Ilmu Hitam dan Pendamping iii

Assalamualaikum dan salam sejahtera para pembaca… Terima kasih kerana setia menunggu penulisan daripada saya. Maaf tergantung lama kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan…

Seperti yang saya janji dengan pembaca untuk bercerita tentang arwah atuk. In Shaa Allah saya akan cuba menceritakan kisah ini dengan lebih jelas lagi….

Sebenarnya arwah nenek tidak berminat untuk bercerita tentang arwah atuk. Mungkin kerana amanah arwah atuk sebelum meninggal dunia supaya arwah nenek menyimpan rahsia ini sehingga hujung nyawa.

Saya juga yang ketika itu masih berusia setahun jagung memang tidak lah nak bertanya macam-macam. Lebih baik saya menggali pasir buat istana, mencari kayu untuk dibuat bahan bakar bermain masak-masak di tepi sungai belakang rumah atau korek pasir mencari ketam kecil sepit satu.

Segala cerita tentang arwah atuk ini saya dapat daripada buah mulut orang kampung. Bukanlah daripada keluarga saya sendiri. Alhamdulillah semuanya adalah perkara yang baik-baik sahaja. Itu pun selepas arwah nenek meninggal dunia. Maka saya tidak sempat bertanya sejauh mana kebenaran cerita ini.

Kali pertama saya mendengar kisah arwah atuk sewaktu saya berusia 16 tahun. Ketika itu saya pergi menziarahi sahabat saya yang sedang sakit. Datuknya bertanya kepada saya…

“Kau ni anak siapa…? Cucu siapa…?”

Lalu saya menjawab anak kepada M…..(nama mak) dengan H…..(nama ayah) dan cucu kepada arwah M……(nama arwah nenek)…

” Oh cucu cicit Arwah Pak Awang Gabas (nama gelaran arwah atuk) lah nih…”

Maka bermulalah sesi bercerita kisah arwah atuk. Ceritanya panjang tetapi saya akan ringkaskan supaya para pembaca tidak merasakan cerita saya terlalu panjang dan meleret-leret.

Menurut datuk kawan saya itu, arwah atuk saya pandai bersilat. Sekiranya ada orang yang ingin memukul arwah atuk dari belakang (pukul curi), maka tangan dan kaki orang itu secara tiba-tiba akan mengeras dan akan pulih sekiranya arwah atuk sendiri yang menepuk belakang si pelaku tersebut.

Sekiranya ada orang yang berniat jahat terhadap arwah atuk, arwah atuk dapat rasa niat jahat orang tersebut lalu segera memintas niat jahat itu dengan pelbagai nasihat sehingga orang itu berasa malu dan niat jahatnya m**i begitu sahaja.

Menurut datuk kawan saya lagi. Arwah atuk seorang nelayan, jika badai atau ribut datang arwah atuk boleh mengendalikan sampan atau layar seorang diri tanpa bantuan rakan-rakan yang lain. Arwah atuk juga tahu dimana kawasan yang banyak ikan hanya dengan sekilas pandang sahaja.

Arwah juga atuk gemar memburu. Setiap kali masuk hutan mencari kayu api, nipah atau mengkuang, pasti arwah atuk akan membawa balik daging buruan dan disedekahkan kepada jiran-jirannya.

” Atuk kau kalau keluar hutan cari mengkuang atau daun nipah ada jer benda dia bawak balik. Ayam hutan lah, belibis lah, daging rusa, kijang, macam-macam lah. Tu semua rezeki orang yang menegur kalau terserempak dengan dia…”

Ceritanya lagi sambil menyedut asap rokok pucuk bersama tembakau.

” Sayangnya arwah atuk kau meninggal masa anak-anak dia masih kecil. Jadi tak adalah yang mewarisi ilmu atuk kau…”

Kata beliau lagi ada sedikit rasa kesal sebagai pengakhiran cerita.

Mendengar beliau bercerita ia mengingatkan saya kepada arwah nenek. Semasa arwah nenek masih hidup, arwah nenek pernah bercerita bahawa beliau telah merasai daging harimau. Daging harimau rasanya pahit seperti hati ayam yang terkena hempedu (cecair yang berwarna hijau), sangat liat dan apabila masuk ke perut ia akan membuatkan suhu badan kita menjadi panas.

Arwah nenek kata arwah atuk tidak sengaja m******h harimau tersebut kerana ia telah mengganggu beliau mencari kayu di hutan. Para pembaca jangan salah faham, bukan semua daging harimau itu arwah atuk bawa balik. Hanya sebesar tapak tangan dan bertujuan untuk dijadikan sebagai ubat lelah arwah nenek.

Bukan datuk kawan saya sahaja, malah setiap orang lama yang hampir sebaya dengan arwah nenek akan bercerita benda yang sama sekiranya mereka tahu siapa nama arwah atuk dan nenek saya.

Ada juga yang mengatakan bahawa arwah atuk pernah dilamar bunian untuk dijadikan anak angkat tetapi arwah atuk menolaknya dengan baik, kerana sayangkan arwah atuk mereka kirimkan makhluk daripada golongan jin Islam untuk menjaga arwah atuk. Tentang kebenaran cerita ini hanya Allah SWT sahaja yang maha mengetahui nya kerana cerita ini juga saya perolehi daripada mulut orang kampung.

Apa yang membuatkan saya sangat teruja dengan arwah atuk adalah pegangan agamanya. Cerita ini saya dapat ketika menjaga mak yang sakit pada tahun 2015 ketika itu mak tidak mampu bergerak, makan dan minum. Badan mak sangat lemah hanya bergantung kepada air yang dibekalkan melalui saluran d***h. Adik beradik yang lain habis ikhtiar supaya mak makan namun usaha mereka sia-sia. Adik bongsu saya menghubungi saya minta saya balik dengan segera.

Di sebelah katil mak (hospital), ada seorang tua yang berusia dalam lingkungan 90 an. Kelihatan sangat uzur tetapi masih mampu bercakap. Saya menggelarkan dia sebagai uwan bagi memudahkan saya bercerita. Uwan meminta saya tuangkan air kosong kerana cucu yang menjaganya pergi solat. Sejurus saya membantu uwan minum, sesi perbualan kami pun bermula. Uwan bertanyakan tempat tinggal saya. Saya menerangkan kepada uwan bahawa saya berasal dari kampung K…. P….. sebelum berpindah ke Perumahan S…… Uwan itu sedikit teruja kerana nama kampung yang saya maksudkan adalah tempat beliau dilahirkan dan menetap disitu sehingga beliau uzur (m**i sebelah badan) lalu anaknya membawa beliau tinggal bersama di bandar.

Uwan bertanya lagi tentang keluarga saya. Menjadi kebiasaan orang tua-tua akan bertanya siapa ayah dan mak. Bila dah tahu akan meleret siapa nenek dan datuk pula. Memandangkan saya tidak sibuk dan mak masih tidur saya layankan uwan ini berbual kerana saya tahu jika uwan ini kenal dengan arwah atuk pasti akan ada cerita menarik yang bakal saya dengar. Tepat jangkaan saya…

Saya ringkaskan cerita uwan bagi memudahkan pembaca faham apa yang ingin saya ceritakan. Menurut uwan, penduduk kampung tersebut terdiri daripada nelayan. Mata pencarian mereka hanyalah di dada laut. Termasuk lah arwah atuk saya. Zaman dahulu, kampung tersebut sangat sedikit yang mengamalkan ajaran Islam walaupun mereka beragama Islam. Maklumlah hidup zaman Jepun, British, Komunis memang payah untuk mereka belajar ilmu agama melainkan jika mereka benar-benar berkehendak untuk berlajar dan mampu mencari guru. Uwan itu sendiri mengaku beliau pandai solat dan mengaji dengan sempurna di usia 50 an dan itu setelah bertahun-tahun belajar.

