Ilmu Hitam dan Pendamping ii

Sejak hari itu, kakak sering meracau. Tak kira bila. Sedang berbual-bual dengan kawan-kawan pun kakak boleh pengsan dan meracau. Berapa kali ayah terpaksa menjemput kakak di asrama bila ada warden telefon mengatakan kakak sering menjadi punca histeria di kalangan penghuni asrama. Akhirnya kakak di keluarkan daripada asrama….

Setiap kali kakak histeria, Pak Mail lah yang menjadi orang harapan untuk pulihkan kakak. Ianya berlanjutan selama beberapa bulan. Ayah pula masih lagi ragu-ragu untuk sepenuhnya percaya pada alam mistik ini. Bagi ayah, kakak mungkin sedang menghadapi tekanan emosi kerana SPM semakin hampir ataupun tekanan perasaan akibat putus cinta. Berkali-kali ayah bertanya pada kakak, apa masalah kakak. Tapi kakak hanya mendiamkan diri dan berlagak seperti tidak tahu apa-apa…

Saya…? Bercerita tentang saya pula… Menurut mak, sejak kecil lagi saya memang sentiasa sakit. Kadang kala saya kena sawan, kadang kala kaki saya sebelah kanan akan membengkak bagaikan belon yang diisi air di dalam nya dan kadang kala saya akan demam panas tidak surut sehingga terpaksa bawa ke perubatan kampung jika perubatan hospital tidak berhasil. Menurut mak, mungkin saya terpaksa hadap semua itu kerana keterlanjuran mak sewaktu mengandungkan saya….

Arwah nenek pernah bercerita pada saya… Sewaktu saya berusia 9 bulan dalam kandungan, mak pernah melihat 7 orang perempuan cantik sedang memandi manda di sungai belakang rumah saya. Ketika itu sudah memasuki waktu Maghrib dan di bulan Ramadhan. Mak melihat 7 orang wanita cantik itu kakinya ada tetapi tidak memijak tanah, mereka berjalan terawang-awangan. Mak ke sungai untuk membuang sisa perut ikan yang telah siap disiang. Memang sungai yang mengalir di belakang rumah saya itu sangat kotor. Ia menjadi tempat pembuangan sisa sampah tetapi petang itu sungai itu menjadi sangat cantik dan harum.

” Celaaakaaa kau setan main kawasan aku… Cis…”

Tempik mak sekuat hati sambil melempar sisa tersebut. Mendengar mak menjerit mereka menghilangkan diri selepas beberapa saat melihat ke arah mak. Melihat sungai bertukar menjadi seperti asal mak juga turut berlari memasuki pagar rumah.

Mak menceritakan kejadian itu kepada arwah nenek. Arwah nenek memarahi mak kerana menegur makhluk itu. Sepatutnya apabila nampak sesuatu yang bukan daripada alam kita atau mendengar sesuatu yang pelik-pelik kita hanya perlu mendiamkan diri dan buat seolah-olah kita tidak nampak atau mendengar mereka.

Maka tidak hairanlah ketika saya kecil, seingat saya dalam lingkungan usia 5 tahun saya sentiasa bermain dengan ‘Indera dan Seri’. Apabila saya menceritakan kewujudan 2 makhluk itu, kawan-kawan akan ketawakan saya dan mengatakan saya menipu. Mereka menganggap saya sengaja mereka-reka cerita untuk menakut-nakutkan mereka. Akhirnya saya pendamkan sahaja di dalam hati. Bimbang saya akan kehilangan kawan-kawan jika terus menerus bercerita tentang ‘Indera dan Seri’.

Saya sangat gemar bermain di sungai belakang rumah. Ketika saya membesar, situasi sungai tersebut turut berubah, tidak lagi menjadi tempat pembuangan sampah. Tetapi
arwah nenek sangat melarang saya bermain di sungai tersebut apatah lagi jika waktu senja.

” Kau nak kena ambil kat bunian ke..?”

Soalan nenek yang telah sebati dengan jiwa saya. Bagi saya, bunian yang dimaksudkan nenek itu adalah orang jahat yang kerjanya mengambil kepala budak untuk dibuat jambatan. Saya rasa kanak-kanak yang hidup pada zaman 89/90an pasti tahu kisah ini dan sering di momok kan dengan cerita penyabit kepala budak…

‘Indera dan Seri’ juga berjalan tidak memijak tanah sama dengan makhluk yang pernah mak nampak satu masa dulu, itu menambahkan lagi kelucuan pada cerita saya dan kawan-kawan akan ketawakan saya. Kecuali Pak Mail. Tiap kali saya bercerita tentang Indera dan Seri, Pak Mail akan mendengar dengan bersungguh-sungguh dan meminta saya selalu membaca Al Fatihah sebagai pendinding diri. Pak Mail sering berpesan kepada saya sekiranya Indera dan Seri mengajak saya kemana-mana jangan sesekali ikut.

