Disorok di Pokok Pinang

Assalamualaikum semua,diharap semua peminat dan pembaca FS berada dalam keadaan sihat hendaknya.Sudah lama rasanya tangan ini tak menaip panjang-panjang setelah aku menulis naskah pendek di FS “Sesat Di Midvalley” dan ” Masak Di Dapur”.

Alhamdulillah aku sudah tamat pengajian dan kini bekerja di ibu negara dengan sebuah syarikat kecil.Zaman bekerja ternyata berbeza dengan zaman belajar,lebih tekanan,lebih penat dan lebih seksa,semoga segala dipermudahkan untukku dan semua pembaca FS.Baiklah ada cerita aku nk kongsikan dengan pengikut setia FS.Cerita ini kisah mulut arwah datuk yang telah lama pergi meninggalkan kami dan aku begitu merinduinya walau tidak banyak memori antara aku dan dia.Al-Fatihah semoga roh beliau dicucuri rahmat hendaknya.

Baiklah kisah ini aku perolehi ketika pulang ke kampung halamanku beberapa minggu lalu.Cuma hari ini ada semangat untuk menulisnya.Kisah ini diceritakan semula oleh pakcik sulung sebelah ayah.Kisah bagaimana pengalaman datuk disorok hantu beberapa hari dihadapan rumah.Sebenarnya aku yang gatal mulut bertanyakan soalan mengenai kisah mistik di kampung ini dan pakcikku terus tergelak lalu menceritakan semula kisah misteri ini.

Kisah ini berlatar belakang tahun 40an hingga 50an.Arwah datuk merupakan anak ketiga dari 8 adik beradik.Orang dulu-dulu memang anaknya ramai.Bahkan kalau sedikit,dianggap pelik oleh masyarakat ketika itu.Ayah kepada datukku merupakan seorang penjual hasil hutan seperti gaharu,herba-herba hutan,akar kayu dan pelbagai hasil hutan lagi yang dijual pada peraih untuk dibawa ke kawasan lain.Kawasan hutan dahulu amat tebal dan tidak seperti sekarang menurut pakcik.Kalau terserempak dengan harimau itu perkara biasa menurut penduduk ketika itu.

Arwah datukku sewaktu kecilnya tidak bersekolah hanya ke kelas agama dan mengaji dengan guru agama di dalam kampung.Jadi kebanyakan masa diisi dengan bermain di pinggir hutan.Jika berani mereka bermain lebih dalam di kawasan hutan walaupun dilarang keras ibu bapa masing-masing.Biasalah kanak-kanak kan?Yang sekarang pun degilnya bukan main (termasuk penulis sendiri)

Pada satu hari ketika kebiasaan bermain dengan kawan-kawannya.Salah seorang kawan sepermainannya mendapat idea untuk pergi ke hutan untuk mandi di sebuah air terjun di kawasan tersebut.Air terjun ini agak terkenal di kawasan Beruas jika ada pembaca yang tahu atau mungkin yang tinggal berhampiran.Bagai mengantuk disorongkan bantal semuanya mengangguk tanda setuju lalu bergeraklah semua ke air terjun yang dimaksudkan.

Aku tak tahu bagaimana gambaran hutan pada tahun awal 40an.Mungkin lebih tebal,mungkin lebih dalam kawasannya.Sewaktu pakcik menceritakan kisah ini,aku terbayang suasana kehidupan pada tahun tersebut.Terbayang juga bagaimana arwah datuk yang masih kanak-kanak bermain ketika itu.Pasti berbeza dengan zaman aku sendiri apatah lagi dengan kanak-kanak zaman sekarang bermain yang rata-rata bermain gadjet sahaja.

