Gangguan Malam Isnin

Assalammualaikum dan hai pembaca FS sekalian, nama aku Nana. Aku nak kongsikan pengalaman misteri yang aku alami. Ceritanya tak seram pun tapi bagi aku misteri. Aku menulis ni untuk meluahkan kisah yang aku simpan selama ini. Kalau ada salah silap, minta ajarkan ya. Okay, jom kita mula.

Ceritanya bermula bila aku masuk ke asrama. Pengalaman misteri ini terjadi semasa aku berada di Tingkatan 1 di sebuah sekolah berasrama penuh di Pulau Pinang. Aku adalah antara pelajar yang masuk semasa pengambilan kedua, jadinya aku kurang berkawan. Siapa yang duduk asrama tahulah jurang antara pengambilan pertama dan kedua. Sesetengah sekolah memang sangat ketara, tapi di sini biasa-biasa sahaja. Aku memang lebih suka menyendiri.

Setelah mendaftarkan diri, aku dan keluarga terus menuju ke bilik yang aku dapat. Mama dan Tok menolong aku mengemas katil dan almari. Suasana di asrama begitu lengang kerana aku daftar tengahari dan urusan pejabat berakhir di waktu petang. Jadinya kami berada di dalam asrama semasa pelajar lain di kelas untuk prep petang. Bagi yang tak tahu prep petang tu apa, prep tu singkatan kepada preparation, maksudnya kelas persediaan untuk esok di mana para pelajar akan guna masa itu untuk membuat ulangkaji/homework yang diberi. Untuk pelajar asrama ni, ada prep petang dan prep malam. Habis mengemas, keluargaku pulang ke rumah dan tinggallah aku di sini seorang diri. “Belajaq rajin-rajin, jangan tinggai sembahyang” pesan mama terngiang-ngiang dalam kepalaku. “Okay, budak asrama dah sekarang. Hm..” aku bercakap dalam hati sambil melangkah masuk ke dalam bilik.

Tak berapa lama kemudian, kedengaran suara-suara pelajar lain memenuhi ruang asrama, riuh jugak la. Tiba-tiba, pintu bilikku dibuka dan tiga orang pelajar masuk ke dalam bilikku. Dengan senyuman, salah seorang dari mereka bertanya “Baru masuk ka? Nama apa?”. “Nana” balasku ringkas. Aku berkawan dengan mereka sahaja sepanjang aku bersekolah di sana. Meh nak kenalkan, yang tanya aku Didi, yang lagi dua tu Mimi dan Ina (nama samaran). Kami berempat semakin rapat sebab hari-hari lepak (prep petang), riadah semua sekali. Macam geng-geng Jun Pyo dalam cerita Boys Over Flower tu lah. Hahaha tapi kami ni low profile la. Jap nak selit, sepanjang aku berada kat sana dalam dua minggu, aku tengok semua kawan-kawan aku ni bila balik prep malam mesti nangis. Aku tanya kat Didi, “awat Didi, hang nangeh ni?” “Homesick.” Aku balas dengan “ooo” dan mendiamkan diri sahaja lepas tu. Yelah kan, siapa jaa nak kacau orang nangis. Esoknya aku bisik dekat classmate aku Eton, “weh homesick tu benda apa? Awat macam ramai sangat nangis sebab homesick ni?” “Homesick tu macam hang rindu family hang, rumah hang laa.. Hang tak homesick ka Nana?” “Tak pun” jawabku. Okay sambung.

Dalam beberapa hari aku duduk kat situ, dua roommate aku demam dan ajak aku teman depa kat sickbay semasa prep malam. Aku pun ikut ja si Mimi dengan Didi ni. Dah nama pun sakit, tidur ja la kan? Hahaha. Aku pun tumpang la katil sebelah Didi tidur tepi dia. Masa dalam tu, aku tak boleh nak lena sangat sebab suasana dia seram dan gelap. Aku nampak bayang pokok kat tingkap dan aku terganggu. Sesekali terdengar macam bunyi angin menambahkan lagi ketakutan kami. Tak ada apa apa yang best pun jadi, tapi masa kami nak balik dan tutup lampu, tiba tiba ada suara berdehem dekat toilet sickbay tu. Kami pandang sesama sendiri dan cepat-cepat tutup pintu dan lari lintang pukang. Kesian kat kawan aku dua orang tu lah kan, demam. Huhu.

Aku jalani kehidupan di asrama seperti biasa sampai la satu malam tu..

