah dengan masalah line internet yang lembab, juga diri angah yang asyik blur, menyebabkan semuanya tidak berjalan lancar.

Bahagian bawah perut angah semakin sakit. Bagaikan di atas ari-ari itu terbelah luas. Pedih
dilapah. Mungkin juga dimamah. Cekang nak pecah di tempat-tempat tertentu. Itulah yang
sering angah rasakan.

Satu jam duduk di hadapan laptop membuatkan sakit angah semakin parah. Saat semuanya sudah selesai angah terus rebah di sisi laptop. Angah hampir menitiskan air mata. Bahagian bawah perut angah sudah terlalu sakit. Ia bagaikan hendak pecah semuanya. Meletup dan hancur. Angah tidak tertanggung lagi. Angah lantas tidak sedarkan diri. Tanpa angah sedari akan adanya balasan dari guru angah yang baru saja masuk.

Angah tersedar keesokan pagi. Sakit itu seolah sudah tidak terasa lagi. Langit sudah pun cerah. Angah bangun ke bilik air. Waktu itu angah tengah abc. Jadi angah tidak
perlu qadha solat subuh. Selalunya angah akan qadhakan solat yang terlepas sewaktu angah tidak sedarkan diri. Sudah beberapa kali juga angah perlu mengqadha dua atau tiga waktu solat sepanjang dua minggu lalu. Bayangkan berapa lama angah tidak sedarkan diri sepanjang hari.

10.00 am
Angah perbaiki penulisan dan menulis setiap kesilapan yang angah lakukan seperti yang diminta oleh guru angah. Ia memakan masa yang lama juga kerana angah perlu meneliti satu-persatu untuk mencari di mana kesilapan itu. Sakit itu kembali parah.

Kaklong telah pulang dari universitinya sebelum azan. Hari itu hari jumaat. Kedah cuti. Kaklong sebenarnya ingin menghadiri majlis rakannya di Sungai Karangan terlebih dahulu sebelum pulang ke rumah. Namun bila dia dengar angah mengadu sakit, dia terus memandu pulang dari universitinya.

Angah makan dahulu sebelum menunaikan solat zohor, lebih kurang pukul dua tengahari. Angah terlalu lapar. Angah duduk makan di meja Jepun tanpa menghiraukan sakit
di bawah perut yang semakin menggila.

Gerakan angah tiba-tiba mati. Tangan angah terkulai. Tubuh angah kaku. Angah tidak mampu untuk bangkit membasuh tangan lagi. Bahagian bawah pinggang angah seolah sudah terbenam dalam lantai yang diduduki angah. Seluruh tubuh angah merengsa. Ada sesuatu mula menjalar dalam tubuh angah. Kesakitan itu hanya tuhan yang tahu bagaimana rasanya.

Beberapa ketika selepas itu barulah kaklong menyedari keadaan angah. Itupun setelah dia melihat angah terdiam kaku. Ahmad yang baru pulang dari solat Jumaat lekas mengambil air di dalam mangkuk lalu membasuhkan tangan angah. Mereka berdua kemudiannya
memapah angah ke atas katil di dalam bilik angah.

Setelah memastikan tubuh angah terbaring elok di atas katil, mereka meninggalkan angah berseorangan. Memang angah sudah berpesan kepada anak-anak angah, jika angah
‘sakit’ biarkan angah sendiri. Kerana angah akan berusaha ‘merawat’ diri angah sendiri, ‘dari dalam jiwa’ angah sewaktu diri angah kesurupan.

“Hahaha…”

Angah mula kesurupan. Ahmad dan kaklong bergegas datang untuk memastikan keadaan angah seketika. Kemudian beredar semula. Ahmad Tsani hanya melihat dari jauh. Dia ketakutan. Ibunya sudah menjadi syaitan.

Angah tersengih-sengih. Sengihnya Sang Puaka. Sebentar ketawa, sebentar diam pula. Mata melata terbelalak. Tersenyum-senyum sendiri. Entah apa yang dicari.

“Mmmmmmm…. mmmmmmmm… mmmmmmmm…” Angah menggumam panjang satu irama yang menyeramkan. Terdengar klasik. Malah bagai irama mantera juga. Angah tenggelam dalam keasyikan irama itu.

