Histeria di UiTM Melaka

Saya Manap dan saya terpanggil untuk berkongsi salah satu kisah seram yang saya alami sendiri apabila terbaca kisah-kisah seram di sini. Sebelum memulakan cerita, ingin saya ceritakan sedikit perihal tentang diri saya. Saya memang dari kecil mempunyai kebolehan yang mana saya mampu melihat jin ataupun hantu. Tetapi kebolehan saya ini ada batasnya. Saya hanya mampu ternampak atau terlihat jin pada waktu-waktu tertentu sahaja. Bukanlah setiap masa seperti sesetengah orang.

Baiklah cukup dengan pengenalan diri, sekarang kita sambung pula dengan cerita saya ini. Kejadian ini berlaku semasa saya belajar di salah satu kampus UiTM di Melaka. Kampus ini agak baru dan belum lagi pernah ada apa-apa kes histeria di situ (setakat yang saya tahu). Jadi, ini mungkin kes histeria yang pertama berlaku di kampus tersebut.

Bahagian I
Lokasi: Kolej kediaman siswa
Masa: sekitar jam 11 malam

Kolej siswa di kampus ini ada dua bangunan, bangunan A dan bangunan B. Saya ditempatkan di bangunan B dan bilik saya berada di tingkat paling atas. Bilik pula tidaklah sebesar mana, cukup untuk memuatkan dua katil, dua almari dan dua meja belajar. Saya agak bertuah kerana mendapat bilik yang menghadap kawasan luar. Bukanlah seperti sesetengah bilik lain yang mana tingkap di bilik-bilik tersebut berhadapan dengan laluan koridor. Bangunan-bangunan kolej siswa di kampus ini tidaklah jauh dengan bangunan-bangunan kolej siswi. Boleh dikatakan bersebelahan sahaja dengan kolej siswa dan hanya dipisahkan dengan jalan raya dan sudah tentu pagar. Jika bangunan kolej siswa ada dua, siswi pula ada tiga. Bangunan A, bangunan B dan Bangunan C. Dari tingkap bilik saya, boleh nampak bangunan A dan bangunan B kolej siswi.

Sudah menjadi lumrah pelajar universiti untuk tidur lewat. Ada yang mengulangkaji pelajaran, ada yang bermain Dota, ada juga yang baru pulang ke kolej dan ada juga yang hanya melepak di bilik kawan-kawan lain. Saya pada waktu itu baru sahaja selesai menyiapkan assignment untuk salah satu subjek saya. Saya bangun dari kerusi dan memandang ke arah bangunan A kolej siswi sambil termenung kosong. Tiba-tiba saya ternampak satu kain putih entah dari mana terbang memasuki tingkap salah satu bilik di bangunan A. Saya terperanjat dan rasa pelik. Saya berasa tidak percaya dengan apa yang saya lihat. Adakah hijab saya terbuka? Atau hanya mainan mata? Saya menganggap mungkin apa yang saya lihat hanya mainan mata. Jadi, saya abaikan walaupun pada waktu itu saya berasa seram sejuk.

Bahagian II
Lokasi: Kolej kediaman siswa
Masa: 2 hari kemudian sekitar jam 4 petang

Saya baru tamat kelas dan telah sampai di bilik pada waktu ini. Setelah saya selesai menukar pakaian, saya terdengar suara orang menjerit. Saya terkejut dan tercari-cari dari mana datangnya jeritan itu. Jeritan seperti jeritan orang yang sedang marah. Diselang-seli dengan suara orang mencarut. “Aarghhh!!!”, “Bodoh!!!”. Saya berasa pelik dan bertanya kepada diri sendiri. “Siapalah mencarut kuat sangat tu. Kalau kalah main Dota pun jangan lah bising sangat?” Saya beranggapan itu suara pelajar-pelajar lain yang sedang marah akibat kalah bermain Dota ataupun bergurau tetapi dengan cara yang kasar. Namun, apa yang peliknya, jeritan dan carutan tersebut tetap berulang. Dalam masa yang sama juga, saya terdengar suara orang membaca ayat al-quran.

Dari tingkap bilik saya, saya dapat melihat ramai orang datang ke Dewan Makan. Mereka berlari keanak-anakan ke Dewan Makan. Seperti ada sesuatu yang ingin mereka lihat di situ. Saya tidak dapat melihat apa sebenarnya yang berlaku di dalam Dewan Makan kerana saya berada di tingkat paling atas. Hanya mampu melihat orang keluar dan masuk ke Dewan Makan. Saya yang berada di bilik pada waktu itu terasa ingin turun dan melihatnya juga, tetapi saya agak penat setelah tamat kelas. Jadi, saya hanya melihat dari bilik saya sehingga jeritan tersebut berhenti. Agak lama juga. Jeritan dan bacaan ayat al-quran tersebut saya rasa berterusan sehingga 15 minit atau 20 minit.

Pada waktu itu saya mula terfikir, “Nampaknya macam orang kena histeria?” “Ada kaitan ke dengan benda aku nampak dua hari lalu?”

