Hantu air mengusik

Assalamualaikum. Lama tak menulis. Selepas kisah patung bundle, kali ni aku nak ceritakan sebuah kisah benar mengenai hantu air. Tidak dapat dinafikan, hantu air memang terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu. Pelbagai rupa digambarkan tetapi point utamanya tetap dipanggil sebagai hantu air.

Kisah yang aku nak cerita ni dah lama berlaku. Aku pun belum lahir time tu. Tapi cerita ini diturunkan dari anak cucu cicit. Orang yang terlibat ialah moyang aku dan anak saudaranya. Ketika kejadian, mereka berdayung di sungai menggunakan sampan buatan moyang aku.

Moyang aku memang gemar turun ke sungai. Dia akan memukat ikan untuk dijadikan lauk pauk anak bini di rumah. Sungai besar itu terletak tidak jauh dari rumah moyang tetapi boleh tahan luas dan menakutkan. Sungai itu pernah dijadikan tempat orang lepas ‘barang’ atau saka. Buaya pun ada tapi normal la sungai besar ada buaya kan.

Petang itu, moyang aku bersama anak saudaranya pergi mendayung sepanjang sungai dan berhenti di beberapa ‘check-point’ untuk mengambil pukat yang dia letak. Memang hasil bagus sekali. Hari itu pelbagai jenis ikan lekat di pukat moyang. Ada lampam, selat, sepat dan sebagainya. Dapatlah anak-anak di rumah makan sedap-sedap.

Apabila hari sudah hampir senja, moyang dan anak saudaranya mendayung pulang. Tak elok lama-lama di sungai. Lagi-lagi dia ada anak yang masih kecil. Tapi dalam perjalanan pulang, moyang ternampak kelapa-kelapa yang jatuh ke dalam sungai. Dia terus mengutip kelapa-kelapa itu lalu diletakkan di tengah-tengah sampan. Moyang gembira kerana dapat membawa pulang hasil yang banyak petang itu.

“Ikan-ikan banyak mengena. Boleh buat kering jugak ni. Esok tahan awal sikit, untung-untung boleh dapat lebih lagi.” kata moyang.

Tidak semena-mena, ketika mendayung sampan, air sungai bergelora dan berbuih. Moyang dan anak saudara dia dah cemas. Sampan mula berbolak-balik dan tidak stabil. Kelapa-kelapa bergolek ke serata arah. Sudah la mereka di tengah-tengah sungai. Pelbagai bahaya boleh berlaku.

Tiba-tiba sampan ditepuk kuat dan digoncang. Masing-masing sudah menggigil kerana sampan terhuyung-hayang tanpa diketahui sebabnya. Secara tiba-tiba sampan yang dinaiki terbalik. Semua yang ada di dalam sampan terhumban ke dalam sungai. Moyang dan anak saudaranya terkapai-kapai berpaut pada sampan yang terbalik. Ke mana pukat ikan dan buah kelapa sudah tidak dipedulikan mereka. Nyawa lebih penting.

Ketika itu la moyang melihat satu susuk lembaga yang muncul di permukaan air. Tapi cuma moyang yang dapat melihatnya. Lembaga hitam itu sangat besar, malah besar berganda-ganda dari sampan mereka yang panjang itu. Air sungai berpusar dan mengeluarkan buih-buih kecil mengelilingi lembaga tersebut. Lembaga itu berada tidak jauh dari moyang tapi moyang tak dapat melihat keseluruhan susuknya. Wajah pun tidak jelas tetapi yang pasti sangat besar.

Mujurlah lembaga itu muncul tak lama dan menghilang. Akhirnya moyang pulang senja itu tanpa hasil apa-apa. Dia demam berhari-hari dan menggigil. Jika dia bercakap, dia akan menggigil seluruh tubuh terutamanya di bahagian mulutnya sehinggalah dia meninggal dunia. Walaupun sudah puas berubat, penyakit gigilnya tidak hilang. Sememangnya dia cukup terkejut melihat hantu air yang selama ini diceritakan orang. Orang yang merawat moyang berkata benda tu sekadar nak mengusik.

Maaflah kalau tak seram tapi gangguan hantu air memang wujud. Mungkin pelbagai rupa yang dijumpai orang kerana jin iblis boleh berubah bentuk untuk memperdayakan kita. Jadi, sentiasa berdoa dan berhati-hati jika turun ke sungai.

  1. Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
Nanakim

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 69 Average: 3.7]

2 thoughts on “Hantu air mengusik”

  1. Arwah adik ipar aku pun pernah kena gangguan hantu air. Elok arwah tengah memancing udang galah tiba2 air sungai berbuih2 dan seolah2 menggelegak.
    Kemudian dia nampak susuk lembaga hitam yg sgt besar.
    Cepat2 dia hidupkan enjin bot n patah balik ke rumah. Seminggu juga dia demam. Elok sembuh dari demam dia pergi memancing udang galah semula. Jenis hati kering. 😂

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.