Hanuman Gunung Bahagian Akhir

Hai nama aku Arif dan cerita ni hanya secebis dari pengalaman hidup aku, sebelum aku jadi pelupa, baik aku kongsikan.

Baiklah tanpa berbunga-bunga, sambungan episod 6

“Oh yaa.. Panglima Beting Beras Basah.. Apa khabar dia ya?” Aku mula teringat kehadiran Panglima sebelum perang bermula, susuk gagah tujuh kaki tingginya merejam tombak atau lembing yang bertukar menjadi warna keemas-emasan bermain secara sepontan dalam fikiran aku.

“Begitulah.. Seperti yang kamu nampak tempoh hari.. Tiada cacat celanya..” Balas Pak Seli pendek.

“Kau tahu, Rip?” Uda menyampuk.

“Tahu apa?”

“Malam tu, lepas kau rebah, lepas Hanuman dah d*****h, berapa banyak bangkai beruk yang kau tinggalkan?” Aku hanya mengeleng-gelengkan kepala.

“Rasanya tak kurang tujuh ratus ekor.. Dahsyat betul kau mengamuk malam tu, bukan seperti Arip yang aku kenal..” Pak Seli kenyitkan mata semasa Uda bertutur, seolah-olah Uda buat cerita temberang.

“Mana bangkainya, Da? Kena bakar kah? Atau ditanamkah?”

“Panglima Beting bawak balik semua lepas selesai, dengan Hanuman yang dah terkulai dalam cengkaman tangan kanan.. Langsung tak serupa saat kita jumpa dia dulu..” Pak Seli mengangguk tanda setuju.

“Tahniah pada kamu Rip, kamu tak gentar menghadap ujian.. Sudahlah, perkara pun dah berlalu.. Tak perlu disebut-sebut lagi, aku nak jenguk buah dibelakang, kamu berdua minumlah.. Nanti dekat Zuhur aku balik, kita makan tengahari istimewa sikit hari ni, sebab Arip dah sihat..” Pak Seli kembali tersenyum, sebelum meninggalkan kami berdua dipangkin.

Masa yang terbaik digunakan untuk bercerita panjang lebar bersama Uda, Uda yang becok dan tak pernah diam bercerita segala yang terjadi.

Dari mulut Uda sendiri, selepas disusun mengikut turutan masa perjalanan insiden. Barulah aku tau, Samir buat kerja kotor dengan mengamalkan beberapa ilmu hitam, pemujaan dan bersekutu dengan jin untuk mendapatkan kekayaan mudah. Kerja kotor Samir sudah pun dihidu penduduk kampungnya, dan dia ‘sedang’ dipulaukan semasa sesi rawatan yang dilakukan Pak Seli.

“Hari tu, macam mana kau boleh tiba-tiba ghaib? Masa kau sakit perut tu?” Uda kerut-kerutkan kening cuba mengingat insiden yang terjadi.

“Aku keluar tandas lepas dah selesai berhajat.. lepas tu, aku dengar kau panggil dari tepi rumah, silap aku jugak.. Aku menyahut lepas tu aku pergi jenguk.. Dari sebelah rumah, aku dibawak sampai kebun tepi rumah.. Hurmmm..”

“Lepas tu?” Aku tak sabar nak tahu lebih lanjut.

“Lepas tu aku sedar aku dah silap, bila kabus mula naik macam kat depan rumah Samir hari tu..” Uda mengosok-gosok lengan yang meremang.

“Bila kabus hilang, dikejauhan ada cahaya.. Bila berjalan arah cahaya, Hanuman tu dah menanti dihujung jalan..”

“Lepas tu?”

“Lepas tu bahu aku ditepuk, sekali tepuk aku terus menoleh.. Samir dah dibelakang aku..” Uda menundukkan kepala.

“Apa jadi lepas tu?”

“Aku dah tak ingat apa-apa.. Sedar-sedar dah diikat kat pokok..” Keluh Uda.

“Aneh tau, Rip..” Sambung Uda

“Apa yang anehnya?”

“Ikatan longgar, senang cerita tak diikat pun, hanya beberapa simpulan je.. Tapi aku tak boleh lepas.. Makin dironta, makin ketat..”

“Kau tak pakai ‘lekit belut’… Hahaha..” Sengaja aku usik Uda, dengan salah satu ilmu melepaskan diri dari sebarang kuncian atau ikatan, yang diajar pada pengamal silat, pada tingkatan yang lebih tinggi.

