#Gongpal : Dendam Suri (III) – Akulah Adam

“Woi Ren, jangan laju sangat weh! Tahulah stamina kuda. Ingat sikit orang belakang!” Pekikan dari belakang tidak dipedulikan oleh Ren. Tracking ke Gunung Tahan bukanlah suatu masalah baginya. Ekspedisi ini dianjurkan oleh Kelab Kembara universiti yang selalunya diadakan setahun sekali ke mana-mana tempat menarik dalam negara untuk pendakian atau trekking. Ini adalah kali pertama Ren turut serta dalam ekspedisi sebegini. Sudah tahun akhir, apa salahnya diisi dengan perkara-perkara berfaedah baginya.

Lima belas minit kemudian, Ren mula memperlahankan perjalanannya. Tiada kedengaran suara rakan-rakan ekspedisi yang telah jauh ketinggalan. Dia mengambil keputusan untuk menunggu di atas kawasan berbatu besar di tepi laluan trekking mengikut perancangan kumpulan. ” Pam dulu sebatang,” diambilnya rokok Winston dari dalam beg sandangnya, lalu dicucuh dengan pemetik api. “Fuh, nikmat dunia.”

“Assalamualaikum.” Terkejut dengan sapaan dari belakang, Ren bingkas bangun. “Waalaikumussalam. Eh, siapa ni? Encik salah jalan ke?” Ren berasa pelik dengan pemakaian lelaki yang menegurnya. Berkopiah, muka putih melepak, berbaju jubah hijau lagak hendak ke masjid. Rasa pelik disusuli dengan perasaan tidak sedap hati.

“Shahrin kan? Izinkan saya menjemput saudara ke rumah di hujung sana.” Ditunjukkan arah ke arah atas puncak gunung. “Tidak masuk akal. Siapa pula lah hai tinggal kat puncak sana hoi,” getus hati Ren. Dia cuba mengundurkan diri. Pelawaan sebegini bak kata orang, memakan diri. Gaya manusia di hadapannya amat meragukan. Jelmaankah?

“Jangan risau, Shahrin. Saya berniat baik. Ada seseorang ingin berjumpa dengan saudara di atas sana. Mari, ikut saya. Saya berjanji dengan nama Tuhan yang Satu, saudara akan pulang semula nanti. Orang di sana rindukan saudara.”

“Bersumpah dahulu. Tiada Tuhan melainkan Allah, dan Muhammad utusan Allah.” Dengan senyuman, manusia berjubah hijau itu berkata,” Sumpah, aku bersaksi tiada Tuhan melainkan Allah, Muhammad utusanNya.” Dengan berat hati, dia menurut langkah si misteri itu. Dalam waspada, Ren masih berasa tiada masalah untuk menurut lelaki tersebut. Gerak hatinya mengatakan manusia berjubah itu tidak berniat jahat.

***
Kaget. Aku tidak pernah tahu ada perkampungan di atas Gunung Tahan. Tanah lapang, suasana nyaman, sungguh indah pemandangan. Peliknya. Tadi waktu senja. Kenapa sekarang masih terang. Aku berhenti melangkah. Rasa menyesal menyelubungi aku. Aku tidak patut ikut dia. Ini bukan alam aku. Tidak pernah aku dengar tentang perkampungan di atas gunung ini.

” Teruskan melangkah saudara. Akan diterangkan satu persatu nanti di rumah Yang Mulia. Anggaplah ini jemputan khas, dan saudara tetamu kami.” Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Aku meneruskan perjalanan.

“Baik aku ikut kau. Tapi, jangan bersaudara saudari dengan aku. Rimas pula aku dengar.”

“Baik. Aku dan kau ya?”

“Ya. Siapa kau?” Sambil tersenyum lagi, dia menjawab,” Akulah ADAM. Soalan selanjutnya kita tunggu di balairong sana ya. Tak manis berbicara dengan tetamu sambil berjalan.”

