DISERANG LAGI

Tahun 2016.

Di pejabat. Tidak lama sebelum rehat tengahari, sedang saya khusyuk membuat kerja, tiba-tiba telefon saya berbunyi tanda ada mesej yang masuk. Dari bunyinya saya sudah tahu mesej itu dari siapa kerana saya memang tetapkan bunyi notifikasi khas untuk sahabat-sahabat baik saya. Mesej dari Ayie.

“Buat apa tu?”

“Tak ada buat apa-apa. Saja buat-buat sibuk. Hahaha! Kau pula buat apa?”

Saya kalau bermesej dengan Ayie jarang serius sangat.

“Aku sorang kat pejabat ni. Staf lain semua keluar buat pemasaran.”

Ayie bekerja di bahagian akaun dan kewangan, jadi dia jarang terlibat dengan kerja luar. Hanya kadang-kadang jika ada antara staf yang minta tolong dia menggantikan tempat mereka untuk sementara barulah dia akan keluar.

“Zim, benda yang selalu bergerak dalam badan aku sekarang ni tengah aktif la. Dia asyik bergerak-gerak, sekejap ke perut, sekejap ke belakang. Aku risau kalau kawan-kawan sepejabat balik takut mereka perasan je.”

Ayie dan keluarganya mengalami banyak gangguan yang bermacam jenis. Kena tindih, nampak kelibat dan lembaga, mimpi jumpa hantu, jin dan orang-orang pelik, itu semua sudah menjadi lumrah.

Pernah beberapa hari bila bangun pagi, ada titisan d***h segar atas lantai bilik, sedangkan Ayie tidur seorang dan tiada sebarang kecederaan pada badannya yang memungkinkan itu adalah darahnya sendiri.

Sewaktu tinggal di rumah sewa di Petaling Jaya sebelum dia bertukar kerja dan berpindah balik ke kampungnya di Johor Bahru untuk tinggal dengan emaknya, pernah dia tersedar waktu dinihari sebelum subuh dan mendapati ada wanita bogel tidur di sebelahnya, sedangkan dia tidur berseorangan di dalam biliknya.

Untuk memastikan dia tidak bermimpi, Ayie cuba menyentuh wanita itu dengan jarinya, sebaik sahaja tersentuh, wanita itu ghaib. Ayie pernah nampak makhluk bertanduk berdiri di pintu biliknya. Pernah juga nampak ekor berwarna merah dengan hujungnya seperti anak panah persis ekor watak dalam filem Hellboy di atas siling rumahnya.

Berkat kesabaran dan kesungguhan dalam mencari kesembuhan, gangguan-gangguan tersebut banyak yang telah tiada. Hanya ada beberapa simptom yang masih ada pada Ayie. Terasa benda bergerak di dalam badannya adalah salah satu daripadanya, masih berlaku walaupun hanya jarang-jarang.

Kebiasaannya benda bergerak itu terjadi sewaktu Ayie berada di rumah, tetapi kali ini ia terjadi sewaktu dia di pejabat, sebab itulah Ayie meminta bantuan saya.

“Aku cuba ajelah ya.”

Saya mula fokus pada benda yang mengganggu Ayie. Ada ketikanya saya boleh nampak apa yang saya ingin fokuskan, ada ketikanya tidak, dan untuk kali ini saya tak nampak apa-apa. Tapi seperti kebiasaan, nampak atau tidak bukanlah persoalannya, yang penting saya tetap akan belasah benda tu.

“Sekarang ni bagaimana? Masih bergerak-gerak?”

“Masih lagi. Sejak aku mula hantar mesej kepada kau tadi dia makin galak pula.”

Saya dah faham sangat perangai benda-benda ni. Bila ada sahabat-sahabat saya yang meminta bantuan, waktu itulah ada yang rasa panas, ada yang tiba-tiba rasa marah dan benci kepada saya tanpa sebab, ada yang lampu bilik tiba-tiba berkelip-kelip dan macam-macam lagi.

Saya sambung belasah lagi.

“Sekarang?”

“Ada lagi, tapi macam dah kurang. Sekejap lagi hilang la kot.”

“InsyaAllah. Harap-harap begitulah.”

“Terima kasih banyak Zim. Maaf ganggu kau buat kerja.”

“Tiada masalah. Bukannya sibuk sangatpun. Kalau tengah sibuk, mesej kau pun aku tak balas.. He he…”

Semasa saya sedang berbalas mesej dengan Ayie, suasana dalam pejabat saya agak sunyi. Ada beberapa orang kawan sepejabat yang sedang tekun membuat kerja masing-masing. Meja kerja kami hanya dipisahkan oleh pembahagi yang tingginya cuma paras pinggang.

Jadi saya cuba untuk tidak menarik perhatian mereka dengan gerak tangan saya yang kebiasaannya akan naik sekali bila saya belasah benda tu walaupun hakikatnya benda tu berada beratus kilometer dari tempat saya berada.

