Gerbang Khayalan.
Langit beransur gelap. Pergerakan anggota semakin perlahan. Masing-masing seolah sudah kepenatan. Mengah mereka berlari menuju ke yang tak pasti. Entah di mana tempat berlabuh tiada siapa yang berani mahu bertanya.
Akhirnya isyarat tangan diberikan sebagai tanda berhenti. Tiga Calit pantas berlari ke depan menghampiri Dua Paku. Anggota yang lain pula mengambil kedudukan, berselang seli memantau persekitaran.
“Kenapa, Tuan?” Garau suara Tiga Calit bertanyakan soalan.
Dua Paku tidak menjawab. Peta yang dibelek-belek tadi dihamparkan ke tanah. Manakala kompas yang sejak tadi dipegang, dibuka penutupnya dan disuakan pada Tiga Calit.
Menggeleng kepala Tiga Calit melihat jarum kompas yang berputar perlahan tanpa henti.
“Hmm… saya memang dah agak, Tuan. Memang dari tadi kita asik berpusing di kawasan sini sahaja.”
Menitik peluh Dua Paku mendengarnya. Manakan tidak, dia baru sahaja setahun jagung berbanding Tiga Calit yang terlebih dahulu makan garam. Tetapi disebabkan pangkat dan kehendak perkhidmatan, terpaksalah dia memikulnya juga.
“Sarjan, ada kaitan dengan kabus tadi ke?” Ada sedikit getar di setiap pertuturan Dua Paku. Matanya mula melilau melihat sekeliling, turun naik dadanya mengambil nafas cuba menenangkan diri.
“Sabar, Tuan. Bawa bertenang. Jangan sampai anak buah ketahuan, takut nanti hilang kawalan.” Segera Tiga Calit berbisik pada Dua Paku.
Faham benar Tiga Calit akan kerisauan pegawai mudanya itu. Dan dia sendiri pun sedia maklum kebanyakan pegawai yang baru ditauliah sememangnya berpengalaman mentah. Rata-rata bawah dua puluh lima usia remaja.
Biarpun wujud jurang perbezaan umur antara mereka berdua, Tiga Calit tetap menghormati Dua Paku sebagai ketua yang memimpin platun mereka. Dan mujur pegawai muda yang baru melapor diri ini agak ramah dan mudah mesra.
“Sarjan, mohon tunjuk ajar.”
Merendah diri Dua Paku meminta pertolongan. M**i akal dibuatnya atas apa yang berlaku. Siapa sangka hampir tiga jam dia membawa platunnya berpusing-pusing di tempat yang sama.
Kini jarum kompas pula berputar perlahan tanpa menentu. Seolah tidak mahu menunjuk jalan benar hala tuju. Seakan ingin mereka semua terbiar sesat dan kekal di situ. Dua Paku kini benar-benar m**i kutu.
Keadaan sudah gelap sepenuhnya. Biarpun baru jam lapan belas kosong kosong, keadaan kanopi pokok yang tinggi dan rimbun telah menghalang sinaran matahari dari menembusi masuk ke bahagian bawah.
“Merpati, kamu buat panggilan sekarang.” Tiga Calit mengarahkan anggota yang sedang berehat di belakangnya.
“Ke mana, Sarjan? Markas Tek?”
“Bukan, kamu cuba panggil Seladang dahulu. Platunnya yang paling hampir dengan kita.”
Merpati menurunkan beg galasnya. Radio dikeluarkan dan nombor panggilan dimasukkan. Tangan kanan memegang ganggang, antena di tangan kiri dibiarkan menerawang. Perlahan kod semboyan dilafazkan.
“Hello Seladang, sini Harimau. Ganti.”
Teeet…Tiada jawapan.
“Hello Seladang, sini Harimau. Ganti.”
Teeet…Tetap juga tiada jawapan.
Dua Paku hanya diam mendengar panggilan yang cuba dibuat Merpati. Hatinya semakin resah. Jikalau Platun Seladang yang paling dekat pun tak dapat dihubungi, apatah lagi Markas Tek yang jaraknya lima hari berjalan kaki.
