Jaga Adab

Aku merupakan seorang pelajar di Universiti Malaysia Sarawak ( UNIMAS ). Kisah yang aku mahu ceritakan ini berlaku waktu aku baru masuk mendaftar sebagai pelajar UNIMAS pada tahun 2014.
Aku datang dari Kuantan, Pahang dan aku tiada kenalan rapat atau rakan yang bersama aku menyambung pelajaran di sana. Bermakna aku perlu mencari rakan baru di sana. Aku ditempatkan di kolej cempaka di bilik K9b/2/6c. Bermakna aku dapat blok k9b (blok paling hujung) tingkat 2 rumah no 6 bilik c.

Sudah namanya blok hujung, suasana sekelilingnya juga faham sendirilah bagaimana. Aku bengang juga pada waktu itu. Mengapalah aku dapat blok terpencil seperti ini. Walhal banyak lagi bilik kosong di blok lain. Lebih malang lagi, tingkat 2 di blok ini hanya dua rumah sahaja yang berpenghuni, selebihnya kosong. Akhirnya aku pasrah dan mula mengemas bilik baruku.

Hari pertama aku disitu aku mengomel seorang diri sepanjang hari meratapi nasib aku yang dapat bilik jauh dari orang lain.
Aku berkongsi bilik bersama seorang lagi pelajar baru. Ezreen Sobri namanya namun dia hanya menyuruh saya memanggilnya boy. Dari mana dia dapat gelaran boy itu, entahlah. Tidak pula aku tanya mengapa.

Dua minggu aku duduk dengan boy, aku perasan dia seorang yang sangat pendiam. Sampaikan aku rasa seperti aku boleh kira berapa patah perkataan sahaja dia pernah cakap dengan aku. Aku jadi hairan kerana pada hari pertama mendaftar dia sangat rancak berbual dengan aku. Malah dialah yang menegur aku terlebih dahulu.

Yang lebih merisaukan aku, ada banyak bende pelik yang aku nampak pada boy ni. Setiap malam dia akan duduk di atas meja sambil merenung keluar tingkap ( meja kami ditempatkan menghadap tingkap ).

Pada awalnya aku menyangka mungkin dia cuma termenung kerana rindukan kampungnya. Namun ianya berlarutan dan berlaku setiap malam. Selain itu, aku tidak pernah nampak atau terserempak dengannya pada waktu siang. Setelah maghrib barulah boleh jumpa dia.

Sewaktu hari pertama mendaftar pun aku berjumpa dengannya setelah mandi pada waktu maghrib. Katanya penerbangannya ditunda kerana itulah dia sampai lambat.
Aku terasa seperti ada sesuatu yang tidak kena pada boy. Lalu aku tekad mahu menyiasat sendiri.

Satu pagi tu aku tiada kelas jadi aku mengambil kesempatan ini untuk menyiasat sendiri tentang boy. Aku ke pejabat kolej lalu aku meminta untuk melihat fail maklumat boy pada kakak yang menjaga kaunter hadapan. Pada awalnya dia tidak membenarkan kerana dia tidak boleh sewenang wenangnya memberikan maklumat peribadi pelajar lain. Namun setelah didesak dan kakak itu juga memang kenal rapat dengan aku kerana aku selalu berborak dengannya ( sebenarnya selama ni aku memang hendak memikat dia ) dia pun mencari maklumat penghuni blok aku.

Alangkah terkejutnya dia kerana dia kata tiada pelajar bernama Ezreen Sobri. Malah bilik aku juga selama ini memang TIADA PENGHUNI LAIN selain aku. Aku sengaja kata padanya aku hanya bergurau dan terus beredar dari situ. Tetapi sebenarnya kepala aku sudah mula pening dan badan aku sudah mula seram sejuk. Semua kelas pada hari tersebut aku ponteng kerana tidak larat mahu ke kelas.

