Diintai Cik Gaun Putih.

Salam sejahtera para penggemar setia laman FS sekalian. Sebenarnya, sudah lama aku nak tulis kisah seram yang pernah aku alami di sini tapi baru sekarang aku dapat kongsikan. Harap admin FS sudilah hendaknya untuk menyiarkan kisahku yang tak seberapa ni.

Maklumlah, bukan senang nak menulis daripada diceritakan dengan mulut, kan? Jadi, maaflah kalau ada yang kurang faham atau pening kepala masa baca cerita ni dan maaf jika ia tak seseram seperti cerita lain yang ada di laman ni.

Orang lain biasanya panggil aku Ben. Kejadian ni berlaku pada tahun 2000 di kampung aku yang terletak jauh di kawasan pendalaman negeri Bumi Kenyalang. Masa tu, aku baru berumur 8 tahun dan ada seorang kakak yang berumur 11 tahun.

Suatu hari setelah aku dan keluargaku makan malam, kitorang pun duduk menghadap tv di ruang tamu. Masa tu, jam baru pukul 8 lebih dan kitorang tengah tengok berita. Tak lama lepas tu, kakak aku suruh aku temankan dia ke tandas sebab perut dia sakit.

“…Dik, teman akak kejap…” katanya sambil memulas perut buncitnya.

“…Haaa, tu lah makan banyak sangat… Mentang-mentang mak masak makanan ‘favourite’ akak hari ni… ” tegurku sambil ketawa.

“…Haaa aa, jomlah… Akak dah tak tahan ni…” dihentaknya kaki ke lantai simen rumah kitorang tanda protes.

Terpaksalah aku hantar dia ke tandas kitorang yang terletak di luar belakang rumah. Dah lah belakang tandas kitorang tu hutan tebal yang masih belum dijarah manusia dan tepi rumah pula lebat dengan dusun buah-buahan tempatan. Kawasan tu memang gelapdiaktu malam, cuma lampu dalam tandas je ada. Rumah jiran pun semua jauh.

Bercahayakan lampu suluh, akhirnya kitorang berdua pun sampai kat tandas yang berjarak 3 kaki dari belakang rumah. Tekan suis ‘on’ dan lampu dalam tandas pun nyala. Dah sedap aku terpacak kat depan pintu tandas tu jadi sekuriti tak berkelayakan, tiba-tiba aku dengar kakak aku jerit siap mendengus lagi.

Aku pun cuaklah sebab dia tiba-tiba lagu tu. Takut dia disampuk dengan makhluk apa ntah. Tak pun, dia saja nak ‘prank’ aku ke kan. Rupa-rupanya, air paip takde. Nasib baiklah dia belum ‘membuang’. Kalau tak, macam manalah dia nak basuh?

Lepas tu, dia suruh aku temankan dia pergi ke satu batang air yang memisahkan rumah kitorang dan dusun buah milik jiran sebelah. Mula-mula tu, aku tak nak sebab kawasan air tu terkenal keras dan jaraknya pun agak jauh dari rumah kitorang.

Dah banyak orang kena kacau kat tebing air tu, termasuklah jiran kitorang yang tinggal bersebelah dusun buah tu, kakak aku yang paling sulung dan adik perempuan aku. Kalau ada kesempatan, aku akan ceritakan kisah diorang, ok…..

Nak tak nak, aku pun aok ( iya ) sajalah sebab kesian tengok kakak aku yang berusaha menahan air besar dia. Masih bercahayakan lampu suluh, kitorang pun meredah semak dan belukar nak ke tebing air tu yang seluas parit besar dan secetek paras kaki saja.

Memang meremanglah masa tu sebab sunyi sangat. Cuma bunyi cengkerik dan sesekali bunyi anjing melolong yang menjadi OST babak kitorang kat situ. Di tambah pula ‘cameo’ nyamuk yang sibuk nak minta derma darah siap buat bunyi ambulan kat tepi telinga masa tu.

Dah jumpa ‘spot’ yang elok, kakak aku pun mulalah dengan projek membuang baja kompos dia sementara aku yang pegang lampu suluh melilaukan mata melihat sekeliling tebing air tu. Tengah syok main lampu suluh tu macam lampu kelab malam, tiba-tiba aku ternampak sesuatu kat pokok koko di tebing sebelah sana. Ye, aku nampak dengan jelas dan sesuatu itu sedang duduk dengan ayunya kat pokok koko yang lurus bak bangku. Kebetulan masa tu aku betul-betul bertatapan mata dengannya.

Dengan rambutnya yang panjang berserabai macam orang tak pernah pakai syampu Pantene mencecah punggung, mukanya yang biru pucat terlebih ‘make up’ dan matanya yang keseluruhannya berwarna hitam pekat dengan bawah matanya hitam macam orang tak cukup tidur tersenyum ke arahku dengan bibir pucat merekah bak orang kurang minum air.

Terus aku rasakan lututku seakan longgar dan jantung aku berdegup sangat kencang namun tak berbunga-bunga macam orang dilamun cinta. Peluh sejuk mula beranak-pinak keluar memenuhi dahi dan seluruh badan aku. Bulu roma aku dah tak payah nak cakap macam mana. Dah macam bulu ekor kucing yang terpacak masa nak buka buku lima dengan kucing jantan yang rampas awek dia.

