Gara-Gara 7 Hantu

Satu Malam Jumaat sekitar tahun 1985

Jam 11.28 malam

Suasana sudah pun sepi di bandar Sibu. Tiada lagi kedai yang masih beroperasi pada ketika itu. Kalau ada pun hanyalah kedai jual rokok dan arak seludup yang beroperasi sampai lewat malam di kawasan perkampungan.

Flat salah satu badan kerajaan beruniform juga kebanyakannya sudah gelap menunjukkan para penghuni sudahpun ke alam mimpi.

“Hah! Hah!”

Nafas pemuda itu tercungap-cungap. Kelihatan susuk tubuhnya lari keluar dari kuarters tersebut melalui jalan tikus. Dia serik dan tidak lagi berani mencuba nasib untuk kembali ke tempat tersebut.

“Allahuakbar!”

Spontan keluar dari mulut Pak Loben kalimah suci tersebut selepas dikejutkan oleh sesuatu yang beliau sendiri kurang pasti apakah benda yang mengejutkan beliau. Baju apek putihnya basah lencun. Tidurnya terganggu oleh sesuatu. Beliau pergi ke sinki dan membasuh mukanya.

Sempat beliau memeriksa bilik-bilik rumahnya. Isterinya menemani dua cucunya tidur di bilik sebelah. Anak dan menantunya diluar negeri atas urusan pekerjaan. Pak Loben berwudu’. Sejadah usang dihamparkan. Tahajud 2 rakaat didirikan.
Selesai solat, beliau berzikir.

Namun, fikirannya terganggu kerana benda yang baru saja berlaku pada dirinya sebentar tadi. Alamat apakah yang mendatanginya? Pak Loben pasti firasatnya, itu adalah salah satu percubaan dari seseorang yang boleh jadi sesiapa pun. Kata orang, mencuba ilmu. Pak Loben menukar pakaiannya dan langsung keluar dari rumahnya yang tingkat ke 3.

‘Aku mesti jumpa sidak debah.’
(Aku mesti jumpa diorang kat bawah.)

Itulah nekad hatinya. Jam Crocodile ditangan sempat dikerling. Sudah pukul 11.50.

Langkahnya agak laju bagi mereka yang berumur 60an. Pak Loben sungguh tampak kurus kering tetapi kalau setakat 3 orang anak muda gagah, masih mampu lagi beliau tewaskan dengan mudah.
Beliau telahpun diisi oleh arwah guru silatnya dengan keyakinan dan ilmu untuk membantu pihak yang memerlukan.

Kurang 2 minit, Pak Loben sampai ke tingkat bawah. Pak Loben mencari-cari pemuda tersebut. Firasat beliau mengatakan kejadian bermula dari kawasan tingkat bawah sekali.

“Mad!”

Mad yang berjalan dari rumah tingkat bawah hujung sekali tersentak. Hampir terjatuh rokok Perilly’s yang baru saja dinyalakan. Pemuda tersebut mendekati orang yang menyapanya.

“Eh, Pak Loben!”

Mad tersengih-sengih. Pak Loben memandang serius. Matanya tajam. Matanya meratah Mad dari kaki ke kepala.

“Yang tadik, kau pun kah?”
(Yang tadi, kau punya ke?) Tanya Pak Loben.

Mad diam. Rokoknya disedut pendek dan lantas dibuang. Mad tersenyum. Tidak disangka sampai ke pengetahuan orang lain juga rupanya.

Jam 11.07 malam

Holy Diver,
You’ve been down too long in the midnight sea,
Oh what’s becoming of me!

Mad, Dom, Gani dan Abeng dengan gitar kapok dan radio kaset mereka memecah kesunyian malam. Kedua orang tua Abeng balik kampung, maka kesempatan yang ada digunakan untuk melepak bersama geng keras.

Dom memutar balik kaset Dio tersebut. Gani memasang telinga dengan gitar kapok ditangannya.

“Okay! Cun!” Kata Gani lantas mencari kord lagu.

Abeng geli hati melihat Dom yang berulang kali memutar kaset agar Gani dapat mencari kord lagu yang bakal mereka pertandingkan di Battle of The Band kelak. Manalah tahu ada rezeki boleh kongsi pentas dengan Ella and The Boys kalau dapat pergi jauh. Itulah impian mereka sejak beberapa tahun yang lepas.

Mad pula dari tadi berbaring dan merokok. Baju White Snake hitam dibadannya terlihat lubang-lubang kecil kesan percikan rokok yang sudah sebati sejak Mad masuk tingkatan 4. Abeng memadamkan api rokok yang belum sempat dihabiskan. Pundi kencingnya mulai penuh setelah beberapa gelas Milo panas habis diteguknya.