“Otak kau.. Alam pun dah berbeza.. Mana maunyaa…” Uda tergelak kecil

“Tak takut pulak kau, masa kena tangkap tu?”

“Maunya tak serun?? Aku yang dah berak pun terkincit lagi sikit masa kena pasung tu..” Aku tergelak mendengar cerita Uda.

Aku dimaklumkan juga dari Uda yang bapak aku sendiri cedera dari pertempuran batin tempoh hari, aku dan bapak disembuhkan oleh rakan Pak Seli dari jarak jauh sehari selepas insiden perang tersebut. Tombak hadiah untuk Pak Seli juga patah dua semasa perang meletus, dan Pak Seli menerima hadiah yang baru. Kata Uda sejenis senjata kuno, yang dia sendiri tak tahu apa namanya.

“Macam mana bapak aku cedera, Da?”

“Kau ingat tak cahaya kuning yang terbang bersimpang siur malam haritu?” Aku mengangguk, tragedi yang terjadi semasa Uda disedut masuk ke dalam tanah.

“Bapak kau kena anak panah tu kat bahu kiri.. Semasa dirawat.. Baju bapak kau dikoyakkan Pak Seli, urat-urat semua dah lebam.. berbisa anak panah tu..” Sungguh-sungguh penerangan Uda. Sampai ternaik-naik keningnya semasa bercerita.

Kata Uda lagi, kalau tak kerana kehadiran Panglima, kami pasti sudah tertewas. Tapi dengan bantuan Panglima, Hanuman yang begitu ‘gah’ dengan kedewaan diri ditumpaskan dilaman belakang rumah Pak Seli sendiri.

Uda tiba-tiba tergelak semasa bercerita tentang Hanuman dan Panglima.

“Kenapa kau gelak?”

“Takdelah.. Dewa kalah kena ‘rentap’ dengan Panglima je.. Tu yang aku ketawa..” Aku pun ketawa dengan penjelasan Uda.

“Siapa yang aku bawak balik hari tu, kalau bukan kau, Da?”

“Aku tak tau lah.. Tapi hari tu, masa kita datang, yang ada mahluk berbagai rupa tu, dia ada sekali.. Rupa dia separuh harimau, separuh manusia.. Dari anak panah dia jugaklah bapak kau cedera..” Kata Uda.

“Lama jugak ye.. Kau berentap sorang-sorang.. Berdesup desap bunyi kau menikam hari tu..” Sambung Uda lagi.

“Kau tak payah nak tipu aku laaa..” Keluh aku

“Aku serius ni.. Dahsyat betul buah pukul mata angin kau.. Tak nampak gerak.. Dari jauh aku nampak lintasan angin je.. Tau-tau dah tembus je kena tikam.. Hahaha..” Uda mula memberi komen pada gerakan silat aku. Kakinya menguis-nguis tanah semasa bercakap.

“Assalamualaikum..”

Bapak secara tiba-tiba terpacul dibelakang kami. Aku hulurkan tangan dan disambut bapak dengan senyum simpul, kepala aku diusap semasa mencium tangan bapak.

“Dah sihat, Rip?” Aku hanya mengangguk kecil menjawab pertanyaan bapak.

“Petang ni, lepas maghrib, kita dah boleh baliklah.. Berhabuk rumah, takde orang tinggal..” Bapak masih lagi tersenyum-senyum, matanya digenangi air. Tabahnya bapak aku!

“Baik, bah..” Uda pula tersenyum melihat aku menjawab bersahaja.

“Belakang badan kau, macam mana? Sakit lagi?” Bapak melabuhkan p******g disebelah aku dan meraba-raba belakang badan aku.

“Tak tau lah, bah.. Macam takde rasa apa pun.. Nak kata sakit, tak sakit.. Nak kata tak sakit, kalau mengiring ke kiri ada rasa sengal-sengal..” Aku buat gaya mengiring ke kiri sambil menerangkan pada bapak.

“Tiga hari kau tidur, risau betul abah.. Sesekali kau merintih dalam tidur.. Walaupun lukanya dah tak nampak dek mata.. Ada masanya, kau tiba-tiba panggil nama mak..” Kepala aku diusap-usap lembut bapak. Kami bagaikan tak mempedulikan kehadiran Uda disini.

“Nak risau apa, bah.. Uda cerita tadi, sehari lepas berlawan hari tu, kawan Pak Seli ubatkan dari jarak jauh..”

