jalan

JALAN PINTAS

Serba salah Leha mahu terus menegur. Suasana memang gelap gelita. Pengatur suhu di muka kereta dinaikkan, biar kurang sedikit sejuk hembusan bayunya. Sekali sekala di menoleh ke sebelah memandang muka suaminya.

Leha faham benar sikap suaminya. Sekejap sahaja perangainya boleh berubah. Dari insan yang penyanyang kepada seorang yang pemarah. Puas sudah Leha menasihati, namun bagaikan mencurah air ke daun keladi.

Makin ditegur makin menjadi. Bahkan boleh semakin teruk hingga sanggup memakan hati. Sebab itu Leha sedaya upaya halus menasihati. Risau di hatinya jika dianggap cuba mencurah minyak ke api.

“Bang, betul ke jalan ni?”

Diam. Tiada jawapan. Mata Jali tetap fokus memandang jalan di hadapan. Sesekali dia melakukan pertukaran gear. Lereng bukit yang berliku-liku memaksanya memandu perlahan.

Leha berpaling ke tempat duduk belakang. Kedua anaknya masih lagi tidur terlena. Masing-masing terbaring bersebelahan, ruang belakang yang luas semakin memudahkan lagi keadaan. Ditambah pula dengan kegelapan dan kesejukan, dan juga kesunyian di sepanjang perjalanan.

Tiba-tiba enjin menderum dengan kuat. Dari paparan panel pemanduan, jarum RPM kereta mulai menghampiri garis merah. Air muka Jali mula berubah. Biarpun pedal minyak sudah habis ditekan ke lantai, kelajuan kereta tetap semakin berkurangan.

Sempat dia menjeling ke isterinya yang sudah kepucatan. Dari riak air mukanya, Jali pasti Leha sedang menyaksikan sesuatu yang amat menakutkan dari cermin pandang sisinya.

Segera matanya melirik ke cermin pandang belakang.

Dan barulah dia faham kenapa keretanya terasa berat.

Dan dia juga faham kenapa muka isterinya kelihatan kepucatan.

Dan yang paling dia mulai faham adalah kenapa bapa mertuanya melarang keras agar tidak menggunakan jalan pintas sebelum tiba di jambatan.

Jalan pintas yang hanya boleh dilihat simpang masuknya tatkala waktu malam menjelma. Jalan pintas yang tidak pernah terlukis di atas mana-mana peta. Baik di media cetak mahupun di media elektronik.

Nasi sudah menjadi bubur. Hanya air mata yang mampu dialirkan melihat kedua anaknya dikunyah satu persatu.

Sebelum perutnya pula ditembusi dari belakang oleh sesuatu.


“Abang, kita balik kampung selepas sahur esok kan?”

Jali tersenyum memandang isterinya. Beriringan mereka berdua berjalan pulang dari masjid. Malam itu jemaah Solat Terawikh tidak ramai, mungkin kerana ramai yang sudah pulang ke kampung halaman masing-masing.

“Hmm…kalau lepas sahur memang Abang tak setuju. Tapi kalau kita pulang selepas Solat Subuh itu memang terbaik.”

Malu Leha kemerahan pipinya diperli suaminya. Berderai ketawa kedua anak mereka yang turut bersama mereka berjemaah di masjid. Tersenyum kembali Leha pada kedua anaknya di sisi.

Leha amat bersyukur dengan kehidupan yang dikecapi sekarang. Punya suami yang baik dan penyanyang. Suka bergurau senda mengusik hatinya. Senyumannya manis tak pernah lekang dari bibir suaminya.

Cuma satu yang Leha agak terkilan. Suaminya mudah baran ketika menghadap kesesakan sewaktu pemanduan. Dia bagaikan tidak dapat bersabar dan gagal untuk mengawal pertimbangan ketika membawa kenderaan.

Pantang jika aliran trafik mula bergerak perlahan, air mukanya yang tenang juga akan turut berubah kemerahan. Janganlah ditegur disapa, memang berbakul seranah yang akan diterima.

Leha memang tak menjangka perangai baran suaminya akan berterusan. Sangkanya sewaktu bercinta dahulu sikap ini adalah normal sebagai tindakbalas spontan. Rupanya berlanjutan hingga ke sekarang, seolah langsung tiada perubahan.

Bunyian hon bagaikan sudah menjadi mainan. Batang pengunci stereng sudah dianggap Jali sebagai teman. Pantang jika kereta hadapan membelok tanpa memberi sebarang isyarat. Bagaikan alahan berat jika kereta belakang cuba mengekori keretanya secara rapat.