Setelah arwah atuk menetap di kampung tersebut, arwah atuk membina pondok kecil untuk solat. Pondok kayu beratap nipah tersebut dibina berhampiran dengan jeti bagi memudahkan arwah atuk untuk solat subuh sebelum turun ke laut. Alhamdulillah daripada makmumnya 2 orang kemudian 4 orang dan kian bertambah dari masa ke masa.

Akhirnya pondok tersebut dibesarkan menjadi surau dan dengan bangganya saya ingin memberi tahu kepada pembaca bahawa surau tersebut kini telah diganti dengan sebuah masjid jamek di tapak yang sama. Alhamdulillah rezeki arwah atuk di bekalkan dengan pahala yang sentiasa mengalir.

Berbalik pada cerita uwan, di pondok tersebut lah arwah atuk mengajar mereka yang sudi belajar membaca Al Quran, Fardu Ain, Fardu Kifayah dan pelbagai lagi ilmu asas Islam. Biasalah kan, tidak semua perkara baik yang kita buat orang suka. Perasaan dengki dan tidak puas hati pasti akan wujud. Saya rasa mungkin disebabkan itu banyak ‘benda’ khurafat yang tertanam di tapak rumah saya di kampung.

Firasat saya mengatakan arwah atuk tahu tentang dengki dan khianat manusia terhadapnya tetapi arwah atuk yakin pada satu pegangan, jika Allah SWT tidak mengizinkan ia (sihir) berlaku maka ia tidak akan berlaku dan jika Allah SWT telah mengizinkan ia berlaku maka akan ada hikmah di sebalik sesuatu kejadian kerana Allah SWT tidak akan menguji hambanya dengan perkara yang sia-sia.

Saya tidak dapat berbual lama dengan uwan kerana saya dipanggil oleh doktor dan mengatakan mak kena pindah ke katil lain. Ada jiran mak dimasukkan ke hospital disebabkan denggi berdarah dan kemungkinan besar mak juga denggi maka sampai di situ sahaja perbualan saya dengan uwan.

Bila mak dah pulih, saya menceritakan kepada mak tentang apa yang uwan itu cerita. Menurut mak pula, arwah atuk juga tidak bersetuju dengan sebarang ritual yang penduduk kampung itu sering amalkan. Contohnya pemujaan pantai pada setiap kali musim tengkujuh. Pernah arwah atuk memanggil mereka yang sedang membuat ritual pemujaan pantai supaya mengikut nya pergi tunaikan solat hajat. Mohon pertolongan daripada Allah SWT bukan melalui Jin atau penunggu. Alhamdulillah ada yang mengikut tetapi tidak kurang juga ada yang berdegil.

Menurut mak, arwah atuk saya meninggal kerana batuk berdarah. Arwah atuk mula batuk-batuk selepas memakan sekeping pajeri nenas yang beliau beli di warung. Semakin hari semakin teruk dan akhirnya arwah atuk meninggal dunia.

Ketika peristiwa itu berlaku, mak saya berusia 7 tahun. Arwah nenek ada minta arwah atuk mengubati dirinya sendiri kerana bimbang jika arwah atuk telah disantau, namun arwah atuk berkeras.

Maka arwah atuk redha jika itu adalah penghujung nyawanya. Sebelum saya meneruskan penulisan saya, marilah sama-sama sedekahkan Al Fatihah kepada arwah atuk dan nenek saya semoga rohnya tenang di samping orang-orang yang beriman…

Mak juga ada menceritakan kepada saya tentang kebolehan arwah atuk mengubat orang sakit dengan hanya berbekalkan ayat-ayat suci Al-Quran. Arwah atuk juga mahir mengurut orang dan membetulkan tulang yang patah.

Menurut arwah adik atuk yang tinggal di B…… Arwah atuk tidak pernah menuntut apa-apa ilmu atau ‘membela’ apa pun jenis saka atau pendamping. Apa yang beliau ada, adalah anugerah yang dikurniakan oleh Allah SWT keatasnya. Wallahualam….

Kembali kepada kisah saya….

Terdahulu sekali saya ingin terangkan di sini, saya bukanlah orang sama yang menulis kisah ‘Aisyahku’ kemungkinan nama Indera yang membuatkan pembaca fikir kami adalah orang yang sama. Saya juga tidak pernah membaca kisah yang ditulis oleh beliau kerana saya tidak tahu tajuknya apa… Mungkin kami senasib maka penulisan dan bahasa kami seakan sama.

Ya, hijab saya terbuka tanpa saya sedar. Saya boleh nampak apa yang kalian tidak nampak tetapi bukan semua, hanya dengan izin Allah SWT.

Sejujurnya saya tidak pernah menyukainya kerana ia membuat kehidupan saya menjadi sangat rumit.

Bagaimana saya mengenali Indera dan Seri…?

Buat pengetahuan semua, mereka berdua adalah makhluk pertama yang saya mampu lihat. Seingat saya ketika itu saya berusia 5 tahun.

Kali pertama saya melihat mereka sewaktu saya berjalan pulang daripada tabika. Waktu itu cuaca sangat panas terik. Saya pulang bersendirian memandangkan sahabat baik saya Alin tidak hadir ke sekolah pada hari itu.

Sewaktu saya melintasi kebun kelapa (jalan pintas), saya ternampak dua orang budak sebaya saya sedang bermain di tebing sungai. Saya menghampiri mereka tetapi apabila mereka menyedari saya berjalan ke arah mereka, tiba-tiba mereka hilang. Saya berlari meninggalkan kawasan tersebut sekuat hati kerana takut. Akhirnya saya demam teruk.

Ketika saya demam, saya rasa sangat sejuk seolah-olah di rendam dalam air batu walaupun suhu badan saya tinggi. Kedengaran seperti nama saya dipanggil-panggil. Walaupun ia berbisik namun jelas nama saya yang disebut-sebut.

” Aaadikkk…. Aaadiiikkkk… Aaadikkk….”

Kadang-kala ia melintas di mata saya, terbang ibarat selembar kertas putih. Sangat menakutkan.

Selepas subuh saya akan kembali normal tetapi selepas maghrib demam itu muncul semula. Seperti biasa mak akan membawa saya bertemu arwah Pak Mail untuk di ‘tawarkan air’. Walaupun sudah sembuh, dua makhluk itu tetap muncul di mata saya dan mula mengajak saya bermain.

Suatu hari dalam lingkungan selepas asar, saya ke rumah Alin. Tetapi Alin sekeluarga tidak ada di rumah. Tiba-tiba dua makhluk itu muncul dan mengajak saya bermain bersama nya di tebing sungai belakang rumah saya. Mereka melambai-lambai kepada saya supaya mengikut mereka.

Kami bermain sehingga maghrib. Macam-macam benda kami main. Main guli, baling tin, masak-masak, kejar-kejar dan sorok-sorok. Setelah azan berkumandang mereka berdua tiba-tiba hilang. Suara arwah nenek dan mak mula jelas kedengaran memanggil saya. Saya menyahut dan terus masuk ke pagar rumah. Arwah nenek bertanya kemana saya pergi sedangkan Alin tiada di rumah. Saya jelaskan bahawa saya hanya ada di belakang rumah bermain dengan sahabat baru saya yang bernama Indera dan Seri.