Belum sempat Abeng berdiri dari duduk bersila. Mad membuka soalan setelah hampir 30 minit.

“Kitakorang cayak ngan antu sik?”
(Korang percaya dengan hantu tak?)

Mereka yang lain melihat sesama sendiri dan langsung ketawa. Abeng yang kini sudah pun berdiri tegak juga terkekeh-kekeh. Soalan itu kelakar bagi mereka, kecuali Dom. Dom hanya tunduk membisu. Sebabnya? Dom kenal benar perangai Mad, sahabat dari zaman sekolah rendahnya. Seorang yang berani dan bukan sembarangan orangnya.

“Sikda eh. Karut! Hahaha.” Kata Gani.
(Takde la. Karut! Hahaha.)

Abeng mengangguk-angguk tanda menyokong kenyataan Gani.

“Antu? Bullsh*t eh!” Sambung Gani lagi sambil tangannya setia memetik gitar kapok.

Mad yang masih baring dan memejam mata tersenyum. Mulutnya terkumat-kamit. Dom gelisah melihat Mad. Mad yang baru habis pondok di Kelantan memang mendapat gelaran jolokan ‘Ustaz Gil*’ kerana berani buat perkara yang mencabar keberanian manusia biasa.

Abeng bergerak ke pintu biliknya untuk ke tandas. Mad dengan tiba-tibanya duduk mengejut! Matanya masih terpejam dan mulutnya masih terkumat-kamit seakan membaca sesuatu. Pintu yang baru saja dibuka Abeng tertutup kuat seakan dihempas. Abeng langsung terduduk ke belakang beberapa langkah. Gani dan Dom ikut tersentak melihat pintu tertutup dengan kuatnya tanpa ada angin sedikit pun.

Mad yang masih terkumat-kamit dengan keadaan matanya yang masih terpejam. Entah mantera atau jampi serapah apa yang Mad baca. Tingkap bilik terbuka luas. Deruan angin masuk dari tingkap menerbangkan buku dan kertas lirik milik Abeng. Mereka panik kecuali Mad.

“Oi! Apaa..apahal pintu ngan penjan terbukak dirikpun?”
(Oi! Apaa..apasal pintu dan tingkap terbuka sendiri?) Pertanyaan dari Gani tidak terjawab. Masing-masing ketakutan.

Gani terus saja memeluk Dom. Dom tunduk ketakutan dan cuba mengawal diri. Otaknya sedang mengingati surah-surah pendek yang sering diajar oleh Mad semenjak Dom memeluk Islam beberapa tahun lepas.

Mad membuka mata! Pintu dan tingkap automatik tertutup serta-merta. Kertas lirik perlahan-lahan jatuh ke lantai. Abu dan puntung rokok bertebaran.

“Ha..hahaha..takut ka?” Tanya Gani yang acah-acah berani.

“Hadir!” Bisik Mad namun dapat didengari mereka yang lain.

Lampu bilik tiba-tiba padam!

Sepi untuk beberapa saat. Bam!

Pintu bilik terbuka. Lampu kembali menyala dan…

Mereka berempat dikelilingi beberapa jenis hantu yang berlainan rupa!

Menjerit ketakutan ketiga mereka kecuali Mad.

Dom sudah menyangka keadaan sebegini akan berlaku. Dom hanya memejam mata ketakutan. Abeng dan Gani menerpa ke arah Dom dan duduk merapat diri. Hanya Mad yang masih tenang di tengah-tengah bilik.

Mad senyum sinis. Geli hati melihat olahan geng yang tadi bukan main hebat takburnya.

Dom sempat menghitung.

“Sa..tu…duu..dua..tiiga…emm..pat…li..ma…e..enam..tujuh..”

Ada 7 jenis hantu yang datang diseru Mad. 6 dari 7 hantu terbang mengelilingi mereka berempat di dalam bilik tersebut manakala satu kepala sebesar pintu menghadang pintu bilik.

Abeng terkencing dalam seluar. Basah skinny jeans koyaknya. Gani tidak kisah dengan kencing sahabatnyat kerana ketakutan lebih menguasainya. Dom melihat satu persatu hantu yang terbang perlahan mengelilingi mereka. Dom memberanikan diri mengecam kesemua hantu yang hadir.

Satu: Pontianak yang mukanya ditutupi rambut yang panjang. Tangannya panjang hampir mencecah bahagian kaki. Berkain putih usang.

Dua: Pocong lelaki yang kotor kainnya. Mukanya gelap bermisai.

