Ibu Untuk Baby

Salam. Aku rasa platform ini adalah cara terbaik untuk aku menulis mengenai pengalamanku secara ‘annonymous’.

Ingatkan balik, pengalamanku bermula pada majlis harijadiku yang ke-33 yang disambut di sebuah restoran secara kecil-kecilan. Masa tu sebelum pandemic. Zek, rakan baik aku dan juga anak pada kawan ibu dan ayahku, menghadiahkan anak pokok bunga orked. Dia tahu yang aku suka bercucuk tanam, tapi selalunya aku lebih cenderung menanam pokok sayur-sayuran, ulaman dan herba. Tapi dah orang beri, tambahan pula, bunga-bunganya yang putih kecil amat comel dan wangi…

Apabila tiba di rumah, aku pindahkan anak pokok orked itu ke dalam bakul rotan kecil. Kemudiannya aku tanam akarnya dalam sabut kelapa dan sphagnum moss. Orked itu kemudian digantung di tingkap bilik. Tingkap bilik tidur mengadap matahari terbit, jadi amat sesuai untuk tanaman seperti orked. Beberapa hari kemudian, keluarlah bunga-bunga kecil berwarna putih kehijauan.

Aku jaga orked tu dengan teliti sekali, ‘spray’ daun dan sabut kelapa setiap hari. Dibuang daun dan bunga yang layu, baja bila perlu. Orked itu pula tak putus-putus bunga. Memang agak bangga kerana serasi juga aku ni dengan pokok bunga rupanya.

Bila malam dan subuh, satu bilik akan bau wangi semerbak. Tak lah kuat sangat. Baunya sedap dan membuatkan aku senang lelap. Suami yang selalu tak berapa minat bau-bauan juga selalu puji bau bunga orkedku.

Pada mulanya kami tak sedar apa-apa yang pelik berlaku. Sehingga satu hari, aku parking nak masuk ke Tesco, ada pakcik guard menahan aku. “Puan, jangan tinggalkan anak kecik dalam kereta, Puan. Bahaya!” katanya.

“Eh salah kereta kot Encik, saya mana ada anak,” aku balas.

Dibawanya aku ke keretaku dan aku tengok muka  pakcik guard sangat keliru. Dia minta maaf dan terus pergi.

Rupanya, itu bukan kali pertama dan terakhir orang di sekelilingku nampak anak kecil dalam kereta.  Ada juga dua tiga kali aku dan suami ditegur kasar oleh orang kerana tinggal anak dalam kereta, sehingga suami buat lawak suruh tampal notis dalam kereta ‘KAMI TIDAK ADA ANAK DALAM KERETA’ atau ‘ITU BUKAN ANAK KAMI’ (kami tak buat la macam tu).

Sebenarnya isu tiada anak ini juga menjadi satu isu yang agak mencabar kesabaran kami suami isteri. Kami telah berkahwin 5 tahun tapi tiada anak. Pada mulanya tiada masalah. Senang pergi bercuti. Keluarga kami juga tidak mendesak. Tapi bila hari perayaan atau berkumpul beramai-ramai, ada saja orang bertanya.

” Kenapa korang kawin dah lama tak de anak? Jangan tolak rezeki tau.”

Uuuiih mulut orang…

Ada yang niat nak tahu, ada yang nak menunjuk. Ada juga yang nak tolong tapi kadang tak bertempat. Bila dengar orang cakap, memang menyampah, tapi mulalah aku bertanya pada diri, sempurnakah keluarga jika tiada anak?

Aku suka anak-anak kecil, sejak dulu lagi. Itulah sebab aku belajar dalam bidang Early Childhood Education dan kemudian menjadi guru dan koordinator sebuah tadika. Pada aku, anak-anak kecil ni amat jujur dan mereka beri kasih sayang sepenuhnya pada orang yang dipercayai. Jadi sedikit sebanyak apabila setiap hari berdepan dengan mereka, terdetik hati untuk memeluk anakku sendiri.

Kami mula dengan berjumpa doktor keluarga dan kemudiannya dirujuk kepada doktor pakar kesuburan. Kami ikut semua proses yang disarankan oleh doktor sehinggalah kami menjalani kaedah ‘invitro fertilization’ atau IVF. Kitaran pertama dan kedua tidak berhasil. Kami suami isteri berasa hampa dan mengambil keputusan untuk berehat beberapa bulan.

Apabila beberapa bulan menjadi tahun, kami pun terima saja, mungkin tiada rezeki. Sedih memang sedih tapi itu kehendakNya.

