Tajuk : Maktab Taknik PDRM Muar
Lokasi: Maktab Teknik PDRM Muar
Tahun: 2010
Edisi : Kisah Benar
Bila sebut sahaja Maktab Teknik PDRM, yang terletak di Bakri Muar Johor. Pastinya ramai penduduk di situ sedia maklum tentang kisah-kisah mistik dan misteri yang terjadi di kawasan itu. Aku antara salah seorang yang merasai sendiri pengalaman disana, tetapi aku menganggap ia sebagai kenangan manis.
Pada tahun 2010 aku telah dipelawa oleh Hasrul iaitu sahabat baikku, untuk bekerja dengannya. Pada mulanya aku cuba menolak kerana aku sudah sedia mempunyai pekerjaan. Tetapi apabila dipujuk dan Hasrul mengatakan, “kalau kau kerja dengan aku dekat tempat ni, mesti kau akan tercabar!” Membuatkan aku tertarik.
“Eh, apa kau kata? Mencabar? Maksud kau?” Bertubi-tubi persoalan aku lemparkan.
“A’ah kerja tempat aku ni mencabar!” Ujar Hasrul dengan muka penuh semangat.
“Apa yang mencabarnya?” Aku mula berminat. Pada fikiran aku, mungkin mencabar dari segi mental dan fizikal.
“Tempat ni mistik!” Jawab Hasrul sambil melemparkan senyuman muslihat, dia cuba menarik jiwa aku yang sudah hampir sekian lama aku kurung.
“Wakakakakah, kau ingat aku percaya ke? Kah..kah..kah…” aku tertawa besar, sememangnya aku tidak mempercayai cerita-cerita sebegini, kerana setiap bulan aku naik ke Gunung Ledang untuk mencari perkara mistik. Tetapi tidak pernah aku jumpa.
“Kau jangan gelak dulu, kerja dulu baru kau tahu nanti!” Hasrul seakan bengang kerana aku memperlekehkan ceritanya.
Memang tidak dinafikan, pelbagai cerita yang aku dengar terjadi di dalam Maktab PDRM itu. Pernah juga satu ketika aku melihat di pintu besar masuk Maktab terdapat satu kepala yang diukir dari batu, saiznya seperti saiz kepala manusia. Ada yang mengatakan itu adalah peninggalan orang asli. Kesahihannya tidak aku pasti, seperti yang aku katakan tadi. Aku sangat tidak mempercayai benda-benda yang tidak jelas di mata.
“Okay, bila aku boleh kerja?”
“Haa petang ni pukul 2:00pm kau datang dekat pos kawalan 1 yang dekat kolam tu…” Hasrul tersenyum apabila aku menerima tawarannya.
Seperti yang dijanjikan. Aku hadir berjumpa Hasrul pada jam 2:00pm di pos kawalan 1, kehadiran aku disambut baik oleh Pak Ahat pegawai bertugas dan Encik Bidin pula adalah bos. Kehadiran aku bukan untuk ditemuramah, tetapi adalah untuk terus dimaklumkan bahawa aku perlu bekerja untuk shif malam dari pukul 7:00pm hingga jam 7:00am.
Tanpa berfikir panjang aku terus menerima tawaran dengan gaji yang disebutkan. Bagi aku gaji itu bukan utama yang aku fikir, tetapi cabaran yang dikatakan hasrul itulah yang membuatkan aku tertarik. Selepas mengisi borang dan mendengar serba sedikit cara dan waktu kerja, aku pulang ke rumah untuk memberitahu kepada kedua orang tuaku, bahawa mulai hari itu aku akan bekerja pada waktu malam sebagai pengawal keselamatan.
6:30pm (hari pertama)
Hasrul sudah terpacak menunggu di hadapan rumah aku, Dengan beg galasnya yang berisi air mineral dan baju sweater untuk kegunaan sewaktu meronda. Itu yang diberitahu kepada aku oleh Pak Ahat dan Encik Bidin tentang tugas aku, iaitu membuat rondaan dan tempat aku lapor diri adalah di pos kawalan 3.
