Gangguan di kem

Assalammualaikum dan selamat sejahtera. Terima kasih pihak FS kerana sudi menerbitkan cerita aku ini. Maaf kalau ada kekurangan pada cerita yang akan aku ceritakan ini. Mungkin ianya tidak seram untuk sesiapa yang membaca, tapi bagi aku ini adalah pengalaman seram aku ketika di bangku sekolah.

Ketika aku berada di tingkatan 4, kami satu batch perlu mengikuti kem motivasi di salah sebuah kampung di Perak. Untuk pengetahuan semua, sekolah aku semua perempuan. Kem itu diadakan selama dua hari tiga malam. Gangguan tersebut timbul sesampainya kami di sana. Orang pertama yang diganggu ialah kawan aku sendiri iaitu Dhia (bukan nama sebenar). Masa itu kami baru sahaja lepas makan tengah hari, jadi Dhia balik ke bilik untuk memberus gigi. Selepas berus gigi, Dhia meletakkan berus giginya di celah-celah lubang(bata bunga-bunga) di bilik air. Tetapi berusnya ditolak jatuh ke lantai, kemudian Dhia letak kembali dan ditolak lagi. Selepas dua tiga kali ditolak, Dhia terus ambil berus giginya dan keluar dari bilik air tersebut.

Malam pertama di kem tersebut, kami ada kelas yang diajar oleh ustaz. Tiba-tiba, kami semua terdengar tingkap diketuk sangat laju dari belakang hingga ke depan. Kami semua berhenti dan memandang ke arah tingkap. Suasana sunyi seketika dan terdengar lagi ketukan itu. Kami dan ustaz saling memandang. Ustaz menasihati kami agar hiraukan sahaja gangguan tersebut dan kembali belajar. Keesokkan harinya, aku membuka tingkap tersebut dan terkejut kerana disebalik tingkap tersebut hanya semak samun dan tiada ruang langsung untuk seorang manusia berlari. Sangat sempit. Aku memanggil kawan-kawan aku untuk melihat halaman belakang. Mereka saling memandang kerana teringatkan kejadian semalam.

Malam kedua pula, kami ada slot motivasi diri yang dihadiri penceramah luar. Selepas tamat ceramah motivasi, kami semua menjamu selera di kantin. Semua pelajar perlu masuk ke bilik masing-masing sebelum pukul 12:00 tengah malam. Kejadian kali ini berlaku di bilik kawan aku juga. Mereka dah nak tidur, jadi lampu ditutup. Suasana jadi gelap. Tetapi tiba-tiba lampu terbuka sendiri. Mereka memandang sesama sendiri untuk melihat siapa yang membuka lampu. Tetapi semua masih terbaring di katil. Tiba-tiba lampu tertutup dan terbuka sendiri. Mereka hanya baring diam sambil membaca surah-surah yang bermain di minda mereka. Beberapa minit kemudian gangguan tersebut hilang.

Keesokan harinya, kami ada qiammulai di surau. Jadi ustaz yang imamkan kami datang pada pagi tersebut. Ustaz tersebut bawa satu keluarga. Ketika itu, isteri ustaz tersebut berada dalam keadaan tidak suci. Jadi dia hanya tunggu di kereta kerana anaknya sedang tidur. Tiba-tiba, kereta mereka digoncang, seperti ada seseorang yang sedang duduk di atas kereta. Isteri ustaz tersebut ternampak satu lembaga sedang duduk di hadapan bonet depan. Isteri ustaz itu keluar dari kereta untuk memeriksa mungkin ada pelajar yang masih belum ke surau. Tetapi tiada sesiapa pun di luar. Disebabkan terlalu risau, isteri ustaz tersebut membawa anak-anaknya masuk ke dalam surau.

Hari terakhir di kem tersebut, kami akhiri dengan jamuan makan tengah hari. Jadi, ketika aku enak menjamu selera, tiba-tiba ada seekor lalat tepat masuk ke dalam nasi aku. Nasi aku berkuah, jadi lalat itu pun berenang di dalam nasi aku. Jadi aku buang nasi yang telah tercemar itu. Aku ambil keputusan untuk balik ke bilik aku seorang diri untuk mengambil beg memandangkan kawan-kawan aku masih menjamu selera. Ketika aku buka pintu bilik, aku terkejut kerana ternampak kepala budak betul-betul di hadapan pintu bilik. Kemudian, budak itu hilang. Aku memeriksa di dalam bilik air juga tiada. Disebabkan aku takut, aku tunggu kawan-kawan aku diluar bilik. Aku tidak sangka bahawa aku juga akan diganggu di siang hari?

Keesokkan harinya, sekolah berjalan seperti biasa. Baru aku tahu bahawa sebenarnya hampir semua orang diganggu. Termasuk ustaz dan ustazah aku. Masing-masing diganggu dengan cara yang berbeza. Walauapapun, kami semua bersyukur kerana tiada gangguan yang teruk seperti dirasuk atau disorok. Bagi aku, setiap tempat ada ceritanya. Jadi aku akhiri penulisan aku dengan ucapan terima kasih dan maaf kalau ada kekurangan.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Yaya

2 thoughts on “Gangguan di kem”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.