Berkelahi dengan geng motor mat rempit, menghimpit kereta yang cuba memotong di lorong kecemasan, mengejar kereta yang memancarkan lampu tinggi di lorong kanan dan mencalarkan kereta yang mengambil dua petak parkir.

Puas sudah Leha nasihat, tanpa jemu Leha berpesan. Sikap Jali tetap begitu. Malah semakin teruk hingga pernah ke tahap bergaduh dan bertumbuk. Tak putus Leha berdoa di dalam hati, biar tenang dan sejuk hati suaminya ketika memandu.

Manusia punya asa, Tuhan punya kuasa.


“Kau tengok tu Leha, inilah punca kemalangan jalanraya.”

“Harap kereta sahaja mahal, tombol signal pun tak tahu guna. Mangkuk!”

“Buta ke orang depan ni?! Tak perasan ke lampu dah hijau?!”

“Polis ni dah tiada kerja lain ke selain roadblock? Dia tak tahu ke jalan dah semakin sesak.”

“Apalah bengap sangat main brek ni?! Sikit-sikit nak brek. Takut mati ke woi?!”

“Patutlah kejap kiri kejap kanan, main telefon rupanya. Hoi bangsat!”

“Babi punya lori! Dah tak reti ambil lorong kiri ke?!”

“Ni lagi satu jadah! Suka hati mak bapak dia nak buang sampah merata atas jalan!”

“Memang sah PBT ni makan gaji buta! Takkanlah sudah berlaku korban baru terhegeh nak tampal lubang jalan?!”

“Yang ikut rapat belakang ini dah kenapa? Nak cium sangat bontot aku ke celaka?!”

“Kenapalah perlahan sangat kau bawa ni sial?! Kau bawa basikal je lah kalau gini gayanya.”

Leha hanya diam. Kedua anaknya di belakang juga turut diam. Bunyi dari radio yang dipasang bagaikan tiada erti. Sepanjang perjalanan hanya rungutan dan makian Jali sahaja yang kedengaran.


“Eh…lewat kalian sampai?”

Leha hanya tersenyum. Kedua anaknya sudah berlari ke dapur mencari nenek mereka. Menjeling dia sekilas ke dinding, jam menunjukkan angka 2. Memang lewat mereka tiba di kampung.

“Jalan sesak Abah. Kebetulan ada kerja-kerja perlebaran jalan di Batu Lapan. Tambahan pula Jambatan Simpang Lima masih lagi dalam pembaikkan.”

Panjang lebar Jali menerangkan pada bapa mertuanya. Perjalanan pulang kali ini memang terasa lama dan jauh bagi Jali. Perjalanan yang seharusnya hanya mengambil masa kurang tiga jam telah meleret ke tujuh jam.

Abah hanya senyum mendengar penjelasan menantunya. Dirinya juga faham akan sikap panas Jali yang mudah meluap-luap ketika memandu. Cukuplah sekali dia dihantar ke hospital untuk temujanji rawatan kencing manisnya.

Bagai mahu keluar nanah dan darah dari kedua lubang telinganya. Tak disangka Si Jali ini bermulut berpuaka. Berubah habis perangainya tatkala enjin kereta mula dihidupkan. Hilang hormat dan percaya Abah pada Si Jali.

Habis semua mahu disalahkannya, semua mahu dimakinya. Baik kereta di depan mahupun lori yang di belakang. Ada sahaja yang tak kena. Semua pihak tidak betul. JPJ makan rasuah lah. Polis trafik makan gaji buta lah. Dan tidak terkecuali PBT dituduhnya tidak tahu buat kerja.

Abah yang duduk di sebelah hanya diam. Cukuplah kali ini sahaja dia menumpang. Balik dari pemeriksaan tengahari itu sanggup Abah berjalan kaki ke stesen bas. Biarlah penat kakinya melangkah, agar tidak lagi telinganya kembali bernanah.


Mak semakin gelisah. Dipandangnya Abah yang masih lagi di luar. Leha juga hanya diam di sebelahnya. Jali masih lagi menyusun bagasi di ruang belakang.

“Leha, tak boleh tunggu esok ke? Apa yang hendak dikejar tu?”

“Mak, bukan Leha yang nak. Abang Jali yang bersungguh sangat tu.”

“Mak tak sedap hati la. Apalah degil sangat laki kau ni Leha?” Memuncung mulut Mak bagaikan merajuk. Kepala kedua cucu di sisinya diusap lembut.

Abah yang sejak tadi diam mula bergerak perlahan ke Jali. Berfikir dia sedalamnya menyusun ayat biar menantunya mengerti faham. Jali yang perasan kehadiran mertuanya bagaikan mengerti apa yang ingin dibincangkan.

“Minta maaf Abah, kami kena balik malam ini juga. Tak tahanlah jalan sesak kalau bergerak di siang hari.”