Mak kata saya tipu kerana mak sudah puas mencari di sekitar itu sedangkan kelibat saya langsung tiada. Arwah nenek hanya membisu. Teruk saya di marahi mak petang itu. Saya tahu mak risau saya jatuh ke dalam sungai yang ketika itu air sedang ‘pasang penuh’ tambahan pula dengan arus sungai yang deras.

Selepas peristiwa itu, arwah nenek tidak lagi membiarkan saya bermain sendirian. Sekiranya kelihatan saya bercakap sendirian arwah nenek akan berdehem sebanyak dua kali dan akan memanggil saya masuk. Arwah nenek juga akan pastikan saya pulang sebelum matahari tenggelam ataupun ketika paluan ‘beduk’ (zaman dahulu sebelum azan dilaungkan akan dibunyikan) berbunyi menandakan sudah masuk waktu maghrib.

Jika saya masih berada di luar ketika itu, arwah nenek akan keluar mencari saya sambil membawa ‘seludang kelapa’ kononnya nak rotan saya. Tapi tidak pernah sekalipun hinggap ke tubuh saya. Kasihnya arwah nenek pada cucunya. Allah rindunya saya pada beliau.

Indera dan Seri tidak pernah melepasi pintu rumah saya. Kehadiran mereka hanya setakat pintu sahaja dan akan berlalu pergi sekiranya saya tidak menghiraukan mereka kerana saya takut dimarahi nenek jika arwah nenek ternampak saya bercakap sendirian.

Saya pernah bertanya pada arwah nenek tentang Indera dan Seri tetapi pertanyaan saya hanya dijawab dengan seribu kebisuan. Saya tahu arwah nenek juga boleh melihat Indera dan Seri kerana setiap kali mereka datang, arwah nenek terlebih dahulu akan menjeling serta melarang saya keluar bermain dengan pelbagai alasan. Maka mereka akan pergi begitu sahaja.

Di kesempatan yang ada setiap kali arwah nenek terlepas pandang, saya akan curi-curi keluar dan mengikut Indera dan Seri bermain. Mereka akan membawa saya berjalan-jalan ke tempat mereka. Ianya tidak jauh daripada pagar belakang rumah saya sahaja. Hanya beberapa langkah sahaja sudah sampai. Tetapi saya hanya mampu ke sana sekiranya mereka bersama saya. Sekiranya mereka tiada, maka segalanya akan lenyap dan kembali kepada keadaan asal.

Serba sedikit tentang apa yang mereka ceritakan kepada saya, mereka kata itu adalah kampung mereka. Tetapi saya tidak dibenarkan masuk ke dalamnya. Hanya melihat daripada luar sahaja. Mereka kata, jika saya melepasi sempadan itu saya tidak akan dibenarkan kembali dengan akal yang sempurna.

” Adik jangan masuk kawasan tu tau… Nanti adik tak boleh balik… Jika balik pun adik dah tak ingat apa-apa lagi… Tak kenal mak, tak kenal ayah, tak kenal nenek, tak kenal semua dah…”

Begitulah lebih kurang pesan Indera kepada saya satu masa dahulu.

Saya sering menceritakan tentang ‘kampung cantik’ itu kepada arwah nenek pada setiap kali beliau menyuapkan saya makan. Arwah nenek mendengarnya dengan bersungguh-sungguh cerita saya. Sambil menyuap nasi ke mulut saya sambil itu jugalah beliau mengangguk -anggukkan kepalanya tanda dengar dan faham dengan cerita saya.

Saya yang banyak menonton cerita pari-pari seperti Cinderella, Snow White atau Rapunzel memang tidak pelik sekiranya ‘kampung cantik’ itu tiba-tiba muncul dan tiba-tiba hilang dengan sekelip mata.

Daripada apa yang saya lihat kehidupan mereka lebih kurang dengan kita. Mereka juga ada memelihara haiwan ternakan, ada yang menanam sayur-sayuran malah mereka juga menangkap ikan dan sebagainya. Rupa mereka pun berbeza-beza. Ada yang cerah, ada yang gelap, ada yang cantik dan ada yang sebaliknya. Cara pemakaian mereka lebih kepada menutup aurat. Cuma bezanya mereka berjalan tidak memijak tanah. Saya sendiri tidak pasti kenapa. Apabila saya bertanya pada Indera dan Seri, mereka hanya menjawab itu adalah salah satu daripada pantang larang mereka.

Sekiranya mereka langgar pantang larang itu, mereka akan dibuang dari kampung tersebut. Hanya beberapa kali sahaja saya dapat mengikut mereka kerana arwah nenek tidak membenarkan lagi saya bermain di belakang rumah selepas beberapa kali saya hilang dan akan muncul dengan tiba-tiba. Arwah nenek telah mengunci pintu pagar dengan mangga besar supaya saya tidak dapat keluar.

” Kau nak kena ambil kat bunian ke..?”

Soalan nenek yang telah sebati dengan jiwa saya sekiranya saya memberontak untuk bermain dengan Indera dan Seri.

Perkara ini berterusan sehingga saya naik tahun satu. Walaupun saya tidak dapat keluar ke belakang rumah lagi, Indera dan Seri sentiasa menemani saya sekiranya saya bersendirian. Mereka sentiasa ada dengan saya samada ke sekolah, ke kedai atau kemana-mana sahaja saya pergi seolah-olah mereka menjaga saya. Pernah saya bertanya kepada mereka kenapa kawan-kawan yang lain tidak nampak mereka. Mereka hanya senyum dan tidak pernah menjawab soalan saya.

Perlahan-lahan Indera dan Seri meninggalkan saya. Mereka kata saya sudah besar. Sudah tiba masanya mereka pergi. Waktu itu saya sangat sedih kerana akan kehilangan dua orang sahabat yang sangat baik. Sebelum mereka pergi, mereka berpesan kepada saya supaya saya sentiasa menjaga diri. Jangan bermain di belakang rumah kerana tidak semua makhluk berniat baik seperti mereka. Selepas itu Indera dan Seri tidak datang lagi.

Kadang kala saya duduk di pintu pagar yang berkunci itu menunggu jika Indera dan Seri datang. Namun hampa. Begitu juga ketika pulang dari sekolah. Saya lewati kawasan yang mula-mula saya jumpa mereka. Memanggil-manggil nama mereka namun semuanya kosong.

” Indera… Seri… Kenapa tak nak kawan dengan adik lagi…? Kenapa tak nak jumpa adik lagi…?”

Soal saya kepada mereka. Walaupun saya tidak nampak mereka tetapi saya tahu mereka ada. Mungkin keluarga mereka juga turut menghalang mereka keluar bermain dengan saya seperti mana arwah nenek menghalang saya bermain dengan mereka. Saya tahu ini adalah yang terbaik buat kami yang berbeza alam kehidupan.

Walaupun saya tidak lagi mampu melihat mereka tetapi saya yakin mereka ada bersama melalui bau-bauan yang sentiasa mereka pakai. Pernah satu ketika saya hampir dilanggar kereta. Waktu itu saya bergegas untuk melintas jalan kerana ingin membeli ais krim. Abang saya melarang saya melintas jalan kerana waktu itu sangat sibuk dengan kenderaan ibu bapa dan bas sekolah lalu lalang. Tetapi saya tetap berkeras, lalu saya berlari ke seberang jalan untuk membeli ais krim.