Beberapa minggu selepas sambutan harijadi di restoran, aku dan suami pergi ke sebuah resort untuk bercuti. Aku tinggalkan kunci pada jiran sebelah rumah, Miss Geeta untuk tengok-tengokkan rumah. Awal pagi tu kami dapat panggilan telefon dari Miss Geeta. Katanya rumahku dipecah masuk pencuri dan pencuri berjaya ditangkap oleh polis. Malam itu juga kami bergegas balik. Nasib resort hanya 2 jam dari rumah.

Sesampai di rumah, jiranku dah ada di hadapan rumah. Sedih tengok barang-barang dan perabot tunggang-langgang dikerjakan dek pencuri. Kami masuk setiap bilik untuk pastikan semua barang berharga dan dokumen penting ada. Memang nampak 2 buah beg ‘travel’ dan satu beg galas penuh dengan barangan elektronik, barang kemas serta wang tunai ditinggalkan di ruang tamu. Tapi pencuri tak sempat nak bawa lari. Penat ada, marah tu tak terkiralah. Kami juga rasa bersyukur kerana kami tiada di rumah ketika itu. Mungkin itu sebab pencuri-pencuri tu pecah masuk.

Kami kemudiannya pergi ke balai polis untuk buat report polis. Setelah siap, suami dijemput untuk mengecam pencuri. Ada 3 orang. Budak-budak muda lagi menurut suami. Kami pun tak kenal siapa mereka.

Sementara menunggu, ada seorang polis datang dan duduk di sebelahku. Aku rasa berpangkat juga dia. Memang muka betul-betul  macam rupa polis di tv. Cuma misai nipis sikit dari A. Galak. Pertuturannya sopan tapi ‘businesslike’. Dia tanya, “Puan, minta maaf ya saya cakap direct je dengan Puan. Puan dengan suami ada ‘membela’ apa-apa ke?”

Aku tak faham. “Macam guard dog ke tuan?”
“Bukan. Maksud saya benda-benda halus ni.” Polis tu dah mula tak selesa. Aku masih blur. Sepanjang hidupku, tak pernah lagi aku terfikir pasal hantu ke, jin ke. Kalau suami ajak menonton cerita seram pun aku tak minat. Bukan tak percaya, cuma tak pernah ada pengalaman mistik sebelum ini.

Bila suamiku berada di sisiku kembali, polis tersebut pun terangkan bagaimana pencuri-percuri itu ditangkap. Malam tu, dalam pukul 1 pagi, jiranku menelefon polis kerana dia terdengar suara orang menjerit-jerit dalam rumahku. Apabila polis datang, mereka juga terdengar suara-suara lelaki terjerit-jerit di dalam rumah. Apabila tidak boleh masuk, polis terpaksa mengopak pintu depan. Tapi masih tak dapat dibuka sehingga Miss Geeta beri kunci rumah. Pintu rumah kami sebenarnya tak lah tebal mana.

Bila polis masuk, didapati pencuri-pencuri itu berlari ke bahagian dapur untuk keluar tapi mereka tak dapat buka pintu  belakang rumah, dan berjaya ditangkap.

“Mereka sebenarnya mahu keluar tapi tak boleh keluar rumah. Elok je ada tingkap belakang tu terbuka, point masuk mereka, tapi masih tak boleh keluar. Kami ni pun heran apa pasal la budak-budak ni terkial-kial dok langgar grill. Dulu masa saya baru masuk kerja, pernah jadik begini, Puan, itu sebab saya tahu,” polis tu terangkan.

“Saya ada tanya diaorang, Puan, kenapa tak keluar,” tambah polis A. Galak.

“Diaorang kata kat rumah tu ada hantu. Dok kejar diaorang.”

Aku dan suami jadi serba salah. Aku tanya dia, dia tanya aku balik.

Memang tak ada. Kami tak buat benda-benda macam ni. Mungkin budak-budak pencuri tu ambik dadah la tu. Tapi terlupa nak tanya pada polis kalau ada buat drug test.

Bila kembali ke rumah, kami sibuk mengemas balik semua barangan kami. Tiada yang dicuri, Alhamdullilah.

Beberapa bulan berlalu lagi. Insiden pecah masuk rumah (tapi tak boleh keluar) masih menjadi misteri tapi tidak lagi difikirkan sangat. Kami kembali dengan rutin harian.