“Harimau ada hantar berita?”
“Tiada, Tuan. Seladang juga gagal memanggil Harimau.”
“Seladang sudah lapor lokasi?“
“Masih di petak lama, Tuan. Katanya kabus di hadapan mereka masih lagi tebal, jarak penglihatan terhad.”
“Bagus…Sampaikan berita pada Seladang, saya benarkan penangguhan perjalanan selagi kabus masih tebal.”
Tak senang hati SunRay memikrkan Harimau yang masih gagal dihubungi. Ingatannya tiba-tiba teringat sewaktu dia menjadi Sabaltan dahulu. Mulanya dia tak percaya, sangkanya itu cuma gurauan kasar dari pihak senior.
Mujur di dalam platunnya ada orang lama. Juga bercalit tiga di lengan, orangnya tegas namun berpengalaman. Dialah yang menasihatinya agar tidak meneruskan perjalanan tatkala kabus tebal muncul menghalang rondaan.
SunRay yang masih mentah waktu itu hanya akur sahaja. Biarpun pangkat di bahunya berpaku dua, dia sedar itu bukanlah lesen untuk mendabik dada. Baginya tak salah merendah diri, kebetulan juga dia turut rasa tak sedap hati.
Kabusnya terasa suam kepanasan, bukannya sejuk dan nyaman seperti kebiasaan.
Tak logik kalau difikirkan dek akal. Cuaca yang panas terik tengahari itu tiba-tiba berubah gelap. Entah datang dari mana kabus tebal mula menyelinapi suasana. Walhal platunnya sedang meronda di sepanjang permatang, bukannya di tanah tinggi bergunung-ganang.
Nun di hujung sana kelihatan kabus nipis seakan memberi ruang. Mujurlah dia dinasihati agar tidak mengeluarkan arahan bergerak ke kabus nipis itu. Agak lama mereka menunggu di dalam kabus itu tidak bergerak ke mana-mana.
“Ada apa di ruang kabus nipis tu, Sarjan?” SunRay memberanikan diri bertanya kepada orang kanannya.
“Gerbang Khayalan, Tuan. Laluan masuk ke alam kekeliruan. Mata kita akan terbuta, telinga kita akan tertuli. Sekali kita masuk, sukar hendak keluar kembali. Hanya berpusing-pusing di situ sahaja.”
“Sukar hendak keluar? Maksudnya?”
Sarjannya mengeluh kecil. Matanya masih melilau memerhati sekeliling. Senjata di tangannya dipeluk erat. Perlahan dia membongkok dan mula berbisik.
“Ambil masa hendak keluar, Tuan. Jika sudah keluar, pasti akalnya tertinggal tidak ikut bersama. Ramai yang gila gagal berubat. Dan jika berjaya diubat, ingatannya pasti akan terencat.”
Tersentak SunRay mendengarnya. Tiada istilah logik atau tidak. Bendanya memang benar-benar berlaku di hadapan mata. Apa lagi yang hendak dipertikaikan, cukuplah sekali dia diuji sebegini. Bersyukur dia sepenuh hati dikurniakan peluang sekali lagi.
Kini giliran anak buahnya pula diuji. Hampir dua hari Harimau tidak menghantar berita. Adakah platun mereka juga sudah memasuki Gerbang Khayalan?
“Beruang masih di barat daya?”
“Ya, Tuan. Masih lagi.”
“Perintah Awal! Arahkan Beruang ke petak Seladang sekarang juga. Seladang akan bertindak sebagai platun hadapan, kawasan tanggungjawabnya akan menjadi pengkalan hadapan sementara. Esok selepas First Light, saya mahu penggeledahan dibuat di petak terakhir lokasi Harimau. Hubungi Bridged, pasukan mungkin perlukan Burung Besi sebagai bantuan untuk penarikan keluar. Walaupun bukan lagi operasi rondaan, pergerakan anggota tetap dalam taktikal. Senjata berkelopak penuh, kunci siap bercekah!”
