Disantau Ipar

Hai semua. Nama aku Iris. Sebelum ini aku ada menulis beberapa kisah seram di page ini. Disebabkan hari ini aku free, aku akan menulis sebuah kisah seram yang ringkas tetapi menyayat hati aku sebagai sahabat. Aku nak bagitau siap-siap ini bukan kisah KRT ya! Haha.

Kisah ini berlaku tahun lepas. Aku namakan kawan aku sebagai Lea. Kebetulan aku sedang bercuti di Terengganu, jadi aku terus menelefon Lea untuk berjumpa. Maklumlah sudah lama kami tak bertemu sejak dia berkahwin. Lea bersetuju dan dia datang bersama suaminya. Kami berjumpa di sebuah kedai makan tepi laut.

Awal bertemu, aku sedikit terkejut. Wajah Lea nampak sedikit berusia dan kusam. Badannya juga sedikit susut. Tetapi senyumannya tetap sama. Manis. Kami berborak rancak mengenang kembali zaman sama-sama belajar di Selangor. Perangai Lea masih seperti dahulu. Ceria dan kelakar.

“Sebenarnya aku sakit teruk. Sebab tu lama tak bunyi dalam group. Kadang-kadang kau WhatsApp pun aku tak balas.” tiba-tiba Lea berubah muram. Suaminya yang aku panggil Amad terus menggenggam tangan Lea.

“Kau sakit apa?” jantung aku dah berdetak kencang. Risau kalau Lea disahkan penyakit kritikal.

Lea pun buka cerita dengan keizinan suaminya. Sesekali Amad akan menyampuk untuk bercerita. Lea kata awal perkahwinan mereka sangat bahagia. Amad pula dapat kerja tetap di Terengganu dan Lea jual kek dari rumah. Kehidupan mereka agak selesa. Sehinggalah kakak kepada Amad berpindah ke rumah mereka bersama suaminya.

Suami kepada kakak Amad ni penganggur. Jadi, kakaknya bercadang supaya suaminya turut mencari rezeki di Terengganu. Sebelum ini mereka tinggal di rumah pusaka keluarga Amad di Pahang. Amad dan Lea bersetuju kerana kakaknya berjanji untuk tinggal seminggu dua sementara suaminya dapat kerja. Nanti dia akan minta Amad carikan rumah sewa lain.

Hari kedua kakak Amad dan suaminya tinggal di situ, macam-macam jadi. Suami kakak Amad p****g kek customer dan makan tanpa rasa bersalah walaupun sudah diberitahu itu kek yang ditempah. Alasannya, sudah lama dia teringin nak makan kek. Terpaksa Lea buat semula dan hadap amarah customer sebab lambat hantar kek birthday.

Hari seterusnya suami kakak Amad diterima kerja kilang tetapi ditolak. Alasannya sebab kerja shift. Dia mahu kerja pagi sehingga petang sahaja seperti Amad. Hari demi hari, genap sebulan mereka suami isteri tinggal di rumah Amad dan Lea. Segala makan minum ditanggung Amad. Pakaian kotor mereka pun Lea yang basuh. Mereka cuma letak di baldi.

Disebabkan Lea tidak tahan, dia terus bertanya sampai bila suami kakak Amad tidak mahu bekerja. Mereka tiada anak kecil, jadi tiada pun masalah kalau kerja shift. Kakak Amad dan suaminya terus marah. Lea dimaki hamun. Mereka kata Lea pun menumpang senang Amad. Kakaknya kata Lea orang luar, sedangkan Amad itu d***h dagingnya.

Malam itu, Lea tidur awal. Walaupun dipujuk Amad, hatinya tetap sakit dimaki hamun. Sehinggalah azan Subuh kedengaran, barulah dia bangun dan terus turun ke dapur. Rutin biasanya dia akan masak nasi dahulu sebelum naik mandi dan solat Subuh. Hari cuti begini tak kalut sangat untuk buat sarapan.