” Kalau adik nak tinggal dengan mak dengan ayah dengan nenek lagi… Jangan ikut ‘kawan’ adik tu. Nanti adik dah tak boleh jumpa mak, ayah, nenek, kakak, abang… Nak…?”

Soalnya dalam loghat Kelantan.
Saya menggelengkan kepala.

Pak Mail juga tidak pernah melarang anak-anak nya bermain dengan saya.

Benda ini berterusan sehingga saya naik tahun 1… Saya menjadi seorang yang sangat keras kepala… Apa yang saya mahu mesti saya akan mendapatkan nya. Jika tidak saya akan memberontak. Alhamdulillah keluarga saya sangat pandai menangani perangai buruk saya. Saya tidak punyai ramai kawan hanya anak-anak Pak Mail yang setia berkawan dengan saya. Mungkin sebab saya pelik yang suka bercakap sendirian, saya dipulaukan oleh kawan-kawan yang lain. Cuba pembaca fikir dan memberi pendapat, bagaimana saya tidak bercakap sendirian sekiranya ada yang ajak saya berbual..?

Apabila naik tahun 1, kawan-kawan mula bertambah. Bergitu juga dengan anak Pak Mail yang sebaya dengan saya namanya Alin. Alin dapat ramai kawan baru dan saya sangat mencemburui nya.
Pernah sekali saya mendapati Alin rehat dengan seorang kawan baru tanpa mengajak saya. Saya sangat berasa hati dan keesokan harinya kawan baru yang menemani Alin tidak hadir ke sekolah selama seminggu kerana demam panas.

Berbalik kepada masalah kakak saya pula. Benda ini berlarutan sehingga kakak tamat SPM… Setelah penat dipujuk arwah nenek, mak, saudara mara akhirnya ayah bersetuju untuk membawa kakak pergi berubat.

Hala tuju yang pertama kami adalah rumah saudara jauh ayah. Hubungan terjalin kerana anak perempuannya telah berkahwin dengan anak buah ayah. Orangnya sangat alim dan kuat ilmu agamanya. Saya namakan beliau sebagai Pakcik Daud.

Pakcik Daud meminta 7 jenis bunga sebanyak 7 kuntum bersama punca air.

Sesi perubatan bermula. Awalnya kakak tenang. Tetapi selepas di baca beberapa ayat Al Quran kakak tiba-tiba rebah. Saya juga menggigil kerana tiba-tiba rasa sangat sejuk. Melihat saya, Pakcik Daud meminta mak membawa saya keluar.

” Aku tak nak berurusan dengan jin walau apa pun agamanya. Bawa adik keluar… Adik… Jika nampak apa-apa jangan tegur. Tengok jer. Kalau takut pejam mata…”

Pesan Pakcik Daud… Mak segera membalut tubuh saya dengan kain batik. Mak tinggalkan saya di ruang tamu bersama beberapa orang lain termasuk anak Pakcik Daud yang saya namakan Kakak Izah dan mak kembali semula ke bilik. Saya hairan kenapa saya di panggil jin… Mungkin saya ni jahat sangat sebab selalu melawan cakap mak, ayah dan nenek kerana itu dipanggil jin. Pendapat saya yang ketika itu masih anak kecil…

Tiba-tiba saya nampak bayang-bayang berwarna hitam cuba merangkak masuk melalui bawah pintu. Saya mencuit Kakak Izah yang sedang menonton televisyen. Saya menunding jari ke arah makhluk itu tetapi Kakak Izah menggeleng-gelengkan kepalanya kerana tidak dapat melihat apa yang saya nampak. Makhluk itu berlegar-legar di ruang tamu memanjat dinding dan merangkak di lantai untuk cuba masuk ke bilik tempat kakak berada namun gagal. Saya mendengar suara kakak menangis merayu dalam bahasa yang tidak difahami. Saya duduk kaku tidak berani bersuara kerana teringatkan kata-kata Pakcik Daud. Saya menoleh pula di muka pintu, ada beberapa orang lelaki memandang saya. Memandang tepat ke wajah saya. Salah seorangnya memberi senyuman pada saya. Saya mencuit lagi Kakak Izah yang leka menonton televisyen lalu tunjuk ke arah beberapa orang lelaki yang berdiri di luar itu…

” Dik, tak sesiapa kat situ… Shhh jangan cakap nanti ayah (Pakcik Daud) marah…”

Kakak itu bangun dan menutup pintu rumah. Melihat saya seakan-akan takut, kakak itu menarik saya duduk di sebelahnya. Akhirnya saya tertidur.