Panjang lebar SunRay memberi arahan. Serta merta jururadio menaip laju menghantar kod semboyan.
“Beritahu SeaGull di kem, saya mahu Kagat lepaskan Ustaz Esa. Pagi esok dia akan ikut menumpang pasukan.”
“Koperal Esa kan, Tuan?” Jururadio bertanya meminta kepastian.
“Ya…Koperal Esa.”
Hamzah (Dua Paku) tersandar kepenatan. Tekaknya semakin dahaga. Tangannya masih lagi berlumuran d***h. Menitis air matanya melihat golok yang masih lagi tercacak di dada Husin (Merpati).
“Tuan, teruskan lari. Tinggalkan saya sahaja.”
Tak jemu Pak Saad (Tiga Calit) memujuk ketuanya. Buluh runcing masih lagi tertusuk di betis kanannya. Langkahnya agak perlahan dan tempang sedikit terhincut. D***h merah yang membasahi kasut kulitnya kini mula bertukar menjadi hitam.
“Tidak, Sarjan. Saya sama sekali tidak akan meninggalkan Sarjan keseorangan di sini.”
“Jangan begitu, Tuan. Tiada siapa yang boleh dipercayai sekarang. Anasir pengganas sudah meresapi pasukan. Dakyah mereka sudah menyelinapi anggota kita. Sekarang hanya tinggal kita berdua sahaja!”
Terpaksa Pak Saad meninggikan suara. Dari raut wajahnya yang berkerut, pasti dia sedang menahan kesakitan di kakinya. Sayangnya buluh runcing itu tak dapat dikeluarkan, tusukan yang menembusi betis kakinya itu benar-benar amat menyakitkan.
Ngilu dan pedih apabila cuba ditarik keluar.
Menghela nafas panjang Si Hamzah mendengar saranan Pak Saad. Memang benar apa yang dituturkan sarjannya. Kini tinggal mereka berdua. Kasihan Si Husin…usianya muda lagi. Namun riwayatnya terpaksa ditamatkan lebih awal sama seperti anggota yang lain.
Hamzah sama sekali tak menyangka Husin pun merupakan ejen pengganas. Terkejut dia mendengar lolongan Pak Saad yang kesakitan. Bertubi-tubi Husin menikam Pak Saad yang cuba mempertahankan diri.
Terpaksa dia membenamkan mata golok ke dada Husin sesudah berulang kali amaran diberi. Lagipun pistolnya sudah kehabisan peluru digunakan di atas permatang tadi.
Benarlah kata Pak Saad. Tiada siapa yang boleh dipercayai. Entah apa puncanya pun dia tak pasti. Isyarat radio tak dapat dihantar. Jarum kompas pula sering sahaja berputar.
Ingatannya mengimbau seketika di awal peristiwa. Waktu itu Seksyen Harimau Satu bertindak sebagai kumpulan pendahulu. Suasana yang tenang tiba-tiba sahaja menjadi kecoh di bahagian hadapan.
Bunyi tembakan dan pekikan meminta pertolongan memecah keheningan. Selaku Ketua Platun, Hamzah segera mengarahkan anggota lain mengambil perlindungan. Seksyen Harimau Dua pantas membuat pertahanan rusuk kiri. Manakala Seksyen Harimau Tiga berkawal menjaga rusuk kanan.
Sangka Hamzah pasukannya diserang hendap oleh kumpulan pengganas. Melilau matanya menunggu berita daripada Ketua Seksyen Harimau Satu.
Di sebalik banir pokok, Hamzah melihat Ketua Seksyen Harimau Satu datang dari arah hadapan.
“Koperal…! Sini…!”
Bergegas Koperal Usop berlari ke banir perlindungan Hamzah.
“Prebet Badrul, Tuan… Prebet Badrul mengamuk!”