Sewaktu dia keluar dari bilik, dia terdengar seseorang berjalan menuruni tangga. Disebabkan lampu tidak dipasang, dia tidak tahu siapa yang berjalan. Lea sedikit pelik sebab biliknya saja di tingkat atas manakala bilik kakak Amad di tingkat bawah. Jadi, siapa yang turun?

Disebabkan tak mahu fikir bukan-bukan, Lea buat tidak endah sahaja dan terus turun ke dapur. Tangannya sempat petik suis lampu di ruang tengah supaya terang sedikit. Tiba-tiba terdengar bunyi air paip sinki dibuka. Lea terus berjalan ke dapur dan buka lampu. Kosong. Tiada sesiapa. Anehnya air paip mencurah keluar seperti seseorang yang buka.

“Takkan lupa tutup dari malam tadi.” gumamnya sendiri. Dia terus tutup paip dan mencapai periuk nasi.

Sedang membasuh beras, tiba-tiba ada kelibat melintas di belakangnya. Rapat sangat sehingga dia rasa sedikit seram. Bila dia menoleh, tiada sesiapa. Lea sudah ketakutan tetapi dia tetap meneruskan basuhan beras. Tiba-tiba bunyi pintu peti sejuk dibuka kedengaran. Peti sejuk berada betul-betul di belakangnya.

Dengan penuh rasa takut, Lea menoleh. Dia sedikit terkejut melihat suami kakak Amad sedang terbongkok-bongkok makan lebihan lauk dari dalam peti. Bunyi dia makan agak rakus dan menyeramkan. Teragak-agak Lea menegur.

“Bang Jan, kenapa makan lauk sejuk-sejuk?”

Sebaik sahaja habis Lea bercakap, suami kakak Amad terus berhenti melahap. Dia berpaling memandang Lea. Lea terkejut melihat mata suami kakak Amad berwarna kemerahan seperti sedang menahan marah. Dia menyeringai sehingga menampakkan giginya yang bersalut d***h. Entah d***h apa.

Lea terus tinggalkan periuk nasinya lalu berlari ke biliknya di tingkat atas. Badannya menggigil. Suaranya seperti tersekat untuk bercakap atau menjerit. Mujurlah dia dapat melarikan diri. Macam mimpi tetapi betul-betul dia nampak suami kakak Amad seperti hantu.

“Betul ke ni? Sampai menggigil teruk ni.” Amad cuba menenangkan Lea sejurus Lea selesai bercerita.

“Betul… Abang Jan makan benda dalam peti. Mata dia merah, gigi dia ada d***h.” Lea terus menangis ketakutan.

Pagi itu, Amad bertemu kakaknya dan bertanyakan hal yang berlaku. Apa lagi, terus berlaku pergaduhan. Suaminya turut masuk campur, lawan bertekak sehingga Lea terpaksa turun ke bawah. Dia malu kalau jiran-jiran dengar.

“Bini kau ni perangai buruk. Dia memang tak suka kami duduk sini. Sebab tu la dia buat cerita bukan-bukan.” kakak Amad terus menyerang Lea.

“Kak Oja cakap baik-baik sikit ya. Makan minum Kak Oja dengan Bang Jan tu saya yang buat. Baju pun saya yang basuh. Kalau saya tak suka, saya tak buat semua tu.” Lea membalas. Dia pun bukan jenis penyabar.

“Kalau kau halau aku dengan laki aku, kau bukan adik aku lagi. Kalau aku m**i pun kau jangan datang!” ugut kakak Amad.

“Kak, kami bukan nak halau akak. Kami pun risau kalau Bang Jan tak kerja, akak laki bini nak makan apa? Tapi isu sekarang, Amad cuma tanya betul ke apa yang Lea nampak Subuh tadi. Kalau benda tu tak betul, tak apalah. Mungkin Lea salah pandang.” kata Amad dengan lembut.