Kembali semula ke kisah ini,datuk sampai ke kawasan air terjun yang dimaksudkan dengan sahabat-sahabatnya.Perjalanan agak jauh perlu menempuhi lintasan mata air barulah mereka sampai ke destinasi.Tanpa segan silu mereka bertelanjang terjun kuak lentang ke dalam air cukup sejuk dan jernih beramai-ramai.Ada yang memanjat batu mengambil lajak untuk terjun.Ada yang sibuk membuat empangan kecil menahan ikan-ikan kecil untuk ditangkap.Keseronokan mandi manda bermain membuatkan tiada seorang pun yang teringat mengenai masa.Menurut pakcik,kalau dihutan tebal jam seawal lima petang pon umpama tujuh malam gelapnya.Masing-masing mula menggelabah apabila mereka sedar waktu telah mendahului mereka.Terbayang rotan yang bakal hinggap di badan masing-masing jika perihal mereka mandi di air terjun diketahui ayah dan ibu masing-masing.Baju dan seluar pon mula disarung segera.

Berlari-lari anak masing-masing menyelusuri denai-denai kecil mencari jalan pulang ke pinggir hutan tempat kebiasaan mereka berkumpul dan bermain.Tidak terkecuali datuk yang tahu bakal menerima penampar sulung dari bapanya jika lewat pulang.Sedang mereka berjalan keluar tidak jauh dari kawasan air terjun,langkahan kaki terhenti dek terdengar suara seakan-akan bunyi riuh kenduri.Bunyi riuh seperti majlis rewang beramai-ramai,memasak dan persiapan majlis kenduri sedang dijalankan tak jauh dari tempat mereka berhenti tadi.Datuk dan kawan-kawannya masing-masing berkerut.Bunyi apa itu,kenduri apa didalam hutan? Mustahil mereka tidak tahu jika ada majlis seumpamanya diadakan di dalam kampung kerana mereka ke masjid setiap maghrib pasti akan dikhabarkan.Lebih aneh dan menyeramkan waktu sudah gelap,kenduri siapa pula agaknya.

Datuk dan kawan-kawannya meneruskan perjalanan balik tanpa menghiraukan bunyi aneh tersebut namun satu kejadian aneh mula terjadi.Mereka sampai semula ke air terjun tadi walau telah bergerak pulang.Mengapa mereka kembali kesini semula? Masing-masing mula ketakutan termasuk datuk.Datuk teringat beberapa petua.Beliau diajar ayahnya beberapa petua jika sesat dihutan.Ayahnya mengajar jika tersesat,pejamlah mata lalu baca beberapa potongan ayat suci Al-Quran lalu pusing sebanyak tujuh kali lalu membuka mata.Ikutilah arah mata yang terbuka Insyallah akan bertemu semula jalan pulang.Datuk segera mengamalkan petua tersebut dan akhirnya dapat menemui denai-denai kecil dan mata air menandakan laluan pulang semula ke pinggir hutan.

Peristiwa sesat itu telah membuatkan mereka membuang waktu dan mereka sampai ke pinggir hutan ketika hampir senja.Sekarang timbul satu lagi masalah,hal ini kerana rumah mereka terletak berjauhan dan berasingan.Lebih membimbangkan datuk,rumahnya yang paling jauh dan terpaksa melintasi satu kawasan perkuburan kecil atau makam yang dikatakan milik kerabat diraja Johor yang lari ke Perak.Entah benar atau tidak aku pun tidak mengetahuinya.Sekarang kawasan itu terletaknya balairaya kampung menurut kisah orang kampung.Jadi datukku pulang berseorangan ke rumah,bimbang akan dimarahi ayahnya yang memang garang seperti singa betina.

Dalam perjalanan pulang ,datuk terpaksa melintasi kawasan makam tersebut.Sampai saja dikawasan tersebut,datuk berlari-lari anak tanpa menoleh sedikit pun ke kawasan makam.Mana tahu ada yang tersenyum memanggil bersila ditepi makam.Berlari-larilah datuk ke rumah dalam keadaan ketakutan.Namun dalam keadaan berlari-lari itu,datuk mendengar seperti ada derapan tapak kaki di belakangnya namun dia tidak mengendahkannya smpailah ke perkarangan rumah.Rumah datuk ketika itu hanyalah rumah kecil beratap rumbia dengan penuh hasil-hasil hutan yang belum d******g oleh ayahnya.Masih belum kelihatan kelibat ayahnya.Mungkin hari ini datuk bernasib baik selamat dari hukuman yang dibayang-bayangkan sejak dari hutan lagi.