Termengah-mengah Koperal Usop mengambil nafas melaporkan berita. Dari arah belakang, Sarjan Saad bergerak rapat menghampiri. Anggota yang lain masing-masing tetap dalam perlindungan menunggu arahan.
“Mana dia sekarang? Dapat tangkap tak?”
“Saya tak tangkap, Tuan. Saya b***h terus. Lima orang anggota kita tumbang ditembaknya.”
Tersentak jantung Hamzah mendengar jawapan Ketua Seksyennya. Wajah Sarjan Saad juga berubah. Lantas dicekaknya kolar baju Koperal Usop seraya bertanya, “Kenapa tiba-tiba Badrul mengamuk?”
“Tak pasti, Sarjan. Tiba-tiba sahaja dia berpaling ke belakang dan terus menembak ke arah kami. Mulutnya tak henti-henti menjerit.”
“Apa yang dijeritnya?”
“Bangsat kau pengganas…!”
Berkerut dahi Hamzah mendengarnya. Kelu lidahnya daripada berkata apa-apa. Terdetik persoalan di sudut hati kecilnya. Apakah Badrul sudah gila? Hingga sanggup menembak dan m******h rakan sekerja?
“Sarjan Saad, bawa Harimau Dua untuk mengumpul dan memeriksa anggota yang t******h. Harimau Tiga pula akan membuat pertahanan keliling. Yang lain ikut saya.”
“Ikut ke mana, Tuan?” Koperal Usop memberanikan diri bertanyakan ketuanya.
“Ke hadapan… saya nak periksa mayat Badrul.”
Menekup hidung Razak (SunRay) melihat mayat-mayat yang semakin kuat berbau. Dia kenal akan kesemua itu. Mereka itu adalah anggota bawahannya daripada Platun Harimau.
“Mana Seladang? Saya perlukan laporan sekarang!”
Berlari pantas Ketua Platun Seladang mendapatkan ketuanya. Segera dikeluarkan buku nota kecil dari poketnya. Perlahan-lahan dibacanya catatan yang dibuat.
“Jumlah mayat yang berjaya ditemui seramai 22 orang. Kesemuanya disahkan daripada unit Platun Harimau.
6 ditemui di kaki bukit dalam keadaan tersusun. Senjata semuanya berada bersama mayat. Cuma senjata milik Prebet Badul sahaja berkelopak kosong tidak berpeluru.
11 lagi mayat ditemukan di tebing sungai. Pemerhatian awal mendapati semua 11 anggota ini terkorban akibat serpihan letupan bom tangan.
5 lagi mayat anggota dijumpai di atas permatang. Masing-masing mempunyai luka tembakan,dipercayai ditembak dari arah belakang.”
“Mana kau tahu ditembak dari arah belakang?”
“Kelimanya dijumpai tertiarap,Tuan. Lagipun dari setiap luka tembakan yang diperiksa, semuanya bermula dari bahagian belakang badan.”
“Baru 22 mayat… mana baki 3 lagi?”
“Belum jumpa lagi,Tuan.”
“Siapa yang tiga tu?”
“Leftenan Hamzah, Sarjan Saad dan Prebet Husin.”
Berfikir dalam Razak cuba menganalisis laporan. Menjeling dia ke arah Ustaz Esa yang hanya berdiam diri sahaja sejak awal.
“Tuan, Beruang baru sahaja menghantar laporan. Platunnya baru sahaja menjumpai mayat Prebet Husin. Darahnya masih hangat lagi.”
“Seladang, kita bergerak ke situ sekarang! Arahkan Beruang aturkan pasukan penjejak!”
“Anjing…Sanggup kau membelot!”
Jerkah Pak Saad sewaktu melepaskan tumbukan ke arah Hamzah. Sayang tak kena… tumbukannya terlalu perlahan gara-gara pergerakan kakinya yang terbatas ditusuk buluh runcing.
Marah digelar anjing, segera Hamzah menangkap dan mengilas tangan kiri Pak Saad ke belakang. Menjerit Pak Saad menahan kesakitan. Diketapnya bibir menahan ngilu dan pedih seraya tangan kanannya mencabut buluh runcing yang menembusi betis kakinya.