“Oja, kemas kain baju. Kita balik Pahang. Baik aku bela ayam itik dari duduk rumah orang yang tak ikhlas!” marah suami kakak Amad.

“Tapi kau kena ingat, lepas ni hidup kau tak tenang. Kau yang hasut laki kau kan!” sambungnya sambil menunding jari ke arah Lea.

Pagi itu juga Amad menghantar kakak dan abang iparnya ke terminal bas. Dia berikan sedikit duit dengan harapan suami kakaknya cepat dapat kerja. Kemudian, dia terus menelefon Lea ketika dalam perjalanan. Dia tahu isterinya makan hati.

“Lea okay ke? Abang minta maaf. Kejap lagi abang balik. Abang nak singgah ambil barang dekat rumah Taha sekejap.”

“Lea bukan nak ungkit tapi sampai hati mereka kata Lea macam-macam. Lea buat itu ini, tapi sikit pun tak terima kasih. Kakak abang langsung tak tolong masak, tak basuh baju, tak kemas rumah, tapi Lea diam. Lea penat jadi hamba.” luah Lea dengan tangisan.

“Ye, abang kenal isteri abang. Dah la tu, nanti kita pergi jalan-jalan.” pujuk Amad.

Belum sempat Lea membalas, tiba-tiba terdengar gelas pecah. Lea terkejut. Cepat-cepat dia matikan telefon dan pergi ke dapur. Peliknya dapur dalam keadaan baik.

‘Rumah jiran kot.’ getus hatinya.

Tiba-tiba telinganya menangkap bunyi plastik dari dalam bilik air. Bunyi seperti kita sedang main plastik. Lea menolak pintu bilik air. Kosong. Dia mula rasa tak selesa. Rasa dipermainkan oleh sesuatu yang dia tak nampak.

Malam itu, Lea tersedar dari tidur apabila terdengar suara budak-budak ketawa riang. Bunyi itu datang dari depan biliknya. Apabila dia buka pintu, bunyi itu hilang. Tidak lama kemudian, bunyi itu muncul semula. Bila ditanya kepada Amad, Amad tidak mendengarnya.

Sejak itu, setiap malam Lea akan diganggu dengan bunyi suara budak atau ketukan di pintu. Sesekali terdengar suara perempuan menyanyi. Amad kasihankan isterinya yang tak cukup tidur gara-gara gangguan. Jadi, dia merancang untuk bawa Ustaz Ahmad datang ke rumah untuk tengok apa yang berlaku. Ustaz Ahmad ialah bilal di masjid berdekatan taman perumahan mereka dan berkebolehan merawat orang yang terkena gangguan dengan izin Allah(S.W.T).

Selepas Maghrib, Amad dan Ustaz Ahmad sampai dan pintu rumah terbuka luas. Mereka terkejut melihat Lea duduk mencangkung di atas meja makan di ruang tengah. Rambut panjangnya melitupi wajah dan kepalanya terangguk-angguk seperti sedang makan sesuatu.

“Lea?” Amad mendekati isterinya. Ustaz Ahmad mengekori dari belakang sambil baca sesuatu.

Lea mencampak sesuatu ke atas meja sambil mendengus marah kerana Amad mengganggunya. Amad terperanjat melihat barang yang dicampak itu adalah tuala wanita yang masih ada sisa d***h yang sudah kering. Lebih mengerikan apabila Lea mengangkat wajahnya merenung Amad. Renungannya seperti singa melihat mangsanya.

“Amad, ke tepi.” Ustaz Ahmad terus berdiri di hadapan Amad dan membaca sesuatu.

Lea menjadi berang. Dia mendengus-dengus. Secara tiba-tiba Lea melompat turun dari meja lalu berlari masuk ke bilik tetamu. Bilik itu bilik yang pernah didiami kakak Amad dan suaminya. Ustaz Ahmad dan Amad mengejar dari belakang.