Adam. Beribu persoalan bakal aku tanya. Yang penting, aku perlu keluar dari sini.

***
Ketibaan Ren dan Adam disambut oleh dua pelayan tetamu berbaju kebaya lengkap, seperti zaman dahulu. Cantik, senyuman manis. Seperti gundik istana lagaknya. Mereka maju ke kawasan seperti dewan terbuka, berbumbung kayu penuh dengan ukiran menarik. Tak ubah seperti kawasan istana. Sesampainya di balairong, Adam memperlawa Ren untuk duduk di tengah-tengah kawasan tersebut. Berbeza dengan istana yang pernah Ren lihat, balairong ini beratap, tetapi tidak berdinding. Hanya kayu-kayu besar penuh ukiran sebagai tiang penahan. Pendek kata, open air. Terdapat dua kerusi antik besar di hujung balairong, sedikit tinggi posisi. Seperti di atas pentas, bertatahkan emas pada penyandar kerusi tersebut. Mungkin tempat duduk raja mereka.

“Assalamualaikum.” “Waalaikumussalam, Yang Mulia. Patik persembahkan tetamu kita, Shahrin.” Berpakaian seperti raja zaman dahulu, lengkap berselit keris di samping, lalu melangkah ke hadapan menuju ke arah Ren. Ren bingkas bangun, cuba menundukkan kepala tanda hormat.

Ren dipeluk oleh Yang Mulia. Ditepuk-tepuk belakang Ren, seperti bapa yang sudah lama tidak berjumpa dengan anaknya. Penuh rasa kasih sayang. Ren serba salah. “Gila betul. Siapa pula ni. Tiba-tiba peluk aku.”

“Shahrin. Kali terakhir aku jumpa kamu, kecil sahaja. Dalam lima tahunkah usia kamu waktu itu? Sudah besar panjang. Alhamdulillah, kamu membesar dengan baik.”

“Siapa….” “Kamu masih kecil. Mungkin cerita pak cik tidak pernah didengari oleh kamu. Apa khabar Nek Ma? Masih sihat? Tiada sakit apa-apa?”

Nek Ma. Nenek sebelah ibu Ren. Usia mencecah lewat 80-an. “Ya masih sihat, syukur alhamdulillah. Pak cik? Tak pernah dengar pun belah mak ada anak lelaki. Tiga perempuan. Mak anak bungsu. Pak cik salah orang ni.”

“Pulang nanti tanyalah mereka tentang pak cik. Muzaffar nama pak cik. InsyaAllah mereka akan bercerita nanti. Jom, ikut pak cik.”

Ren menurut langkah Raja Muzaffar keluar dari istana. Waspada dalam langkahnya. Pemetik api dalam poket seluar menjadi taruhan jika apa-apa berlaku. Adam turut mengikut di belakang.

Suasana di perkampungan yang dipanggil Kampung Tinggal itu sungguh indah sekali. Tiada pencemaran, luas dengan padang menghijau. Penuh keindahan yang jarang dapat dilihat di bandar-bandar yang penuh kesibukan manusia. Tiada kereta, tiada jalan tar. Ren mula tertarik dengan tempat itu.

“Kamu suka tempat ni Shahrin? Mahu tinggal di sini?” Ren tidak menjawab. Langkah mereka terhenti di hadapan rumah papan yang cantik. Mirip rumah lama cantik di perkampungan yang selalu dilihatnya. Berlatar belakangkan padang luas, nun di kejauhan pula bukit bukau sebagai penyeri, siapa sahaja mahu tinggal di sini. Ren tidak berkecuali.

“Mahu, kalau dibenarkan.” Pintu rumah tersebut dibuka. Disambut dengan senyuman oleh seorang wanita cantik, dalam lingkungan 40-an agaknya. Mereka bertiga menaiki tangga ke atas. Kemas tersusun barang-barang antik dan perabot. Selepas selesai, mereka bertiga duduk di ruang tamu, melepaskan lelah berjalan. Wanita yang memperkenalkan diri sebagai Seroja, terus masuk ke belakang.