“Hehehe…” meletus tawa kecil yang menyeramkan. Perlahan… tawa itu menghampiri ruang tamu.
Kaklong dan Ahmad terkejut. Sebaik mereka ingin menuju ke bilik angah, angah sudahpun berada di sebelah ruang tamu. Terhoyong-hayang angah berjalan dengan lutut dibengkokkan ke depan. Kaki
terkangkang. Badan merendah ke hadapan dengan bahu pula menyendeng ke belakang. Dua
tangan terayun-ayun longlai di kiri dan juga kanan. Mulut mengerenyih luas dengan bibir bawah dimasukkan ke dalam mulut. Gigi atas pula menjuih ke hadapan. Kepala angah terayun-ayun. Angah tertawa kecil penuh keriangan. Tingkahnya angah bagaikan tingkah seorang
budak terencat akal. Ditambah pula dengan tubuh yang separuh atas hendak terbalik ke
belakang dan separuh bawah lagi ke hadapan. Innalillah…

Dengan gembiranya angah terus menuju ke pintu rumah. Sedangkan nak berjalan pun punyalah susah payah. Itu semua tidak menjadi masalah. Bila hati angah berbunga-bunga ingin bertemu ‘seseorang’ yang dikatakan pesalah. Pesalah dalam derita sihir yang angah lalui.

Kaklong dan Ahmad segera menangkap tubuh angah lalu mereka mendudukkan angah di atas sofa. Angah menjerit-jerit marah kerana dihalang. Dihalang dari pergi menemui orang itu.

“Aku nak pi kat diaaa! Aku nak pi kat diaaa!” Pekik angah tidak tahu malu. Seolah-olah diri angah sedang ‘dinanti’ oleh orang itu.

“Hahahahahaha!” Angah ketawa menggila. Terlalu riang seolah memenangi sebuah pertandingan. Kaklong tidak menunggu lama. Henfon dipegang. Nombor tok ayah didial.

“Jom kita pi nak! Jom la kita pi sama-sama. Kat sini tak best!” Angah menghasut anak-anak tak henti, mengajak mereka pergi bersama. Pergi ke mana?

Angah kata, “dekat ‘tuan angahlah,”

Dah sapa suruh mereka tak bagi angah pergi. Angah geram sangat. Angah sakit hati. Angah ajak budak-budak tu, depa semua buat tak peduli. Buat macam angah tak wujud. Angah sedihlah.

Tok ayah sampai. Apa lagi, menjeritlah angah bila kena gempur dengan tok ayah. Kesian
tok ayah kena marah dengan angah. Angah benci tok ayah. Tok ayah selalu jadi penghalang.

“Aku tak suka hang! Aku tak suka!”
Angah bersuara garang. Angah pandang tok ayah dengan mata terbeliak. Tok ayah buat bodoh
saja. Dia tak kisah pun. Dia terus gempur angah.

Tok ayah hembuskan ayat-ayat yang dibacanya ke dalam rongga telinga dan mulut Angah. Berkali-kali tok ayah ulangi.

“Hahaha!” Angah ketawakan tok ayah. Angah pandang tok ayah sinis.
“Kau takkan menanggg! Dia milik akuuu!”

Angah menghambur kata bongkak. Riak, ujub dan takbur. Ketawa mencemuh tok ayah.

“Dia milik Allah!” Tok ayah tidak peduli. Dia teruskan usahanya untuk mengembalikan tubuh angah kepada diri angah semula. Suara angah, kadang seperti nenek yang terlalu tua, kadang garau pula. Entah berapa
jenis suara yang sebenarnya pada waktu itu. Angah sudah lupa.

“Sudahlah… aku nak solat zohor ni… Aku tak solat lagi!” kata angah tiba-tiba. Tok ayah tak peduli. Dia terus ruqyahkan angah.

“Kan aku kata aku nak solat zohor!” Dah lewat ni!” Angah membentak tok ayah. Tok ayah buat bodoh. Macam tak dengar ja. Mulutnya terus terkumat-kamit.

“Dah lambatlah. Sudah-sudahlah tu. Nanti aku berdosa tak sembahyang!” Angah semakin berang.

Tok ayah buat tak hairan juga. Dia terus membaca ayat-ayat suci tanpa henti. Tok ayah menghembus lagi ke rongga telinga dan mulut angah. Berkali-kali. Angah menyerah. Angah
biarkan sahaja apa yang tok ayah ingin lakukan kepada angah. Angah sudah penat. Angah nak tidur.