Kedudukan pos 3 tidak aku tahu di mana yang aku tahu Hasrul adalah rakan sekerja aku. Jadi agak mudahlah kerja aku untuk meminta tunjuk ajar.
Motor kami membelah kesunyian semak-samun dan kebun terbiar, Aku sekadar mengekori Hasrul menuju ke pos 3. Memang agak mencabar untuk sampai ke pos 3, dari jalan utama aku perlu melalui kawasan hutan dan semak lebih kurang 10 minit dan apa yang memeranjatkan aku adalah di pos 3 tiada bekalan elektrik, bermakna kami hanya mengunakan pelita dan ugun api.
“Wei, serius seronoklah wei!” Aku meluahkan isi hati apabila tiba di lokasi, kerana suasana pos yang terpincil dan dikelilingi hutan kecil.
“Haaa, aku cakap kau tak percaya”
“Tak sangka pula aku, yang dekat sini seronok macam ni,” ujar aku sambil mata masih melihat sekeliling.
Hasrul tidak menghiraukan aku yang sedang teruja dengan suasana nyaman, seakan aku balik ke zaman silam. Aku lihat Hasrul mengambil buku kawalan, dan membersihkan pos kawalan serba sedikit. Tanpa disuruh aku pun ikut apa yang Hasrul lakukan, menulis laporan, membersihkan pos kawalan dan membantu menghidupkan ungun api.
Selesai semua tugas asas itu, aku dan Hasrul duduk berhadapan dan ungun api berada di antara kami. Bunyi riang-riang dan burung cabak mengindahkan malam itu. Aku masih menanti kehadiran makhluk-makhluk mistik, dan aku tahu tempat terletaknya pos kawalan ini dan tempat bakal aku ronda adalah tempat yang dikatakan makhluk mistik suka munculkan diri. Sememangnya itu yang ingin aku lihat.
8:00pm
Hasrul menghidupkan engin motor, tugas utama bakal bermula. Aku akan ronda dan membuat clocking di beberapa chek point yang akan ditunjukkan oleh Hasrul. Sebelum sampai ke kawasan pembinaan, aku perlu melalui jalan yang hanya seluas sebuah kereta dan jalan tanah merah yang berlubang-lubang. Di kiri kanan aku ditutupi oleh semak setinggi aku. Suasana jalan sangat gelap walaupun waktu itu jam menunjukkan baru pukul 8:00 malam.
Sepanjang perjalanan Hasrul memberitahu tempat-tempat yang dikatakan keras, antaranya adalah simpang pertama sebelum masuk ke kawasan pembinaan. Iaitu ada satu pokok rendang tapi agak lebat daun dan rantingnya.
Tempat kedua terletak di hujung kawasan pembinaan (perumahan anggota), kawasan ini agak lebih menyeramkan kerana terpencil dan terlalu gelap.
Seterusnya di kawasan pembinaan tadika serta kawasan sukan iaitu kolam renang. Dan yang terakhir adalah di kawasan perumahan pegawai iaitu berdekatan dengan tangki air. Tempat-tempat ini sangat terkenal dengan gangguan mistik. Namun aku bukanlah seorang manusia yang mempercayai kewujudan makhluk-makhluk ini sebelum melihat dengan biji mata aku sendiri.
Sepanjang rondaan pertama dan kedua, aku tidak melalui apa-apa perkara pelik atau menakutkan. Mungkin disebabkan aku ronda berdua, jadi makhluk-makhluk ini tidak menganggu. Atau mungkin semua itu hanya sebuah cerita!.
11:45pm
“Wei hasrul, dah boleh ronda untuk pukul 12:00 tak?” Aku bertanya penuh teruja.
“Kejap lagilah. Awal lagi, nanti waktu clocking lari…” ujar Hasrul sambil menambah kayu api ke bara.