“Boleh, memang boleh. Tapi belum tiba masanya. Kamu tahu, sini bukanlah tempat biasa yang kamu tinggal sebelum ini. Bila tiba masanya, rakyat di sini tidak akan membenarkan kamu pulang lagi. Itu yang kamu perlu tahu.”

“Kenapa?” ” Kerana kamu, darah pak cik. Susur galur keluarga kita, ada kamu seorang anak cucu lelaki. Kamulah pewaris Kampung Tinggal.”

“Jika saya menolak?” “Persembahkan anak lelaki. Kahwin, dan berikan sebagai ganti.” “Wah, wah, wah. Senang cerita dia. Macam tu jer?” bentak hati Ren.

“Dah tu, Adam ni tak boleh jadi raja?” Sambil tersenyum, Adam menjawab,” Aku bukan siapa-siapa Shahrin. Sekadar diberi kepercayaan menjadi orang kanan Yang Mulia. Pewaris takhta mestilah berdarah raja yang sebelumnya, atau pasangannya, atau pilihan lain. Sebagai contoh, kau, anak saudara lelaki pertama. Yang Mulia Muzaffar berkahwin dengan puteri sulung raja kami sebelum ini, Puteri Seroja. Jadilah pewaris Yang Mulia untuk pewaris seterusnya.”

“Pak cik tak ada anak?” Jawapan dengan gelengan. Resah Ren dibuatnya. Menyesal pula dia ikut ke sini. Info-info yang sangat berat untuk dia terima. Ren bertanya lagi,” Pak cik tak mahu pulang? Nek Ma mesti rindukan anaknya, jika betul pak cik ni bapa saudara saya.”

“Anggap sahajalah pak cik sudah tiada. Inilah kehidupan baru pak cik. Pulanglah nak. Mereka pasti risaukan kamu. InsyaAllah, kita berjumpa lagi, jika diizinkan Tuhan. Jika umur pak cik panjang, kita berjumpa lagi. Jika kedatangan kedua kamu pak cik sudah tiada, kamu terus tinggal di sini. Adam akan selalu ada tengok-tengokkan kamu di sini, dan juga di sana nanti.”

“Saya harap ini kali terakhir saya di sini. Tawaran pak cik saya tolak. Ini bukan tempat saya.”

Hanya senyuman sebagai jawapan kepada Ren. Adam menjemput Ren keluar dari rumah tersebut. Pertemuan berakhir. Ren berharap ini semua hanya mimpi. Akan dia pastikan dia selamat daripada gangguan Kampung Tinggal selepas ini. Pulang dengan penuh doa dan harapan.

***
Pencarian dua hari mencari Ren yang hilang akhirnya membuahkan hasil. Ren dijumpai dalam keadaan tidur di dalam semak-semak hutan berseorangan. Dehidrasi. Dia dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut. Petugas mencari dan menyelamat berasa sangat hairan. Kawasan Ren dijumpai sudah berkali-kali dilalui. Kesimpulannya, mereka menganggap Ren ‘disembunyikan’ oleh alam lain.

Ren diberi pelepasan daripada universiti untuk berehat selama seminggu di rumah. Selepas discaj, Ren meminta untuk tidak pulang ke rumah, sebaliknya dibawa ke kampung Nek Ma oleh kedua orang tuanya. Bila ditanya, hanya mendiamkan diri. Encik Shahril dan Puan Latifah hanya menurut sahaja.

***
“Nek Ma. Siapa Muzaffar?” Semua terdiam. Puan Latifah tidak jadi bangun dari kerusinya untuk mengambil minum petang untuk mereka. Kembali terduduk.

“Muzaffar…mana kamu dengar nama ni Ren?” soal ibunya. Kisah lama dibangkitkan semula.

