Hijab ‘Tertutup’ di Gunung Gading

Ini merupakan kisah pengajaran yang aku hendak kongsikan, bukan berlaku kepada diri aku, tetapi kepada housemate aku. Kisah ini berlaku pada tahun Oktober 2015. Kepada pembaca yang tidak tahu Gunung Gading itu di mana, ianya terletak di kawasan Lundu, Sarawak. Kira-kira dua jam perjalanan daripada bandaraya Kuching. Tujuan aku ke Gunung Gading adalah sebahagian daripada ‘site-visit’ untuk program kelab yang aku telah rancang.

Oleh kerana kami (MT & Exco kelab) tak semuanya yang balik sewaktu cuti pertengahan semester, jadi kami rancang untuk pergi melakukan ‘site visit’ tersebut ketika mid sem break berlangsung. Seminggu sebelum cuti pertengahan semester, housemate aku telah mengajak aku untuk turut serta dalam plan mereka, tetapi aku tolak secara baik dengan menyatakan bahawa aku ada benda yang perlu diselesaikan (site visit untuk program akan datang).

Pagi tu kami (Aku, Fatin, Faiz & Othman) bertolak daripada kampus sekitar jam 7 pagi. Oleh kerana perjalanan dijangka mengambil masa kira-kira dua jam, kami decide untuk gerak awal pada pagi itu. Gunung Gading merupakan salah satu gunung yang berada di bawah kelolaan Sarawak Forestry, dan berada dalam Taman Negara Sarawak. Kami melewati Taman Negara Gunung Gading untuk bersarapan di Pekan Lundu, terletak tidak jauh dari taman negara tersebut.

Usai membeli makanan untuk bekalan kami ketika di Gunung Gading kelak, kami berpatah balik dan menuju ke pintu masuk Taman Negara Gunung Gading. Untuk pengetahuan semua, bayaran RM10 akan dikenakan sebagai caj bayaran masuk ke mana-mana taman negara di Sarawak. Di samping itu juga, Taman Negara Gunung Gading ada menyediakan kemudahan penginapan untuk kemudahan pelancong yang hadir berkunjung.

Selesai mendaftar masuk di pejabat ranger, kami memulakan perjalanan sekitar jam 9.30 pagi. 15 minit pertama, pendakian masih lagi okay. Masuk ke minit ke 20, salah seorang kawan aku dah mula rasa letih, riak wajah kepenatan terpancar di mukanya. Tidak lama selepas itu, Othman decided untuk tidak lagi meneruskan perjalanan. Lantas dia ambil keputusan untuk turun semula ke kaki gunung dan berehat di bawah. Aku, Faiz & Fatin meneruskan kembali pendakian. Gunung Gading terkenal dengan keindahan air terjun, jadi tidak hairanlah terdapat beberapa checkpoint untuk pendaki berehat & menikmati kedinginan air terjun semulajadi itu.

Sampai sahaja di ‘Waterfall No 7.’ kami berhenti sebentar. Kelihatan beberapa kumpulan pendaki yang turut serta berehat di kawasan air terjun tersebut. Fatin pula mengambil keputusan untuk tidak meneruskan pendakian, dia nak tinggal di kawasan air terjun No 7 dan menunggu aku dan Faiz turun dari puncak. Tanpa membuang masa, aku dengan Faiz meneruskan pendakian ke puncak Gading.

Perjalanan boleh dikatakan agak mudah kerana pihak taman negara sudahpun membuat penanda untuk memudahkan pendaki mencari jalan naik dan turun iaitu dengan mengecat pokok-pokok di situ dengan beberapa warna. Jadi kami hanya perlu mengikut tanda arah tersebut sebagi panduan. Tidak sampai 15 minit, aku dengan Faiz berhenti. Kami berbincang seketika, membuat keputusan sama ada untuk teruskan perjalanan ataupun tidak. Mengambil kira beberapa faktor, kami mengambil keputusan untuk tidak meneruskan pendakian sehingga ke puncak dan hanya berehat di air terjun No 7 sahaja.

Sampai di kawasan air terjun No 7, kami menikmati bekalan tengah hari yang kami beli di Pekan Lundu pagi tadi sebelum bermandi manda di situ. Waterfall No 7 Gunung Gading boleh aku katakan antara yang paling best di area Lundu ni. Kalau orang lokal Sarawak cakap, “Waterfall tok nang nyaman”. Sewaktu menikmati keindahan alam di sekitar air terjun tersebut, aku perasan terdapat beberapa susunan batu-batu kecil di atas bongkah batu besar yang terdapat di situ.

Batu-batu tersebut disusun dari saiz yang besar (yang besar di bawah) dan yang kecil-kecil di atas. Kalau pembaca tak dapat nak bayang, boleh Google image gambar “batu bersusun”. Haa lebih kurang macam tu lah. Perasaan pelik, musykil dan hairan mula bermain di fikiran aku. Aku mulai berfikiran bukan-bukan, iyalah kali pertama berkunjung ke tempat tu kan. Aku memanggil Faiz, lantas ku ajukan soalan yang bermain di fikiran aku.