“Ija! Ija!” Tok ayah memanggil nama angah. Angah menjeling tok ayah seketika lalu memejamkan mata kembali.

“Ija!Ija!” Tok ayah memanggil lagi setelah menghembus-hembus beberapa ketika. Angah buka mata. Bibir angah tersungging. Sinis sekali. Mata angah terpejam kembali.Tok ayah tidak putus asa. Dia berusaha lagi. Entah apa yang dibacanya. Angah sudah tidak peduli.

“Ijaaa!” Angah anggukkan kepala. Perlahan angah buka mata. Angah pandang wajah tua tok ayah. Hati angah sayu.

“Ya…” Angah menjawab perlahan.
Tok ayah dudukkan angah. Tok ayah beri angah minum air ruqyah. Angah tersandar di sofa. Tubuh angah letih.

Waktu asar menjelang. Angah melangkah ke bilik air. Tok ayah minta angah pulang ke
rumahnya selepas itu. Tok ayah pulang dahulu. Dia ingin bersolat jemaah fardhu asar di surau. Tok ayah risau jika apa-apa terjadi lagi kepada angah, tok ayah tiada di sisi angah.

Azan asar berkumandang sewaktu angah melangkah keluar dari bilik air. Tubuh Angah rasa segar. Angah tunaikan fardhu asar dahulu sebelum angah mengqadhakan solat zohor yang terlepas.

Angah menyarung abaya dan tudung. Angah bersiap-siap untuk ke rumah tok ayah. Angah tidak bawa beg ke rumah tok ayah kerana di sana sememangnya sudah angah
tinggalkan pakaian dan barang-barang keperluan. Senang cakap… angah tinggal di dua buah rumah. Sekejap di rumah angah. Sekejap di rumah tok ayah. Sebab tok ayah akan selalu pinta angah balik ke rumahnya bila keadaan angah teruk.

Angah tinggal di sebuah taman perumahan yang bersebelahan dengan kampung tok ayah. Ia memudahkan kami untuk berulang-alik ke rumah tok ayah.

“Allah!” Tubuh angah terasa rengsa. Angah mula lemah. Angah terduduk di birai katil. Angah menahan kesakitan di tubuh sementara menunggu anak-anak angah bersiap. Angah sudah lali dengan kesakitan itu. Ia perkara biasa. Walau bagaimana sengsaranya, angah perlu tempuhi jua. Sudah tertulis, ini takdir angah!

Angah mengenakan niqab. Angah gagahkan diri melangkah. Angah menunggu anak-anak dengan sarung lengan dan stokin di tangan.

“Hahaha!” Angah ketawa semula. Ketawa sang hantu puaka. Kesakitan di tubuh hilang serta-merta.
Tubuh Angah tidak lagi terasa lemah kerana ia sudah dimiliki sang hantu puaka itu semula.

Ahmad datang lalu mengajak angah menaiki kereta. Dengan gembiranya angah melangkah keluar dari rumah. Sarung lengan dan stokin entah ke mana. Dengan berkaki ayam… angah pantas menaiki Saga FLX di depan rumah. Ahmad yang bergegas mengambil sandal Comfort Bata milik angah, untuk dipakaikan ke kaki angah, hanya mampu memandang kemudiannya.

Riang-ria seorang kanak-kanak terencat akal. Begitulah keadaan angah di kala itu. Angah rasa terlalu gembira. Bagaikan dunia ini bertukar syurga. Sedangkan jauh di sudut hati, angah sudah menangis. Hati angah… jiwa angah… kekal menjadi milik angah walaupun tubuh angah sudah dikawal sepenuhnya oleh sang hantu puaka-puaka itu.

“Wah! Kaklong pandai bawak keretalah…” Angah bersuara girang sewaktu kaklong masuk
dan mengundurkan kereta keluar dari pintu pagar rumah itu. Ahmad mengunci pintu rumah dan pagar lalu mengikuti kami dengan motornya.

“Kaklong pandai bawa kereta, tapi umie tak pandai!” Angah bersuara sambil memandang
kaklong dengan penuh kagum. Angah menghayun kedua-dua belah kaki dengan penuh keriangan. Kedua-dua betis angah berlaga-laga di bawah dashboard. Angah tak peduli.
Angah terlalu gembira dapat berjalan-jalan. Angah memandang pula kiri dan kanan jalan. Angah kagum melihat pemandangan di sekeliling angah. Bagaikan angah tidak pernah keluar dari rumah sebelum ini.