Kejadian histeria ini tidak berhenti di situ sahaja. Esoknya selepas kejadian di Dewan Makan, saya diberitahu oleh rakan saya terdapat kes histeria lagi di dalam kampus. Tidak silap saya selepas kejadian di Dewan Makan tersebut, hampir setiap hari ada sahaja pelajar yang mengalami histeria.

Bahagian III
Lokasi: Pusat Islam dan kolej
Masa: Seminggu kemudian

Disebabkan kes histeria yang semakin teruk. Pihak kolej memanggil ustaz-ustaz dari Darussyifa’ untuk datang ke kampus saya. Pada hari tersebut semua pelajar kolej dikehendaki berkumpul di Pusat Islam. Tidak ada seorang pun dibenarkan berada di bilik. Pada hari itu juga diadakan bacaan yasin dan solat hajat. Jadi, setelah selesai solat maghrib bersama ustaz-ustaz Darussyifa’, diadakan pula bacaan yasin dan juga solat hajat dengan mereka untuk meminta perlindungan supaya dijauhkan dari gangguan-gangguan makhluk ghaib yang menganggu pelajar-pelajar di kampus.
Setelah itu, beberapa orang ustaz keluar dari Pusat Islam dan kelihatan meraka berbincang dengan beberapa orang ahli jawatankuasa kolej. Setelah selesai berbincang, ustaz-ustaz tersebut dan ahli-ahli jawatankuasa kolej meminta pelajar-pelajar lelaki untuk menjadi wakil. Saya tertanya-tanya, “Wakil untuk apa?” Rupanya wakil untuk “pagar” bilik. Saya yang mendengar perkara tersebut mewakilkan diri saya. Pada waktu itu juga saya nampak beberapa orang pelajar membawa baldi-baldi, lada hitam dan garam dan juga limau (saya tidak berapa ingat sama ada limau ada sekali atau tidak). Pelajar-pelajar lelaki tadi dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Kumpulan yang akan membantu memagar kolej siswa dan kumpulan yang akan membantu memagar kolej siswi. Kemudian, dari kumpulan tersebut ada pecahan lagi. Kumpulan yang melaungkan azan dan kumpulan yang membawa baldi berisi bahan-bahan untuk memagar. Saya meyertai kumpulan yang melaungkan azan.

Seterusnya bermulalah misi kami untuk “memagar” bilik. Kami mula dari tingkat bawah sehingga ke tingkat atas. Kumpulan saya diarahkan untuk pergi ke kolej siswa bangunan B. Saya sudah biasa dengan bangunan ini kerana bilik saya juga di sini. Jadi, saya pergi melaungkan azan di beberapa bilik. Saya azan di satu bilik kemudian ahli kumpulan lain akan azan di bilik lain. Begitulah sehingga habis semua bilik diazankan oleh kumpulan kami.

Setelah tamat, kami berkumpul di aras bawah dan diarahkan oleh seorang ustaz Darussyifa’ untuk kembali semula ke Pusat Islam.

Sepanjang melaungkan azan di bilik-bilik ini, tidak pula saya berasa seram sejuk atau ternampak apa-apa. Mungkin memang tiada di kawasan kami. Apa yang memeranjatkan saya bukanlah hantu tetapi keadaan bilik pelajar-pelajar lain. Maklumlah bilik pelajar lelaki. Kalau dapat bilik pelajar yang kemas, sedap mata memandang, tetapi kalau dapat jenis pelajar yang tidak tahu erti kebersihan, bilik ibarat dilanggar garuda.

Bahagian IV
Lokasi: Pusat Islam
Masa: Sekitar 10 malam

Kumpulan saya kembali semula ke Pusat Islam dan di sana saya lihat beberapa orang pelajar sedang menerima rawatan yang dipanggil ‘ruqyah’. Kelihatan beberapa orang ustaz-ustaz Darussyifa’ sedang menjalankan rawatan duduk bersila berhadapan pelajar yang sedang dirawat. Seorang ustaz akan merawat seorang pelajar dan pelajar yang dirawat tersebut ditemani oleh seorang lagi rakan. Mungkin rakan tersebut diperlukan sekiranya pelajar tersebut pengsan atau meracau. Dapat lah juga rakan mereka memegang mereka sekiranya perkara itu berlaku.

Saya memerhatikan proses ‘ruqyah’ tersebut dari luar Pusat Islam. Sedang asyik memerhati tiba-tiba saya ternampak di salah satu kepala pelajar yang sedang dirawat, keluar tanduk. Saya terkejut dan mula berasa seram sejuk. Tanduk tersebut agak panjang dan pelajar yang sedang dirawat itu kelihatan terhuyung-hayang sedikit. Mungkin dia sedang berada dalam keadaan separuh sedar atau mungkin dia sudah tidak sedar pada waktu itu. Saya yang terperanjat dengan apa yang saya lihat, mengalihkan pandangan saya ke tempat lain. Saya mula bertanya kepada diri sendiri. “Hijab saya terbuka lagi kah?” “Atau ini hanya mainan mata?” Setelah beberapa saat, saya melihat semula pelajar tadi dan tanduk tersebut masih lagi ada di kepala dia. Pada waktu ini saya sedar yang ini bukanlah mainan mata. Hijab saya terbuka lagi.