Selepas itu saya keluar makan tengahari dengan beberapa kawan sepejabat dan kemudiannya balik semula ke pejabat untuk solat dan menyambung kerja-kerja yang belum selesai.

Bila tiba waktu asar, usai mengambil wuduk, saya masuk ke dalam surau kecil di bahagian belakang pejabat. Hanya saya seorang di dalam surau pada masa itu. Tiba-tiba saya rasa tak sedap hati, tapi saya tak hiraukan sangat perasaan itu dan mula solat.

Selepas habis bacaan Al-Fatihah pada rakaat kedua, saya rukuk dan kemudiannya bangun iktidal, semasa saya turun untuk sujud, bila sahaja kedua lutut mencecah lantai, di luar jangkaan, tiba-tiba lutut kanan terasa amat sakit menyebabkan saya tumbang ke sebelah kanan sehingga terbaring.

Dengan susah payah saya menongkat tangan untuk bangkit dan cuba duduk bersila. Lutut kiri yang tak sakit saya bengkokkan manakala lutut kanan saya tak dapat bengkokkan kerana masih sakit berdenyut-denyut. Saya tahu saya telah diserang.

Dalam keadaan masih kesakitan, saya kepung diri, atau dengan kata lain buat perisai agar tidak ditembusi oleh apa-apa anasir yang tidak diingini. Saya tarik racun dari lutut. Lebih kurang dua minit selepas saya tarik berterusan, biiznillah, sakit lutut kanan saya hilang sepenuhnya.

Saya berdiri untuk solat kembali dari awal. Bila saya letakkan lutut untuk sujud pada rakaat kedua, perkara yang sama terjadi. Saya tumbang lagi macam nangka busuk, tak tahulah pada berapa skala richter gempa buminya.

Sekali lagi saya tarik dan musnahkan semua racun dari lutut yang berdenyut-denyut. Beberapa minit kemudian baru sakitnya hilang. Saya mengulangi solat, tapi kali ini secara duduk.

Waktu pejabat habis pada pukul lima setengah, tetapi biasanya saya akan solat maghrib terlebih dahulu sebelum pulang ke rumah. Masuk waktu, saya cuba solat maghrib secara berdiri. Alhamdulillah lutut saya tidak sakit dan boleh solat seperti biasa sehingga selesai.

Setelah berkemas, saya turun ke kereta. Sekali lagi perasaan saya rasa ada kelainan. Saya hidupkan enjin kereta dan memandu keluar dari kawasan parkir. Jarak dari pejabat ke rumah saya lebih kurang empat puluh kilometer.

Baru sahaja saya memandu dalam beberapa kilometer, kepala saya terasa pening. Sukar untuk saya gambarkan bagaimana saya rasa, tapi saya tahu ini bukan pening biasa, keadaan yang tak pernah saya alami. Saya terpaksa memandu dengan mata betul-betul fokus ke arah jalan di depan kerana saya dalam keadaan yang sangat tidak stabil.

Nafas saya semakin laju dan saya berpeluh walaupun waktu sudahpun malam dan pendingin hawa kereta terarah tepat kepada saya. Saya rasakan waktu itu jika saya menoleh ke arah mana sekalipun, kereta saya akan terbabas.

Waktu itu pula masih dalam waktu puncak. Lebuhraya yang menjadi laluan saya itu masih padat dengan kenderaan. Saya terpaksa teruskan memandu kerana tiada tempat yang sesuai untuk saya berhenti. Di dalam hati, saya tak henti-henti berzikir.

Sampai sahaja di rumah, saya keluar dari kereta, buka kunci pintu rumah dan berlari ke arah tandas. Melangkah sahaja kaki ke dalam tandas, saya muntah. Muntah terpancut dari kerongkong terus ke dalam mangkuk tandas. Habis sahaja muntah, keadaan saya kembali seperti sediakala. Pening hilang, nafas kencang hilang dan sudah tidak berpeluh.

Selepas mandi, saya bersiap untuk solat Isyak. Memandangkan waktu maghrib tadi saya dapat solat dengan sempurna, saya berdiri seperti biasa untuk solat Isyak. Tapi kejadian waktu Asar tadi berulang kembali, saya tumbang lagi sewaktu ingin sujud, dan saya terpaksa ulangi solat isyak secara duduk.

Selepas hari itu, tiada lagi kejadian yang sama berlaku. Sesetengah serangan nampak seperti sakit biasa, tetapi bila disusul rentetan yang membawa kepada kejadian yang berlaku dan bagaimana cara ianya berlaku, saya akan tahu itu adalah satu bentuk serangan.

Serangan lain yang agak agresif yang saya hadapi adalah sewaktu saya membantu seorang kawan dalam kes khadam cincin jarum mas. Selepas itu, walaupun ada beberapa lagi siri serangan yang pelbagai cara, tapi tidak memudaratkan. Allah masih melindungi saya. Alhamdulillah.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 23 Average: 4.5]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.