Hantu Raya Bahagian 3

Hai nama aku Arif dan cerita ni hanya secebis dari pengalaman hidup aku, sebelum aku jadi pelupa, baik aku kongsikan.

Baiklah tanpa berbunga-bunga, sambungan bahagian kedua….

“Sudahlah, mari kita balik!” Seketika kemudian Pak Seli mula bersuara.

Kunci diserahkan kembali kepada Pak Lamat, Pak Lamat juga berjanji semasa bersalam-salaman, untuk ditunjukkan kawasan yang menurutnya menjadi pondok biasa tempat Pak Kadir kerap beramal ditengah kebun, jauh di hujung kampung.

Dan kami kembali ke motorkar yang diletakkan dihadapan simpang rumah Pak Lamat. Dalam kereta, Pak Seli mula bersuara.

“Arwah ni rajin beribadah dan beramal malam, mustahil hantu raya ni ‘kepunyaan’ dia!” Kata Pak Seli, keningnya dikerut-kerutkan, siku ditongkat di tingkap kereta yang terbuka luas.

“Jadi milik siapa, bang?” Tanya bapak aku

Angin yang menderu-deru masuk menampar muka melalui tingkap yang terbuka luas, ditambah rasa mengantuk yang maha hebat, dan perbualan bapak dan Pak Seli dengan tona suara rendah yang bagai mendodoi-dodoikan aku untuk tidur, aku pengsan dan tertidur ditempat duduk belakang.

Motokar berlabuh didepan rumah Pak Seli, aku terjaga berpeluh-peluh dan kepanasan sendirian didalam kereta, bapak dan Pak Seli entah dah kemana.

Kurang asam!

Tinggalkan aku sendirian dalam kereta! Entah dah berapa lama aku tertidur kepanasan dalam kereta!

Aku keluar dari kereta dan masuk kerumah Pak Seli, masih gagal menemui bapak dan Pak Seli. Barangkali mereka ke kebun Pak Seli dibelakang rumah.

Aku ke bangsal di belakang rumah dan mencari bapak dan Pak Seli, juga gagal ditemui. Entah kemana mereka pergi, hilang dan lenyap begitu sahaja.

Aku kembali ke rumah Pak Seli dan duduk diruang tamu Pak Seli, untuk menghilangkan bosan dan melupakan rasa lapar yang dah mula berbunyi dalam perut, aku capai senaskah kitab milik Pak Seli dan mula membuka lembaran demi lembaran.

Tak lama kemudian Pak Seli dan bapak datang dari arah belakang rumah.

“Hah! Dah bangun? Tidur macam mayat! Bom meletup kat sebelah pun, taknak bangun!” Sapa bapak, dan diketawakan Pak Seli.

“Abah tak kejutkan pun masa dah sampai..” Balas aku

“Maunya aku tak kejut? Aku siap bunyikan hon lagi nak bangun kan kau! Harammm! Tak nak bangun!” Balas bapak lagi, ada gigilan tawa yang kecil ditahan dalam nada suaranya.

“Sudahlah, mari kita balik! Malam nanti nak datang kembali ke sini..” Sambung bapak lagi.

“Makan bah?” Aku bertanya polos

“Kita makan lah dulu, baru balik rumah!” Balas bapak aku selamba

Dalam kereta aku tak lepaskan peluang untuk tanya bapak, kemana menghilang bersama dengan Pak Seli.

Bapak lebih banyak berdiam dari berbual seperti selalu. Bagaikan merahsiakan sesuatu yang sangat besar. Barangkali bapak ada sebab musababnya sendiri untuk tidak berkongsikan perkara yang bakal kami lakukan pada malam ini.

Malam yang menjelma mengantikan siang yang berlalu, Pak Seli, bapak dan aku yang sudah berjemaah di masjid hanya menanti kehadiran Tok Siak Pak Lamat untuk turut serta ke bangsal dibelakang kebun.

Tiada pakaian silat, kesemuanya berseluar panjang dan berbaju melayu. Cuma aku perasan keanehan yang dilakukan oleh Pak Seli, dia turut membawa bersama dua biji telur rebus yang disimpan didalam saku baju melayu dibahagian bawah.

Pak Lamat meminta sedikit masa, untuk menutup semua pintu masjid dan mematikan lampu-lampu sebelum kami mula bertolak usai isyak malam tersebut.

Kami berempat menaiki motorkar bapak dan dipandu menghala kerumah Pak Lamat, dalam kereta semua hanya membisu seribu bahasa. Tiada tutur juga kata.