Mendengar suara ayah memanggil nama saya, saya terjaga.

” Lan kau buang benda di di Kuala Sungai. Jangan dibuka ikatannya… Kalau ada yang tegur kau jangan jawab sepatah pun. Balik terus…”

Pesan Pakcik Daud tegas sambil menghulurkan bungkusan plastik jernih kepada ayah. Ayah mengangguk tanda faham. Saya nampak isi dalamnya…

Di dalam kereta saya mendengar mak berbual dengan ayah. Mereka kata yang dalam bungkusan itu adalah minyak pemisah. Sihir yang di hantar untuk mencerai beraikan mak dan ayah saya. Menurut Pakcik Daud lagi orang itu dengki kan ayah kerana berjaya mengahwini mak. Padanlah mak dan ayah seringkali bergaduh walaupun hanya kerana perkara-perkara kecil. Nampak dengan jelas di mata saya minyak hitam yang terapung di dalam plastik jernih yang dipunjut itu. Tetapi apabila saya bercerita pada ayah. Ayah menafikan sebaliknya pada ayah dan mak hanyalah air biasa dengan rendaman beberapa tangkai bunga.

Alhamdulillah kakak tidak lagi di serang histeria. Kakak menjalani kehidupan sebagai seorang yang normal. Tidak lagi tiba-tiba pengsan dan meracau.

Sementara menunggu keputusan SPM, kakak mengikut abang saya yang sulung bekerja di Bandar J. Tinggal bersama arwah makcik saya. Hampir tiga bulan kakak bekerja di Bandar J tiba-tiba kakak di serang histeria sekali lagi. Kami sekeluarga bergegas ke Bandar J untuk menjemput kakak. Setibanya di rumah arwah makcik, kakak meracau seperti orang yang sangat sedih. Menangis merayu minta dilepaskan…

” Lepas kan akuuuu…. Lepaskan akuuuu…. Lepaskan akuuuu….”

Mendayu-dayu dan ianya bukan suara kakak lagi. Saya hairan kenapa kakak minta di lepaskan sedangkan kakak tiada siapa yang pegang. Hanya terbaring lesu tidak berdaya.

” Tooolongggg…. Tooolongggg… Tooolongggg aku…. Lepaskan aku…. Sakit….”

Kakak memandang saya seolah-olah meminta bantuan daripada saya. Saya nampak di pergelangan kedua-dua kaki dan tangan kakak ada tali kain kuning yang berikat. Saya bisik pada mak.

” Shhhh… Mana ada tali… Mak tak nampak…”

Jawab mak juga dalam keadaan berbisik.

” Kalau kau tak lepas kan aku, nanti bas kau mesti terjun curam…”

Kata kakak agak kasar dan sedikit mendengus. Arwah pakcik (suami makcik) saya hanya ketawa kerana tidak percaya. Saya lupa nak terangkan dari awal, arwah pakcik merupakan seorang pengusaha bas. Kakak bekerja sebagai kerani di syarikat arwah. Tiba-tiba suasana menjadi semakin kelam kabut bila ada pekerja arwah pakcik datang tergesa-gesa mengatakan bas arwah pakcik terjunam ke bawah cerun ketika dalam perjalanan pulang nasib baik pemandunya tidak apa-apa hanya cedera ringan. Kakak mengilai sekuat hati. Saya terdiam kaku apabila kelibat lelaki yang saya nampak tempohari di rumah Pakcik Daud turut berada di situ tetapi hanya berdiri di luar rumah. Seperti biasa mereka tersenyum memandang saya. Saya mengensot ke belakang ayah kerana mula berasa tidak senang hati. Perasaan takut mula menyelubungi saya. Arwah pakcik dah hilang bersama beberapa pekerja. Mak dan ayah memutuskan untuk bawa kakak pulang malam itu juga memandangkan ayah tidak dapat cuti lebih (kerja kerajaan).

Sedang kami bersiap-siap untuk pulang, arwah pakcik muncul bersama seorang lelaki yang seakan-akan Orang Jawa.

” Kau nak main dengan aku yer, kau rasa lah nanti…”

Kata arwah pakcik marah. Kakak ketawa mengilai. Saya melihat kearah beberapa orang lelaki yang berada di luar tadi mereka masih tegak di situ. Saya mencuit arwah nenek dan mengatakan ada orang diluar. Nenek memandang ke luar lalu membisikkan pada saya….

