GUGUSAN KUNCI

GUGUSAN KUNCI
PANDEMIK Covid-19 membuatkan Zali, suami Dr. Ayu lebih berhati-hati. Apatah lagi Dr. Ayu pakar mata yang jelita itu kini telah hamil enam bulan. Anak pertama mereka yang dinanti-nanti bakal hadir menyerikan mahligai cinta yang dibina mereka setelah bersabar hampir lima tahun. Sekian lama berdoa dan berusaha barulah Allah memberi rezeki. Alhamdulillah. Syukur tidak terhingga. Bertambah semarak kasih sayang mereka.

Petang itu lebih kurang jam 6 petang Dr. Ayu ditemani Zali suaminya ke klinik tempat Dr. Ayu bertugas di tingkat 3 hospital. Zali ingin memasang partition di meja kerja Dr. Ayu isterinya untuk memastikan ada penjarakan sosial antara Dr. Ayu dan pesakitnya sewaktu menerima rawatan mata di klinik tersebut. Maklumlah era Pandemik Covid-19. Perlu lebih berhati-hati. Dr. Ayu duduk di kerusi membaca buku Panduan Mudah Bersalin sambil menunggu suaminya.

Sedang sibuk Zali memasang partition, Dr. Ayu terdengar bunyi seperti ada orang lain yang menapak datang ke jabatan itu. Bunyi bising-bising turut kedengaran seperti orang berjalan membawa gugusan kunci dan kunci-kunci itu berlaga sesama sendiri di koridor. Mula-mula Dr. Ayu tidak terkesan kerana biasalah di hospital. Sentiasa sibuk. Tetapi bunyi bising itu agak luar biasa. Semakin lama semakin kuat. Kedengaran seperti orang bergaduh pun ada, seperti pisau berlaga sesama sendiri pun ada.

Situasi itu mengundang rasa ingin tahu Dr. Ayu. Dr. Ayu membuka pintu biliknya perlahan-lahan. Beliau merapatkan dirinya ke pinti sambil mengintai dari celah pintu bilik kliniknya sahaja. Beliau enggan keluar bimbang dianggap suka menyibuk. Dari celah pintu, beliau nampak seperti kelibat kaki orang berseluar putih berjalan memegang gugusan kunci. Tak pasti pula kelibat itu lelaki ke perempuan sebab yang kelihatan bahagian belakang lutut ke bawah hingga buku lali. Kasut pun tidak pula kelihatan.

Dr. Ayu berpaling dan spontan merenung gugusan kunci di atas mejanya yang diambil daripada kakak guard tadi. Masih ada di situ, gugusan kunci itu. Suaminya Zali sedang asyik dengan tugas memasang partition seperti tidak terkesan oleh bunyi bising itu. Dia hanya memandang perbuatan Dr. Ayu tanpa berkata apa-apa. Sifatnya memang begitu. Apabila bekerja, dia fokus.

Kemudian Dr. Ayu dengar bunyi orang cuba membuka pintu bilik sebelahnya menggunakan kunci. Bunyi lagaan anak kunci agak bising seperti sukar orang itu untuk membuka pintu tersebut. Macam dicucuk dan dicabut berulang-ulang kali dan ditukar-tukar kunci. Dr. Ayu buat tidak kisah. Mungkin ada doktor lain sepertinya yang datang di luar waktu tugas untuk berbuat sesuatu. Namun begitu, seingat Dr. Ayu, di sebelah biliknya ialah pantri.
Setelah suaminya selesai memasang partition, Dr. Ayu dan suaminya berjalan keluar. Di luar sepi. Tiada sesiapa. Sambil lalu, Dr. Ayu sempat cuba memulas tombol pintu untuk membuka pintu bilik pantri sebelah kanan kliniknya. Namun pintu itu berkunci pula. Apabila cubaan itu gagal, Dr. Ayu melekapkan telinganya di daun pintu itu. Sepi sahaja.

Dr. Ayu cuba pula membuka pintu klinik yang sebelah kiri untuk bertegur sapa atau bertanya melerai keraguan sekiranya ada penghuni di dalam. Sama juga. Pintu bilik itu berkunci. Dr. Ayu dan suami terus berjalan menuju pintu keluar utama sambil berpegangan tangan. Suaminya hanya melihat sahaja pelakuan Dr. Ayu.
Dr. Ayu serba salah untuk terus pulang meninggalkan kliniknya. Dia memegang kunci pintu masuk utama ke level 3 hospital itu.

Andai dia kunci pintu utama itu, bimbang pula orang yang membawa gugusan kunci tadi terkunci di dalam dan tidak boleh keluar sepanjang malam itu. Bimbang timbul pula kisah bermalam di hospital. Selalunya viral kisah bermalam di muzium. Itu perkara biasa. Dr. Ayu sempat tersenyum sendiri. Tetapi di manakah orang yang berseluar putih membawa gugusan kunci itu tadi. Siapakah gerangannya?

Dalam kecelaruan, untuk kepastian, Dr. Ayu bertanya kepada kakak guard yang setia bertugas di pintu masuk.
“Kak, ada sesiapa datang ambil kunci bilik klinik tingkat 3 ke?’
“Tak de lah Doktor,” jawab guard. “Doktor je yang datang petang ni, kenapa Doktor?” tanyanya kembali. Ada nada hairan dalam suaranya. Matanya memandang tepat ke arah mata Dr. Ayu. Dr. Ayu melarikan pandangan matanya.
Dr. Ayu dan suami berpandangan. Tidak dapat mereka menjawab soalan kakak guard itu.

Siapakah yang berseluar putih menapak dan membawa gugusan kunci, cuba membuka pintu sebelah klinik Dr. Ayu itu tadi? Siapakah yang membuat bunyi bising seperti pisau berlaga tadi? Siapa pula yang mencucuk dan mencabut anak kunci pada tombol seperti yang Dr. Ayu dengar tadi. Makin erat Dr. Ayu menggenggam tangan suaminya.

Sampai dalam kereta, Dr. Ayu bertanya suaminya. “Tadi Abang dengar perkara yang sama seperti Ayu dengar tak?
“Ya, Abang dengar,” jawab Zali.
“Abang dengar apa? Ayu masih mencungkil.
“Abang dengar orang berjalan bawa kunci, buka pintu bilik sebelah kita, bising-bising dan bunyi orang asah pisau. Meremang rasa bulu roma Dr. Ayu.

Namun ada rasa lega di hati Dr. Ayu. Jadi dia tidaklah keseorangan mendengar apa yang berlaku petang itu.
“Cuma Abang tak nampak apa yang Ayu nampak waktu Ayu intai kat celah pintu tadi,”
“Ayu nampak apa,? tanya Zali.
“Orang berseluar putih berjalan bawa gugusan kunci macam Ayu ambil pada kakak guard tu,” terang Ayu.
Zali terus memandu sambil beristighfar. Ayu turut ikut beristighfar.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

DR. NAZA SANI AGUS

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 57 Average: 4.2]

2 thoughts on “GUGUSAN KUNCI”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.