Tiba-tiba ada sebuah kereta meluncur laju ke arah saya dan apabila saya sedar, saya sudah berada di depan kereta dalam keadaan terduduk. Sedikit pun kereta itu tidak menyentuh saya tetapi jelas kelihatan bonet depannya sedikit kemek dan saya dapat rasakan ada seseorang yang sedang memeluk saya walaupun saya tidak nampak. Saya yakin itu adalah Indera. Lama kelamaan saya mula melupai mereka. Maklumlah pada ketika itu saya hanya anak-anak kecil yang mudah melupakan.

Adakah saya mampu melihat makhluk lain…?

Ya..! Selepas sekian lama Indera dan Seri meninggalkan saya. Ketika itu saya berusia 8 tahun, pada hari raya puasa ketika saya sedang menunggu Alin dan adik-adiknya bersiap untuk berjalan mengutip duit raya, saya menunggu Alin sambil duduk di bawah pokok semambu yang berada tidak jauh daripada pagar rumahnya. Tiba-tiba saya didatangi oleh seorang nenek tua. Nenek tersebut mengajak saya ke rumah nya untuk beraya. Saya menolak kerana saya takut jika Alin dan adik-adiknya marahkan saya kerana tidak mengajak mereka bersama. Nenek tersebut terus memujuk saya. Saya tetap menolaknya.

Akhirnya nenek itu mengalah dan tiba-tiba hilang. Sebaik sahaja nenek itu hilang, azan Zuhur berkumandang dan sayup sayup kedengaran suara orang memanggil nama saya. Rupanya ayah dan beberapa kawannya termasuk arwah Pak Mail mencari saya.

” Allahuakbar kat sini anak kamu Lan…”

Jerit arwah Pak Mail dalam loghat Kelantan nya sambil mengalih daun-daun semambu kering yang menutupi badan saya. Ayah melulu ke arah saya dan membawa saya pulang. Rupanya ayah dan keluarga saya bercadang untuk berkelah di Pantai Teluk Cempedak dan mencari saya untuk dibawa bersama.

” Tadi dah cari kan kat situ tak adaaa…”

Sahut beberapa orang kawan ayah yang turut sama mencari saya.

” Adik kenapa tidur kat situ…?”

Soal ayah… Saya keliru kerana seingat saya, saya tidak tidur kerana berbual dengan nenek tersebut. Sebelum saya meneruskan cerita saya marilah sama-sama sedekahkan Alfatihah kepada arwah Pak Mail yang telah banyak membantu saya.

Selepas pulang daripada Pantai Teluk Cempedak saya demam teruk. Berbeza dengan demam sebelumnya. Saya akan mengigil kesejukkan sehingga gigi saya berlaga sesama sendiri.

Selepas peristiwa kakak histeria, ketika itu juga lah baru saya tahu Indera dan Seri bukan seperti saya. Mereka makhluk halus berbangsa jin. Semua ini saya dengar daripada perbualan arwah Pakcik Daud dengan ayah pada kali kedua kami ke rumahnya untuk berubat kakak tetapi ketika itu arwah Pakcik Daud kurang sihat.

” Anak kau yang kecik tu ada ‘kawan’ yang ikut Lan bukan satu tapi dua. Jaga baik-baik dia, nanti di bawa lari ke ‘sana’ putih mata kau Lan…”

Seperti biasa ayah hanya mengangguk kepala tanda faham.

” Pening saya dengan anak-anak ni bang. Kakak belum selesai adik pulak nak kena fikir. Kawan macam mana tu bang…?”

Soal ayah kembali.

” Sebaya dia. Tapi Lan. Bila dah benda-benda macam tu mula berkawan percaya lah satu hari nanti yang besar-besar pula nak berdamping. Mungkin arwah atuk dia dulu pun ada pendamping…”

Jawab arwah Pakcik Daud di selang seli dengan batuk-batuk kecil.

” Haishhh mana ada, mak mentua kata arwah Pak mentua saya dulu tak ada membela…”

Sanggah ayah.

” Lan… Kau jangan salah faham. Pendamping ni banyak. Saka pun ada banyak jenis.Pendamping ni tidak semestinya kita membela. Dia datang sendiri mungkin sebab agama kita, perbuatan kita, kasih sayang kita, keberanian kita, kecantikan kita dan banyak lagi lah asbabnya Lan. Kalau kau nak tahu lebih lagi kau kena cari orang yang mahir dalam ilmu ni…”

Terang arwah Pakcik Daud.

” Mana abang tahu semua ni…?”

Soal ayah tidak puas hati.

” Masa aku mengubat kan kakak hari tu, aku nampak benda berdua tu ada sebelah adik. Elok jer duduk bersimpuh. Sebab tu aku suruh adik keluar. Tak berdaya aku kalau bukan makhluk yang sama berlawan nanti…”

Akhirnya saya tahu kenapa arwah Pakcik Daud memanggil saya jin tempoh hari ketika kali pertama beliau mengubati kakak. Ia ditujukan kepada Indera dan Seri bukan kepada saya. Baru saya tahu Indera dan Seri masih bersama saya walaupun saya sudah lama tidak nampak mereka lagi.

” Abang tolong lah buangkan…”

Pinta ayah.

” Lan… Kalau belaan kita boleh buang. Tapi benda ni ibarat sepasang kekasih. Lagi kita halang lagi kuat dia nak dapatkan sebab dia dah suka… Dah sayang… Tak apa… Biasanya dia akan pergi sendiri bila adik dah nikah nanti. Apa yang penting kau jaga adik elok-elok. Bukan makhluk halus sahaja yang berkenan, manusia yang tamak haloba pun suka…”

Ayah mengerutkan dahinya mungkin apa yang Pakcik Daud terangkan itu menambah rasa sakit di kepala ayah.

” Memang susah nak percaya Lan… Tuh… Ada 3 lagi menunggu nak berdamping dengan adik. Tunggu adik ‘tegur’ jer, tunggu sekali jer adik minta pertolongan dari mereka… Mesti terus melekat.”

Kata Pakcik Daud sambil menunjuk ke muka pintu. Saya turut melihat ke arah yang Pakcik Daud katakan dan apa yang aku nampak ada 3 lelaki sebaya dengan abang saya sedang tersenyum manis pada saya. Saya terus mengalih perhatian saya. Takut mula menyelubungi saya. Ayah hanya menggelengkan kepalanya kerana ayah tidak nampak apa yang saya dan Pak Daud nampak.

Sebelum saya tahu bahawa Indera dan Seri itu adalah makhluk halus dari golongan jin, saya sangat berani. Jika pergi ke kedai atau sembahyang berjemaah di masjid bersama kawan-kawan (tarawih) saya sentiasa menjadi benteng mereka. Mungkin sebab saya seorang yang berani dan mampu hafal ayat 3 qul serta ayatul kursi dengan lancar maka saya sentiasa di barisan hadapan.

