Dah lama aku nak kongsikan kisah benar yang aku alami sendiri ni. Tapi yalah, segan juga sebenarnya. Cuma kali ni disebabkan aku bosan, maka eloklah aku cerita. Lagipun kau yang ada sekarang ni, mesti tak sibuk kan? Maka, siap sedia dengan cerita aku ya.
Ceritanya macam ni. Waktu aku balik seorang diri dari Kelantan, jalan sangatlah sesak. Kau sendiri faham, kalau musim cuti macam mana kan? Jadi, disebabkan aku tak suka terperangkap dalam kesesakan sampai berbelas jam tu, aku buat keputusan untuk ikut jalan lain. Bak kata orang, jalan belakang.
Macam mana aku tahu? Guna maps lah. Jenama maps apa, aku tak nak sebut. Okay, sambung cerita. Waktu mula-mula guna tu, aku dah rasa semacam. Yalah, daripada banyak-banyak kereta, tiba-tiba tinggal kereta aku saja. Dengan lampu jalan tak ada. Yang paling mendebarkan tu, maps tu bawa aku masuk jalan ladang kelapa sawit.
Masa tu, aku dah rasa tak sedap hati. Nak ikut atau tak? Tapi, disebabkan pengalaman di tempat lain sebelum ni elok saja kalau ikut maps. Maka, aku teruskan juga hasrat aku tu. Hati aku waktu tu memang berdoa semoga muncul kenderaan lain yang turut sama lalu jalan ni. Yalah, kalau jadi apa-apa senang. Betul tak?
Tanpa disangka-sangka, datanglah satu motor dari arah belakang. Serius, aku rasa bersyukur sangat. Jadi, aku buat keputusan tak nak bawa laju. Aku takut motor tu sendirian pula kalau aku dah terlalu jauh ke depan. Dah lah orang tu bawa motor, kesian sungguh. Jadi, aku ikut saja rentak motor tu.
Tiba-tiba radio yang aku pasang senyap seketika. Aku tekan-tekan punat, masih lagi bunyi berdesir macam televisyen rosak. Yang paling aku geram, maps aku tu dari tadi sebut rerouting, rerouting. Aku pelik.
Pada masa yang sama, motor belakang aku tu bagi lampu kat aku. Dia kelip-kelipkan banyak kali, sambil buat isyarat tangan suruh ke tepi. Mungkin sebab dia nampak pemanduan aku dah mula tak stabil. Kejap ke kiri, kejap ke kanan. Yalah, gelabah punya pasal. Jadi, aku pun berhenti tepi. Mungkin dia nak tolong aku.
Waktu motor tu berhenti sebelah aku, aku turunkan tingkap. Masa ni Allah SWT saja yang tahu perasaan aku. Penunggang motor tu tak ada wajah! Aku ulang, tak ada wajah! Mukanya kosong. Mata tak ada. Hidung pun tak ada. Yang ada hanyalah mulut sahaja, sambil tersenyum menyeringai dengan gigi tajam-tajam bersusun sebaris. Yang buat aku seram tu, boleh pula dia tanya soalan.
“Nak tumpang?”
Aku apa lagi. Masuk gear semula dan terus tekan minyak sekuat yang boleh. Memang aku pecut habis-habisan melalui jalan ladang kepala sawit yang tak berapa rata tu. Masa tu memang aku tak kira, rosak pun rosaklah. Yang penting aku kena keluar dari tempat ni.
Nak dijadikan cerita, aku perasaan ada satu pondok pengawal usang di tepi ladang kelapa sawit ni. Anehnya, dah naik enam kali aku lalu, masih sama pondoknya. Mula-mula aku ingatkan pondok tu memang ada di setiap tempat. Rupa-rupanya, aku mula sedar yang jalan aku lalu ni sebenarnya berulang. Sejak itu, aku tahu yang aku masih berpusing di tempat yang sama!
Tiba-tiba aku nampak lampu motor berkelip dari arah belakang. Aku tengok cermin pandang belakang. Sah, motor puaka tadi! Dia masih kejar aku! Kali ni, aku cuba pecut lagi. Sayangnya, kereta aku kehabisan minyak pula.
Ya Allah, saat aku nampak motor tu dah hampir dekat dengan aku, memang aku nekad untuk turun dan lari semahu-mahunya. Aku tak tahu sampai mana aku lari. Yang aku sedar, aku dah ada di kedai makan ni.
“Eh, abang ada di kedai makan ni? Biar betul?” soal lelaki berkaca mata di depan aku sambil menyuap spaghetti meatball ke dalam mulutnya.
“Ya. Dah hampir dua tahun aku di sini. Aku dah cuba macam-macam cara, memang tak boleh keluar. Sudahnya, tu rangka aku kat dapur tu. Syukurlah sekarang aku ada kawan. Boleh bantu aku jaga kedai dalam ladang kelapa sawit ni,” terang aku jujur.
Lelaki itu mengerutkan dahi lalu bertanya dengan wajah curiga.
“Si… Si…Siapa kawan abang?”
“Ish, kau lah. Buat-buat tanya pula,” jawab aku sambil mencuit sedikit spaghetti daripada cacing tanah yang aku buat khas untuk dia.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
menarik!
jalan cerita tak faham 🙂
tak faham lah 🙁
Mazel tov….welcome to ghey world,,,
apo bondo cerita merapu kau ni…