Disapa Hantu Laut

Assalamualaikum wbt.

Kali ini aku akan sampaikan pengalaman sebenar aku, pengalaman mistik kedua dalam hidup aku. Iaitu kejadian sewaktu aku pergi mencandat sotong di tengah laut. Sebelum itu, aku tak pernah lagi ke tengah laut. Ke pulau-pulau tu biasalah bercuti. Kalau ke pantai tu pun agak biasa, sebab rumah ibu bapa aku pun berhampiran pantai. Bawa kereta dalam 15 minit pun dah sampai. Jadi, biasalah mandi-manda dekat pantai zaman kecil dulu.

Kisahnya ringkas sahaja dan tak seram sangat pun. Sebabnya mungkin aku ni membosankan sikit kot. Jadi, hantu-hantu ni sama ada malas nak kacau aku atau pun kalau kacau pun, mesti hantu tu jenis yang tak pernah jumpa manusia. Sebab tu kejadian mistik ni hanya berlaku ketika aku berada di tempat-tempat yang ekstrem seperti tengah laut dan satu lagi kisah aku sebelum ni, di tengah hutan tu sahaja. Dan kalau kena kacau pun, dia kacau macam tu je la. Tak meleret sampai balik rumah ke. Alhamdulillah lah setakat ni.

Okey, kisahnya begini. Pada suatu petang tu sekitar tahun 2013, syarikat tempat kawan aku bekerja ni, nama dia Asmad, menganjurkan aktiviti mencandat sotong bersama ahli keluarga atau rakan masing-masing. Jadi, Asmad ni ajaklah aku dan seorang lagi kawan kami iaitu Fazilah. Kami ni kawan daripada sekolah rendah lagi. So, alang-alang semua ada masa lapang, kami pun bergabung lah.

Tak ramai sangat yang turut serta, ada dalam berbelas-belas orang sahaja. Kami mula bergerak masa lepas maghrib. Bot yang kami sewa tu, dia macam motorbot biasa yang orang bawa pelancong-pelancong pergi pulau. Tak besar, tak kecil sangat. Bahagian belakang tu ada tempat duduk yang menyandar kat dinding bot tu. Dekat bahagian tengah, dia banyak kerusi, macam dalam bas, bersusun kerusi. Satu baris tu ada lah dalam lebih kurang 7 kerusi. Lepas tu, bahagian depan tu, ada juga tempat boleh duduk yang menyandar ke dinding bot dan bahagian depan ni dia terbuka, tidak tertutup. Jadi, bolehlah nak usha bintang ke kat depan tu.

Jadi, waktu maghrib tu, kami pun mula bergerak. Masuk je bot tu, Fazilah mula loya-loya dan pening kepala. Walaupun bot tak bergerak lagi. Cuma, bergoyang-goyang dibuai air laut sahaja. Tapi, Fazilah sudah merasa mabuk laut teruk. Jadi dia pun mulalah tidur dan berbaring. Perjalanan tu agak lama juga, walaupun bot tu memang laju. Boleh kata sejam lebih juga lah untuk ke tempat mencandat sotong tu. Memang jauh ke tengah laut lagi melepasi Pulau Kapas. Aku sebut pulau tu sebab jeti yang kami naik bot tu memang Jeti untuk ke Pulau Kapas, dekat dengan Masjid Terapung tu.

Dah sampai ke tempat yang dituju, bot pun dihentikan enjinnya dan generator gas pun dipasang untuk menghidupkan lampu. Tetapi, lampu cuma dipasang di bahagian belakang sahaja. Keadaan laut sangat bergelora. Kami mulakan dengan solat isyak dulu di bahagian tengah tu. Nak solat tu pun kena pegang kerusi, sebab memang tak mampu melawan gelora laut tu. Terhuyung-hayang kami dibuatnya. Memang kalau nak pergi mana kena berpaut pada mana-mana bahagian bot, takpun merangkak, kalau tak, silap haribulan memang boleh terhumban ke dalam laut la jawabnya.

Dipendekkan cerita, aktiviti macam biasa. Aku dapat sotong, diorang dapat sotong. Sama-sama dapat sotong. On repeat. Fazilah pun masih terbaring lagi. Sampailah suatu waktu tu, lebih kurang pukul 3 pagi. Kami yang di bahagian depan ni, macam kurang hasil, manakala mereka yang di bahagian belakang ni macam terlebih hasil la pula. Jadi, satu persatu mereka yang berada dekat depan ni pun mula berpindah ke belakang. Aku pula, dah pukul 3 pagi, kegirangan untuk mencandat sotong tu pun dah kurang sikit. Jadi, aku pun duduk je la dekat depan tu. Lama-lama, tanpa kusedari aku tinggal berseorangan. Masa tu memang dah takde mood nak mencandat. Aku pun duduk menyandar ke dinding bot tu sambil tunggu nasib ada hasil je la. Tiba-tiba aku terdengar suatu bunyi aneh. Seperti bunyi orang berdehem + nak bersin tapi tak jadi. Bunyi tu daripada belakang aku. Aku duduk menyandar ke dinding bot masa tu, kat bahagian depan bot tu kan tiada kerusi. dan dinding tu bukan tinggi mana pun. Cuma setakat boleh duduk menyandar di mana ianya boleh kata hanya atas sikit daripada paras pusat aku. Jadi, aku duduk tu membelakangi laut dan maknanya bunyi itu datang daripada laut tu lah. Sebagai peminat misteri jam 12 siaran radio Singapura tu, aku dah tersebati dengan nasihat dalam kebanyakan cerita yang disampaikan DJ KC tu, supaya jangan tegur dan buat-buat tak tahu, kalau tak, dia mungkin akan berminat nak ikut kita balik. Maka, aku pun, buat tak tahu. Tak melayan bunyi-bunyian tu. Sekian, setakat tu je la kisah seram aku.

