Entiti Di Bukit Broga

Bukit Broga merupakan salah satu tempat yang sangat menarik bagi mereka yang gemar mendaki. Trek jalannya tidak terlalu sukar dan pemandangannya aman menenangkan jiwa. Pada hari Sabtu yang cerah, aku bersama enam orang sahabat bertolak daripada rumah masing-masing ke Bukit Broga untuk sesi mendaki. Sudah lama diri ini tidak beriadah membuatkan jiwaku terlojak gembira untuk penggembaraan pendek ini.

Angka jam menunjukkan 8 pagi, kami bertujuh terpacak di kawasan parkir kereta bersedia untuk mengorak langkah. Kami bercadang untuk menggunakan trek jalan yang baru kerana diwar-warkan memberikan cabaran yang lebih sukar berbanding trek yang lama. Biasalah, anak-anak muda seperti kami sering mahu membuktikan kekuatan diri masing-masing walhal tidaklah terlalu hebat.

Perjalanan pendakian dimulakan dengan tenang dengan trek yang luas serta tumbuhan di kiri kanan yang terserlah kehijauannya. 20 minit berlalu dan pendakian kini bertambah kesukarannya, namun diriku makin menyukai cabaran ini. Maklumlah aktiviti lasak seperti ini boleh membakar lebih kalori dan menguatkan lagi stamina diri.

Setelah 40 minit kemudian, salah seorang daripada kami kecundang. Batu yang disangkakan keras dan kuat, rupa-rupanya beralih tempat apabila dipijak lalu terseliuhlah kaki sahabatku ini. Perjalanan yang mulanya laju kini berubah santai kerana sahabat yang cedera ringan ini. Cetus sedikit hiba di dalam diriku kerana momentum yang kian membuak perlu diperlahankan demi kesejahteraan sahabat. Namun aku redha.

Akhirnya setelah hampir dua jam, puncak Bukit Broga berjaya ditawan. Sungguh indah pemandangannya hingga terlupa akan keletihan buat sementara waktu. Kami merehatkan diri buat seketika sambil menghilangkan dahaga dengan air kosong dan mengambil gambar untuk dijadikan memori indah tersemat di hati. Kemudian kami mula berangkat untuk menuruni bukit.

Dek sahabat yang cedera, kumpulan kami terpisah dua. Tiga orang, termasuk diriku berada di depan kerana sedikit pantas, manakala empat orang lagi di belakang menuruni dengan penuh berhati-hati. Tidak ku sangka perjalanan kami menurun bukit akan menjadi satu pengalaman seram bagiku.

Jam menunjukkan hampir ke 12 tengahari, aku mula memperlahankan langkahku. Sinar matahari yang terik tidak membolehkan kaki ini untuk berjalan dengan lebih laju. Namun begitu, dua sahabat aku sudah berada agak jauh di hadapan seolah-olah cuaca panas ini tidak memberi kesan kepada mereka. Empat orang lagi sahabat langsung tidak kelihatan dia belakangku. Masih jauh agaknya. Oleh itu, diriku bersendirian tatkala menuruni bukit ketika waktu itu.

Walaubagaimanapun, aku sedar bahawa aku bukan bersendirian kerana adanya kehadiran monyet-monyet bergelimpangan di sebalik dahan pokok. Bunyi pekikan haiwan tersebut agak kuat lalu membuatkan aku tidak senang. Tiba-tiba telinga kananku menangkap satu bunyi yang aneh.

Bunyi seakan gelak tawa seseorang diselangi dengan nanyian beserta siulan jelas didengari. Aku meliarkan mataku pandang ke sini sana mencari arah bunyi tersebut. Di depan, hanya kelihatan samar-samar sahaja dua sahabatku manakala di belakang, tiada sesiapa.

Bunyi aneh tersebut makin kuat berkumandang tetapi masih tidak tahu di mana puncanya. Mataku kini meliar memandang kearah pokok-pokok disekelilingku untuk mencari kepastian. Pandanganku terhenti di satu pokok berdahan tinggi di sebelah kanan. Apa yang sedang dilihat oleh dua mataku ini sungguh membuatkan aku pucat seribu.

Satu entiti berwarna putih, bersaiz guni besar elok bertenggek di dahan sambil merenung tepat kepada aku. Di sebalik daun-daun, aku dapat lihat dua biji hitam gelap yang aku sangkakan matanya sedang memandangku sambil mengeluarkan bunyi aneh tersebut. Berderau d***h dalam diriku dan tidak tertanggung jiwa gemuruh. Kakiku lemah seperti mahu berputus asa. Meskipun begitu, aku gagahkan diri untuk mengalih pandangan daripada entiti tersebut.

Naluri hatiku memberitahu aku perlu keluar daripada hutan dengan secepat mungkin. Mengutip semula sisa kudrat dalam diri ini, aku berlari menuruni bukit tanpa hiraukan batu, tanah dan tumbuhan yang memenuhi laluanku. Hasratku ketika ini hanya mahu bertemu semula dua sahabat aku di depan dan keluar dari sini. Semasa aku berlari, jelas didengari bunyi aneh tersebut masih mengekori aku, malah lantang. Air mata sudah mula membasahi pipi tetapi aku enggan berhenti berlari. Perjalanan yang sepatutnya singkat terasa begitu jauh. Kelibat dua sahabat sudah berada dalam pandanganku akan tetapi mulutku seperti dikunci untuk melemparkan sepatah dua kata.

Akhirnya, aku berjaya menepuk bahu sahabatku di depan dan bunyi tersebut hilang serta merta. Mulutku kini terasa ringan dan aku mampu berkata-kata semula. Melihatkan keadaan diriku yang menggeletar, jelas kerisauan terpancar di wajah mereka. Aku meyakinkan mereka bahawa aku hanya penat dan menggesa untuk keluar daripada hutan ini. Hatiku belum sepenuhnya lega kerana risau jikalau entiti tersebut munculkan diri untuk kali kedua. Kali ini, aku menuruni bukit tanpa berpisah dengan dua sahabat aku ini. Aku tidak mengetahui tentang kedudukan empat lagi sahabat dibelakang, akan tetapi aku berharap mereka tidak apa-apa.

Sebaik sahaja kaki ini berpijak di pengakhiran bukit, aku menghembuskan nafas yang teramat lega. Kemudian, kelibat empat sahabat di belakang juga memunculkan diri. Masing-masing kelihatan sihat walafiat. Kami bertujuh bersihkan diri dan berangkat ke restoran untuk mengisi semula tenaga yang dihabiskan. Semasa di restoran, barulah aku berani membuka cerita tentang apa yang berlaku di hutan Broga tadi. Tergamam mulut masing-masing mendengar ceritaku.

Selepas kejadian itu, aku langsung tidak boleh tidur selama 3 malam berturut-turut. Aku berjaya tidur pada malam keempat tetapi aku bermimpikan entiti putih tersebut. Alhamdulillah pada malam kelima dan seterusnya, aku sudah boleh tidur seperti biasa dan tiada lagi mimpi yang aneh.

Kepada mereka yang ingin memasuki hutan untuk beriadah, lakukanlah dengan berhati-hati agar tidak ditimpa perkara yang aneh dan menakutkan. Sekian kisah pengalaman seram aku di Bukit Broga. Assalamualaikum.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

SR
Rating Pembaca
[Total: 25 Average: 4.4]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.