“Entahlah macam mana nak cakap. Tapi dia kirim salam.” “Ayahnya, jom bawa budak ni pergi berubat. Tak sedap hati la saya.” Nek ma menyangkah dengan isyarat tangan.

“Kamu berjumpa dengan Pak Long kamu? Di mana?” “Kampung Tinggal. Dia cakap dia tak boleh balik. Jadi dia kirim salam sahaja.”

“Ren, jangan mengarut. Pak Long kamu tu dah lama meninggal. 20 tahun lepas.” Ren menjawab,”Tunjukkan kubur dia, jika benar dia dah tiada.”

Tidak terjawab. Kampung Tinggal itu di mana juga tidak diketahui. Maka, diceritakanlah oleh Nek Ma tentang Muzaffar, anak sulungnya. Hilang di hutan belantara seperti Ren, ketika memburu. Hobi sampingannya, di samping bekerjaya sebagai kontraktor. Dialah harapan keluarga ketika itu, tiba-tiba lenyap begitu sahaja. Mereka semua menganggap dia sudah mati, memandang tiada berita daripadanya sudah lebih 20 tahun.

“Bunian. Sudah tentu semua ni bunian bu. Abang sudah tidak mahu pulang, mesti ada sesuatu,” teka Puan Latifah. Mereka semua berpaling ke arah Ren, menanti jawapan. Mengeluh, Ren pun mengangguk.

“Ya mak. Pak Long dah kahwin dengan puteri sulung raja di sana. Sekarang dia dah naik takhta. Takkan pulang lagi.” Terus mengalir air mata Nek Ma. Baru sahaja timbul bibit kegembiraan tatkala mendengar berita anaknya, ditimpa pula dengan khabar begini. Hidup, tetapi tidak kembali. Apa bezanya dengan mati?

“Hijab kamu sudah terbuka, Ren. Ayah setuju kamu pergi berubat. Esok ayah cari kenalan ayah yang tahu bab-bab ni.”

“Err, ada masalah lain ayah. Besar punya.” Fokus kembali tertumpu kepada Ren. “Aduh pening kepalalah nak cerita. Mak ayah kena sabar ya. Jangan anggap Ren hilang haritu sebab Ren mahu. Ren tak mahu, dan kalau boleh tak nak pergi lagi situ.”

“Cuba cerita terus terang. Belit-belit, aku belit dengan tali pinggang ni kang ha.” “Eh, ayah ni. Boleh tahan barannya. Macam ni. Pak Long tarik saya masuk sana, sebab dia tak ada zuriat. Pewaris selepas ini dia cakap, Ren. Sebab tu Ren kena tu. Macam sesi suai kenal bakal jajahan.

Tergamam. Respon sekata. Encik Shahril dan Puan Latifah bagai tidak percaya dengan apa yang mereka dengar. Nek Ma masih menangis. Sesuatu perlu dibuat. Tetapi, bagaimana?

***
“Ya mak, tak ada. Ren sihat saja. Tak ke mana-mana. Mak jangan risau. Kalau tak, takkanlah Ren boleh jawab telefon. Kampung Tinggal takda coverage Celcom mak.” Cubaan berseloroh di situ. Puan Latifah tidak jemu menelefon anak tunggalnya setiap hari sepanjang dua tahun ini. Bimbang hilang lagi tanpa berita. Mengharapkan pisang tidak berbuah dua kali

Entah mengapa, naluri keibuan kuat dirasakan kali ini. Seolah-olah Ren akan alami sesuatu yang tidak baik. Puan Latifah mencadangkan kepada suaminya supaya ke Selangor melawat Ren.

“Jangan risaulah Tipah. Dia dah besar. Pandailah jaga diri. Dia sendiri cakap kan, dia tak mahu ke sana. Kalau jadi apa-apa, dia mesti tak jawab call.” “Tolonglah bang, sekali ni jer.” “Esok, esok tanya lain. Haisy, nak baca surat khabar pun tak senang.” Puan Latifah mencebik muka. Geram kerana hajat tidak kesampaian.

