Hantu Katak

Hai assalamualaikum semua. Sebenarnya banyak kisah seram yang benar-benar berlaku tapi nak cerita tak sempat sebab kekangan kerja. Waktu malam baru la dapat mengarang dengan tenang. Dan, kisah yang ingin aku cerita ni mengenai hantu katak. Kisah benar yang berlaku suatu masa dulu di rumah tokwan.

Rumah tokwan aku terletak di negeri Kedah. Sebuah kampung yang cantik dan di belakang rumah tokwan ada anak sungai. Sebelah sungai itu terbentang sawah padi yang luas. Tapi berhampiran sungai tu terdapat hutan pokok buluh dan pokok kekabu. Waktu siang memang tak rasa apa tapi bila di sebelah malam memang terasa seramnya. Kata orang, pokok kekabu ni tempat benda tu suka duduk. Aku pun tak pasti.

Setiap kali malam menjelma, bunyi cengkerik akan memecah kesunyian sekeliling. Memang aura kampung tu terserlah, lagi-lagi suasana memang sejuk sebab rumah kayu di atas. Rumah orang Kedah rata-ratanya simen di bawah, kayu di atas. Jadi, aku dan sepupu-sepupu akan berkumpul di rumah atas sambil bermain batu seremban. Sepupu aku ada tiga orang dan aku je perempuan. Kami memang suka lepak rumah tokwan kalau cuti sekolah.

Kisah seram ni berlaku apabila hujan turun. Bukan pertama kali terjadi tapi tiga empat kali kami dapat menyaksikan makhluk seram ini. Jadi, tidak la terlalu seram pada kami semua. Ceritanya begini, pada suatu malam hujan turun dengan lebat dan akhirnya reda setelah beberapa jam. Ketika itu kami beramai-ramai bermain di dapur bawah. Dapur tu bahagian rumah paling hujung berdekatan sungai.

Sedang bergelak tawa sambil diperhatikan tok tokwan, tiba-tiba terdengar bunyi “Zappp!” seperti bunyi burung sedang mengepak sayap. Tapi kalau burung, mesti burung tu besar sebab kuat betul dengar. Semua yang ada terus berhenti bermain. Tok mengintai di celah tingkap dapur. Tiba-tiba wajah tok pucat dan dia nampak menggigil. Tok terus panggil semua yang ada suruh mengintai di sebalik tingkap.

Berhimpit-himpit la kami mengintai. Mujur tak ada yang menjerit sebaik sahaja melihat rupa makhluk tu. Berpandukan cahaya belakang rumah tok, makhluk itu berada di batas sungai. Tubuhnya hitam, mulutnya bermuncung panjang seperti tapir, di tengah dahinya ada satu sesungut panjang yang bercahaya merah di hujung seperti ikan gigi tajam yang kat laut dalam tu. Kan ada lampu kat kepala ikan tu. Ha, macam tu la kat dahi makhluk tu.

Disebabkan makhluk tu hitam dan suasana malam pula, jadi kami tak tahu mana mata dia. Makhluk tu terbongkok-bongkok mencari sesuatu. Mula-mula nampak seekor je. Tiba-tiba muncul lagi seekor. Sekali pandang dua makhluk tu, saling tak ubah macam makhluk asing dalam fikiran kanak-kanak aku. Selalunya hantu berwajah hodoh, ini tak ada wajah. Mungkin sebab malam, tak nampak sangat.

Hantu-hantu tu tunduk dan terbongkok-bongkok. Puas kami semua perhatikan benda apa yang dia cari. Rupa-rupanya katak! Memang kat belakang rumah tokwan penuh dengan katak, lagi-lagi lepas hujan. Time tu jugak bising dengan suara katak. Samar-samar, aku nampak benda tu sedut katak. Aku pun tak tahu hantu jenis apa yang makan katak. Tok aku pun tak pernah tengok hantu tu. Sudah la saiz sebesar kanak-kanak lima, enam tahun.

Tak lama kemudian, hantu-hantu tu mengepak sayapnya. Macam sayap kelawar. Dua-dua ekor tu terbang ke arah pokok betik berhampiran sungai. Bila dah terbang jauh, memang kami tak nampak la. Cuma kelihatan lampu merah di dahinya yang berkelip. Kemudian, cahaya tu pun hilang. Semua yang mengintai tertanya-tanya. Nak kata hantu, tak menakutkan pun. Mungkin hantu, mungkin spesies binatang yang tak pernah kita jumpa atau mungkin makhluk asing. Haha.

Sejak hari tu, kalau lepas hujan je mesti akan nampak makhluk tu. Tapi waktu malam je la. Tu pun bukan selalu. Tiga empat kali je ada pengalaman melihat hantu katak. Sekarang dah takda, mungkin kawasan hutan pun dah tak ada. Sampai sekarang kami menggelarnya hantu katak sebab dia datang untuk cari katak. Aku harap korang tak cakap aku salah tengok ke apa sebab bukan aku seorang yang nampak. Mungkin bukan hantu dan kisah ni tak seram, cuma aku nak share makhluk pelik yang aku pernah nampak. Terima kasih semua.

hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Nanakims
Rating Pembaca
[Total: 56 Average: 4.2]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.