Ditegur Jin Islam

Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera kepada pembaca sekalian. Pertama kali saya berkongsi kisah benar di sini, harap kita sama-sama dapat ambil iktibar.

Kisah ini berlaku dalam tahun 2013, ketika itu aku menuntut di salah sebuah universiti di utara tanah air. Aku menyertai pasukan pegawai simpanan sukarela TUDM di sana, perlu menghabiskan masa latihan sebagai kadet selama 3 tahun.

Dalam skuad aku, aku antara yang paling bersemangat dalam sesi latihan setiap hujung minggu tersebut. Malangnya, pada satu hari itu, aku demam panas. Disebabkan malas untuk lepak di bilik asrama, aku ambil keputusan untuk berehat di surau tempat latihan.

Seperti latihan saban minggu, pagi kami dimulakan dengan latihan fizikal di kawasan padang, jauh dari kem latihan. Pendek kata di kem tersebut sunyi sepi kerana semua kadet tiada. Cuma tinggal tukang cuci, pekerja di dewan makan dan jurulatih lain yang biasanya lepak di pejabat.

Aku yang badan kurang sedap ni terus ke surau, agak jauh dari kawasan pejabat dan dewan makan, sunyi dan bersebelahan dengan hutan.

Dalam hati aku terdetik, “Ini kalau tidur, boleh lelap sampai ke Zohor. Baik punya sejuk.” Cuaca agak lembab pagi itu, dengan pohon tinggi merendang menenangkan lagi suasana sekitar surau.

Berlapikkan sejadah sebagai bantal, aku tidur dengan kepala menghala ke arah kiblat, betul betul di atas saf pertama. Aku ambil lagi dua tiga helai sejadah buat selimut. Lantas aku terlena.

Dalam lena itu aku bermimpi seakan-akan surau itu mula dipenuhi orang ramai. Pakaian warna warni. Ada putih, kuning, oren, merah dan berbagai warna lagi. Aku perhati mereka, tapi mereka tak hiraukan aku walaupun aku di saf hadapan. Aku cuba bangun tapi tak berdaya.

Dalam ramai-ramai ‘orang’ yang mula masuk ke surau itu tadi, terdapat 3 ke 5 orang datang dan sapa aku.

“Nak tidur ke? Apasal tidur dekat sini (saf pertama). Sini tempat solat. Pergi tidur belakang.”

Aku dengar jelas. Aku cuba bangun tapi badan lemah sebab demam panas. Aku tak larat. Aku cuba bercakap, tapi tak terkeluar suara.

“Bangun, bangun! Ini tempat solat! Jangan tidur sini. Jemaah ramai di sini.”

Aku kena marah dengan jemaah lagi satu.

“Mari, kita angkat dia. Dia tak boleh bangun ni.” Tenang saja jemaah lagi satu arahkan kawan dia.

Aku nampak mereka sekumpulan cuba angkat aku. Ada yang pegang di ketiak, di pangkal paha, di hujung kaki. Sopan.

Apabila aku rasa terangkat, aku tersedar dari tidur tadi. Terus bangun terduduk dari pembaringan. Aku pegang kepala, “sakitnya…”. Berpeluh dahi aku masa tu. Panas di kepala pun dah jadi sejuk.

Sebaik mengelap peluh di kepala tadi, aku baru perasan, ruang solat surau itu kosong. Walaupun aku sedar tadi itu satu mimpi, tapi terlalu nyata seperti benar benar ia berlaku.

Aku bangun keluar. Kebetulan kawan-kawan lain sudah habis latihan pagi. Jam menunjukkan pukul 10.30 pagi. Firasat aku, mungkin Jin Islam itu tadi nak kerjakan solat sunat dhuha agaknya.

Sekian dulu kisah benar ini aku ceritakan sebagai pengenalan diri. Lain hari dan waktu, aku kongsikan kisah ditindih pontianak di universiti yang sama pula.

Sebagai peringatan, sungguhpun surau kosong, berehatlah di bahagian luar atau bahagian saf belakang. Khuatir nanti menganggu makhluk Tuhan yang lain ingin beribadah.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Saiful Sepet
Rating Pembaca
[Total: 92 Average: 4.6]

1 thought on “Ditegur Jin Islam”

  1. Kisah yg bagus…sbb dunia kita berkongsi dgn golongan jin dan syaitan…kalo boleh akak nk selami ttg kisah org bunian Islam.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.