***
Khamis, malam jumaat. Pukul 12 tengah malam. Ren masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan di tangan. Lampu sudah lama ditutup. Hanya ditemani cahaya bulan purnama yang menyinari suram dari luar menembusi pintu beranda yang sengaja diselak langsirnya. Hajat untuk tidur awal terbantut. Berdenyut-denyut. Mati akal bagaimana untuk mengubati sakit itu.

“Assalamualaikum.” Sapaan kedengaran dari arah meja tulis. Kaget. Ren tinggal berseorangan di rumahnya itu. Ucapan selamat yang tidak asing, tetapi sudah dilupakan.

“Waalaikumussalam. Siapa kamu?! Berani kamu menceroboh rumah aku!”

“Sudah lupa? Akulah Adam. Tanah ini milik Allah. Aku tidak mencerobohinya.” “Adam?” “Ya, Adam. Utusan Yang Mulia Raja Muzaffar.”

“Apa lagi urusan kau di sini. Cerobohlah ni. Masuk dunia aku, ganggu aku. Merentas dimensi tu kira pencerobohan kau tau tak. Ha, kenapa? Pak Long sakit ke tiba-tiba cari aku.”

“Kenapa? Sudah bersedia menjadi raja?” “Aku kalau boleh tumbuk, dah lama aku tumbuk kau tau tak. Geram betullah!”

Sambil tersenyum, Adam memulakan bicara serius. “Yang Mulia ada tugasan untuk kau. Kecemasan. Kau tidak perlu ‘pulang’ ke Kampung Tinggal. Kau akan aku bawa ke tempat lain untuk menolong seseorang.”

“Tugasan? Aku tolak. Deal dengan makhluk halus? Sorry, I pass.” Ren cuba berpaling dan menarik selimut semula untuk tidur. Tidak semena-mena, dia bagai ditarik sekilas ke hadapan supaya bangun. Rasa gayat, seperti terbang di awangan. Kini, dia betul-betul berdiri di hadapan Adam.

Tangan Ren dibelek-belek. Lagak seorang doktor pula. “Bisa gigitan. Ini bukan biasa-biasa. Ini racun, Shahrin. Kau perlu lebih tangkas selepas ini.”

“Selepas ini? Apa yang kau tahu pasal luka ni?”

“Aku tahu, kerana akulah yang membawa kau ke dalam ‘dunia’ lain. Itulah tugasan kau. Sudah bermula. Natrah adalah misi kau. Menyelamatkan dia adalah prioriti sekarang.”

“Ah sudah. Dah kenapa aku yang dipilih? Tak ada pahlawan istana lain ke yang boleh tolong? Entah siapa-siapa pula tu. Natrah itu, Natrah ini. Masuk mimpi, jumpa Natrah. Jumpa hantu, sebut Natrah lagi. Ni ha hantu satu lagi depan mata aku ni datang, Natrah lagi. Ada apa dengan dia?” Dituding jari ke arah Adam, menyamakan makhluk berjubah dengan Adam sebagai sejenis makhluk yang sama.

“Kesabaran aku ada hadnya Shahrin. Jangan sesekali kau samakan aku dengan makhluk jijik yang kau lawan. ” Ren mula berasa tidak senang. Kata-kata Adam seperti diiringi aura yang menyesakkan dada.

“Baiklah, aku minta maaf. Terangkan semula berkenaan Natrah, dan kenapa aku mesti selamatkannya.”

“Yang Mulia Raja Muzaffar berkenan dengan bakatnya. Melukis. Pernah disebut dahulu, jika Yang Mulia hidup di dunia manusia biasa, dah lama Natrah diambil sebagai arkitek untuk bidang kerja Yang Mulia.”

“Tapi, kerana hasad dengki seseorang, bakatnya sudah menjadi sumpahan. Kau perlu tolong dia.”