Datuk ke belakang melihat-lihat hasil hutan yang dicari ayahnya.Untung-untung ada buah setoi yang menjadi kegemarannya.Sedang datuk membelek-belek hasil hutan,beliau terdengar nama beliau dipanggil.Cumanya suara itu seperti biasa didengar.Bukan suara ibu,ayah atau adik beradiknya,tapi suara salah seorang sahabatnya sendiri.Aneh,mereka tadi berpisah di pinggir hutan,bagaimana kawannya ada dirumahnya pula.Datuk segera mencari arah suara tersebut dan melihat susuk tubuh kawannya di tepi pokok pinang dihadapan kawasan rumah berdekatan batas ibunya menanam ubi keledek.Datuk segera menyapa sahabatnya dan segera ke arahnya

Tiba-tiba pandangan datuk gelap buat seketika.Menurut pakcik,datuk menceritakan bagaimana beliau dalam keadaan sedar namun tubuhnya seakan lembik dan terkunci dibawa naik ke atas pokok pinang dimana datuk melihat “sahabatnya” memanggil-manggil.Datuk merasa badannya didudukkan diatas celah-celah pokok pinang oleh sesuatu.Tangannya terasa keras dan tajam.Datuk yang sedar dan dapat melihat tidak dapat menoleh ke arah belakang siapa makhluk yang membawanya naik ke pokok pinang itu.Pasti terkencing-kencing datuk jika dapat melihat makhluk ketika itu.

Datuk melihat sekitar rumahnya beransur senja,hari semakin gelap.Bunyi riang-riang semakin galak memberitahu hari semakin gelap.Datuk hanya terduduk keras di perdu pokok pinang yang betul-betul dihadapan rumahnya.Dalam samar-samar datuk melihat cahaya pelita meliuk-liuk di pintu rumah.Pasti ayah atau ibunya mencari dimana gerangan datuk.Tidak pulang-pulang walaupun senja cukup merunsingkan ketika era itu.Entah dibaham harimau,terjatuh dalam sungai atau sesat dihutan.Sangkaan datuk benar,ibunya keluar dalam keadaan memakai kain telekung bersiap untuk solat maghrib namun menunggu datuk di pintu rumah.Datuk tidak dapat mengeluarkan suara.Hanya air mata berjujuram ketakutan dan buntu dengan apa yang berlaku.Kenapa beliau ada di atas pokok,siapa yang bawa,kenapa beliau seolah kaku gagal mengeluarkan sebarang suara.

Tak lama kemudian datuk melihat susuk tubuh ayahnya membawa jamung berjalan keluar dari rumah.Langkahnya laju memperlihatkan keresahan.Lebih hairan,ayahnya lalu betul-betul di tepi pokok pinang namun mengapa tidak melihat datuk disitu.Mustahil rasanya kerana pokok pinang tidak tinggi mana.Pelepahnya juga jarang-jarang.Cahaya jamung mula hilang dalam kegelapan.Datuk hanya mampu mengalirkan air mata ketika itu.Doanya agar semuanya segera berakhir.

Tidak berapa lama,datuk melihat cahaya jamung mula menerangi kawasan halaman rumah.Dari seorang hingga belasan orang kampung memenuhi halaman rumahnya.Cahaya jamung yang kecil mula menerangi halaman rumah seperti pesta.Datuk mengecil-ngecilkan mata cuba memastikan siapa kelibat ramai-ramai dihalaman rumah.Rupanya jiran dan ayah sahabatnya ramai-ramai berada disitu.Anehnya tiada seorang pon dapat melihat kelibat datuk di atas pokok pinang tidak jauh dari tempat mereka berkumpul.Kemudian,datuk melihat sahabat-sahabatnya juga ada bersama bapa masing-masing.Semua kelihatan cemas dan risau mencari mana perginya datuk.Seorang kawannya dilihat sedang bercakap-cakap dengan ayahnya menunjuk arah pinggir hutan.Tak lama kemudian,beramai-ramai mereka bergerak keluar dari halaman.Mereka seolah berpecah kepada beberapa kumpulan.