Giliran Hamzah pula menjerit kesakitan tatkala Pak Saad menusuk buluh runcing itu tepat ke bola mata kirinya. Pandangan mata Hamzah mulai kabur dan terbatas. D***h pekat membuak-buak keluar dari soket mata kirinya.
Melihat lawannya yang meraung kesakitan, Pak Saad segera mengeluarkan bom tangan dari simpanannya. Mujur ada lagi berbaki satu. Lagi tiga telah pun digunakannya untuk m******h 11 anggota pengganas di tebing sungai semalam.
Belum sempat Pak Saad mencabut tuil bom tangannya, pantas Hamzah meluru dan menendang dada Pak Saad. Tergolek Pak Saad ke belakang. Terlepas bom tangan tadi dari genggamannya.
Melihat sarjannya yang cuba bangkit dan mengambil semula bom tangan, pantas Hamzah mengangkat tinggi goloknya dan melibas matanya ke belakang tengkuk Pak Saad.
Bercerai kepala Pak Saad dari tubuhnya.
Terduduk Hamzah kepenatan melayan kegilaan Pak Saad. Buluh runcing yang tercacak di matanya dicabut perlahan. Kini tinggal dia seorang. Seorang demi seorang anggota bawahannya m**i menemui ajal.
Ada yang t******h. Ada yang d*****h. Lapar dan dahaga mula datang menyinggah. Tak disangka rupanya Pak Saad selama ini adalah tali barut. Mungkin kedudukannya di dalam pasukan adalah sebagai ejen yang bertindak sebagai talam dua muka.
Tiba-tiba Hamzah tersentak. Telinganya menangkap bunyi yang gamat dan riuh rendah. Salakan anjing juga turut kedengaran semakin kuat menghampiri lokasinya.
Segera Hamzah mengesot ke perdu pokok mengambil perlindungan. Golok yang masih basah berdarah digenggam kemas di tangan kanan. Bom tangan milik Pak Saad tersedia lontar di tangan kiri.
Mata kanannya dibuka luas buat memerhati.
Berdebar jantungnya melihat segerombolan anggota pengganas sedang membuat penggeledahan. Anjing-anjing galak menyalak sana dan sini, seolah sedang mengesan mangsa buruan yang berhampiran.
Pasti Pak Saad sempat menghantar isyarat kepada rakan pengganasnya tadi sewaktu dia cuba melarikan diri.
“Bangsat kau Pak Saad!” Mendidih d***h Hamzah mengenangkan perbuatan keji sarjannya.
Baru sahaja dia mahu melontar bom tangan, badannya tiba-tiba merasa panas.
Telinganya mula berdensing kuat kiri dan kanan tatkala mendengar suatu laungan.
Laungan dari Bahasa Arab yang bagaikan sering sahaja dia kedengaran. Matanya menangkap ke arah anggota pengganas yang melaungkan kalimah suci itu.
Ingatannya pantas mengecam lelaki itu.
“Ustaz Esa…?!”
Biarpun tubuhnya dalam kepanasan dan telinganya berdengung kebingitan, digagahkan juga tangannya untuk mencabut tuil bom tangan.
Kedengaran pula suatu suara yang garau dan lantang yang mengarahkan agar dirinya dikepung dan ditangkap.
Terkedu Hamzah seketika kerna dia sememangnya amat mengenali suara itu. Itu adalah suara Ketua Kompeni, SunRay Razak.
Bingung dan keliru Hamzah; bagaimana SunRay Razak dan Ustaz Esa sanggup berpaling tadah menggadai maruah. Sanggup mereka bersekongkol menyertai kumpulan pengganas. Di manakah lafaz sumpah ikrar perwira Gagah Setia?!
Biarpun hanya seorang diri dan tangannya erat dipegang, Hamzah tetap melawan dan tidak menyerah. Sempat dia meludah ke muka Ustaz Esa yang cuba mengunci lehernya sebelum pandangan matanya mulai gelap.