” Jangan minta tolong daripada makhluk lain selain Allah dik…”

Saya yang tidak faham dengan maksud arwah nenek hanya mengangguk kecil menoleh kearah mereka yang masih berdiri tegak disitu memerhatikan saya.

Orang Jawa itu membaca beberapa mentera yang tidak saya fahami. Sesekali Orang Jawa itu akan menoleh ke arah saya dan ke luar pintu rumah. Mungkin Orang Jawa itu nampak apa yang saya nampak… Setelah beberapa minit, kakak sedar daripada histeria dan mula menangis kerana berasa sakit di setiap sendi. Menurut Orang Jawa itu kakak terkena dengan sihir yang ingin menjahanamkan perniagaan arwah pakcik.

Selesai sahaja kakak mandi, kami terus berjalan pulang. Perjalanan terasa sangat jauh. Ayah kata kereta tidak dapat jalan laju seolah-olah ada beban yang dibawa. Apabila mendaki kawasan berbukit seperti Felda J, enjin kereta tersemput semput seolah-olah bila-bila masa akan m**i. Ayah membuka ayat-ayat Al Quran (kaset/tape) di radio kereta. Alhamdulillah kami selamat sampai walaupun beberapa kali kakak meminta ayah menutup radio, panas katanya.

Sekembalinya daripada Bandar J, sekali lagi ayah bertemu dengan Pakcik Daud. Malangnya Pakcik Daud kurang sihat dan minta ayah menemui seorang kenalannya di Felda K. Tiba masa yang di tetapkan dan melalui alamat yang diberi oleh Pakcik Daud kami sekeluarga bergerak menuju ke Felda K.

Tiba di tempat yang berkenaan, ayah menjadi teragak-agak kerana orang yang akan mengubati kakak kali ini adalah daripada bangsa Orang Asli.
Memandangkan kami telah sampai maka ayah teruskan juga dengan niat ikhtiar untuk sembuh dan segalanya berserah pada Allah SWT punya kuasa.

Tiada sesi perubatan di jalankan kerana kata orang tua separuh abad itu, untuk singkirkan ilmu hitam tersebut mereka harus datang ke rumah kami untuk melihat ‘keadaan’ rumah. Kata orang tua itu, ilmu hitam tersebut bukan lah ditujukan kepada kakak tetapi orang lama yang menghuni di rumah tersebut. Mungkin arwah nenek ataupun arwah atuk. Menurut orang yang tidak pernah mengenali asal usul keluarga saya, arwah atuk merupakan seorang yang kuat pengaruh agamanya (Islam). Mungkin ketika hidupnya ramai yang tidak puas hati dan dengki dengan kebolehan yang arwah atuk ada (nantilah ada masa saya akan menulis mengenainya). Pada mulanya mak dan ayah meragui kata-kata orang asli tersebut kerana arwah atuk meninggal ketika mak masih kecil. Tetapi setelah pulang dan bertanyakan kepada arwah nenek, arwah nenek mengiakan cerita tersebut.

Tiba masa yang di janjikan, sesi perubatan bermula. Orang tua tersebut datang bersama 2 orang pembantu. Beliau membaca mentera yang tidak difahami dan membakar kemayan. Bau asap kemayan memenuhi ruang tamu. Selepas beberapa minit bersila di ruang tamu beliau bersama ayah dan 2 pengikut nya turun mengelilingi rumah membawa bersama bekas kemayan tersebut. Suasana sangat sunyi kerana kami tidak dibenarkan bercakap. Saya duduk di sisi nenek. Kakak masih kelihatan segar. Selepas hampir setengah jam mereka berasa di luar, mereka kembali ke ruang tamu.

” Ada 3 barang tertanam. Dua di tempat senang nak ambil manakala satu lagi kena pecahkan simen. Lagi satu tempatnya di bawah rumah betul-betul di tiang seri dan satu lagi di akar pohon mempelam…”

Arwah nenek mengangguk perlahan. Menurut arwah nenek, sebelum pohon mempelam itu tumbuh, ia adalah tangga hadapan rumah (ketika arwah atok masih ada). Manakala tempat bersimen yang di maksudkan itu adalah dapur yang bertiang (bawah rumah) sebelum di robohkan menjadi bilik air.