“Mau tak risau.. Kau jelah zuriat yang abah ada.. Risau kau turut mak, sebelum abah..” Bapak menunduk dan hanya merenung tanah. Dalam betul kata-kata bapak, membuat aku tiba-tiba jadi sebak.

“Jangan risau, cik.. Arip ni hebat.. Tengok dia bantai kawanan beruk beratus-ratus ekor hari tu.. Sikit pun tak goyah.. Hahaha..” Uda m******h mood perbualan yang sedih.

“Hiss… Cerita tu habis disitu je.. Jangan kau cerita pada orang pulak, Da..” Pantas ayat Uda d******g bapak. Uda mengangguk tanda faham, matanya mengerling melihat pada aku.

“Abah masuk dululah, nak bersih-bersihkan diri sebelum Pak Seli kau balik.. Dia ada cakap apa-apa tak?” Tanya bapak pada aku.

“Ada… Dia kata hari ni makan tengahari istimewa sebab kita dah sihat..” Aku jawab sambil tergelak kecil. Bapak mengangguk-angguk dan meninggalkan aku dan Uda kembali berdua. Kami meneruskan perbualan pada topik-topik lain.

Pak Seli pulang betul-betul sebelum azan Zuhur berkumandang. Bersama ayam kampung, buah nangka dan ikan tilapia yang entah bila dipancingnya.

Sungguh seronok kami berempat ‘main masak-masak’ berbual dalam keadaan yang tenang dan damai. Bagaikan dah terlepas dari segala gangguan.

Kami makan gulai lemak ikan tilapia dan ayam goreng yang dimasak sendiri oleh Pak Seli dengan bapak sebagai pembantu tukang masak, lewat tengahari tersebut sebelum kami bertolak pulang menjelang asar. Sengal dibadan aku hilang sepenuhnya beberapa hari kemudian. Uda masih lagi datang dan menyapu laman belakang rumah Pak Seli, seperti yang dijanjikan. Dan nampaknya Dewa Hanuman tidak pernah kembali lagi untuk menganggu kami.

Pengajaran yang aku kutip dari cerita ini. Bongkak, riak, takbur dan ujub adalah jenis-jenis penyakit hati yang perlu dijauhi, setinggi mana pun ilmu yang kita ada, kita masih tak mampu menandingi Pencipta kepada ilmu-ilmu tersebut yang datang secara ‘mutlak’ dari al-Malikul Mulk.

Empangan Ma’arib runtuh dengan kejahilan yang dilakukan umat, bersama datangnya cahaya penunjuk akhir zaman. Qarun tenggelam bersama hartanya kerana bongkak. Firaun lemas diliputi laut merah kerana takbur dan riak. Bukankah umat zaman terdahulu telah banyak memberikan pengajaran melalui cerita?

Maka beramallah, dan terus beramal. Beramal seolah-olah amalanMu itu bukanlah kewajipan keatasmu, tetapi dilakukan dengan ikhlas dan cinta tanpa mengharapkan apa-apa balasan. “Kebahagiaan itu dicapai melalui tiga perkara
Bersabar ketika diuji, bersyukur ketika menerima nikmat dan bertaubat diatas dosa-dosa” ibn al-Qayyum

Dan bersatu padu itu penting, untuk memusnahkan musuh, sama ada yang kelihatan atau tidak. Hiduplah kita dalam satu jemaah! Satukan hati kami berlandaskan pada ‘paksi yang satu’.

‘Wira’ lahir bukan dari kuasa, tetapi wira lahir dari keberanian dan tanggungjawab!

Aku akhiri dengan petikan mutiara kata dari Saidina Ali K.W “Dosa yang membuatmu bersedih dan menyesal itu lebih disukai Allah, daripada perbuatan baik yang membuatkanmu menjadi sombong..”

Takbir!!!

Sampai jumpa lagi dicerita yang lain. Semoga semuanya berbahagia dan selamat dalam lindungan Allah. Terima kasih juga pada yang sudah membeli Pusaka 2..

~Tammat~

Last icon love sebelum kita jumpa lagi tahun depan. Doakan aku dipermudahkan urusan, supaya senang aku menaip.. hihi.. love u, gais! Yall the best!

#Pusaka2 #Arifyahya

Dapatkan E-book Pusaka 2 gais. DM aku untuk tahu lebih lanjut, ‘dengan pantas’ aku reply (kalau aku tak sibuk ler.. hihi)
Link untuk DM aku ada dibawah, klik pautan dan tekan ‘mesej’. Terima kasih.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Arif Yahya
Rating Pembaca
[Total: 33 Average: 4.8]

2 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.