Sesekali bapak berdehem semasa memandu, seperti memberi isyarat akan sesuatu..

Kereta dilabuhkan dan kami mulai turun, Pak Lamat masuk kedalam rumah, minta untuk diberi masa menyalin pakaian. Semasa Pak Lamat didalam rumah, Pak Seli mengeluarkan keris jawa kecil yang dibawa sebelum bergerak ke masjid tadi..

“Kalau kamu bawa senjata, malam ni senjata sisip dibelakang! Kita ‘susuk’ gaya Bugis!” Tegas Pak Seli dalam nada suara rendah kepada aku dan bapak.

Adat ‘panglima Melayu’ keris disisip di bahagian pinggang didepan, sedangkan adat ‘pahlawan Bugis’ keris disisipkan dibelakang, disorok dari dilihat musuh. Permainan dalam jarak dekat hanya akan dikeluarkan semasa membuat tikaman curi..

Pak Lamat kembali turun dan dia membawa bersama parang menebas didalam genggaman tangan kanan semasa kembali mendapatkan kami yang menunggu didepan rumah.

Kami mula berjalan mengarah ke belakang rumah Pak Lamat, berjalan dalam posisi sebaris, dikepalai Pak Lamat, kemudian Pak Seli, dituruti aku dan bapak dibelakang sekali. Kira-kira empat puluh lima minit perjalanan, cukup jauh dari penempatan manusia pada pendapat aku, Pak Lamat mulai berhenti.

Cahaya bulan yang terang dipagari bintang yang bergemerlapan, memenuhi ruang hutan, menemani perjalanan kami.

“Tu, lihat kedepan, itulah dia pondok tempat arwah Pak Kadir selalu bermalam..” Kata Pak Lamat sambil bibirnya dijuihkan kedepan.

Bila kami semakin mendekati, terdengar bunyi batuk kecil dari dalam pondok, batuk yang seolah-olah dibuat-buat, bagaikan sudah mengetahui kedatangan kami.

Bapak cuit pinggang aku, dan bila aku menoleh melihat wajahnya, bapak hanya mengangkat-angkatkan kening, bermaksud supaya aku ‘bersedia’ untuk apa jua kemungkinan.

AAAAAAARRRRRRGGGGGHHHHHHHHHH

HHHUUAAAARRRRRGGGGGGGHHHHHHHH

Suara Pak Kadir meraung dari tengah pondok, bagaikan ratapan penuh kesengsaraan.

Naik meremang-remang bulu roma aku, hutan yang tadi berbunyi unggas rimba, tiba-tiba menjadi senyap! Dengan hanya ditemani cahaya lampu picit. Bunyi-bunyi begini, adakalanya menimbulkan perasan cemas.

“ALLAHHHU AKHBAR!!” Suara Pak Seli separuh menjerit!

Bapak memintas aku dan berlari kedepan mendapatkan Pak Seli.

“Kenapa bang?” Suara bapak separuh menjerit

“Kita dah ditipu Iblis!” Pak Seli membalas

Aku mara menghampiri bapak dan Pak Seli. Aneh, Pak Lamat tiba-tiba hilang! Hanya ada pondok menunggu buah yang dikelilingi beberapa batang pokok disekitar, jelas boleh dilihat walau tanpa bantuan cahaya lampu picit!

“Mahat, kamu pagar kawasan ni, aku nak kedepan!” Pak Seli mula memberikan perintah.

Bapak memangkas ranting yang berada dalam jarak tiga kaki dari kami dan mula membuat bulatan mengelilingi aku dan bapak. Kami berdiri dalam kuda-kuda silat didalam bulatan.

Terus terang aku katakan, dalam waktu begini, jika bahu aku dicuit dari belakang, tak mustahil kalau secara tak sengaja, aku hadiahkan penampar berputar.

Pak Seli berjalan menghampiri pondok buruk menunggu buah, berhenti sejenak disitu, dan diam seketika. Keris dicabut dari sisipan dibelakang pinggang dan diletakkan ditanah, bagaikan menyerah diri. Mulutnya terkumat kamit membaca sesuatu..

Seketika kemudian Pak Seli mula berpencak dibawah sinaran bulan yang terang. Bersulam tangan dan bermain tari, kiri berganti kanan, dan sesekali melompat dan melepaskan tendangan tonjol ke depan.

Padu bunyi pergerakan pakaian yang dipakai Pak Seli merintangi angin dek kerana lajunya pukulan-pukulan yang dilakukan. Berdesup-desup bunyi baju melayu lengan panjang dan seluar panjang Pak Seli memukul dan menendang diangin lalu.