Aku akur sahaja, kerana aku masih belajar dan tidak tahu waktu-waktu clocking. Aku menarik kerusi yang diperbuat dari kayu berdekatan dengan ungun api, lalu duduk menghadap bara api.
“Hasrul, cuba kau cerita sedikit apa yang pernah kau lalui selama kerja dekat pos 3 ni?” Aku memulakan perbicaraan, sebenarnya aku mula rasa mengantuk. Beberapa kerusi kayu aku susunkan lagi bersebelahan aku, kemudian baring menghadap langit. Indah ciptaan Allah.
“Aku tak pernah kerja dekat pos 3 lagi, sebab pos ni bila malam tak ada orang nak jaga. Jadi bila kau kerja, aku dengan kaulah yang kene jaga sini, hehehehe…” balas Hasrul sambil tersengeh.
“Tapi…” belum sempat Hasrul memulakan cerita, tiba-tiba segerombolan gagak berpusing-pusing di ruang atas mereka sambil menguak bising. Dari baring aku terus duduk mendongak kelangit, cuba mencari sesuatu yang mungkin menjadi punca gagak itu hadir secara tiba-tiba.
“Dah jomlah ronda!” Tiba-tiba Hasrul mengajak, mungkin dia rasa tidak sedap hati.
“Kejap,” sambil aku bersiul-siul seakan memanggil seekor burung. Aku sendiri tidak tahu mengapa aku melakukan perkara begitu. Hasrul melihat aku bersiul sambil melihat langit, terus menghidupkan enjin motor.
Aku tanpa berlengah terus berlari anak ke motor, tetapi kali ini aku yang menunggang. Kerana aku ingin ingat jalan dan tempat. Bunyi engin memecah kesunyian malam. Baru sahaja sampai di pokok rendang itu tiba-tiba lubang hidung aku disajikan dengan bauan yang sangat aku kenali. Bau ini sangat sinonim dengan kematian, “ini bau setanggi!” Hati aku berkata sendiri.
Hasrul yang duduk di belakang hanya mendiamkan diri, aku tidak pasti sama ada dia dapat menghidu bau setangi itu atau tidak. Semakin lama bau itu semakin kuat dan akhirnya bau itu seakan melekat dekat tekak aku.
“Hasrul, kau ada bau tak?” Sengaja aku bertanya untuk memastikan yang bukan aku seorang sahaja menghidu bau itu.
“Subhanallah, subahanallah……” terdengar suara Hasrul memuji Yang ESA.
Persoalan aku tidak dijawab, lalu aku melihat cermin sisi motor. “Allah!” Terpacul kalimah Allah dari mulut aku, jelas di mata aku kelihatan satu makhluk sedang duduk bertengek di bahu Hasrul. Helmet Hasrul yang putih kini gelap diselaputi rambut makhluk itu.
“Allah….Allah….” hanya itu kalimah yang aku mampu sebut, tidak terlintas difikiran aku surah ayatul Kursi dan sebagainya. Aku memulas minyak sehabisnya, tetapi motor aku seakan tidak mampu bergerak laju atau lebih tepatnya berat!
“Jangan tengok belakang, kau bawa je moto!” Jerit Hasrul bimbang jika kami ditimpa kecelakaan.
Aku hanya diam tidak membalas kata-kata Hasrul, sebenarnya aku sendiri tidak tahu ke mana hendak dituju pada waktu ini. Yang ada di dalam fikiran aku ialah lari!
Lebih kurang 100 meter lagi aku akan melalui kawasan hujung pembinaan. Antara kawasan yang dikatakan keras. “Ya Allah lindungilah aku dari gangguan iblis dan syaitan…” hati aku merintih memohon perlindungan.
Baru sahaja motor aku memasuki kawasan hujung pembinaan itu, aku dikejutkan pula dengan kehadiran satu lembaga hitam sedang duduk di atas salah satu tembok tiang, dari hujung kepala sampai hujung kakinya serba serbi hitam. Rambutnya terjuntai ke bawah, tidak bergerak mahupun bersuara. Jantung aku bagaikan terhenti seketika dan aku yakin Hasrul juga melihat makhluk itu.