“Hujah tak kukuh. Kesayangan Pak Long, bukan kesayangan aku. Titah Pak Long adalah perintah untuk kamu, aku hidup di sini tidak tertakluk kepada perintah dia. Kenapa tidak kau sahaja yang selamatkan dia.”

” Kami memang seboleh-bolehnya tidak mahu campur urusan manusia seperti kau dan Natrah. Ada rahsia ilmu Allah yang menjadi batasan. Aku hanya boleh menjadi medium untuk kamu bergerak dan menyelamatkan dia. Tidak boleh dua kerja sekali. Jika tidak, semangat kau tidak dapat pulang ke jasad semula.”

“See. Risiko tinggi. Kau nak aku mati di alam lain? Inception? Terperangkap dalam mimpi orang lain?”

“Sebab itu Yang Mulia berkenan menawarkan pertukaran.” Ren mengangkat kening sebelah. “Selamatkan Natrah dan bebaskan dia daripada sihir jahat. Dan Yang Mulia akan pertimbangkan cara lain untuk mencari pewaris. Selesai tugas, kau boleh minta dikecualikan daripada menjadi raja kami.”

Ren menggaru kepala yang tidak gatal. Tawaran yang menguntungkan dia, dan ahli keluarganya. Namun, jauh di sudut hati, menjadi raja bunian juga bukanlah sesuatu yang tidak menyeronokkan. Raja, bukan raja sebarang. Raja di dunia asing.

“Natrah masih tidak bangun daripada ‘tidur’, bukan kerana kemalangan itu menyebabkan kecederaan yang sangat teruk. Semangat, roh dia terperangkap jauh. Dia ‘dilarikan’ kerana sihir itu.”

Benar, Natrah masih belum sedar walaupun sudah hampir seminggu. Doktor sahkan keadaan fizikalnya terkawal, dan dia sepatutnya sudah boleh sedar dalam keadaan ini. Asalkan Natrah kuat semangat, dia pasti bangun. Itu apa kata-kata yang disampaikan oleh Encik Asmawi dalam panggilan telefon petang tadi.

“Jadi, apa aku perlu buat?” “Lukisan tu. Kau kena cari lukisan padang pasir yang sebenar secepat mungkin. Kalau boleh, sebelum aku bawa kau pergi mencari Natrah yang ‘hilang’ tu.”

“Di mana?” “CARI. Bukan ambil. Kau faham kan maksud cari?” Kadang-kadang, Ren rasakan Adam seperti seorang yang merbahaya. “Petik amarahnya, mampus aku,” getus hati Ren.

“Bagi aku masa. Aku sakit lagi ni. Kau takda ubat mujarab ke untuk ni,” Ren mengadu sambil menunjukkan arah tangan kesan gigitan tersebut.

“Kau tidur. Esok insyaAllah pulih.”

Ditolaknya Ren kembali ke katil. Ren terhumban ke katil, dan terus tertidur bagai dijampi. Hilang berlalu Adam, bagai ditiup angin.

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

25 thoughts on “#Gongpal : Dendam Suri (III) – Akulah Adam”

        • Masalahnya bila da submit kat hp, takde copy. kalau buat kat computer aku xde masalah. weekend memang aku update pakai hp jer. submit, then abis. so aku da hilang akal mana nak alter balik hasil kerja aku utk siri 4 ni.hahaahha.

          Reply
          • Adoii la awat x copy masuk note ??.. Mail FS tgk.. Acaner progress tuk siri 4 tu.. Aku punya life mcm ikut sangkut ngan c ren kat part 3 ni.. Harap FS publish la cpt2..

  1. Pandai menjawab betul si Shahrin tu. Rasa macam nak babap beliau je. Anyway, plot dan dialog semua menarik dan buatkan saya tak nak berhenti membaca. Can’t wait for the next one!

    Reply

Leave a Comment