Tetapi semuanya berubah selepas peristiwa kakak histeria. Selepas mendengar perbualan antara ayah bersama arwah Pak Mail dan arwah Pak Daud saya menjadi seorang yang sangat penakut. Apatah lagi apabila saya mampu melihat pelbagai makhluk aneh. Pernah satu malam, saya bersama Alin dan adik beradiknya ke kedai, tiba di satu lorong menuju ke rumah saya mereka lari meninggalkan saya dengan niat untuk bergurau. Saya didatangi satu makhluk yang tinggi dan sasa. Saya membaca ayatul kursi tetapi makhluk tersebut semakin menghampiri dan mengikut saya membacanya sama-sama malah cara dan bacaannya lebih tepat dan berlagu. Saya menutup mata rapat-rapat. Tetapi makhluk itu tidak mengapa-apakan saya sebaliknya ia pimpin saya hingga ke rumah. Ia berbisik kepada saya. Suaranya ibarat angin sejuk yang berdesir…

” Jika hanya menghafal tanpa tahu maksudnya… Ia tidak boleh m******h… Apabila tahu maksudnya tetapi hati tidak tenang ia tidak mampu menghancurkan…”

Keesokkan bila saya cerita pada kawan-kawan apa yang saya nampak mereka ketawakan saya. Saya benci keadaan itu. Di ketawakan dan di katakan saya seorang penipu. Lalu saya ambil keputusan untuk diam.

Kadang kala saya terpaksa menolak untuk makan atau minum di rumah orang-orang yang saya atau keluarga sedang menziarahi. Saya tahu mereka pasti akan berkecil hati mungkin bagi mereka saya memilih dalam bab makan. Tetapi apa pandangan pembaca sekiranya pembaca dapat melihat ada makhluk yang sangat buruk sedang menjilat dengan rakusnya atau memijak pinggan juadah yang sedang di saji kan…?

Memang mereka tidak membela… Tetapi mungkin persekitaran rumah yang kotor dan suka menyimpan bangkai (sisa daripada perut ikan, lebihan ayam mentah yang dibuang seperti tulang kaki, leher atau kepala dan seumpamanya) menyebabkan para jin suka menempel di rumah mereka. Jin paling suka rumah yang kotor dan berbau busuk apatah lagi yang berbau najis.

Pernah satu ketika saya nampak ada sepasang kaki tanpa badan sedang berjalan di dalam rumah makcik saya. Saya pejamkan mata rapat-rapat dan apabila dibuka sepasang kaki itu telah tiada. Sejak hari itu saya jadi takut untuk tidur di rumah makcik saya lagi. Selang beberapa hari saya dengar sepupu saya dibawa ke Johor untuk berubat kerana ada benda yang ikut dia sewaktu balik sekolah.

Banyak kali saya cuba menerangkan pada mak dan ayah bahawa saya boleh nampak ‘hantu’ tetapi mereka menafikannya. Saya tidak tahu kenapa ayah tetap menafikannya setelah apa yang terjadi. Arwah Pak Daud juga telah terangkan pada ayah tetapi ayah tetap tidak mahu percaya. Ayah percaya dengan apa yang beliau nampak sahaja.

Arwah nenek pula sekiranya saya bercerita tentang ‘hantu-hantu’ yang saya nampak beliau hanya berpesan…

” Jangan lah tengok kalau takut. Benda tu tak usik kita kalau kita tak usik dia…”

Jika keluarga sendiri tidak percaya apatah lagi kawan-kawan. Mereka (kawan-kawan) kata saya gila, penipu dan macam-macam lagi hingga saya penat dan akhirnya mengambil keputusan untuk hanya membisu… Saya penat…

Pernah beberapa kali saya melewati kawasan kemalangan ngeri, jelas di mata saya kelihatan sekelompok jin yang menunggu manusia beredar untuk menjilat sisa-sisa d***h di tar jalanan. Makhluk itu berlegar-legar di awangan ibarat layang-layang berterbangan di udara.

Pernah juga saya ternampak sekelompok jin dengan rakus menjilat tar jalan dengan lidah yang panjang dan bercabang. Bila di amati betul-betul barulah ternampak situasi di mana tempat tersebut baru sahaja berlakunya kemalangan dengan kaca yang bertaburan dan mungkin ada sisa d***h yang tidak dicuci dengan bersih.

Oleh sebab itulah saya nasihatkan sekiranya berlaku kemalangan yang melibatkan pendarahan yang banyak, tolong selesaikan dengan baik. Bersihkan tar, alirkan air dengan banyak sehingga d***h tersebut mengalir ke tanah. Jin tidak suka d***h yang bercampur dengan tanah. Bergitulah keadaannya kenapa tembuni (uri) atau tuala wanita yang dipenuhi dengan d***h ditanam dengan segera, ianya adalah kerana ingin mengelakkan menjadi santapan para jin, iblis dan syaitan.

Pernah suatu ketika saya melalui kawasan kubur, kelihatan satu makhluk sedang merintih di kuburan. Mungkin itu ‘belaan’ si m**i yang sedang ‘kelaparan’…

Setiap kali saya melihat ia, saya akan segera mengalih pandangan ke arah lain. Sedaya upaya tidak membuatkan ia tahu saya mampu melihat nya. Arwah nenek pernah berpesan kepada saya, sekiranya saya nampak atau dengar sesuatu yang bukan daripada alam kita, jangan sesekali tegur kerana ia akan membuatkan makhluk itu ingin mendampingi kita. Makhluk itu tidak pernah tahu siapa antara manusia yang mampu melihat atau mendengarkan ia kecuali kita sendiri yang ‘memberitahu’ dengan cara menegurnya. Hebat kan rahsia Allah SWT…

Pernah juga ketika saya bermalam di asrama sekolah untuk program motivasi pelajar cemerlang, saya ditegur oleh seseorang yang berada di tandas sebelah ketika saya sedang mencuci pad period.

” Wangiii nyer…?”

Kemudian ‘dia’ ketawa seakan-akan mengilai. Tetapi dalam nada perlahan. Saya tidak mahu mendongak ke atas kerana saya tahu ‘dia’ bukan berada di sebelah sebaliknya berada di atas kepala saya. Saya hanya mendiamkan diri seolah-olah saya tidak mendengar dan tidak nampak ‘dia’ kerana teringat pesan arwah nenek. Makhluk halus tidak akan mengganggu kita sekiranya kita mengabaikan kehadiran nya.

Apabila saya keluar dari tandas, saya lihat kawan-kawan yang menemani saya sedang rancak berbual dan ketawa kerana mereka tidak mendengar suara aneh itu tadi.

Sebenarnya untuk pengetahuan umum, rupa makhluk itu tidaklah seperti yang digambarkan di dalam televisyen. Ia lebih kepada berbayang yang tidak berwajah kerana itulah ia mampu berupa-rupa dengan apa bentuk kejadian yang ia inginkan untuk kelirukan manusia. Ia boleh menjadi seekor binatang berbisa, ia boleh menjadi seorang manusia yang cantik dan hodoh, ia juga boleh menjadi sebatang pohon yang tegap dan ia juga boleh menjadi seekor binatang yang jinak dan juga berbisa. Jadi sentiasalah berwaspada dengan pandangan mata kita.

Begitu juga dengan Indera dan Seri. Mereka boleh berupa-rupa mengikut kemahuan mereka. Jarang sekali untuk mereka menunjukkan rupa sebenar kepada manusia kecuali dipinta. Mereka tidak ada rupa yang khusus… Fizikal mereka umpama kabus yang beterbangan di udara.

Oleh kerana itulah sekiranya tiba-tiba keadaan yang terang diselimuti dengan kabus yang tebal dan gelap segeralah bertasbih, bertahmid dan bertakbir. Zikir jangan lekang dari mulut. In Sha Allah mereka (jin) akan meninggalkan kita tanpa menyakiti kita.