Aku tidak memberhentikan motor untuk clocking di chekpoint itu. Malah aku terus memecut laju sehingga kekawasan kantin perumahan, di situ ada beberapa rumah kongsi.
Sampai sahaja di kantin aku memberhentikan motor. Hasrul tidak berkata apa-apa, hanya turun dan terus terbaring di kerusi panjang kantin. Aku juga begitu jantung aku masih pantas berdegup. Bau setanggi masih lekat di tekak. Aku dan Hasrul akhirnya duduk di kantin itu sehingga ke pagi. Clocking pada malam itu tidak dapat kami sempurnakan.
Pada keesokan harinya, peristiwa itu aku dan Hasrul ceritakan kepada Pak Ahat. Namun hanya dibalas dengan gelak tawa Pak Ahat.
“Haishh muda-muda pun takut ke? Kata tak percaya hantu! Baru nampak mcm tu dah nak demam?” Kata Pak Ahat, membuatkan aku rasa tercabar.
“Okay Pak Ahat, Malam ni saya akan ronda bagi habis!” Balas ku penuh yakin, dan bersiap sedia untuk menempuhi hari-hari yang akan datang.
“Aku nak tengok sejauh mana keberanian kau orang, korang belum lalu lagi dekat kawasan kolam dan tadika, dan akhir sekali di kawasan pembinaan rumah pegawai.” Pak Ahat mengingatkan bahawa yang aku tempuh itu baru di hadapan, sepertinya di bahagian yang disebutkan itu lebih menakutkan.
Kata-kata Pak ahat seakan mencabar aku, aku bertekad dengan Hasrul untuk membongkar segala kejadian aneh di dalam Maktab PDRM Muar itu. Selagi tidak aku melaluinya dengan mata kasar aku, selagi itu aku tidak akan mempercayai cerita-cerita orang.
*Cerita ini adalah berdasarkan kisah benar, dan setiap yang dilalui adalah benar. Hasrul sekarang sudah berkhidmat dalam Jabatan Imigresen Malaysia di Johor.
Semoga cerita ini dapat mengingatkan beliau kembali kepada saat pahit manis kehidupan. Sehingga kini peristiwa-peristiwa selama menjadi Pengawal Keselamatan Maktab PDRM tidak pernah hilang.
Dan sehingga kini juga aku masih mendengar kisah-kisah misteri di sana. jika kelapangan akan aku ceritakan pula sambungan hari berikutnya yang aku lalui bersama dengan Hasrul. Pastinya makhluk itu sudah menunggu kehadiran kami di setiap hari!
Hari ini adalah hari kedua aku bekerja, dan aku berharap semangat aku masih kuat untuk mengharungi segala cerita yang sedang bermain diminda aku. Kejadian semalam aku jadikan iktibar, dan aku beranggapan itu hanyalah ilusi atau sebuah karya ghaib yang dicipta oleh minda aku sendiri. Mana mungkin semudah itu untuk aku melihat mereka.
Seperti semalam, aku masuk kerja seperti biasa. Menulis report dan menghidupkan api, begitulah rutin harian yang bakal aku lalui setiap hari.
“Hasrul, kau rasa semalam yang kita nampak tu apa?” aku membuka peristiwa semalam.
“Hurmm, ntahlah. Kenapa?”
“Tak ada apalah, aku macam tak percayalah.” ujar aku sambil melabuhkan punggung dikerusi kayu yang terdapat didalam pondok.
“Tak payah percayalah!, kita buat je kerja kita” balas Hasrul sambil menulis report.
Aku termenung melihat semak samun dihadapan pondok. Kadang-kadang aku terfikir juga tentang haiwan berbisa yang mungkin boleh merbahayakan kami dipondok kawalan.