Cuma kalau nak diperpanjangkan lagi kisah ni, aku akan huraikan lagi kenapa aku yakin kejadian ni adalah kejadian mistik. Aku waktu tu, tak secemas dan tak rasa seseram yang aku jangka seperti mana bila aku tengok wayang cerita hantu. Aku macam, aku jadi semacam menerima takdir je la. Pasrah, dah benda tu nak kacau nak buat macam mana. Tapi, demi kesihatan dan keselamatan aku, takut dia main cak-cak kiri kanan dengan aku, boleh kena sakit jantung kot. Jadi aku pejamkan mata aku. Kalau nak bergerak pergi ke rakan-rakan lain pun aku rasa, bahaya juga la masa tu dengan keadaan bot yang tak stabil. Lagi seram kalau aku terjatuh ke dalam laut tu, lepas tu, bayangkan kalau dia duduk berendam sebelah aku. Maka, aku pun masih di situ dengan mata terpejam. Apa yang menyebabkan aku yakin bahawa itu adalah bukan dugong atau makhluk sespesis dengannya adalah, sebab suara tu atau bunyi tu dia macam bawah sikit je daripada aku. Motor bot ni kan ada jenis yang tinggi daripada paras laut. Nak-nak bahagian depan. Jadi, macam tak logik kalau dugong tu boleh berdiri ke. Dan kalau binatang tu besar, kalau time dia timbul tu, mesti bot tu akan bergerak kan. Aku ni pun peminat rancangan masuk hutan Korea Law of Jungle tu. Daripada rancangan tu, aku dapat tahu, ikan daripada negara mana pun, memang malam-malam ikan pun, seperti manusia dia akan tidur. Dia jadi tak aktif kecuali sesetengah jenis sahajalah. Seperti spesis ikan yu. Kalau dia berhenti bergerak dia akan mati terus. Sebab tu dia agresif, sebab kehidupan dia sukar.

Berbalik kepada kisah hantu tu, dan satu lagi perkara yang membuatkan aku yakin itu adalah suatu kejadian mistik. Sebab Fazilah.

Penat jugalah aku pejam mata bila masa tengah tak mengantuk. Lama tu, tak lama sangat pun sebenarnya, dalam 5 minit macam tu. Aku rasa seperti ada sesuatu mendekat dengan aku. Aku pun dah penat pejam, aku pun bukak je la mata. Tengok-tengok macam ada orang depan aku. Bahagian depan bot tu kan tak dipasang lampu. Jadi memang gelap gelita depan tu. Fazilah pun macam aku la, dia jenis tak rakus nak berkata-kata. Dia duduk depan aku entah buat apa. Senyap membatu. Naik seram aku. Dan aku pula, sejenis kalau takut pun, memang tak keluar suara. Setakat, biji mata makin bulat je. Lepas dua tiga minit lepas tu, barulah Fazilah ni mula mengomel, aku pun yakin bahawa itu adalah kawan aku. Lega.

Tapi, satu benda kita kena ingat, Fazilah tengah tidur sebelum tu sebab mabuk laut yang teruk, daripada awal naik bot tu, dari maghrib, sekali pun dia tak terbangun, masa kami riuh rendah, makan-makan pun dia tak bangun walaupun kami cuba kejutkan. Tapi dia boleh mendapat ilham atau kekuatan untuk bangun masa pukul 3 pagi tu, tepat sekitar waktu aku sedang dikacau. kalau aku tak sedap badan macam dia lah, pukul 3 pagi tu la lagi rasa syok nak tidur, walaupun dah tidur satu hari.

Lepas tu, Asmad pun tiba-tiba datang juga. Jadi, kami bergabung sekali lagi. Masa tu, aku memang rasa nak berpaling dan pastikan apa makhluk yang duk kacau aku ni kan setelah mendapat kekuatan daripada kehadiran rakan-rakan aku. Tapi, aku sentiasa ingat pesan DJ KC. Jangan tegur! Terasa juga lah nak membuatkan Asmad atau Fazilah ni pula mengintai belakang aku tanpa aku perlu sebut pasal benda tu. Tapi, tak dapat idea la pula. Beberapa ketika kemudian pun, semua yang lain memutuskan untuk balik supaya kami sempat menunaikan solat Subuh dengan keadaan yang lebih bersih dan sempurna.

Sekian. Terima kasih.

PS: Sis nak minta maaf kalau cerita ini agak tak seram atau tak kena dengan citarasa anda semua. Ni adalah cerita kedua dan mungkin yang terakhir yang aku hantar dekat sini. Sebab dua ni sahajalah keanehan yang terjadi dalam hidup aku setakat ini. Dan aku punya latar belakang bukan ada ijazah sastera mahu pun bukan jenis suka membaca. Aku cuma ingin kongsikan pengalaman sebenar aku sahaja di sini. Buku yang aku ingat aku rajin baca pun dulu buku-buku pelajaran sahaja. Tu pun nombor je banyak, Jadi mungkin nahu, atau ayat tu tiada unsur keindahan bahasa, susun kata tu agak ke laut. Jika ada yang terguris perasaan dengan kenaifan dan kedaifan bahasa sis, minta maaflah dan terima kasih kerana sudi meluangkan masa membaca. Akhir kata, jangan biarkan diri anda diselubungi misteri.

Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

5 thoughts on “Disapa Hantu Laut”

Leave a Comment