Tiga: Langsuir buruk sebelah mukanya. Berpakaian putih seperti pontianak.

Empat: Jembalang tanah. Hantu yang botak dan dilumuri tanah.

Lima: Hantu amoi cina. Berpakaian cheongsam merah. Pucat lesi wajahnya. Berambut pendek.

Enam: Hantu kepala besar. Hanya kepala sebesar pintu. Wajahnya bernanah dan bergigi panjang serta tajam.

Tujuh: Hantu nenek tua yang wajah yang wajahnya sekejap ada, sekejap tak berwajah.

Dari semua hantu, hantu nenek tua yang paling menakutkan Dom. Ngeri melihat wajahnya yang hilang datang. Abeng dan Gani? Mereka takutkan kesemuanya.

Hilaian pontianak. Tangisan langsuir. Gelak ketawa si nenek. Riuh-rendah bilik Abeng dibuatnya.

“Mad..Mad..apa di polah kau tok? Kau pun antu semua tok?”
(Mad..Mad..apa yang kau buat ni? Kau punya ke semua hantu ni?) Bisik Dom tatkala menghampiri Mad.

Mad menoleh ke kiri dan tersenyum. Abeng dan Gani masih berpelukan dan memejam mata mereka. Tidak sanggup bagi mereka berdua untuk menatap hantu-hantu yang berpesta di bilik tersebut. Mad masih menikmati suasana sebegini dan tidak bercadang untuk menamatkan pesta dalam masa terdekat.

Belum sepuluh minit agaknya, namun terasa seperti berjam lamanya dikelilingi hantu-hantu tersebut bagi Abeng, Gani dan Dom.

Jam 11.23 malam

“Kemenyan..telur..haa..semua cukup..hehe.” Dobi memeriksa semua bahan yang diarahkan gurunya, Bomoh Sidi, di bawah pokok ara belakang flat kuarters.

Barang-barang tersebut dikeluarkan dari plastik hitam dengan cermat. Dobi melilau keadaan khuatir ada yang melihat perbuatannya. Dobi menoleh ke atas, ke tingkat tiga, kediaman Pak Loben.

“Hehe..siap kau Pak Loben.” Dobi memasang kemenyan dan meletakkan telur yang ditulis dengan tulisan jawi di atas tanah.

Baru saja hendak memulakan upacara, Dobi perasan yang rumah tingkat bawah hujung sekali riuh-rendah. Dobi curiga. Perasaan ingin tahunya meninggi. Dobi perlahan-lahan melangkah ke arah rumah tersebut sekaligus melupakan upacara yang seharusnya dilaksanakannya. Pesanan gurunya langsung dilupakan.

Dari belakang rumah, kini Dobi sudahpun didepan rumah tersebut. Dobi menjenguk dari tingkap bilik rumah tersebut.

Dobi terkejut! Seakan tidak percaya apa yang dilihatnya.

“Oi! Antu!” Jerit Dobi dan langsung berlari meninggalkan kuarters tersebut.

Mad menoleh ke arah tingkap. Mad sempat terdengar suara jeritan orang dari arah itu. Mad merasa tidak sedap hati lalu menghentikan pesta tersebut.

Hantu-hantu hilang serta-merta. Abeng, Gani dan Dom masih memejam mata. Tidak sedar berakhir sudah penderitaan malam itu. Sedar-sedar saja, Mad sudah tiada.

Jam 11.55 malam

“Tadik, ada urang coba nak coba aku.”
(Tadi, ada orang nak mencuba aku.” Ujar Pak Loben.

Mad diam dan menunggu luahan Pak Loben.

“Tapi, nya terkejut dengan apa dipolah kau tadik, Mad.”
(Tapi, dia terkejut dengan apa yang kau buat tadi,Mad.) Sambung Pak Loben.

Mad mengangguk.

“Mad, antu-antu tadik kau pun kah?”
(Mad, hantu-hantu tadi kau punya ke?)

Mad menggeleng. Rokok dinyalakan.

“Antu-antu ya asal dari tempat tok..kamek minak nunggah jak pake main-main.”
(Hantu-hantu tu asal dari kawasan ni jugak..saya cuma panggil je untuk buat main.) Mad terkekeh sendiri.

“Berapa antu diseru kau tadik?” Tanya Pak Loben.

“Tujuh.” Mad menghembus perlahan asap rokok.

Pak Loben senyum. Jikalau pesta yang dibuat Mad tiada, entah apa yang terjadi. Gara-gara 7 hantu.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

SyafiqFathi
Rating Pembaca
[Total: 0 Average: 0]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.