“Faiz, macam mana batu ni boleh steady je macam ni, dengan hujan ke angin kencang ke, tengok macam tak terusik pun” .

“Ala, ada orang yang buat tu. Nak rasa pelik kenapa?” (ikut hukum fizik, batu memang boleh disusun mengikut posisi tu). Tapi perasaan tidak sedap hati tu tetap berada di dalam hati aku, seraya aku separa menjerit kepada Faiz dan Fatin.
“Weh, korang jangan sentuh tau batu tu. Tengok boleh, tapi jangan sentuh ke buat main ke. Kalau orang yang buat pun biar je batu tu kat situ, jangan sesekali kacau.” Faiz dan Fatin hanya mengiyakan aku. Perasaan tak sedap hati aku tu aku biarkan ianya bermain sendirian, aku nak mandi puas-puas kat air terjun ni.

Cuaca mulai berubah selepas waktu Zuhur, awan mendung mula berarak menandakan hujan akan turun. Tanpa membuang masa, kami bersiap ala kadar dan mula menuruni gunung tersebut. Sebelum bergerak dari kawasan air terjun, aku pastikan tidak ada sebarang tinggalan dari kami di kawasan tersebut, baik sampah bekas makanan ataupun apa-apa sahaja. Alhamdulillah kami selamat turun ke kaki gunung dan seterusnya membersihkan diri sebelum bergerak pulang.

Malam keesokan harinya, aku berpeluang untuk berbual dengan rakan-rakan serumah dan menanyakan pengalaman mereka bercuti tanpa aku. Rupa-rupanya, sehari sebelum aku pergi, mereka juga mendaki gunung yang sama iaitu Gunung Gading! Bukan sahaja mendaki, malahan turut menginap di chalet taman negara tersebut. Hari yang aku mendaki tu, diorang masih lagi ada kat chalet, cuma pagi tu masa aku sampai diorang masih lagi membuta la dan sewaktu aku turun, diorang dah lama bertolak balik dari situ. Patut lah aku tak jumpa batang hidung diorang kat situ. Nama sahaja kawan serumah, tapi kami langsung tak bagi tahu lokasi yang kami hendak pergi. Mungkin ianya satu kebetulan atau sebaliknya.

Housemate aku cerita yang mereka sampai dekat taman negara tersebut selepas Zuhur dan mula mendaki ketika waktu petang, 2-3 petang macam tu. Pada hemat aku, waktu tu memang dah lewat sangat dah kalau nak mendaki. Tapi disebabkan mereka menginap di situ pada malamnya, mungkin sebab itulah diorang tak risau naik lambat. Lepas tu, housemate bukak cerita yang mereka kena ‘something’ masa mendaki tu. Cepat-cepat aku mencelah,

“Jangan cakap dengan aku korang ada main-main masa dekat waterfall no 7 tu”.

“Ha nii salah Daus ah ni, dia yang dok main batu-batu kat situ. Dia pergi main batu yang bersusun tu sampai pecah”

“Aku dah agak dah. Benda pelik takkan berlaku kalau korang tak kacau benda yang ada kat situ”
Masing-masing diam seketika, muka berkerut mengingati kisah yang berlaku terhadap mereka tempoh hari.

Aku desak mereka untuk cerita apa yang berlaku. Diorang sampai dekat taman negara lepas waktu zuhur, lepas check in tukar baju semua, mereka start mendaki sekitar jam 2-3 petang macam tu. Oh ya sebelum terlupa, ada lima orang yang pergi masa tu. Mereka pun mendaki sampai lah ke puncak. Kalau pembaca FS nak tahu, Gunung Gading menyajikan keindahan alam semulajadi dengan tarikan bunga Rafflesia & kesejukan air terjun yang mencengkam tulang, namun di puncak sedikit mengecewakan kerana hutan tebal menyelubungi puncak gunung tersebut.

Lepas sampai ke puncak & ambil gambar semua, mereka turun ke waterfall no 7 dan mandi manda seketika di situ. Masa itu juga lah ada di antara housemate aku ni yang gatai tangan dok pi main batu bersusun yang aku ceritakan tu. Depa pi main sampaikan ada batu yang pecah. Seronok sangat barangkali. Hari beransur gelap menandakan waktu Maghrib bakal tiba tak lama lagi. Sekitar jam 6 petang macam tu diorang pun turun. Pukul 6 turun dari gunung tu dah kira lewat, cuaca pun dah gelap.

Walaupun mereka berlima, namun mereka tidak turun secara serentak iaitu bersama-sama. Dua orang pertama (Amir & Saiful) yang di hadapan menuruni gunung tersebut dengan laju, sebab hari dah gelap. Tinggal tiga orang lagi di belakang. Oleh sebab nak ikut rentak Amir & Saiful yang laju, kawan aku yang sorang ni berada kat tengah-tengah. Manakala yang dua lagi berada di belakang (Daus & Wan), agak jauh ketinggalan. Yang berada di tengah ni (Thib), dia nak catch up Amir & Saiful tapi kadang-kadang tertinggal.