Agak lama juga aku bertatap mata dengannya. Setelah puas main jeling dan siap kenyit mata denganku, akhirnya aku mampu menggerakkan kaki aku dan berpusing ke kakak aku yang belum tahu lagi yang dia tengah diintai cik gaun putih yang kusam tak pernah dicuci dengan Vanish tu. Perlahan aku pergi tepi kakak aku yang duduk mencangkung di tebing air.

“…Kak, tengok belakang kat pokok koko tebing sebelah sana…” bisikku.

Kakak aku pun perlahan-lahan menoleh ke arah yang aku bisikkan tadi. Belum sempat kakak aku nak bertentang mata dengan ‘cik’ tu, tiba-tiba pula lampu suluh yang aku pegang terpadam sendiri. Masa ni jugalah dia nak habis bateri. Aku yang dah takut sangat-sangat pun sedia nak angkat kaki dari situ.

“…Haaaaannnnntttuuuuuu…!” jeritku dengan kuat lalu tanpa menunggu wisel ditiup terus aku lumba lari pecut dengan kakakku yang aku tak tahu sudah basuh ke tak masa tu.

Tanpa menghirau kakakku, aku terus berlari ke rumah. Mujurlah aku yang sampai dahulu dan memenangi perlumbaan yang tak bermedal tu sebab aku lihat kakak aku beberapa tapak jauh di belakangku.

Nasib baik dia bukan Kak Ros. Kalau tak, mesti dia cakap “…bertuah punya budak… ” kat aku lalu beri penampar kesayangnya. Tanpa aku sedar, aku cuma memakai sebelah selipar saja dan sebelah lagi hilang entah kemana saat aku lari pecut tadi.

“…Adik, kenapa lari..? buat orang terkejut je…” tercungap nafas kakak aku sambil membetulkan seluarnya.

“…Adik nampak hantu tadi kat pokok koko. Kakak tak nampak ke..? ” cungapku tak cukup oksigen.

“…Dah kenapa dengan korang berdua…? Terpekik, terlolong-lolong malam-malam ni. Dah…masuk cepat…!” celah mak aku yang tercegat kat depan pintu belakang.

“…Entah adik ni..? Tiba-tiba je lari tinggalkan akak… Nasib baik akak dah basuh tadi… ” luah kakak aku kehairanan.

“…Tadi, adik ada nampak hantu kat dahan pokok koko Pak Mok ( pemilik dusun ). Kakak pun ada nampak kan tadi masa akak toleh belakang…?” soalku hendak mendapatkan kepastian.

“…Entah..? Akak tak nampak apa-apa pun sebab lampu suluh terpadam tadi. Yang adik tiba-tiba hilang kat tepi akak, akak pun cepat-cepatlah basuh lalu lari ikut adik.” kakak aku memberi penjelasan.

“…Hhhmmm…Tu mesti guni yang Pak Mok guna untuk karung buah nangka dia. Belakang pokok koko tu kan ada pokok nangka.” mak aku tak percaya.

“…Betul ada hantu tadi. Adik nampak dengan jelas tadi dan dia juga lihat adik…” jelasku hampa.

“…Salah tengoklah tu. Dah laa…pergi masuk lepas tu tido. Esok sekolah.” mak aku masih tak percayakan aku.

Aku masuk rumah dan bagitahu bapa dan adik-beradikku yang lain tapi semua tak percaya cakap aku. Dah lah kakak aku yang jadi alibi pun tak nak membela aku. Bertuah punya kakak. Aku pun masuk bilik lalu tidur.

Tengah malamnya aku terjaga sebab nak kencing tapi aku terdengar suara mengilai dari belakang rumah. Aku buat tak endah dan sambung tidur sehingga keesokan harinya. Nasib baik tak terkencing kat atas tilam.

Esoknya setelah pulang sekolah dan nak keluar main, aku pun pergilah cari selipar bata aku yang hilang. Rupa-rupanya, selipar tu tak jauh dari tebing ‘spot’ kakak aku membuang. Sebelum balik tu, aku tengok pokok koko semalam, nak cari guni nangka macam yang mak aku cakap tapi takde satu pun guni tergantung kat pokok nangka tu.

Jadi, memang betul lah apa yang aku nampak malam tadi. Itulah pertama kali aku nampak benda tu, cuma tak pasti yang tu kak ponti atau cik langsuir. Aku pun cepat-cepat pergi dari situ lepas ambil selipar dan masa aku nak pusing badan aku, aku rasa ada sepasang mata sedang memerhatikan aku…

Sekian.

Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

bEN_dayuh
FOLLOW FB KAMI.

3 comments

  1. cerita dah okay, tapi tak payah lah nak buat lawak sebut
    -mcm orang tak pernah pakai syampu Pantene
    -mukanya yang biru pucat terlebih ‘make up’
    -jantung aku berdegup sangat kencang namun tak berbunga-bunga macam orang dilamun cinta
    -tanpa menunggu wisel ditiup terus aku lumba lari
    -perlumbaan yang tak bermedal

    buat org anoyyed baca, cerita direct je terus tak payah tambah tambah lawak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.