Datuk pula keletihan mula terlelap beberapa kali namun matanya celik kerana terdengar bunyi dengusan nafas dibelakang tengkuknya.Cuma beliau tidak dapat melihat wajah makhluk dibelakangnya.Dalam ketakutan tersebut,ternyata datuk yang masih kecil tidak dapat melawan keletihan bergelut dengan situasi sedemikian melelapkan mata tertidur di atas pokok pinang.Itu perkara terakhir yang datuk mampu ingat.Datuk terjaga dari tidur,matanya melihat dirinya ditempat yang sangat dikenalinya iaitu rumahnya sendiri.Di hujung kakinya,ibu dan adik beradiknya,ibu sedang mengelap air mata di pipi dengan hujung baju.Ayahnya pula berada disisi tersenyum pahit.Ada juga guru agamanya beserta tok imam masjid yang begitu dikenalinya.Datuk sedar beliau buka berada di atas pokok lagi kali ini tapi di dalam rumahnya sendiri.Datuk cuba bangun tapi ditegah ayahnya.Datuk akur dan memasang telinga,mendengar cerita orang sekeliling,rupanya datuk disorok hantu di atas pokok pinang

Dua hari lamanya penduduk kampung dan sahabatnya cuba menjejaki dimana datuk menghilang.Dicari diceruk hutan juga tidak ditemui.Disusuri sungai hingga kehilir takut-takut datuk lemas juga menemui jalan hampa.Hinggalah seorang sahabat datuk membuka cerita peristiwa yang terjadi di air terjun barulah ustad kampungnya berjaya menemui datuk yang lembik tidur di atas pokok pinang.Itu pun selepas beberapa kaedah menjejak dilakukan oleh ustad dan orang ramai.Tiada siapa sangka datuk dijumpai di pokok pinang hadapan rumah sendiri walau pun mustahil tiada siapa yang perasan.

Kisah datuk disorok ini tersebar luas di pelusuk kampung.Tiada kanak-kanak berani pulang lewat lagi setelah bermain.Bagi datuk pula ia pengalaman yang sangat menakutkan hingga tak terlintas difikirannya untuk membaca potongan ayat suci sepatah pun ketika itu.Pokok pinang itu juga telah ditebang ayahnya tidak lama kemudian dan tiada kisah kanak-kanak disorok kedengaran melainkan kisah kanak-kanak ghaib dihutan tidak dijumpai langsung hingga ke hari ini.

Kisah yang diceritakan pakcik aku ini anggaplah sebagai hiburan semata-mata.Tiada yang berkuasa melainkanNya dan semua makhluk tidak lebih sekadar hambaNya.Penulisan ini membuat memori aku kepada arwah datuk semakin bertambah.Rindu akan cerita-cerita yang beliau kongsikan ketika hayatnya.Aku akan menulis lagi jika ada ruang dan peluang.Ada juga kisah misteri yang berlaku di tempat kerja aku sendiri.Nanti jika kelapangan aku akan kongsikan buat semua peminat FS.Semoga semua pembaca terhibur.Jika ada terkurang atau tersilap aku memohon ampun dan maaf,segala kekurangan itu dari aku sendiri.Sekian,Akhir Kalam

RYTCI 458VA

3.05 pagi 7 Nov 2018

RYTCI 458 VA

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 5]

11 thoughts on “Disorok di Pokok Pinang”

  1. Menarik crite ni…sbb pengalaman org lame….jarang dpt tahu crite org lame…best sgt….nanti cerita lagi yaa pengalaman yg ada…

    Reply
  2. Wah lama tak dengar crita dripada pmgalaman2 org tua ni. Best2… nnti crita plak pglaman pnulis ek.. klu ada crita2 dripda org tua pon kongsi lh lgi..

    Reply
  3. Best. Korek lagi cerita orang-orang lama ni. Zaman ni entiti-entiti begini banyak yang bergurau mengusik. Tak seperti zaman sekarang banyak yang digunakan untuk sihir dan menjadi hamba nafsu serakah manusia yang penuh hasada dengki. Terima kasih perkongsian yang menarik.

    Reply
  4. bila kau ckp part kau bayangkan kehidupan atok kau zaman 40s 50s tu, aku dok pi bayang budak2 main air terjun…… in black & white.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.