Waktu rondaan pertama dan kedua, kami dapat lakukan dengan baik. Pada rondaan waktu ketiga yang akan menjadi masalah kerana pada waktu itu adalah jam 12:00am pagi. Dan waktu itu sangat sinonim dengan kemunculan-kemunculan makhluk gaib.
Detik yang dinanti-nantikan pun tiba. Motor dihidupkan, mulut aku terkumat kamit membaca surah yang aku hafal. Bersedia menghadapi segala kemungkinan, atau aku bakal meletakkan jawatan aku pada esok harinya. Kerja yang nampak mudah sebelum ini, kini aku rasa begitu susah. Bukan kerja itu berat tetapi keadaan yang menjadikan kerja itu susah. Bunyi engin motor memecah kesunyian, aku memandu perlahan motorku sesekali mata aku mengerling kearah semak samun dan paling aku takut adalah ular tedung. Kehadiran makhluk berbisa itu sangat aku takuti, walaupun belum pernah lagi aku terserempak.
Sepanjang perjalanan sehingga habis di bahagian tangki air atas bukit, suasana nampak tenang. Tiada langsung aku di ganggu oleh makhluk-makhluk halus. Sampai sahaja di pondok kawalan, aku menulis laporan seperti biasa.
“Wei, kau nak tahu satu cerita tak?” tiba-tiba Hasrul memulakan perbualan.
“Cerita apa?” Tanyaku sambil menulis laporan.
Bunyi cengkerik dan burung cabak saling berlawan, Hasrul membakar rokok sambil duduk bersandar menghadap ungun api. “Ceritanya macam ni!” Hasrul memulakan cerita sambil menghembuskan asap rokok.
Hasrul menceritakan bahawa kawasan tempat pondok kami duduk itu adalah kawasan jin, dan pondok kami memang dibina betul-betul dibawah pokok besar dan rendang. Lihat pada pokok pun sudah menyeramkan, tetapi makhluk situ dikatakan tidak menganggu manusia.
“Dah-dah, kau tak payah nak merepek!” sengaja aku memotong cerita Hasrul. Bukan aku takut, cuma aku malas nak mendengar, aku lebih suka jika aku melihatnya sendiri macam yang aku lalui semalam.
Jam sudah menunjukkan pukul 2:00am, aku mencapai kunci motor lalu menghidupkan engin untuk melakukan rondaan, Hasrul terus mencapai barang-barang untuk clocking. Angin malam itu terasa sangat sejuk, mungkin disebabkan bercampur dengan embun. Hasrul nampak tenang sahaja, manakala aku mengigil kesejukan. Sedang aku memandu itu tiba-tiba mata aku di tegur dengan satu lembaga seakan berbungkus disebalik semak samun, “Astagfirullah” bisik hatiku. Aku yakin Hasrul tidak menyedarinya, dan aku menganggap itu hanyalah biasan cahaya pada batang pokok.
Sedang aku melalui kawasan chek point pertama iaitu dihujung kawasan pembinaan, tiba-tiba bunyi hentakkan pintu kuat kedengaran. Yelah rumah belum siap, bila bunyi pintu ditutup kuat mesti bergema. Bunyi hentakkan itu serba sedikit membuatkan semangat aku terperanjat. Jantung aku berdegup kencang. Kalimah Allah terus bermain dibibirku.
“Wei Hasrul cepatlah!” Jerit aku kepada Hasrul yang sedang mengunci. Wahal jarak kami hanya beberapa meter sahaja.
“Kejaplah!”balas Hasrul.
Selesai dia melakukan Clocking aku terus memulas minyak motor dan selepas itulah “Dummmmmmm, duummmmmmm” bunyi pintu dihentak kuat mengikut setiap rumah yang kami lalui.
“Hasrul, kau okay?” aku cuba berbual, untuk menghilangkan sedikit rasa takut.
“Okay je, jalan je” jawab Hasrul, dia tahu apa yang aku maksudkan.
