Diekori Pontianak Di Jalan Masjid Perodua

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca FS. Setelah sekian lama menjadi silent reader, hari ini saya mengambil keputusan untuk mengarang kisah seram yang betul-betul terjadi pada diri saya. Ini adalah kisah pertama daripada saya dan terima kasih kepada Fiksyen Shasha jika kisah ini disiarkan. Nama saya Al-Hafizh. Kisah yang ingin saya sampaikan bertajuk Diekori Pontianak Di Jalan Masjid Perodua.

Kejadian ini berlaku pada pertengahan bulan 7 tahun 2020. Untuk makluman pembaca, saya bekerja di kilang Perodua tapi saya dari syarikat yang lain. Waktu kerja saya ialah dari 8:00 pagi hingga 8:00 mlm (syif pagi) manakala syif malam pula dari pukul 9:00malam hingga 8:00 pagi.
Kejadian tersebut terjadi apabila saya bekerja pada syif malam.

Waktu itu saya meminta kebenaran untuk balik pada pukul 4:00 pagi kerana saya berasa tidak sedap badan seperti ingin demam. Apabila sudah dibenarkan balik, saya pun mengemas barang-barang. Saya menuju ke smoking area bersama kawan saya. Kebetulan waktu itu dia keluar sekejap untuk berehat . Kami berbual sebentar sambil menghisap sebatang rokok dan kawan saya mula membuka mulut pasal gangguan di jalan tersebut. Dia memberitahu bahawa ramai orang sudah terkena gangguan semasa melalui jalan itu. Saya mengabaikan saja dan menganggap kawan saya itu cuma mahu menakutkan saya. Setelah selesai menghisap rokok. Saya pun bersalaman dengan kawan saya yang bernama akim (bukan nama sebenar).

Selepas itu, saya menuju ke parking lot. Saya hanya menaiki motosikal untuk ke tempat kerja. Waktu yang diperlukan untuk sampai ke rumah hanyalah sekitar 30 minit. Semasa dalam perjalanan keluar dari kilang saya berasa tidak sedap hati dan teringat apa yang kawan saya ceritakan sebentar tadi. Jalan pada waktu itu agak lengang dan sunyi. Hanya kenderaan bermuatan besar seperti treler dan lori saja yang melalui jalan untuk ke kilang tersebut untuk menghantar barang dan jumlah kenderaan hanya sedikit.

Pada waktu itu saya sedang dalam perjalanan untuk ke jalan masjid itu. Didepan saya ada sebiji treler. Saya berasa sedikit lega kerana ada juga kenderaan. Hilang sedikit rasa ketakutan. Tetapi rasa lega itu tidak lama. Saya mengambil keputusan untuk memecut dan memotong treler tersebut dan disitulah bermulanya detik hitam saya. Semasa memotong, saya melihat di bahagian belakang treler tersebut dan saya dapati terdapat seekor cik pontianak sedang berdiri sambil memandang kearah saya. Saya tidak nampak jelas mukanya kerana ditutup oleh rambutnya yang panjang.Saya terus menarik nafas panjang dan anggap itu hanyalah imaginasi saya. Saya terus memecut laju hingga sampai di simpang empat, saya mengambil simpang ke kiri manakala treler tersebut jalan terus.

Tinggal lah saya keseorangan meredah jalan yang agak sunyi itu. Saya menyanyi sambil menunggang untuk menghilangkan rasa takut dan sebelum sampai di masjid tersebut tiba-tiba saya rasa seperti saya diekori sesuatu. Badan saya waktu itu sudah menggeletar dan serta-merta bulu roma menegak. Mulut saya terkumat-kamit membaca surah-surah yang dihafal. Saya hanya memandang kedepan. Untuk makluman, motor saya tiada sidemirror jadi saya tidak nampak apa-apa disisi saya. Tiba-tiba, saya terpandang sebelah kiri lalu ternampak cik ponti tadi sedang terbang sambil memandang ke hadapan. Saya terus jalan dan akhirnya sampai di masjid tersebut.

Waktu itu saya memberanikan diri untuk melihat adakah cik ponti itu ada lagi atau tidak. Alhamdulillah benda itu telah hilang. Saya meneruskan perjalanan dan sampai ke simpang Sg Choh lalu saya ke kanan dan terus hingga sampai dirumah. Saya bersyukur kerana gangguan tersebut berakhir setakat itu saja. Setelah sampai dirumah, saya tunggu sebentar di luar rumah untuk memastikan benda itu tidak mengikut saya pulang. Sekian cerita daripada saya.
Terima kasih kerana sudi membaca dan maaf jika kisah saya ini tidak seram dan tidak menarik. Jika ada masa lapang saya akan ceritakan lagi kisah-kisah seram yang berlaku dalam hidup saya.Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

1 thought on “Diekori Pontianak Di Jalan Masjid Perodua”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.