Sampai je kaki gunung, Amir & Saiful pun berehat dekat tempat duduk yang disediakan di bawah sementara menanti tiga orang yang lain. Tunggu punya tunggu, sampailah Daus & Wan yang muncul, seraya mereka berdua berkata,

“Mana thib?”

Amir dengan Saiful kehairanan, lantas menjawab,

“Eh bukan dengan korang ke? Kitaorg jalan depan tadi, laju turun, ingatkan dia kat belakang dengan korang?”. Lagi lah pelik si Daus dengan Wan ni.

“Eh mana ada! Kitaorg dua orang je yang kat belakang. Masa turun ni pun tak ada nampak thib. Langsung tak nampak sampai lah ke bawah ni haa”

Keempat-empat mereka dihambat misteri, mana Thib? Mana mungkin si Thib ni lalu melintasi Amir dengan Saiful yang sedang menunggu di bawah? Tak ada jalan lain daripada kaki gunung ke chalet melainkan akan melintasi tempat si Amir dan Saiful tengah berehat. Soalan daripada dua orang pertama yang sampai dibalas kembali dengan soalan daripada dua orang yang terakhir turun. Lantas diorang pun ambil keputusan nak balik ke chalet dan mungkin buat report dekat pejabat. Sampai sahaja mereka di chalet, alangkah terkejutnya bila melihat sekujur tubuh sedang lena dibuai mimpi! Rupa-rupanya si Thib ni dah sampai kat chalet, dah siap mandi tukar baju dan dah tidur dah pun. How is that possible? Diorang pun kejut Thib, tanya apa yang berlaku kenapa ini kenapa itu. Thib pun cerita, masa dia nak kejar Amir & Saiful yang kat depan tu, dia tak dapat nak kejar. Kejap nampak kelibat si Amir ni kejap hilang. Last-last dia dah tak nampak langsung kelibat dua orang di hadapan tu.

Dia pun turun sendirian, dah sewaktu nak turun tu, penanda arah (pokok yang di cat dengan beberapa warna yang aku cerita tu) tak kelihatan langsung! Bersungguh-sungguh si Thib ni cakap yang dia memang tak nampak langsung pokok-pokok yang ditanda dengan cat tu. DIa ambil keputusan untuk terus turun mengikut instinct dia je. Sampai dekat kaki gunung, dia tak nampak siapa-siapa pun baik dekat tempat duduk (yang pada masa tu Amir & Saiful tengah menunggu) ataupun dekat kawasan sekitar. Lantas dia ambil keputusan untuk terus ke chalet, kot-kot Amir dengan si Saiful ni dah balik dah. Sampai dekat chalet, tak kelihatan kelibat Amir mahupun Saiful, dia decide untuk terus berehat. Dengar je si Thib cerita macam tu, masing-masing terdiam, otak ligat berputar macam mana benda tu boleh berlaku?

Amir dengan Saiful dah sampai bawah, berehat sebentar menunggu Thib, Daus & Wan. Tunggu punya tunggu, hanya Daus & Wan je yang muncul. Kelibat Thib tak kelihatan langsung melintasi mereka. Aku dapat andaikan di sini yang pandangan atau hijab mereka tertutup ‘sementara’, mungkin akibat daripada tingkah laku yang tidak sepatutnya semasa berada di atas gunung tersebut. Alhamdulillah, mujur tiada apa yang serius berlaku, hanya hijab yang tertutup sementara. Aku jadikan kisah mereka ini sebagai pengajaran, agar tidak berulang kembali pada masa lain. Datang tempat baru, tempat yang asing, kita kena sentiasa beringat, bukan manusia sahaja yang menghuni. Ada benda lain yang juga mendiami setiap ceruk yang manusia tidak terjangkau dek akal, tak terlihat dek mata kasar ini.

Ingat tiga perkara ni,
a) Take nothing but pictures;
b) Leave nothing but footprints;
c) Kill nothing but times.

Wallahualam.

 

8 thoughts on “Hijab ‘Tertutup’ di Gunung Gading”

    • Erm…macam mengelirukan jugak penceritaannya drpd awalkan? 2 3 kali gak ler baca, yg atas berulang di bawah, yg bawah bawa ke atas, pening gak nak faham apa yang cuba disampaikan. Maaf wahai si tukang pencerita.

      Reply
  1. Pada kebiasaannya batu tu disusun sebagai panduan. Contohnya, masa hiking guide/orang yang berada di hadapan sekali akan susun batu untuk panduan orang belakang yang mereka melalui jalan itu. Tapi dalam kes cerita ni tak tau la untuk apa sebab tak pernah hiking kat gunung tu lagi.

    Reply
  2. Itulah tu, point cerita dia se-coet hujung tu. Tapi takpelah, saya suka dengar cerita orang daki gunung ni. Seram tau lagi2 yang kena sorok sampai sekarang tak jumpa

    Reply

Leave a Comment