Hantu Raya Dalam Tempayan

Cerita ni pun aku pernah hantar pada tahun 2017 tapi kali ni telah dimurnikan lagi tatabahasa dan gaya penceritaan. Nama aku Aty.. Kisah ni bukanlah kisah aku.. Alhamdulillah aku belum pernah dilanda kejadian mistik sepanjang hidup tapi ini kisah emak aku .. Berlaku masa awal-awal dia berkahwin dengan abah aku dalam tahun 1987. Baik, jom mulakan.

Masa mula-mula emak dan abah aku berkahwin, dorang menyewa sebuah pondok kecil dalam sebuah kampung di daerah Temerloh. Biasalah orang baru kahwin kan, pendapatan abah aku masa tu pun taklah seberapa lagi. Pondok tu mak aku kata berada di hujung kampung , jauh daripada rumah orang. Tapi sebab kadar sewanya murah, mak abah aku pun terima jelah..

Ok, macam biasa satu hari tu abah aku keluar bekerja… tinggallah mak aku seorang diri di rumah. Nak dijadikan cerita, dalam tengahari macam tu mak aku sedang berehat dalam bilik, tiba-tiba dia terdengar macam ada orang dekat ruang tamu. Pelik, sebab ikutkan mak aku keseorangan, tak ada orang lain. Mak aku pun keluarlah pergi check, rupanya ada Abah aku. Aik ? Mak aku hairanlah sebab biasanya abah aku takkan balik tengahari sebab pejabatnya agak jauh daripada rumah.

“Eh abang… Kenapa abang balik? Macam mana abang masuk?”

Lebih kurang begitulah mak tanya abah aku masa tu. Dia hairan, sebab kalau tinggal seorang mak aku akan pastikan semua berkunci dan setahu dia abah aku tak ada kunci pendua. Memang setiap petang mak aku lah yang akan bukakkan pintu untuk abah masuk.

Tapi…. Yang peliknya abah aku masa tu diam membatu je sambil matanya merenung tajam mak aku. Pandangannya kosong. Mak aku pun baru perasan yang muka abah aku pun pucat semacam. Tiba-tiba mak aku berasa bulu romanya meremang.. Entah kenapa perasaannya dah lain sangat masa tu dan dia dapat rasa lelaki yang di depan sekarang bukanlah abah aku tapi benda lain. ‘Abah’ pulak masa tu masih diam dan matanya daripada tadi hanya merenung tajam ke arah mak aku. Tup-tup guys, abah aku hilang! Lenyap dari pandangan. Dan semua berlaku dalam beberapa saat je.

“Astaghfirullah!” Mak aku beristighfar sambil mengurut dada menenangkan diri dan tergopoh gapah berlari ke arah bilik. Takut betul dia masa tu sebab itulah kali pertama pengalaman seram berlaku betul-betul kat depan mata. Memang dia terkejut sangat dengan apa yang baru berlaku..

Paling menyeramkan, kejadian tu tak terhenti dekat situ je. Daripada dalam bilik, mak aku terdengar pulak derapan kaki seseorang berjalan dari ruang tamu menghala ke arah bilik. Perlahan lahan je cara berjalan tu. Keadaan sunyi sepi, yang cuma kedengaran hanyalah degupan jantung mak aku yang dah berdegup kencang masa tu. Bayangkan kau sorang-sorang, jauh daripada orang, dengan masa tu tak ada telefon lagi nak call sesiapa.

Derapan kaki tadi akhirnya hilang tapi tu diaaaa… tiba-tiba mak aku nampak ada leher tanpa kepala tengah menjengah dari sebalik pintu masuk. Mak aku ingat lagi, lembaga tanpa kepala tu memakai baju kurung bercorak bunga kecil. Lambaiannya pun mak aku masih ingat hingga ke hari ini. Dia yang dah berpeluh peluh menahan ketakutan akhirnya pengsan. Nasib baik pengsan kan? Sedar-sedar abah aku dah balik. Tapi malangnya masa tu abah tak percaya lagi benda-benda tahyul ni. Cerita seram mak aku, abah aku cuma abaikan.

Keesokan harinya, mak aku dah tak berani duduk dalam rumah bila abah keluar bekerja. Lepas siap memasak dan mengemas rumah, mak aku bertenggek dekat tangga luar sambil-sambil menunggu abah balik kerja. Tiba-tiba… mak aku terasa ada tangan seseorang yang sejuk seperti ais pegang bahu kiri daripada belakang. Nah, sekali lagi mak aku pengsan.

Selepas kejadian tu, mak aku dah start sakit-sakit. Dia kerap jadi lemah-lemah badan dan berasa lesu. Mak aku cerita semuanya pada abah aku , tapi malangnya masih lagi abah tak nak percaya. Sampai lah ke satu malam abah aku sendiri pulak yang terkena. Malam tu pada saat abah aku nak pejam mata untuk tidur, tiba-tiba ada satu lembaga berbulu hitam dengan mata merah menyala betul-betul depan muka abah. Lagi beberapa inci nak tercium haha. Abah aku terus bangkit daripada baring dan beristighfar. Sejak itu barulah abah mula percaya yang rumah mereka duduk tu ada ‘sesuatu’.

Dua hari selepas tu, abah panggil seorang ustaz untuk tengok-tengokkan rumah. Dan menurut ustaz tu, memang ada makhluk halus dalam rumah tu. Katanya, dekat bilik air ada satu tempayan besar, dan dalam tempayan itulah tersimpannya seekor hantu raya belaan tuan rumah. Dan hantu raya itulah yang asyik mengusik mak dan abah aku sepanjang dorang tinggal kat situ..

Mak abah aku pun terkedu. Lepas tu mak aku ada bertanya pada orang-orang kampung, dorang cerita rumah tu berhantu memang dah lama.. ‘Keras’ kata orang. Beberapa hari selepas tu mak abah aku pun teruslah berpindah ke rumah lain.. Risau juga kan gangguan akan menjadi lebih teruk kalau tinggal lebih lama kat situ. Untuk pengetahuan pembaca, rumah tu pun sekarang dah tak wujud.. Dah jadi sebuah taman perumahan yang rancak dengan macam-macam pembangunan hehe.

Baik, rasanya cukup dulu kisah aku kali ini.. Aku akan sambung lagi di lain masa. Banyak lagi kisah mak abah , tok nenek aku yang aku akan ceritakan lain kali, Insyaallah.

Apa pun, terima kasih kerana sudi membaca. Assalamualaikum!

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Aty Umr
Rating Pembaca
[Total: 26 Average: 4]

1 thought on “Hantu Raya Dalam Tempayan”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.