Ahmad Tsani di belakang memandang angah penuh hairan. Kaklong di sebelah diam tanpa kata. Hanya jarinya yang bergerak mengesat air di hujung
matanya. Dia terus memandu tanpa menghiraukan seorang budak terencat akal yang ada di
sebelahnya.

Airmata angah mengalir keluar tidak henti. Jiwa angah terlalu terhiris dengan diri angah ketika itu. Siapakah yang sudi merelakan dirinya menjadi seorang budak terencat akal. Angah pun tidak mahu, tetapi angah juga tak berupaya untuk merampas tubuh angah kembali ketika itu.

Jiwa angah merintih dari dalam. Jauh di dalam sana. Tidak tahu di mana. Hanya ruang yang gelap segelapnya. Di situlah angah apabila tubuh angah telah dikuasai sepenuhnya oleh hantu puaka yang bukannya cuma satu.

Angah turun dari kereta dengan pantas sebaik Kaklong matikan enjin kereta di depan pintu rumah tok ayah. Sekali lagi dengan berkaki ayam, angah melangkah masuk ke dalam rumah tok ayah dengan gembiranya sambil tersengih-sengih. Dengan bibir bawah sekali lagi dimasukkan ke dalam mulut. Gigi atas pula terjuih ke hadapan. Angah cabut tudung dan niqab tapi angah dah tak ingat angah letak di mana.

Angah ketawa sesuka hati. Berdiri ketawa. Berjalan pun ketawa. Duduk juga ketawa. Angah menangis pula teresak-esak. Tidak lama kemudian ketawa semula. Kemudian
menangis lagi. Alang dan Acik yang kebetulan pulang menziarahi maktok dan tok ayah mula kaget sebaik menyedari situasi angah itu.

“Awat umie hang tu? Sat gelak sat nangeh! Takut maklang tengok!” Alang bertanya kepada
Ahmad.

“Umie dok sakit tu, maklang. Tadi tok ayah pi rumah kami, baca doa kat umie. Ni tok ayah suruh bawak umie balik sini,” jelas Ahmad.

“Seram aihh!” kata alang kepada Ahmad sambil memandang angah dari jauh.

“Hang pikiaq apa ni, angah? Sampai jadi laguni! Hang bukannya boleh pikiaq banyak.” Alang menghampiri angah. Tidak lama setelah angah kelihatan waras semula. Adalah perkara biasa untuk angah sekejap surup sekejap okey pula.

Alang mengusap-ngusap kepala angah. Angah menangis semahu-mahunya dekat alang. Angah terlalu pilu dengan keadaan diri angah.

“A… a… aku pikiaq anak-anak aku.” Angah menangis lagi. Angah tergagap-gagap kerana bibir angah terlalu berat untuk dibuka. Nampaknya puaka-puaka itu masih enggan melepaskan tubuh angah.

“Hang toksah lah dok pikiaq. Hang kan tak boleh tertekan! Nanti ‘depa’ lagi senang nak kuasai hang!”

“T… t… tapi aku kesian kat anak aku. A… a… aku tak dapat jaga anak aku. A… a… aku asyik sakit ja…” Angah menangis lagi. Angah luahkan apa yang terbuku di hati.

Alang peluk dan cium kepala angah. Dia pujuk angah sedaya upaya. Dia minta angah supaya tidak berfikir apa-apa lagi. Alang terpaksa pulang dahulu kerana hari sudah petang. Lagipun alang drive sendiri. Nak balik rumah dia kena lalu jalan Bukit Lengkok. Nama jalan yang diambil kerana jalannya berlengkang-lengkok di sebuah bukit. Waktu malam memang membahayakan buat wanita kerana ia sunyi dan dikelilingi hutan. Tok ayah memang melarang kami melalui jalan itu di waktu malam jika tidak ada lelaki dewasa bersama. Angah selalunya akan lalu senyap-senyap tanpa pengetahuan tok ayah. Pukul sebelas atau dua belas tengah malam pun angah akan redah saja. Itu jalan shortcut yang ada dari Kulim ke Butterworth.
Angah tak larat nak pusing balik ikut highway BKE. Walaupun highway itu susur keluarnya di kampung kami juga.