Aku sedar masa ni aku sentiasa rasa gembira. Bahagia tinggal berdua. Kadang-kadang kami suami isteri berjenaka seolah-olah kami ada anak kecil. Siap bagi nama lagi. Baby.

Mungkin kalau difikirkan sekarang, kehendak kami yang terlalu inginkan anak juga yang jadi begini. Sampailah suatu malam aku bermimpi memeluk seorang anak perempuan, dalam umur 4 ke 5 tahun. Bila aku bangun, dalam keadaan mamai, aku masih memeluk satu jasad kecil. Aku peluk lagi erat, dan bau rambutnya wangi. Aku dengar lagi suara kecil manja panggil, “Maaa” serak macam budak kecil baru bangun tidur. Masa tu rasa seperti disayangi. Aku terlelap semula.

Bukan aku saja yang mengalami perkara-perkara pelik seperti ini. Suami pun sama. Kadang-kadang dia terdengar bunyi anak kecil gelak, menyanyi dalam rumah, terutama di bilik tidur dan ruang tamu.

Aku juga mula sedar yang anak-anak muridku di sekolah tadika akan menjauhiku jika aku mengajar. Dulu aku selalu bermain dengan mereka dan mereka memang seronoklah kalau ada yang melayan. Aku pernah tanya seorang anak muridku, ‘teacher’s pet’ku. Katanya, “She doesn’t like me playing with you, Miss Kat,” katanya. Dia tak suka. Siapa? Anak muridku hanya mengangkat bahunya, raut mukanya nampak gelisah.

Insiden pelik sebegini, walaupun aku cuba untuk ringkaskan, sebenarnya berlaku dalam tempoh masa yang agak panjang, berbulan-bulan juga. Walaupun pelik, aku tak mempersoalkannya kerana aku tak terasa dalam bahaya. Mungkin aku dan suami, kedua-duanya dalam ‘denial’.

Sampailah satu hari ibuku datang ke rumahku. Mukanya serius. Aku tak pernah tengok ibuku sebegini.

“Awak berdua ni, jangan layan sangat benda tu. Dia bukan anak korang,” ibuku cakap direct, tak de nak bual kosong pasal kucing dia ke dulu.

“Siapa pulak ibu?”

Ibuku bangun, dia tendang mainan yang cantik tersusun di satu sudut ruang tamu.

“Ni banyak bear lah, set toy masak-masak la, tak kan korang yang main kot? Korang ni dah teruk kena dah, tak sedar-sedar. Siap beli mainan lagi kat benda tu. Tak nampak ke?”

Masa tu aku menangis teresak-esak, aku pegi simpan balik mainan yang bertaburan. Suamiku cakap bisik-bisik dengan ibuku.

“Kat, kau pegi rumah Zek sekarang. Dia tengah sakit. Dia ada benda nak cakap dengan korang. Aku nak korang semua dengan Zek sekali pegi betulkan balik semua ni,” arah ibuku. Dia jarang marah. Orangnya lemah lembut. Ibuku kemudian menangis juga. Aku baru perasan yang ibuku sudah lama tak bertandang ke rumah kami. Kami yang pergi ke rumah dia ataupun pergi bawa dia dan ayah jalan-jalan.

Kata ibu lagi, dia memang takut nak masuk rumahku sebab dia rasa macam ada saja yang tak kena. Dia pernah nampak bentuk seperti seorang budak kecil, tapi badannya hanya seperti bayang-bayang yang padat, duduk di tangga rumahku.

Petang tu juga kami ke rumah Zek. Zek ni single, duduk sorang. Rumah kami dekat je. Bila masuk, tengok kakaknya pun ada jaga dia. Makin kurus aku tengok. Matanya cengkung seperti tak cukup tidur. Kata Zek, memang dia tak dapat tidur pun sebab malam-malam dia dengar dan nampak bayang-bayang perempuan nangis di luar rumahnya. Setiap malam, sampai dia hampir hilang akal. Suara tangisannya yang kadang kuat, kadang perlahan, tidak pula didengari sesiapa kecuali Zek.

Lama-lama bila tahu ini kes mistik dan bukan manusia, kakaknya panggil seorang ustaz. Ustaz ni kata, dia pun tak boleh nak halau perempuan tersebut kerana perempuan tu datang bersebab. Dia minta pulangkan apa yang Zek telah ambil dari dia. Selagi itu dia takkan pergi ke mana-mana. Ustaz tu pula kata yang dia tak berapa faham bahasa perempuan tu, jadi dia pun tak tau nak ‘menterjemah’ apa benda yang perempuan tu nak balik sebenarnya.