Malam sudah hampir tiba. Aku sudah m**i akal. Sudahlah aku tidak rapat dengan sesiapa di sini. Hendak tumpang bilik orang lain memang seganlah. Setelah mandi, aku hanya termenung di atas katil. Malam itu seperti biasa,setelah maghrib dia tiba di bilik. Seperti biasa juga alasannya kelas baru habis. Namun hari ini aku merasakan dia sangat lain. Setelah dia duduk di atas katil, dia merenung aku sambil tersenyum. Senyuman itu serius saya katakan, amat menyeramkan. Aku hanya baring di atas katil dan cuba untuk tidak mempedulikan dia.

Tiba-tiba, dia bergerak lalu memanjat atas meja dan merenung ke luar tingkap seperti biasa. Aku pelik,hari ini awal pula sesi termenung dia. Namun dek kerana takut,aku tidak berbunyi sepatah pun.
Dengan tidak semena mena lampu bilik terpadam dan pintu tertutup. Aku rasa seperti mahu terkencing ketika itu kerana terlalu takut. Aku menjeling ke arahnya dan kali ini aku nampak dia bertenggek menghala ke arah aku. Dan satu suara yang bukan suara biasanya keluar dari mulutnya berkata “Kau dah tahu kan??!!!”. Kemudian hilaian tawa mengiringi angin di dalam bilik aku. Dia terus ketawa sambil merenung ke arah aku.

Setelah mengumpul segala kekuatan yang ada, aku terus menerpa ke arah pintu dan berlari keluar. Aku berlari tanpa arah tuju sehinggalah aku terfikir untuk ke surau. Kemudian, aku duduk di surau dan hanya mengikut sahaja jemaah yang lain solat maghrib dan isyak.

Setelah itu aku duduk termenung seorang diri melihat seorang demi seorang beredar dari surau. Tiba-tiba,senior serumah denganku (kami di sana duduk seperti rumah apartmen, satu rumah ada 6 bilik) menegur aku. “Abang nampak adik berlari seperti dikejar sesuatu sahaja tadi keluar rumah kenapa? Ada masalah ke? “ Lalu aku menceritakan semua yang berlaku padanya. Dia pelik kerana katanya dia langsung tidak mendengar apa-apa. Setelah itu dia menenangkan aku sambil menghulurkan sebotol air kepadaku. Dia kata bilik itu sebenarnya memang sudah lama tidak digunakan sebelum ini. Cuma pelajar baru tahun itu terlalu ramai sehingga mereka kena buka semula bilik² yang sudah lama berkunci. Dia juga berpesan, lain kali sekiranya sampai ditempat baru, beri salam dan kemas elok² sebelum menetap disitu.

Malam itu aku tidur di biliknya kerana aku tidak berani mahu masuk ke bilik ku. Keesokkan harinya aku ke pejabat untuk membuat permohonan tukar bilik sambil dibantu oleh seniorku ( nasib baik dia merupakan antara orang penting kolej, jadi mudah bagi aku untuk dapat bilik lain ) Setelah itu, aku pun berpindah ke blok hadapan sekali. Alhamdulillah selepas peristiwa itu, aku tidak pernah lagi diganggu. Perkara ini sangat memberi pengajaran pada aku untuk lebih berhati hati dan menjaga adab di tempat baru. Sekian dari aku. Assalamualaikum.

Kongsi kisah anda: https://fiksyenshasha.com/submit

Moki

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 5]

6 thoughts on “Jaga Adab”

  1. Crite nmpk mcm cliche tpi cara penceritaan bgos ; rngkas dan sngt padat.. Susunan dan klimaks sngt teratur…akak rse awk ni msti bnyk tulis cerpen tpi bkn psl hantu kan?? Hahaha tmbhkan unsur seram tu, yg lain ok dh kot…

    Reply
  2. Ada banyak lagi cerita seram/misteri yang real jadi kat unimas tu dik. Yang baru 2/3 tahun jadi pun ada. Cuba tanya senior2 sikit then tulis la ?

    Reply
  3. hmmmm mmg lah ezreen sobri tu dia tk dftr lg thun 2014. dia intake 16/17. cuba u pergi balik ofis mntk akak tu check nama dia mesti dh ad skrg. huu nice story bois ❤️. adik seram

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.