Kebiasaannya orang yang suka memasang jerat di hutan sama ada untuk ayam hutan, burung-burung, rusa, kijang dan sebagainya sangat mengenali kabus tebal ini. Apabila mereka nampak kabus ini dari jauh dan mula menghampiri ibarat ombak yang datang mereka akan segera tinggalkan jerat dan hasil tangkapan kerana mereka tahu bahawa mereka telah memasuki kampung makhluk itu dan sedang mengganggu binatang ternakan di situ. Jika mereka masih berdegil, nasib mereka tidak akan baik kecuali bagi mereka yang ‘penuh ilmu di dada’.

Sewaktu saya berusia 10 tahun, adik saya yang bungsu dilahirkan. Sewaktu mak berpantang kan adik saya, tidur mak sedikit terganggu kerana adik menghidap sawan tangis. Selepas maghrib adik akan menangis semahu-mahunya. Ia membuatkan mak sangat letih dan saya sentiasa menjadi tempat mak melepaskan kemarahannya. Salah sedikit mak pasti marahkan saya. Saya tahu mak penat. Satu malam, adik menangis sangat teruk sehingga hilang suara. Saya melihat mata adik sering tertumpu pada penjuru atap dapur pada setiap kali dia menangis.

Saya renung tempat yang menjadi perhatian adik. Renung sedalam-dalamnya sehingga saya mampu ‘menembusi’ nya. Saya nampak ada makhluk bergayut pada sarang labah-labah yang bergantung di penjuru atap dapur. Matanya tepat memandang saya mungkin ia tahu saya nampak kehadirannya di situ.

Saya minta arwah nenek membuang sarang labah-labah tersebut. Arwah nenek mengikut kata saya tanpa bantahan. Alhamdulillah adik langsung terdiam dan mak mampu tidur lena malam itu. Barulah saya tahu kenapa mak dan arwah nenek tidak pernah membiarkan labah-labah membuat sarang di dalam rumah. Ia menjadi salah satu tempat kesukaan jin bertenggek.

Jin paling suka berada di sisi wanita yang baru melahirkan… Bau wangi bayi yang lahir mengingatkan ia pada bau syurga yang pernah menjadi tempat ia menghuni. Jadi tidak hairanlah jika ia suka berdamping dengan bayi yang baru lahir. Begitu juga dengan d***h nifas/h**d yang masih mengalir. Ia sentiasa menunggu masa untuk menikmati. Jadi diharuskan supaya tuala wanita itu di cuci dengan air yang banyak dan sebaik-baiknya dibakar atau ditanam.

Jadi kenapa bayi menangis…?
Adakah makhluk itu menyakiti bayi…?
Adakah makhluk itu menakutkan bayi…?
Jangan salah faham, bayi menangis bukan kerana dia takut pada jin, iblis mahupun syaitan… Bayi menangis kerana dia ingin memberitahu kepada kita tentang kewujudan makhluk-makhluk ini di sekeliling kita dan minta kita ‘usir’ makhluk jahat itu dengan zikir dan ayat-ayat Al Quran.

Jadi, sekiranya ada bayi yang baru lahir di rumah pembaca. Sentiasalah mendengarkan alunan ayat-ayat suci Al-Quran tidak kiralah sama ada ianya bacaan secara langsung ataupun melalui rakaman.

Jin juga paling gemar duduk di samping orang yang membela kuku panjang. Tidak kiralah sama ada kuku tersebut cantik atau pun tidak. Saya pernah melihat sekumpulan jin menjilat-jilat bahagian kuku seorang wanita. Ia bergayutan di pergelangan tangan. Bukan seorang dua malah telah ramai saya perhatikan yang menyimpan kuku panjang akan ada jin kecil bergayutan dan menjilat-jilat bahagian dalam kuku tersebut ianya sangat menjijikkan.

Jin juga paling gemar mendekati orang yang tidak tinggal solat, yang suka bersedekah dan membuat amal kebajikan untuk menyesatkan mereka dengan sifat ‘ujub’. Saya pernah melihat seorang perempuan muda di perhentian highway diusap-usap oleh jin bahagian ubun-ubunnya. Apabila saya mendekati, rupa-rupanya mulut perempuan tersebut tidak berhenti mencemuh orang-orang yang masih berkeliaran di situ kerana tidak solat.

Saya juga pernah melihat situasi tersebut pada beberapa orang lain termasuk ustazah di sekolah saya. Perkara yang membuatkan ia berlaku adalah kata-kata yang keluar daripada mulut mereka berbaur riak dan takabbur. Jin paling benci orang yang sentiasa bertasbih, bertahmid dan bertakbir. Jadi sentiasalah menjaga amalan kita supaya kita dijauhi daripada sifat riak dan ujub.

Berbalik pada kisah saya dan pendamping.

Arwah nenek meninggal sewaktu saya di tingkatan 3. Sebelum arwah nenek meninggal saya lah yang sentiasa menemani arwah nenek di kampung kerana mak dan ayah telah berpindah ke daerah lain. Arwah nenek selalu pesan. Jangan sesekali minta tolong dengan makhluk lain selain daripada Allah SWT. Hanya pertolongan daripada Allah SWT sahaja yang tidak mengharapkan sebarang habuan hanya iman dan taqwa sahaja menjadi pegangan.

Selepas arwah nenek meninggal, hidup saya semakin tidak tenang. Saya menjadi hilang arah. Saya keliru mana yang betul dan mana yang salah. Makhluk itu terus menerus mengikut saya. Walau kemana saya pergi ia tetap ada. Walaupun ia tidak pernah menyakiti saya tetapi kehadiran ia benar-benar membuat saya rimas apatah lagi sekiranya ia mengajak saya ‘bergurau’ dengan menyembunyikan barang yang saya cari semata-mata ingin membuat saya berkomunikasi dengan mereka contohnya…

” Pulangkan balik pembaris aku tu…”

Sekiranya pembaris di hadapan mata tiba-tiba hilang.

” Jangan lah main-main dengan buku tu…”

Sekiranya buku yang elok tersusun tiba-tiba berselerak tanpa sebab.

” Jangan dibuka paip tu…”

Tengah cuci tangan di sinki kantin tiba-tiba paip terbuka dengan sendiri.

Pada pendapat pembaca jika terdengar sahabat kalian bercakap seorang diri apakah perasaan kalian…? Mesti kalian anggap sahabat kalian sakit mental kan..? Itulah perasaan saya bila kadangkala dipandang sinis oleh teman-teman.

Apa perasaan pembaca sekiranya selangkah masuk ke kedai makan mata pandangan akan dicemari dengan sekumpulan makhluk yang menakutkan dan kotor bergayut di atas atap kedai mengangkang di muka pintu masuk kedai, bergolek-golek di kaki lima kedai dan ada juga yang merenung seolah olah ingin menerkam pembaca..? Adakah pembaca patut keluar begitu sahaja dan membiarkan sahabat yang lain memasuki kedai tersebut atau mengajak mereka keluar dengan alasan yang tidak logik sedangkan kedai tersebut tersusun indah dan bersih…? Pasti pembaca akan di ketawakan dan dianggap sebagai tidak siuman. Oleh disebabkan itu saya memilih untuk menjadi seperti ‘kera sumbang’. Oleh kerana itu jugalah saya kurang berkawan. Jarang mengikut setiap rombongan kelas dan keramaian serta kenduri kendara. Siapa yang kenal saya akan tahu tentang saya yang kurang berkawan.