Aku meneruskan kerja dengan tenang, walaupun perasaan takut mula bermain didalam jiwa aku. Sampai sahaja di bangunan tadika, aku memberhentikan motor. Hasrul pantas menuju kearah peti clocking, baru sahaja tangannya memegang kunci, tiba-tiba “Krreeeeeuuuuukkkkkkk~~, Kreeeukkkkk~” bunyi buai berayun. “Allah Hu Akhbarrrr!” kalimah suci itu aku lafazkan.
Hasrul memandang aku dengan 1001 persoalan, dan aku memandangnya. Kami ada dua pilihan, lari atau meneruskan clocking. Tetapi aku lihat Hasrul masih meneruskan clocking. Mata aku melilau kekiri dan kanan, bulu roma aku mula berdiri.
“Arghh, dia dah datang!” bisik hati aku
“Weehhh Hasrul, cepatlah” aku mula rasa tidak sedap hati.
“Kejap, sangkut pula kunci ni!” balas Hasrul, nada suaranya aku tahu dia juga seperti aku dalam kebimbangan.
Setelah direntap beberapa kali, akhirnya dapat juga dibuka. Hasrul dan aku terus menuju ke point seterusnya, alhamdulillah ditangki air kami tidak diganggu. Namun di point terakhir iaitu dikolam renang, aku memberhentikan motor dan kami terpaksa berjalan sedikit kearah kunci. Didalam hati aku sentiasa berdoa semoga tiadalah gangguan yang menganggu kami.
“Blussssshhhhhhhh!” bunyi air seakan orang terjun kedalam kolam, aku memandang kearah kolam. Airnya tenang tiada berkocak, aku memandang kearah Hasrul. Namun Hasrul meneruskan langkah, dan aku juga mengikut.
“Blusshhhhhh!” lagi sekali bunyi orang terjun kedalam kolam, membuatkan jantung aku berdegup kencang.
Hasrul mula menghentikan langkah, manakala aku dari tadi langkah sudah terhenti. Mata aku tajam melihat kearah kolam, kosong dan tenang airnya.
Tanpa aku sedari Hasrul sudahpun melakukan clocking, baru sahaja kaki kami ingin melangkah ke motor, tiba-tiba suara bayi menangis memecah kesunyian waktu itu. Aku terus melihat kearah kolam dan waktu itulah aku nampak satu tubuh berbaju putih sedang berdiri diatas papan anjal kolam. Tanpa berfikir panjang aku terus berlari kearah motor. Hasrul pula sudah lebih awal sampai dimotor.
Aku memulas minyak sehabisnya, suara sayup bayi menangis masih bermain ditelinga aku!.
“Weiiiii! dia ada atas kita!” Hasrul menjerit kuat. Aku melihat mengunakan anak mata sambil memandang keatas sedikit, kelihatan kain putih mengibas-ngibas di atas.
“Allahhh Hu Akhbarrrr” aku menjerit, tetapi seakan tidak kedengaran suara aku.
Segala lubang, segala kayu dan segala batu habis semua aku langgar. Aku tidak fikir tentang keselamatan ketika itu, tetapi aku hanya memikirkan tentang makhluk yang sedang ikut kami. Sehinggalah sampai di pondok kawalan, makhluk itu sudah tiada. Aku menarik nafas lega walaupun sebenarnya aku seperti sudah tidak bernafas.
Hasrul terduduk di kerusi, wajahnya pucat begitu juga aku.
“Haaa! sekarang kau percaya?” Tanya Hasrul seakan marah.
“Percaya!” tapi!.
“Tapi apa lagi?”
“Hahaha tak ada apalah, ko tengok rim motor tu” balas aku sambil mejuir bibir kearah motor.
“Wahahahaahahahha” kami gelak bersama apabila melihat rim sudah bengkok. Ketakutan tadi hilang seketika.
Aku ambil jam loceng yang memang sudah sedia ada diatas meja, lalu menguncinya pada pukul 4:00am.
“Hasrul, aku nak lelapkan mata kejap” pesan aku pada Hasrul.