“Abah faham. Tapi takkan lah jam sebelas malam? Kalau iya pun tak suka bersesak, pulanglah selepas Subuh esok.”

Jali tetap tersenyum. Tangannya tetap pantas menyusun bagasi di ruang belakang. Abah bagaikan faham dengan tindakan menantunya. Itu bermaksud mereka sekeluarga tetap akan bergerak pulang malam itu juga.

Teringat dia sewaktu anaknya Si Leha memperkenalkan bakal suaminya kepada mereka berdua tujuh tahun dahulu. Sejuk hati Abah dan Mak melihat persembahan yang begitu sopan dan beradab daripada Si Jali.

Dan mereka berdua percaya, sikap baik dan mesra oleh bakal menantunya itu dahulu adalah benar dan bukan lakonan semata. Berbesar hati mereka menerima kedatangan rombongan meminang tidak lama selepas itu.


Ammar mula mengelap peluh yang membasahi dahinya. Dijeling ke sebelah melihat bakal bapa mertua yang masih lagi tersenyum mengawal stereng. Trafik di jalanan semakin sesak.

Ammar semakin gelisah. Badannya semakin basah melencun kepanasan. Perlahan tangannya mengambil surat khabar di hadapannya sebelum dilipat dua buat mengipas dirinya. Pun begitu, mulutnya tetap diam tanpa mengeluh apa-apa.

Mak di tempat duduk belakang juga tersenyum seperti Abah. Sekali-sekala dia mengusap-ngusap dan menepuk lembut peha Leha di sebelahnya. Dan Leha pasti akan memandang wajah emaknya sambil tersenyum juga.

Kehairanan Ammar melihat mereka tiga beranak mampu tersenyum di dalam kepanasan dan kesesakan. Sudah dikhabarkan pada mereka agar menggunakan sahaja keretanya tetapi bakal mertuanya tetap berkeras memaksanya menggunakan kereta lama.

Kereta yang diperasannya sudah lama tersadai di tepi rumah bakal tunangnya. Begitu usang sekali keadaannya. Warnanya agak lusuh, tayarnya kempis sedikit berselut. Penyaman udaranya rosak, bonet belakangnya kemek bagaikan pernah dihentak.

Dan yang paling dia perasan, di kusyen tempat duduk bakal bapa mertuanya ada empat hingga lima garis koyakkan yang hampir selari. Garis koyakkannya begitu dalam dan panjang. Bagai telah dicarik oleh sesuatu yang amat tajam.

“Ammar ok?”

Ammar hanya tersenyum tidak menjawab soalan bakal bapa mertuanya.


“Leha, Abah kau tu dah kenapa? Salahkah saya berinisiatif berusaha?”

Leha diam. Perangai suaminya kini sudah bermula. Walhal baru sahaja tadi mereka semua melambai mesra pada Abah dan Mak. Pantang sahaja tayar mula bergolek, pasti Si Jali akan mula bersikap jelek.

“Orang tua tu takkanlah tak tahu. Tak sanggup lagi saya nak bersesak atas jalan ni. Lenguh kaki saya tahu tak bermain gear.”

Leha tetap diam. Kedua anak mereka di belakang juga tetap diam. Hanya suara Jali yang membebel sahaja berkumandang menenggelamkan alunan muzik dari radio.

“Lagipun Abang dah tahu jalan pintas, sebelum jambatan nanti ada simpang ke kiri masuk ke jalan dalam.”

“Eh… bukankah Abah dah larang kita menyimpang sebelum sampai ke jambatan? Bukankah Abang juga mengangguk tadi tanda faham?”

Leha memberanikan diri mempersoalkan cadangan lakinya. Masih terngiang-ngiang lagi pesanan Abah sewaktu mereka bersiap untuk bergerak tadi.

“Ingat tu Jali… Leha, jangan sesekali kalian menyimpang sebelum tiba ke jambatan. Biarpun apa yang terjadi, ikut sahaja laluan utama sehingga tiba ke destinasi.”

Serius air muka Abah memberi peringatan. Tak pernah pula mereka berdua dinasihati sebegitu sebelum ini. Mungkin kerana ini adalah kali pertama mereka sekeluarga bertolak di waktu malam dari kampung.

“Kau dah kenapa ni Leha?! Buta ke mata kau tak nampak kereta banyak depan tu?! Cuba kau buka mata sikit tengok gear apa yang aku pakai sekarang?! Dah lebih setengah jam asik gear satu dua sahaja naik kejang peha aku ni tahu tak?!”