Puas Zek fikirkan apa benda yang dia ambil. Dia tak pernah mencuri seumur hidupnya. Zek memberitahuku dia dapat ‘connect the dots’ bila dia nampak post aku di FB. Aku ambil gambar tumbuh-tumbuhan yang aku tanam, termasuklah orked yang dia beri padaku beberapa bulan yang lalu. Dia tak berani telefon aku, tak tau kenapa. Mungkin dia lihat aku banyak berubah. Jadi dia cakap dengan ibuku minta jadi perantaraan antara dia dan aku. Ibuku pun ada luah perasaan pada Zek kata aku dan suami ni pun macam dah jadik macam orang bodoh. Dok bela makhluk apa entah tapi tak sedar.

Satu benda yang aku patut maklumkan di sini ialah Zek ni suka masuk hutan. Hiking. Camping. Segala aktiviti outdoor. Satu hari, dia pergi dengan kawan-kawan kaki mendaki satu kawasan pergunungan di selatan Malaysia. Tiba di suatu tempat lapang di lereng bukit, dia nampak banyak pokok orked bergantungan. Dia cungkil satu dan bawa balik. Kata Zek, dia tau perbuatannya tu tak baik. Hidupan di hutan ni, kita tak boleh ambil sewenang-wenangnya. Memang salah di sisi undang-undang, lebih lagi di hutan simpanan, dan juga salah di sisi ‘peraturan hutan’ yang tak banyak orang cakap tapi semua tahu kot. Zek tengok orked tu cantik sangat, memang dia niat nak simpan tapi tangannya tak reti jaga pokok. Jadi akulah penerima bertuahnya.

Kini kami tahu apa yang patut kami lakukan.

Keesokan pagi, awal pagi, kami bertolak ke selatan. Naik keretaku. Suamiku bawa kereta, aku di sebelahnya, Zek tidur di belakang. Atas ribaku aku pegang orked yang aku bela dari saiz sejengkal sehinggalah keluar banyak bunga dan daun hijau berkilat sihat. Jujur aku cakap, sepanjang perjalanan tu aku dan suami sedih sangat. Beberapa kali kami berhenti, rasa macam nak patah balik. Lupakan hajat kami. Tapi bila lihat Zek dengan keadaannya yang lemah, kami teruskan juga.

Apabila sampai di tempat yang Zek tunjukkan, kami semua turun kereta. Aku letak orked itu di passenger seat tempat aku duduk tadi sementara aku ke boot kereta untuk mengambil backpack dan keperluan lain.

Aku lihat suamiku dan Zek dah tercegat berdiri di luar kereta mata ke arah dalam kereta. Ada budak kecil dalam kereta. Baby! Bukan bayang-bayang lagi. Ada nampak muka. Tangannya bersilang memeluk badannya. Muka bulatnya merah dan basah dengan air matanya. Comel sangat anak ni. Rambutnya kerinting bergulung paras bahu. Bila dia tengok aku, dia menangis lagi.

Hatiku rasa macam disiat-siat. Aku rasa pedihnya tu bila tengok Baby sedih.

Aku baru sedar yang wajahnya aku selalu tatap, tapi aku ingat semua tu aku dan suami saja reka. Kami punya ‘wishful thinking’.

Perasaanku seperti terbelah dua. Bahagian ibu dalam diriku rasa nak masuk balik kereta, peluk Baby dan drive balik rumah masa tu juga. Tinggalkan tempat ini. Bahagian satu lagi dalam diriku pujuk aku keraskan hati, teruskan perjalanan masuk hutan dengan orked tu. Aku nampak suami pun seperti serba salah. Si Zek pula dah terhuyung-hayang bagai orang nak pitam.

Dengan perasaan berbelah bagi, aku tarik nafas panjang, tutup mata, tarik keluar pokok orked tersebut. Terus aku jalan ke susur masuk hutan. Ini saja cara yang dapat menyelamatkan keadaan. Boleh dikatakan sepanjang jalan itu aku menangis, dan dalam hati aku kata berkali-kali, “Maafkan Maa, Baby, maafkan Maa.”

“Ya Allah, kuatkan semangatku.”