“Ya Allah…” Amad menutup hidung. Bau d***h memenuhi segenap ruang.

Lea duduk mencangkung berdekatan almari. Dia menarik sesuatu dari celah almari. Tuala wanita! Belum sempat Lea mencium tuala wanita yang kotor itu, Ustaz Amad terus memegang kepalanya dan membaca ayat tertentu untuk memaksa benda itu keluar. Dia mengeluarkan biji lada hitam dan mencampak ke arah Lea.

Lea menjerit kesakitan. Tidak sampai lima minit, Lea sudah rebah. Amad mengendongnya dan meletakkannya di atas katil di bilik itu. Kemudian, Amad dan Ustaz Ahmad menolak sedikit almari. Alangkah terkejutnya apabila penuh gulungan tuala wanita yang kotor jatuh ke lantai.

“Dulu bilik ni kakak saya dan suami dia guna. Masa mereka dah keluar, saya dengan Lea kemas. Tak perasan pula ada pad terselit celah almari. Kenapalah dia tak buang dalam tong sampah.” kata Amad.

“Sebab dia memang berniat nak bagi benda tu makan.” balas Ustaz Ahmad.

“Kakak saya membela ke?” Amad terkejut.

“Bukan milik dia tapi milik suami dia. Benda tu masih ada di rumah ni. Kamu temankan isteri kamu di sini. Biar saya uruskan benda tu.” Ustaz Ahmad terus keluar dari bilik. Kedengaran azan dilaungkan.

Hampir satu jam, Ustaz Ahmad pun selesai. Dia kata belaan tu bukan seekor. Hanya beberapa ekor sahaja dia dapat tangkap dan masukkan ke dalam botol. Ustaz Ahmad pagar rumah dengan garam sebelum pulang. Dia juga menyuruh Amad hati-hati.

“Dia sakit hati dengan isteri kamu. Sebab itulah dia tinggalkan belaan dia untuk ganggu isteri kamu.”

Selepas kejadian, Amad memang gaduh besar dengan suami kakaknya. Mula-mula tak mengaku tapi akhirnya suami kakaknya terlepas cakap dan jujur. Tapi dia tetap salahkan Lea. Katanya Lea punca mereka suami isteri keluar dari rumah Amad. Kakaknya pun mempertahankan suaminya.

“Lepas ni jangan ganggu keluarga Amad lagi. Selagi Bang Jan dan Kak Oja tak minta maaf, Amad takkan balik Pahang. Amad buat baik, macam ni korang balas.” itu kata-kata terakhir Amad sebelum memutuskan talian.

Kehidupan mereka kembali normal tetapi seminggu kemudian Lea berasa badannya sakit mencucuk. Selera makannya juga berkurangan. Badannya sekejap panas, sekejap sejuk. Dia bimbang kena Covid. Bila jumpa doktor, semua normal.

Suatu hari, ketika sedang membersihkan kawasan belakang rumah, dadanya terasa sesak. Lea terbatuk-batuk sehinggalah keluar setompok d***h. Kepalanya terasa sakit. Cepat-cepat dia menelefon Amad. Mereka terus ke hospital. Mula-mula doktor suspect batuk kering tetapi bila keluar keputusan, tiada apa-apa masalah.

Keadaan Lea makin hari makin merosot. Selera makannya kurang, dia suka duduk sendirian melayan perasaan dan sesekali dia menangis. Dia rasa takut tetapi tidak tahu takut apa. Amad bimbang kejadian tempoh hari berulang atau ada kaitan juga dengan apa yang jadi. Dia pun ambil keputusan untuk bawa Lea berubat.

Jadi, mereka pergi ke pusat rawatan Islam walaupun Lea berasa berat hati. Di sana, Lea muntah berkali-kali ketika rawatan dijalankan. Perawat itu kata Lea disantau oleh seseorang yang dengki dengannya. Orang yang ada pertalian dengan keluarga mereka.