Perkara ini berterusan sehingga saya bertemu dengan seorang lelaki yang saya namakan Izham. Ketika itu saya baru naik ke tingkatan 4. Kami bersahabat baik tetapi persahabatan kami dilarang keras oleh keluarga saya kerana Izham merupakan seorang pelajar yang bermasalah.

Ada saja masalah disiplin yang Izham lakukan contohnya merokok, ponteng sekolah, ponteng kelas dan sebagainya. Tetapi bagi saya Izham lain, saya selesa berkawan dengannya kerana Izham satu-satunya manusia yang tahu dan memahami saya. Mendengar cerita saya tanpa mencemuh dan menghina.

Satu hari Izham membawa saya bertemu dengan sahabatnya yang saya namakan sebagai Hisyam. Hisyam ini merupakan seorang pengamal ilmu perubatan batin. Awalnya niat Hisyam adalah untuk membuang makhluk yang selama ini mengikut saya dengan membekalkan seutas benang pintal yang diikat di bahu. Selepas 3 kali sesi perubatan, 3 makhluk yang sentiasa mengikut saya terus menghilang. Selepas melihat 3 makhluk itu sudah tiada lagi, saya mula mempercayai mereka.

Malangnya Hisyam hanya mengambil kesempatan ke atas saya. Dia bukan membuang makhluk itu tetapi hanya menutup hijab saya dan akan membukanya untuk kepentingan dia sahaja.

Hisyam menggunakan tubuh saya sebagai perantaraan dengan menyeru jin yang lain untuk membantu dia mengubati pesakit dengan meminta bantuan jin dan iblis. Waktu itu saya hanya anak hingusan yang tidak tahu apa-apa hanya mengikut sahaja dengan niat ingin membantu orang sakit. Setiap kali sesi perubatan bermula dia akan membuka benang pintal itu. Kemudian sesi pemujaan akan berlaku dengan asap kemenyan dan setanggi…

Sakit…? Yer sangat sakit… Setiap kali sesi perubatan bermula, saya lihat berlumba-lumba jin yang ingin memasuki tubuh saya. Sangat menakutkan. Tiada jantina dan tiada rupa. Hanya gumpalan bayang bayang hitam bergelimpangan ibarat asap hitam yang tebal berkumpul. Daripada saiz kecil ia menjadi besar dan sangat melemaskan saya lebih lemas daripada dikelilingi oleh makhluk sebelum ini.

Pergi pagi balik senja. Kadang kala saya tidak balik langsung ke rumah. Saya suka berada bersama Izham dan Hisyam kerana hanya mereka yang tahu dan faham apa yang saya ceritakan. Hanya mereka yang percaya pada cerita saya. Alhamdulillah mereka tidak pernah menyentuh maruah saya.

Bersama mereka saya rasa sangat dihargai. Seronok bila melihat orang yang berjaya sembuh daripada derita buatan orang (ilmu hitam). Gembira bila mereka bercerita dapat membalas perbuatan jahat orang lain terhadap mereka dengan sihir. Bahagia bila mendengar mereka berjaya mengahwini perempuan yang mereka mahu dengan ilmu pengasih…. (Allahuakbar ampuni dosa saya ya Allah)… Semua itu adalah hasil mereka menggunakan saya sebagai pengantaraan dengan jin yang mereka ada. Patut lah Pakcik Daud pernah berkata satu masa dahulu bahawa beliau tidak mahu bekerjasama dengan jin.

Selama ini Hisyam hanya melakukan perubatan yang biasa-biasa sahaja. Tetapi selepas hadir saya dia dapat menguasai perubatan secara batin dengan lebih mendalam dan berani.

Jalan utamanya adalah ubun-ubun. Apabila jin berjaya masuk melalui ubun-ubun saya, saya akan ‘tidur’ hanya jasad yang bergerak (diambil alih oleh jin) untuk mengubati para pesakit. Selepas selesai ia akan keluar melalui ibu jari kaki dan rasanya… Allahuakbar sangat sakit ibarat mencabut duri daripada daging. Tubuh rasa sangat penat dan letih.

Bayaran…? Saya tidak pernah dapat satu sen pun bayaran kerana menurut mereka, kerja itu adalah kerja amal yang tidak mengharapkan sebarang upah. Saya seorang remaja yang naif percayakan seratus peratus kata-kata mereka.

Setelah beberapa bulan saya bekerja sama dengan mereka. Ayah dapat menghidu perbuatan saya. Satu hari ayah telah menangkap saya ketika saya sedang makan dengan mereka di kedai sebab waktu itu adalah waktu persekolahan. Saya ponteng sekolah kerana dipujuk oleh Izham untuk membantu seorang pekedai yang telah disihir oleh pesaingnya. Apabila saya menceritakan pada ayah yang saya sedang membantu orang. Ayah kata saya mengarut… Syirik… Khurafat dan sebagainya. Satu hari ayah ingin membawa saya bertemu dengan pakar sakit jiwa.

Sementara menunggu waktu yang sesuai, ayah menempatkan saya di rumah saudaranya di kampung kerana mungkin pada ayah kampung tersebut jauh daripada bandar dan kurang perkhidmatan pengangkutan awam jadi saya akan selamat di situ. Maka saya tidak akan berhubung dengan Izham lagi.

Hari pertama dan kedua saya menginap di situ saya rasa sangat tenang. Tetapi ketenangan saya diganggu dengan kehadiran makhluk lain pula. Satu malam ketika saudara ayah sedang membuat latihan kompang dan paluan gong, jelas kelihatan di tengah kepekatan malam ada makhluk berbulu, besar dan setinggi pokok kelapa sedang menari. Cara paluan kompang dan gong itu seolah-olah memuja makhluk tersebut. Saya berlari ke dalam rumah kerana ketakutan. Saya hubungi ayah dan menceritakan segala yang saya nampak tetapi ayah menganggap saya hanya beri alasan untuk tidak terus tinggal disitu dan mengatakan saya merepek yang bukan-bukan. Malam itu saya berikhtiar untuk melarikan diri daripada rumah saudara ayah.

Mesti kalian tidak percaya kan saya boleh menembusi lubang yang selebar 2 jengkal dan sepanjang satu siku sahaja. Bertapa nekadnya saya untuk melarikan diri daripada situ. Selepas berjaya keluar daripada situ saya langsung tidak sedar apa yg berlaku dan apabila saya sedar saya sudah berada di sisi Izham. Bagaimana dan apa caranya membolehkan saya sampai kepada Izham janganlah kalian persoalkan kerana sehingga kini saya masih tiada jawapannya. Tanpa kad pengenalan, tanpa duit dan tanpa bekalan pakaian saya lari dari situ.

Saya tahu ayah bagai nak gila mencari saya. Ke hulu ke hilir ayah mencari. Mak pula sering sakit-sakit merindui saya. Saya nak balik tapi takut jika ayah betul-betul membawa saya ke hospital gila… Saya tidak gila dan saya tidak mahu tinggal dengan orang gila.

Waktu itu saya sangat rindukan arwah nenek. Berharap arwah nenek membantu saya terangkan pada ayah dan mak apa yang saya kata itu benar belaka. Saya selalu nampak ayah pusing-pusing bandar cari saya tapi ayah tidak nampak saya. Saya sedih tengok ayah dah kurus tidak terurus. Saya tahu ayah kecewa kerana anak yang sangat dia sayang dan dibesarkan dengan kasih sayang tanpa pernah di jentik atau dipukul meninggalkan dia kerana seorang lelaki.