Tok ayah pulang setelah alang sudah pergi. Tok ayah dengan aktiviti di surau sememangnya sukar untuk dipisahkan. Tok ayah hampiri angah dan bertanyakan keadaan angah.
Angah yang sudah terbaring di sofa menjawab dengan tergagap-gagap.
Tok ayah mempamerkan riak tidak senang. Dia hairan melihat angah tergagap-gagap begitu. Tok ayah tidak puas hati. Tok ayah akhirnya menggempur angah lagi. Habislah angah. Angah terus kesurupan
semula. Episod tadi berulang semula. Entah berapa lama pula kali ini angah pun dah tak ingat.

Apapun… sewaktu maghrib menjelang, angah termuntah dan terkencing di atas sofa serentak. Semuanya gara-gara digempur tok ayah.Tuhan Maha kaya. Angah sudah tidak tergagap lagi. Tubuh rasa ringan tetapi letih sangat. Satu hal lagi, angah perlu menyucikan diri segera.
Tok ayah ke surau untuk bersolat jemaah fardhu maghrib. Angah ke bilik air untuk
menyucikan diri dan membersihkan najis di pakaian. Acik pula mencuci najis di sofa.
Kasihan acik. Maktok juga yang relaks sahaja.

Nasiblah abaya angah. Terpaksalah angah membilas abaya kesayangan angah dari
Syria itu. Geram sungguh angah dekat puaka-puaka yang mengambil-alih tubuh angah tadi. Depa buka tudung angah saja tapi tak buka abaya angah sekali. Membebel-bebel angah dalam hati. Tak pasal ja angah kena bersihkan banyak helaian pakaian. Dengan t-shirt, seluar
panjang, pakaian dalam dan tambah pula abaya lagi. Sudahlah labuh pula tu.

Angah solat fardhu maghrib dan kemudian angah solat isyak pula setelah masuk waktunya. Angah berehat saja selepas itu. Tidak lama kemudian angah terlena pula kerana terlalu letih mengharungi kesurupan berjam-jam lamanya.

15.04.2018
Selepas zohor.

Angah mengikat rambut barbie angah ke atas kepala. Angah biarkan rambut itu menjurai dari
atas kepala. Angah baring dan mula menaip mengenai puja dan tubuh yang dikerat-kerat
dalam bab dua. Angah nekad. Angah akan habiskan manuskrip ini. Angah tidak kisah lagi.
Nak jadi apapun jadilah. Angah tahu kesurupan semalam bukan kebetulan. Kerana angah
sebenarnya membuka bab satu itu penuh dengan kenangan silam. Kisah itu adalah kisah
fiksyen yang angah inspirasikan dari kisah derita sihir angah. Angah sengaja meletakkan
tempat yang menjadi kenangan syahdu dalam hidup angah ke dalam bab itu.

Angah tahu mereka ‘terusik’. Angah peduli apa. Angah sudah lama terseksa kerana mereka.
Biarlah angah pula yang ‘menyeksa’ mereka.

Dalam bab dua itu angah inspirasikan dari mimpi maktok dan juga kisah di waktu angah
kesurupan dahulu. Angah ada tulis mengenai ini dalam satu kisah yang angah beri tajuknya
‘PETUNJUK’.

Maktok pernah bermimpi melihat tubuh angah sudah terkerat-kerat di satu tempat. Masa itu maktok sedang tidur semasa bermusafir di jalan Allah untuk menyampaikan dakwah
bersama tok ayah, lebih kurang lapan tahun yang lalu. Esoknya maktok terus meminta tok
ayah bersedekah di atas nama angah.

6.05.2018
11.36 pm

Angah tinggalkan sebentar kisah yang sedang ditulis angah itu untuk menulis kisah ini sejak
tengahari tadi. Sekarang dada angah mula sempit. Bahagian bawah perut angah bertambah
sakit. Angah berhenti dulu ya…

Allahu!

Hihihihihihi…
—–
Written by Cik Sri Pagi.

Cik Sri Pagi
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

46 comments

  1. For me, penulis menggayakan cerita ni dengan caranye tersendiri. Saya seronok dan faham penulisan beliau. Menarik dan semoga angah sentiasa tabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.