Setelah meminta izin daripada ayah, mereka pun mulakan sesi pencarian. Ayah, abang dan dua orang pengikutnya tidak dibenarkan memakai pakaian. Hanya berseluar pendek… Manakala kami kaum wanita tidak dibenarkan keluar. Lama mereka berada di luar… Jelas kedengaran mereka memecah batu bilik air. Setiap kali barang di ambil, ayah menjadi saksi supaya ayah tidak menuduh mereka sengaja meletakkan barang tersebut. Tiada apa yang luar biasa berlaku. Suasana sangat sunyi. Setelah berjaya menjumpai ketiga-tiga barang tersebut, kami dibenarkan keluar. Saya berdiri hampir dengan tempat letak barang-barang tersebut. Satu diletakkan di dalam tin Milo lama yang sudah reput tertanam di bawah akar pokok mempelam, satu lagi bungkusan berbentuk mayat yang dibaluti dengan kain kuning dan satu lagi bunjut berwarna putih yang diambil daripada bawah lantai bilik air.

Sementara menunggu orang tua itu mengubati kakak yang sudah mula meracau, benda-benda tersebut di masukkan ke dalam botol dan di tanam semula ke dalam tanah serta tindih dengan batu besar. Jelas kelihatan di mata saya, abang dan beberapa orang yang berada di situ batu besar tersebut bergoncang perlahan seperti ada yang ingin keluar.

Hati saya teragak untuk memandang ke pokok mempelam yang paling atas. Ada sesuatu benda hitam bertenggek di pucuknya. Walaupun keadaan itu gelap tetapi dengan cahaya bulan yang mengambang ianya sangat jelas di mata saya. Rupanya seolah-olah bertanduk dengan rambut yang panjang. Fizikalnya bukan lelaki ataupun perempuan. Ia ibarat bayang-bayang kerana ranting mempelam boleh menembusi fizikalnya sekiranya angin bertiup. Pernah tak pembaca melihat bayang-bayang sendiri Bergitulah fizikal makhluk tersebut. Sehingga kini saya dapat mengingati dengan jelas bentuk makhluk itu dan saya sangat fobia dengan kegelapan. Pada mulanya saya ingin menunjukkan makhluk itu kepada abang tetapi bimbang di ketawakan saya simpan sahaja niat saya.

Selesai sesi perubatan kakak, saya mendengar orang tua itu berbual dengan ayah. Menurut beliau, benda itu di hantar oleh orang asli pada satu masa yang lama dahulu. Mungkin sewaktu arwah atok hidup lagi. Sebab itu setiap kali kakak meracau, bahasa yang di keluarkan oleh kakak tidak dapat difahami.

Benda-benda tersebut mereka membawa pulang. Kata mereka benda (jin) tersebut akan di kembalikan pada tempat asalnya di hutan. Ketika mereka meninggalkan rumah saya, makhluk yang bertenggek itu juga turut lesap.

Selepas peristiwa itu, kakak tidak lagi kena histeria sehingga kini. Kakak dapat tawaran ke universiti. Malangnya ayah tidak izin kakak pergi memandangkan keadaan kakak yang lemah dan mudah di sampuk makhluk halus. Kakak menangis sepanjang malam kerana cita-citanya tidak kesampaian. Akhirnya kakak memutuskan untuk sambung ke tingkatan 6… Ayah dan mak tidak membantah asalkan kakak berada di depan mata mereka. Tamat tingkatan 6 atas, kakak dapat tawaran ke Maktab Perguruan Batu Rakit Terengganu. Memandangkan arwah abang mak yang ke tiga tinggal di sana, ayah izinkan kakak pergi.

Alhamdulillah semuanya selesai dengan selamat. Sesungguhnya kita hanya berikhtiar untuk sembuh dan ikhtiar itu banyak cabangnya tetapi kesembuhan itu adalah daripada Allah SWT punya kuasa… Tiada ilmu yang lebih hebat selain daripada ilmu maha pencipta… Allahuakbar…

Saya rasa penulisan saya dah cukup panjang. Banyak lagi yang ingin saya kongsikan bersama pembaca tentang saya dan pendamping, tentang beberapa orang yang cuba mengambil kesempatan di atas saya dan bagaimana caranya saya menangani masalah pendamping tersebut. Bergantung pada para pembaca. Jika ingin saya meneruskan penulisan saya…. Sila nyatakan diruang komen. Bukan apa, saya bimbang kisah saya ini akan membuat para pembaca bosan dan merasa ianya mengarut. Tetapi yakinlah ianya adalah sebuah kisah benar yang pernah saya dan keluarga laluinya…

#Kisahbenar
#CikPuanAmmyTulis

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Adik

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 8 Average: 4.5]

5 thoughts on “Ilmu Hitam dan Pendamping ii”

  1. Menarik 👍🏻 Teruskan penulisan, lagi detail pasal makhluk yang orang biasa xboleh nampak ni lihat lagi saya suka.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.