“Eh aku pun sama, kunci la jam” ujar Hasrul pula.
“Dah” jawab aku ringkas. Lalu kami melelapkan mata seketika.
===============================================
Ktinggggg, ktinggggg … bunyi pagar besar yang diperbuat daripada besi itu diketuk kuat. Aku terjaga dari tidur lalu melihat kearah pagar hanya ada satu lubang kecil untuk melihat tetamu diluar. Tanpa berfikir panjang atau mungkin sebenarnya aku sedang mamai. Aku bangun lalu menghampiri pagar, dan melihat disebalik lubang seorang wanita umur lebih kurang 20an sedang berdiri diluar dan meminta kebenaran untuk masuk. Aku bagaikan dipukau, tanpa banyak bicara aku terus ke pondok untuk mengambil kunci pagar kemudian membuka untuk gadis itu masuk.
“Terima kasih bang~” kata gadis itu apabila sudah masuk, dia memaki baju kebaya dan kain batik menutup kepalannya.
“Eh!” dia nak kemana? tiba-tiba aku mula sedar bahawa dia seorang wanita dan pada waktu begini dia hendak kemana.
Pantas aku memusingkan badan untuk melihat gadis itu, namun dia sudah tiada. Aku berlari kearah pondok dan mengejutkan Hasrul dari tidur.
Aku menceritakan kepada Hasrul apa yang aku lihat, namun cerita aku tidak diendahkan. Aku lihat jam sudah menunjukkan pukul 3:50am, “siapa gadis tadi?” hati aku berbisik sendirian. Aku masih tertanya-tanya bagaimana aku boleh membenarkan dia masuk dan lebih membuatkan aku tertanya adalah tentang pakaiannya. Tetapi kisah itu hanya aku dan Hasrul sahaja yang tahu, kerana Hasrul sedar ketika aku bangun buka pagar.
Pada keesokan harinya aku ceritakan kepada Pak Ahat, namun cerita aku hanya dibalas dengan senyuman. Baru aku faham perasaan jika kita menceritakan sesuatu itu tetapi orang hanya tersenyum tanpa memberikan apa-apa riaksi.
Kisah yang aku ceritakan ini baru secebis pengalaman aku. Selepas beberapa bulan aku bekerja akhirnya tambah lagi seorang pekerja. Tetapi malang baginya apabila tidak lama dia bekerja dia telah diganggu dengan kehadiran makhluk tidak berkepala sedang berjalan di tangki air. Selepas itu pekerja itu ditukar kepada shif siang. Dan sebulan selepas itu kami dapat seorang lagi pekerja. Dia agak lurus bendul, bagus budaknya kerana mendengar setiap kata-kata. Tetapi sayangnya dia ditukarkan kepada pos lain juga setelah dia lari meninggalkan Hasrul di bangunan tadika. Waktu itu mereka diganggu dengan hilaian tawa wanita. Kerana takut dan terkejut pekerja baru itu lari mengunakan motor meninggalkan Hasrul seorang diri. Kejadian-kejadian aneh itu berlarutan sehinggalah akhirnya aku menjadi salah seorang sahabat mereka. Sehinggalah aku tahu tempat-tempat makhluk itu duduk. Dan dimana tempat mereka. Sememangnya tidak semua Jin itu Jahat dan kita harus berhati-hati dengan tipu daya iblis dan syaitan serta jin. Yang turut bekerja sehingga habis kontrak disitu adalah Aszuan, Syarafuddin , Hasrul manakala Khairul
pula berhenti atas sebab menyambung pelajarannya.
Maaf jika cerita saya ada meyinggung perasaan mana-mana pihak, Kejadian ini berlaku sewaktu perumahan untuk anggota di Maktab PDRM dibina. Dan aku salah seorang yang bertugas menjaga kawasan sana sehinggalah kontrak kami tamat. Sehingga kini aku masih mendengar kisah dikolam dan beberapa tempat yang aku pernah lalui.
Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang pernah terlibat Aszwan, Syarafuddin , Hasrul, Khairul, Pak din, Tulang.
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
seramm nya…cerita best…senang nk fhm…
cite dia terbaik bak hang
Part rim moto bengkok tu klaka haha.. Best
tabah btol kerja sampai abis kontrak…fuh
Ape2 pn ko memang berani bang. Aku yang membaca ni pn terasa mcm nak berlari. huhu
Best bebenor..akak bg 8🌟🌟🌟🌟🌟🌟🌟🌟
haha lepak dgn hntu ehh. smpai boleh tau port diorg
xtaw nak rasa seram atau nak gelak..kiranya mmg byk ler penghuni lain kat situ..y tadika,kolam renang tu masih digunakn atau x?nti share lg kisah hantu kt sini ye..
“Kejadian-kejadian aneh itu berlarutan sehinggalah akhirnya aku menjadi salah seorang sahabat mereka. Sehinggalah aku tahu tempat-tempat makhluk itu duduk. Dan dimana tempat mereka.”
Akhirnya berjaya jgk penulis diterima sbg shbt dkalangan ‘mereka’, siap bagitau duduk kat mana plk tu.. aku tabik kat ko di atas keberanian ko..
Seram beb rating 10/10
Best.
Pergh seram giler cite ko bro.. cite paling best aku bace setakat ney.. mudah faham, ringkas dan padat.. tapi part ni bagi aku paling lawak tapi kejam… “Dan sebulan selepas itu kami dapat seorang lagi pekerja. Dia agak lurus bendul, bagus budaknya kerana mendengar setiap kata-kata. Tetapi sayangnya dia ditukarkan kepada pos lain juga setelah dia lari meninggalkan Hasrul di bangunan tadika. Waktu itu mereka diganggu dengan hilaian tawa wanita. Kerana takut dan terkejut pekerja baru itu lari mengunakan motor meninggalkan Hasrul seorang diri”.hahahahaha xgune punye kawan sbb sanggup tinggal kan member, hahaha adeh lawak lawak
aku puas hati dgn cerita kau.. terbaik boh cara tulis pun mudah dfahami
Cerita terbaik….seram bila bace tapi x thn gelak bila bace si hasrul kena tggl 😂😂😂😂
thorbaikkkk..seram gile huhu
Tahap keseraman 5/5 tp sbb ko pandai cerita,cerita ne jadi Lawak seram,gaya penulisan pun kemas. Niceee.. Share la lagi lepas ne..
Tmbhan: ko,hasrul mmg hati kering. Best..
Antara cerita paling best. Dan yg penting PENGALAMAN SEBENAR Dan bukan rekaan . Keseraman 5/5. Tahun berapa pengalaman ni? Sbb adik sy bekas pelatih situ. Nak korek la cerita r die. Tahniahhh penulis. Hati Kering. Lagi seronok Di baca
Sangat bagus!!! Boleh dikatakan hampir atau setaraf dgn Dammerung kerana berjaya membawa pembaca kealam cerita tersebut. Syabas!!! 9.5/10
Terbaik!!! 5/5 aku bagi.. antara kisah yg paling seram dan benar pernah aku baca sebelum ni.. kalau ade pengalaman lain, cerita la lagi..
Fuhh best gile.. hati kering betul dia ni. Hahahaha. Terbaikk !
cuunnn
HATI kering lu mat. Wa SAlute SAMA lu NGAN hasrul. Aq kasi 5/5
Banyak gile seramnya. Penceritaan yang sampai. Detail. Penulis berjaya membawa pembaca seolah2 sama2 bekerja…..
best best best..post lagi kalau ada weiiii..
Sekarang pon suasana malam disini agak seram sedikit..
Terbaiklah …
100 Bintang ..
Sebuah Garapan Pengalaman yang cukup menarik dan mengesankan …
Teruskan menulis pengalaman tu …
Saya tak sabar nak hadam semuanya ni …