Saya melihat pula pelajar lain yang sedang dirawat dan saya agak terkejut dengan apa yang saya nampak. Kelihatan seorang pelajar yang sedang dirawat diselubungi oleh kain yang berwarna putih dan jarang. Saya yakin yang kain tersebut bukanlah kain yang biasa kerana kain tersebut kelihatan seperti muncul dan hilang. Sekejap saya nampak kain itu menyelubungi pelajar tersebut, sekejap kain itu tidak pula saya lihat menyelubungi pelajar tersebut. Belum pernah lagi saya mendengar apa-apa kain di dunia ini yang boleh muncul dan hilang secara tiba-tiba. Agak terperanjat dengan apa yang saya nampak, saya melihat pula pelajar lain yang sedang dirawat. Saya terlihat sesuatu yang lebih pelik dari kain dan tanduk. Di kepala salah seorang pelajar yang sedang dirawat, saya terlihat benda bulat berwarna biru. Kelihatan seperti pau, kuih yang biasa dijual di pasar malam. Tetapi kenapa ada pau dekat kepala pula sedangkan pau untuk dimakan. Satu lagi perkara yang agak pelik ialah benda bulat berwarna biru itu kelihatan bercahaya. Benda itu kelihatan seperti melekat di kepala pelajar tersebut. Walaupun pelajar itu bergerak-gerak, benda bulat tersebut tidak pula kelihatan seperti hendak jatuh. Saya mengalihkan pandangan saya ke tempat lain sekali lagi.

Saya melihat ke satu lagi pintu Pusat Islam. Disebabkan pintu itu terbuka, saya dapat melihat ke luar. Di situ, kelihatan sesuatu sedang memerhati pelajar-pelajar yang sedang dirawat. Saya seperti tidak percaya dengan apa yang saya nampak. Satu makhluk berjubah putih dan agak lusuh, berambut panjang dan serabai, serta tiada mata sedang merenung ke dalam Pusat Islam. Makhluk tersebut tidaklah berbuat apa-apa melainkan berdiri sahaja di situ. Saya tertanya-tanya. “Apakah yang makhluk ini buat di sini?” “Adakah dia nampak apa yang sedang berlaku?” “Bagaimana dia melihat kalau dia tiada mata?” Saya abaikan sahaja dan kembali melihat ke dalam Pusat Islam. Saya melihat pelajar yang ada benda bulat berwarna biru tadi tetapi kali ini benda bulat itu bukan sahaja berada pada pelajar tersebut, ia juga berada pada kepala rakan pelajar tersebut. Saya mula berasa pelik. “Apakah benda biru ini?” “Adakah dia membiak?” Benda biru ini yang asalnya hanya ada satu tetapi sekarang ada dua. Ini membuatkan saya tertanya-tanya.

Terdapat beberapa orang pelajar yang sudah selesai menjalani rawatan dan saya juga terdengar pengumuman yang mengatakan sesiapa yang mahu dirawat, boleh datang ke ustaz-ustaz tersebut. Terdengar juga pengumuman yang mengatakan sesiapa yang mahu ‘dicheck’ juga boleh datang ke ustaz-ustaz tersebut. Kelihatan beberapa orang pelajar datang ke hadapan dan berjumpa dengan ustaz-ustaz tersebut. Ada juga di antara pelajar-pelajar yang dirawat tersebut saya tidak nampak apa-apa yang pelik. Mungkin pelajar tersebut tiada benda-benda itu ataupun saya memang tidak nampak benda itu. Seperti yang saya beritahu sebelum ini, bukanlah setiap masa saya mampu untuk melihat makhluk dari dunia satu lagi ini. Tidak lama kemudian, terdengar pula pengumuman yang membenarkan pelajar untuk pulang ke kolej kediaman. Saya berasa lega kerana akhirnya dapat juga merehatkan badan yang sudah letih ini dan saya rasa sudah cukup dengan apa yang saya nampak malam itu. Tidak perlu lagi ditambah dengan penampakan lain bagi saya. Semua pelajar berkumpul dan pulang ke bilik masing-masing manakala pelajar yang mahu menerima rawatan tinggal di Pusat Islam. Saya pulang ke bilik dan masih lagi memikirkan tentang benda bulat berwarna biru itu. Saya pernah melihat bermacam-macam penampakan. Tetapi sesuatu yang berbentuk bulat, berwarna biru dan bercahaya belum pernah lagi saya nampak di mana-mana. Biarlah, lagipun benda tersebut tidak menganggu saya dan saya berharap pelajar-pelajar yang dirawat tersebut sembuh.

Keesokan harinya tidak ada lagi kes histeria di kampus tersebut. Begitu juga dengan hari-hari seterusnya. Saya bersyukur kerana usaha kami membuahkan hasil. Tidak sia-sia saya azan di bilik-bilik, solat hajat dan baca yasin. Jadi, ini sahaja cerita saya.

manap

4 thoughts on “Histeria di UiTM Melaka”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.