Malam itu, aku tak boleh tidur sebab panas. Entahlah kenapa, mungkin nak hujan. Kawan-kawan yang lain semua dah tidur. Masa tu lah, aku nampak satu lembaga di atas almari aku sedang duduk memeluk kakinya sambil menangis. Perlahan sahaja tapi bunyinya sampai ke gegendang telingaku. Aku terketar-ketar memejamkan mata aku serapatnya supaya ‘benda’ tu tak nampak aku. Tak sampai seminit, suara tu hilang dan aku pun entah macam mana tertidur. Beberapa jam tidur, aku bangun untuk bersiap ke surau untuk solat subuh berjemaah.

Hari tu, aku tak ingat macam mana tapi aku jalan seorang ja pergi surau. Siap awal kot. Dalam perjalanan aku nak pergi ke surau tu, aku kena lalu dekat ‘sickbay’ tau, dekat tepi ‘sickbay’ tu ada satu pokok yang ada dahan melintang, dahan yang orang boleh duduk lah senang cerita. Boleh imagine tak? Okay, masa aku lalu situ, dari jauh aku nampak satu lembaga berbaju putih lusuh, rambut panjang, duduk di atas dahan itu. Aku buat-buat tak nampak j, acah berani sebab aku nak pergi solat ni. Huhu, jangan la kacau aku please, aku percepatkan langkah dan Alhamdulillah tak ada apa apa gangguan pun selain penampakan tu.

Aku ingat dah takda apa la lepas dia tunjuk diri ‘dia’ tu tapi aku silap. ‘Dia’ datang semula pada isnin berikutnya di tempat yang sama iaitu atas almari aku. Kali ini, ‘dia’ tak menangis tapi ketawa. Aku takut tau sebenarnya tapi aku tak reti nak describe ketakutan aku macam mana. Tipulah tak takut, huhuhu. So, malam tu lagi sekali aku cuba pejam mata rapat-rapat dan tak sampai seminit, ‘dia’ pergi. Aku mula curious dan rasa macam ‘dia’ kacau aku bersebab, aku syak ‘dia’ akan datang lagi isnin depan jadi aku bersedia. Seminggu lepas tu, isnin malam, seperti yang aku jangkakan, ‘dia’ datang lagi tapi kalini ‘dia’ menunjukkan mukanya, dengan ekspresi marah. Astaghfirullah.. kenapa la aku tengok, lepas ‘dia’ hilang aku tidur tepi kawan aku, Didi.

Aku mula homesick dan bila ada masa ja mesti aku akan call Mama dan mengadu pasal benda tu kacau. Aku minta untuk tukar sekolah. Mula-mula Mama cakap baca doa, solat banyak-banyak, minta Allah lindungi diri. Tapi lepas homesick aku jadi makin teruk, Mama ajak aku pergi berubat. Nak pulihkan semangat sebab kalau ada masa ja, mesti aku menangis. Lemah kan? Mama pun telefon cikgu homeroom aku dan beritahu untuk bawa aku balik untuk berubat. Mama cakap lepas kerja Mama ambil aku jadi aku pun kemas-kemas barang aku nak bawa balik dan masatu dah nak maghrib, roommates aku semua pergi mandi, tinggal aku ja dalam bilik tu, aku perasan yang suasana bilik aku tu jadi gelap sikit. Bila aku toleh kiri, ada satu lembaga hitam yang besar dan berbulu, bermata kuning merenung aku. ‘Benda’ tu ada kat atas katil Ina. Katil depan aku. Lepas tu hilang. Aku lari keluar bilik dan duduk kat bilik kawan aku sampai Mama datang tak lama lepas tu.

Diam. Tanpa kata, aku masuk ke dalam kereta dan terus mendiamkan diri. Sampai kat jambatan pulau pinang, aku mula buka mulut menceritakan kejadian yang baru ja aku alami tadi. Abah dan Mama terus bawa aku pergi rumah pakcik S. Setibanya kami di rumah pakcik S, pakcik tu suruh aku masuk ke dalam bilik berubatnya dan ‘tengok’ aku. Pakcik S kata aku ni macam terbuka hijab sementara ja, nanti hilang la.. Lepas tu, dia explain kat abah dan mama lebih lanjut pasal aku. Aku tak dengar pun. Apa yang aku ingat, pakcik S tu suruh aku tabur garam kat bilik aku dan baca yasin dalam bilik nanti ramai-ramai. Aku pun buat apa yang disuruh, tapi aku masih lagi nampak ‘benda2’ tu semua jadi aku ambil keputusan untuk tukar sekolah. Rayuan aku diterima dan kisahku di sekolah itu berakhir di situ.

Sorry guys pengalaman misteri aku kat sekolah ni tak seram sangat sebab ni macam episod pertama gangguan dalam hidupku. Lain kali aku cerita lagi kalau ada masa. Thank you sudi baca. Sampai ketemu lagi.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Nana Chombi

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 5]

11 thoughts on “Gangguan Malam Isnin”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.