Saya tidak mahu dikatakan gila. Sedihnya bila saya kenangkan betapa jahilnya saya ketika itu. Sedangkan ayah sikit pun tiada niat untuk menghantar saya ke hospital gila. Sebaliknya setelah saya kembali ke pangkuan keluarga, ayah telah membawa saya berubat ke Kelantan.

Tidak dapat saya lupakan sehingga kini betapa gigihnya ayah berhenti di setiap masjid di Negeri Kelantan. Bermula daripada Masjid Kota Bharu sehingga ke Masjid Dalam Rhu ayah menimba air perigi untuk mandikan saya sebagai penawar. Setelah ustaz itu mencabut tali benang pintal yang ‘tersorok’ di bahu saya sedikit demi sedikit saya mula melupakan Izham. Selepas daripada ayah membawa saya berubat di Kelantan, saya kembali normal. Tiada lagi gangguan-gangguan daripada makhluk-makhluk halus itu lagi.

Rupa-rupanya makhluk yang saya nampak di rumah saudara ayah itu dihantar oleh Hisyam untuk saya kembali kepadanya. Saudara ayah yang ada sedikit ilmu batin cuba untuk menghalang tetapi kebodohan saya membuatkan Hisyam dan Izham berjaya mendapatkan saya semula.

Saya sangka panas hingga ke petang rupanya hujan ditengah hari. Saya sangka ianya sudah berakhir rupanya tidak. Ketika saya berusia 18 tahun, saya dan beberapa orang sahabat ke Gua Kota Gelanggi untuk aktiviti ‘hiking’. Sekali lagi saya bertemu dengan makhluk halus yang lain pula. Ketika kami melalui satu lorong di mana batunya seperti pintu gerbang, saya hilang arah. Tiada lagi suara ketawa kawan-kawan yang lain. Tiada lagi bunyi desir angin dan tiada lagi bunyi unggas rimba. Hanya bunyi air yang mengalir selainnya ianya sangat sunyi dan sepi. Tiba-tiba saya didatangi seorang tua yang berjanggut dan berjubah putih. Saya fikir saya sudah sesat dan minta orang tua itu menghantar saya ke pintu mula-mula saya masuk.

Orang tua itu setuju dengan syarat saya mesti mengambil bungkusan yang diberikan. Saya terkejut kerana orang tua itu juga tahu nama saya. Bila menyedari orang tua itu bukan golongan daripada manusia dan saya yang sudah biasa dengan kejutan ini hanya berjanji kosong asalkan saya jumpa jalan keluar.

” Simpan baik-baik…”

Kata terakhirnya sebelum menghilangkan diri. Itulah kali pertama setelah hampir setahun saya tidak melihat mereka selepas ayah membawa saya berubat di Kelantan.

Ketika saya berjaya bertemu dengan kawan-kawan yang lain hari sudah hampir petang. Menurut mereka hampir 4 jam saya hilang sedangkan saya rasa baru sahaja beberapa minit saya sesat. Mereka kata jika tidak berjaya mencari saya sehingga waktu asar mereka ingin keluar dan meminta pertolongan daripada pihak berkuasa. Bungkusan yang diberikan oleh orang tua tadi saya campak ke longkang kerana saya nekad tidak mahu ada sangkut paut lagi dengan makhluk aneh itu.

Balik daripada Gua Kota Gelanggi. Saya bersendirian di bilik, betapa terkejutnya saya apabila mendapati bungkusan yang saya buang tadi boleh berada di dalam poket seluar. Saya membuka bungkusan tersebut dan dapati ada sepasang taring harimau, batu cincin ada bentuk sisik ular di dalamnya dan sepotong (2 inci) kayu yang berbau wangi. Saya mengambil keputusan untuk menyimpan nya sebagai amanah sahaja tanpa ada niat yang tidak baik.

Semua sedia maklum saya sudah ada keluarga sendiri dan suami saya bukanlah Izham. Perkahwinan yang direstui keluarga… Bagaimana saya boleh pulang ke pangkuan keluarga…? Adakah saya masih mempunyai pendamping serta bagaimana saya lepaskan diri daripada Izham dan Hisyam…? In Sha Allah ada kelapangan nanti saya akan tulis lagi…

Semoga kisah saya kali ini dapat memberi pengajaran sesungguhnya apa yang baik itu datangnya daripada Allah SWT dan yang buruk itu adalah daripada kita sendiri…

Saya tahu makhluk itu (3 lelaki yang ada ketika sesi perubatan kakak) sentiasa ada bersama saya, tetapi saya tidak pernah menyapanya. Saya benar-benar mengabaikannya. Begitu juga sekiranya pada satu hari nanti Indera dan Seri muncul kembali pasti saya akan abaikan mereka juga kerana saya telah tahu asal usul mereka. Saya tidak mahu bersekutu dengan jin tidak kiralah sama ada beragama Islam ataupun kafir kerana kita adalah manusia yang telah dicipta lebih sempurna daripada mereka.

Saya tegaskan disini. Semua itu bukan ‘kerja’ saya. Saya tiada kepandaian itu. Jangan pula ada yang PM tepi tanya saya untuk sebarang ritual peribadi. Saya tidak mahu tergolong dalam golongan hamba Allah yang syirik dan khurafat. Nauzubillah.

#SebuahKisahBenar

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Adik

5 thoughts on “Ilmu Hitam dan Pendamping iii”

  1. Best ceritanya.. lebih² lg dari pengalaman kisah benar.. tak kisah la klu jln ceritanya panjang mcm novel.. sanggup sy baca dan mengahayati setiap patah perkataan dan ayat.. klu ada kelapangan, sila sambung ya.. sy ttp akn menunggu dan jadikan anda salah seorg penulis favourite sy..

    Reply
  2. Suka dgn cita akak tu . Bnyk pengajaran yg dapat dambil iktibar ..kalau ad masa akak cerita laa lagi . sy percaya dgn cita akak . Betul ,sakit hati sangat bila Kita nampak sesuatu org xpercaya..

    Reply
  3. Saya percaya cerita cik puan.. sebab sama kes dengan arwah mak saya.. dua ‘pendekar’ yang datang sendiri.. mendamping dari arwah kecil sehingga beranak enam. Selepas mak saya berubat buang dua ‘pendekar’ ni, arwah mak saya diserang buatan orang lumpuh kiri badan. Dua ‘pendekar’ ni muncul balik dan marahkan arwah mak saya kerana buang mereka sehingga mereka tidak dapat mempertahankan arwah mak. Tapi arwah mak jawab dengan mereka, percaya dia pada Allah, apa yang jadi baik buruk hidup dia urusan dia dengan Allah. Saya juga ada mendengar seorang ustaz bercerita kadangkala bila seseorang dah buang pendamping tu kita diserang sakit buatan orang tapi sesetengah kes sebenarnya serangan itu daripada pendamping yang dibuang mungkin dengan cara yang tidak cukup teliti. Wallahualam. Saya tunggu penulisan cik puan yang seterusnya.

    Reply
  4. Yg pasal baby nangis tu mmg make sense. Ye la takkan baby tu nk ckp pulak kan…. mau berterabur org semua lari tak cukup tanah.

    Byk sy belajar dari cerita ni. Thanks.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.