Lea dan Amad ulang alik buat rawatan sehingga Lea benar-benar sembuh. Di rumah juga mereka sudah mula solat secara berjemaah dan sentiasa baca Quran bersama. Mengenai orang yang hantar santau itu, Lea dan Amad sendiri yang bersemuka dengan kakak Amad dan suaminya. Walaupun mereka tahu siapa yang salah tapi selepas berbincang dengan perawat, mereka sendiri yang rendahkan diri untuk minta maaf.

“Lea nak minta maaf kalau buat Bang Jan dan Kak Oja rasa tak senang dengan Lea. Lea sayangkan akak dan abang macam keluarga Lea sendiri. Walaupun teruk Lea kena, Lea tak simpan dendam. Lea cuma nak minta maaf dan mohon supaya jangan buat benda-benda macam ni lagi.” kata Lea ketika mereka bertemu di Pahang.

“Amad pun nak minta maaf. Tipulah kalau Amad tak rasa marah sebab buat isteri Amad macam ni tapi Amad nak kedamaian. Jangan bergantung pada benda-benda macam tu. Kalau lepas ni akak dan abang nak terus benci keluarga kami, kami tak boleh cakap apa. Tapi jangan guna benda macam tu.” Amad pula bersuara.

Kakak Amad dan suaminya tidak senang duduk. Sekejap pusing kiri, kanan, berdehem, tunduk. Tak ada muka sedih. Muka mereka tetap masam mencuka.

“Jadi, kau datang nak tuduh kami hantar benda macam tu?” tiba-tiba suami kakak Amad bersuara.

“Bukan. Kami nak berbaik.” Amad terus menjawab.

Suami kakak Amad ketawa mengejek.

“Nak berbaik konon. Orang macam kau berdua ni eloklah kena santau, kena sihir. Tolong adik-beradik pun payah.” kata suami kakak Amad.

“Mana Bang Jan tahu Lea kena santau?” Lea terus bertanya.

Terus berubah air muka suami kakak Amad. Dia tercengang seketika.

“Eh, korang berdua baliklah. Mulai sekarang, kau jangan kacau aku. Aku dengan laki aku pun tak mahu lagi ambik tahu pasal korang. Dah, pergi balik!” kakak Amad terus bangun dan menunding jari ke arah pintu rumah.

Akhirnya Amad dan Lea bergerak pulang. Mereka malas memaksa untuk berbaik. Lea tetap teruskan rawatan dan kuatkan diri dengan amalan yang mendekatkan diri dengan Allah untuk kuatkan dirinya. Disebabkan tubuhnya pernah dirasuk dan disantau, jadi dia mudah rasa lemah. Pergi mana-mana pun orang akan tegur perubahan badannya yang semakin kurus.

Okay korang, settle kisah ipar toxic. Haha. Dengan keluarga sendiri pun sanggup buat begini. Dekatkanlah diri kita dengan Tuhan supaya kita sentiasa berada dalam lindungan-Nya. InsyaAllah.

Iris
Rating Pembaca
[Total: 148 Average: 4.9]

3 comments

  1. Org yg jenis x serik2 lg menganiaya hingga kesanak saudara mcm ni dah ditahap bahaya ni.
    Cubalah dapatkan perawat yg dapat pulangkan balik benda2 yg dihantar tu kesipenghantar tu supaya mereka dapat rasa betapa sakitnya penganiayaan yg mereka dah buat.
    Tujuannya bukanlah utk balas dendam, tp hanyalah sebagai peringatan dan cara utk menyedarkan mereka tu Sb dah ditegur dinasihat pun masih x peduli.
    Sebagai adik kandung, Ahmad tu tentu sayangkan kakaknya tu. JD ikhtiarkan lah agar kakak dgn suami dia tu berubah dan taubat.
    InsyaAllah

  2. Sial nyer manusia…dh lah menumpang…dok mcm tuan beso…usah dibuat baik…elok mampos jer org mcm tuh…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.