‘Ini macam kalau kena! Tak arwah, mesti cacat kekal!’ gumam aku sendiri dalam hati

Haaaaaa!!!

Suara yang tiba-tiba menyergah dari belakang kami!

Sepontan aku berpusing dan melepaskan sepak layang, tanpa berfikir panjang!

Dalam samar, tendangan aku dielakkan oleh seseorang dan aku ditolak terhumban kebelakang saat kaki masih dalam keadaan separuh tergantung. Aku jatuh terlentang ditanah, dan aku nampak bapak bersedia, dengan cakar harimau yang dibuka dikedua-dua tangan. Disilang ditengah dada sebelum maju menyerang.

Pak Lamat!

Ya! Orang yang menyergah kami sebentar tadi ialah Pak Lamat!

Pak Lamat pantas menetak bapak dengan parang menebas yang dibawa dalam genggaman tangan kanan. Bapak elak ke kiri, dan hadiahkan buah pukulan sunting ke muka!

Pak Lamat kembali bergilit dan melepaskan tendangan sisi kaki kanan ke kepala bapak. Aku nampak bapak mengelak dan berguling kemudian mula berpencak diatas tanah, pencak bertinggung, kaki kanan diatas kaki kiri.

Serangan atas serangan!

Mengujakan!

Aku mula bangun dari terlentang..

“Arip, buat pagar yang baru!” Pantas arahan diberikan bapak.

Aku nampak disisi kiri, ranting tua patah yang kesemua lima dahan ranting mengadap ketanah. Aku capai dan buat bulatan mengelilingi diri. Tumit kaki kanan ditekan-tekan beberapa kali ke dalam tanah, dan dalam keadaan bertafakur, aku mula membaca Fatihah pendinding.

Meremang-remang permukaan kulit, mengikuti alunan bait-bait bacaan Fatehah yang aku baca melalui naik dan turunnya nafas dari rongga hidung. Badan jadi panas dengan sepontan.

Pak Seli masih lagi bersilat bersendirian didepan, mungkin musuhnya lebih besar dari apa yang aku boleh bayangkan. Sementara bapak masih lagi berdepan dengan Pak Lamat yang memegang parang dan menyeringai menunggu masa untuk masuk menyerang.

Parang disembat kekiri dan kekanan, dan aku nampak bapak melompat-lompat mengelakan serangan parang. Tendangan umpanan bapak lepaskan kedepan, dan ditakik dengan parang oleh Pak Lamat.

Bapak semar kaki kanan yang menendang dan sambung dengan tolakkan siku kanan. Pak Lamat kembali sembat dengan serangan atas dan bawah, kiri dan kanan. Dua orang pengamal seni persilatan yang berbeza sedang bertempur menguji kemampuan persilatan masing-masing! Sama-sama kuat, sama-sama berseni, siapa yang lalai, langkahnya dipatahkan, geraknya dimatikan!

Aura perang yang sedari tadi terbuka secara tak sengaja, sudah mendatangkan gigilan dibadan. Tangan dan kaki aku dah mula mengigil dengan sendirinya. Alangkah seronoknya kalau dapat turut serta!

Seketika kemudian aku nampak Pak Seli terpelanting dan rebah ke tanah.

ALLAHHHHHHU AKHBARRR!!!

“Arip, laungkan azan!” Bapak mula segerakan perintah tanpa perlu diarahkan Pak Seli.

Aku tarik nafas sedalam yang mungkin, tahan empat detik, dan aku hembus dari hujung jantung dengan seluruh raga..

Allahhhhhhhhhhhu Akhbar, Allaaaahhhhhhhhhhu Akhbar!

Badan berdenyut-denyut sendiri dengan alunan azan dari jantung. Daging dibahagian kiri leher juga bergerak-gerak. Bergema hutan dengan suara lantang sepenuh jiwa yang aku buat.

Berterbangan burung hutan lari dek laungan azan yang kuat.

Bapak berdiri bersemuka dan penumbuk disimpan kedalam bermain sesiku lagaknya seperti pelaga tomoi, Pak Lamat berdiri dalam keadaan separuh terkangkang, parang diulir dari kiri dan kekanan, bagaikan akan direjam kedepan.

Nantikan bahagian ke empat esok gais!

Hari ni aku nak korang komen segala tanda bacaan pulak, biar nampak macam mencarut kat ruangan komen… kah kah kah kah…

xoxo

#Pusaka

Rating Pembaca
[Total: 8 Average: 5]
Arif Yahya

5 thoughts on “Hantu Raya Bahagian 3”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.