Setelah lama kami berjalan, akhirnya sampai di tanah lapang tempat yang Zek ambil orked. Nasib baik la Si Zek ni ingat tempatnya walaupun lama tak ke situ. Aku lihat kering kontang tempatnya. Pokok-pokok di sekeling kekuningan seperti m**i. Nak kata musim kering, sepanjang perjalanan kami, tumbuhan-tumbuhan lain okay saja hidup.
Di bawah sebuah pokok di pinggir kawasan lapang itu, kami nampak ada seekor pelanduk. Pelik juga kerana pelanduk ni putih. Albino, matanya pula berwarna merah jambu. Bila kami mendekatinya, ia tak lari, malah seperti menunggu kami. Zek ambil pokok orked dari aku dan dia letak baik-baik atas dahan pokok tersebut. Pelanduk putih tersebut masih memerhatikan semua gerak-geri kami. Kami pun terus jalan keluar dari kawasan lapang itu. Bila aku menoleh balik, aku tengok pelanduk putih itu masih ada. Seekor lagi pelanduk putih, bersaiz lebih kecil, muncul bersamanya.

Lama aku perhatikan mereka dari jauh. Mereka seperti bermain-main sesama sendiri sehingga kedua-duanya berlari masuk dalam semak.

Ya Allah. Lega aku masa tu. Aku ambil itu sebagai petanda yang semuanya kembali pada keadaan asal. Perjalanan balik lebih cepat dan kami bertiga barulah boleh berbincang tentang apa yang kami saksikan dalam hutan.

Walaupun masih bersedih, rasa ringan sedikit jiwa. Macam rasa sebelum ni disarung selimut dari kepala ke badan, kini selimut terbuka dan aku boleh lihat dengan jelas.

Selepas beberapa hari kami pulangkan pokok orked ke tempat asalnya, barulah kami betul-betul ‘terjaga’ dari khayalan kami suami isteri.

Zek pula beransur pulih. Kami selalu datang menjenguk bila sempat. Katanya satu malam dia bermimpi Baby dan ‘ibu sebenarnya’ berpelukan. Aku tak pasti dia nampak betul-betul ke atau sekadar mimpi, sebab dia sendiri pun macam keliru.

Seperti manusia juga, gembira dapat bertemu kembali. Tak lepas-lepas mengusap Baby. Mungkin dia saja reka cerita untuk sedapkan hati kami. Zek rasa bersalah sangat. Pada anak-beranak yang dipisahkan. Pada aku dan suami.

Tipulah kalau aku kata aku tak rindu Baby. Rasa sunyi sangat. Tempat pokok orked tergantung kini kosong. Aku tak nak bela dah apa-apa pokok bunga. Mainan yang aku dan suami beli untuk Baby, kami simpan dalam kotak di dalam bilik setor. Keberatan nak dibuang. Kadang-kadang aku terhidu bau bunga orked. Bila jadi begitu aku tak boleh kawal air mataku. Aku tau Baby dah tiada lagi bersama kami. Nak terangkan agak payah cuma boleh rasa kehilangannya.

Mungkin bila korang baca kisahku ini ada yang akan cakap kami ni mungkin ‘delusional’. Mungkin ada juga yang berpendapat yang kami tak patut jaga Baby sebab tahu yang dia bukan seperti kita. Seperti ibuku tanya, kenapa tak sedar-sedar juga kan? Pengalaman ini terjadi perlahan-lahan dalam jangkamasa beberapa bulan. Perkara-perkara mistik yang terjadi pun agak ‘low key’. Tak ada la pontianak mengilai-gilai ke, pocong lompat ke. Kami tak ada niat untuk ‘membela’ apa-apa untuk tujuan keuntungan atau keselamatan keluarga. Kami pun sebenarnya agak ‘blur’ tentang apa yang kami alami ni. Rasanya kami ambil masa lama juga untuk memproses apa yang dialami.

Apa yang aku boleh simpulkan di sini ialah, Baby datang disaat kami perlukan dia and dia perlukan kami. Tiada tindakan yang dia buat merbayakan atau menakutkan kami. Aku dan suami berdoa yang dia gembira bersama ibunya. Mereka pun makhluk Allah juga.

Kami bercadang, bila dah betul-betul bersedia kelak, kami ingin mengambil anak angkat. Banyak di luar sana yang tiada ibu dan ayah. Tak mengapa jika dia bukan d***h daging kami. Yang penting kami yakin yang kami boleh berikan kasih sayang dan keperluan yang mencukupi untuknya.

Aku berhenti di sini dahulu. Semoga pengalamanku dapat dijadikan pengajaran pada semua. Terima kasih.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Miss Kat

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.