Razak menarik nafas dalam. Kesemua mayat anggota Platun Harimau berjaya dibawa keluar dan diuruskan. Hanya ketuanya sahaja yang hidup… tapi sayang akalnya m**i.
Itu pun mujur kekuatan platun telah pun dikurangkan ke 25 anggota. Tak dapat dibayangkan Razak jika platun yang diaturgerakkan adalah berkekuatan penuh. Pasti akan lebih banyak lagi anggota yang akan menjadi kasualti.
Entah apa yang Razak hendak laporkan pada Bridged pun dia tak pasti.
Terngiang-ngiang lagi di kepala SunRay Razak akan kata-kata bekas sarjannya dahulu; “Jika sudah keluar, pasti akalnya tertinggal tidak ikut bersama. Ramai yang gila gagal berubat. Dan jika berjaya diubat, ingatannya pasti akan terencat.”
Siasatan awal mendapati tiada pihak luar yang terlibat dalam insiden berdarah ini. Pihak risikan keselamatan telah menyimpulkan siasatan bahawa kesemua anggota Platun Harimau adalah saling berbunuhan sesama sendiri.
Berdasarkan pemeriksaan pada kesemua mayat, hanya bom tangan milik Sarjan Saad sahaja yang kurang di badan. Ini menjadikan dia adalah suspek utama yang melontar bom tangan di tebing sungai, yang mana telah mengorbankan 11 anggota bawahannya.
Manakala bedah siasat pada mayat di atas permatang turut mengesahkan kelima mayat itu telah ditembak dari arah belakang. Anak peluru yang dijumpai tersangkut pada salah satu tengkorak mayat menunjukkan peluru yang digunakan adalah dari kaliber 9mm, iaitu daripada senjata jenis pistol.
Dan hanya Leftenan Hamzah sahaja yang diberi kebenaran untuk memiliki pistol di dalam platun sewaktu operasi.
Mujur ada Ustaz Esa. Dialah orang pertama yang berjaya mengesan kedudukan Hamzah. Dengan hanya beberapa lafaz ayat suci dan laungan azan, kedudukan Hamzah mudah sahaja dikesan. Walhal anjing pengesan baru sahaja melalui tempat Si Hamzah menyembunyikan badan.
Boleh tahan juga tenaga yang Si Hamzah punya. Empat anggota yang memegangnya pun masih lagi mampu dilawannya. Habis semua ditendang dibantingnya.
Hamzah ketika dijumpai seolah-olah bingung dan keliru. Terkumat-kamit Ustaz Esa membaca ayat suci satu persatu cuba membantu. Kesudahannya… buah kunci leher terpaksa diberikan juga gara-gara Hamzah yang mengamuk tak menentu.
“Ustaz, macam mana Gerbang Khayalan boleh terjadi?”
“Maaf, Tuan. Saya tak pasti. Masih banyak lagi rahsia di hutan yang masih kekal misteri. Cuma yang saya perasan, Leftenan Hamzah matanya tak berkaca sewaktu saya membacakannya ruqyah.”
“Tak berkaca?”
“Ya, Tuan. Tak berkaca… langsung tiada balikkan cahaya.”
“Apa maksudnya, Ustaz?”
“Hmm…matanya seolah gagal untuk melihat kebenaran.”
Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
Terbaik 👍!
Agak misteri dan best.
Teruskan berkarya.
Tak berapa paham phm pnggunaan bhasa dn susunn crita.mohon diolah agar lbih ssuai utk semua pmbaca
Pergh…gaya Ramli Awang Murshid jer…terbaik lah…terkedu jap dok baca citer ni…
Best la… mmg terbaik…
Thriller yg best!!!!
terbaikkk…kak sukaaaaaaa…
Bahasa sastera, kiasan, indah
Tahniah! Cerita yang bagus. Teruskan berkarya adamKJ.
Terbaik. Sangat menarik
nice story