Menelan air liur Si Leha ditengking suaminya. Mengurut dada dia beristighfar menahan sabar. Sudah disaran agar bertolak seusai Subuh. Nah… jalan tetap sesak biarpun sudah lewat malam.

“Mana Abang tahu ada jalan pintas? Selama kita balik ke kampung ini tak pernah pula saya perasan ada simpang sebelum jambatan?”

Tak mengalah Leha cuba memujuk lakinya. Hatinya mula berasa gusar akan keputusan yang bakal diambil suaminya. Lagipun ini kan kampung halamannya. Mana ada simpang jalan di sepanjang hutan belukar ni.

“Itulah kau Leha. Asik membuta sahaja dalam kereta. Sesekali mata tu lihatlah sekeliling. Abang pasti ada simpang sebelum jambatan tu. Malam kelmarin Abang perasan sewaktu perjalanan pulang ke kampung.”

“Malam kelmarin?”


“Terima kasih Leha kerana sudi menjadi isteri Abang.”

Leha hanya mampu membalas dengan senyuman. Bergenang air matanya menitis sedikit ke pipi tanda dia juga turut gembira sejurus akad nikah selesai tadi.

“Abang, terima kasih juga kerana sudi mengambil Leha sebagai isteri.”

Giliran Ammar pula membalas senyuman isterinya. Segera dirangkul tubuh isterinya itu seraya membaringkannya ke atas katil.

“Leha… boleh tak Abang bertanyakan sesuatu?”

“Iya Abang, tanyalah…”

“Apa maksud Abah dan Mak yang Abang lulus ujian sewaktu kita bertunang dahulu?”

Tergelak kecil Leha menahan lucu. Tak disangka soalan itu akan terpacul keluar daripada suaminya. Direnung dalam mata suaminya sambil tersenyum.

“Ujian ketabahan, Bang. Ramai yang cuba masuk meminang Leha tetapi gagal ujian ketabahan yang Abah dan Mak sediakan.”

“Maksud Leha?”

“Abang ingat lagi tak sebelum bertunang, kita sama-sama ke pekan meneman Abah dan Mak untuk membeli belah?”

“Ok…”

“Bukankah kita bersama-sama menaiki kereta usang itu dahulu.”

“Eh…Abang tak kisahlah Leha pasal kereta usang tu. Leha pun tahu Abang bukannya jenis memandang harta. Naik basikal tua pun Abang sanggup Leha hoi. Hehehe.”

Giliran Ammar pula tergelak kecil menahan lucu. Tak disangka hanya sekadar itu sahaja ujiannya. Setakat harta duniawi, Ammar sedar itu semua tak boleh dibawa mati.

“Bukan itu ujiannya. Ayah dan Mak bukan mahu menguji kesanggupan Abang untuk menaiki kereta usang.”

“Jadi… apa ujiannya?”

Tak sabar Ammar mahu mendengar maksud sebenar. Biarpun sudah lulus, hatinya berdebar-debar menunggu jawapan daripada Leha.

“Abang mampu bersabar di dalam kesesakan jalanraya. Biarpun hangat membara dibasahi peluh, Abang tetap diam tidak melatah. Malah masih boleh senyum lagi kepada kami semua.”

“Laaa… itu ke ujiannya. Hmmm… patutlah Abah dan Mak bersungguh agar kereta itu digunakan. Tak sangka Abang boleh lulus pula.”

“Benar Bang, ramai yang gagal ujian tu. Kesemuanya berubah sikap sewaktu menghadapi kesesakan. Benarlah kata pujangga; Sabar Itu Indah.”

“Kenapa Abah dan Mak terfikir untuk buat itu semua Leha?”

“Kerna Abah dan Mak sudah tak sanggup lagi kehilangan cucu mereka. Cucu yang jasadnya tak berkafan. Manakala kuburnya pula tak bernisan.”

“Errr…maksud Leha?”

“Gara-gara arwah suamiku dahulu yang gagal mengawal baran. Juga ego dan degilnya dia langsung tak mahu mendengar pesan. Hingga mati kedua anakku hancur dikunyah dan hilang ditelan.”

“Leha… ada kaitan dengan jalan pintas ke?”

“Eh… bagaimana Abang boleh menduga?”

“Kerna cara kematian anak-anak Leha sama seperti arwah isteri Abang dahulu. Dia suka memandu laju. Biar lekas sampai katanya.”

TAMAT.

AQIL AQILA DANISH DANISHA
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

26 comments

    1. Jali dan anak2 Leha mati pada malam tersebut..Manakala Leha pula terselamat dan akhirnya berkahwin pula dengan Ammar..Si Ammar ni pulak kematian isteri.Kematian isteri Si Ammar ni sama macam kematian Jali dan anak2 Leha..

  1. Perrrrhh… ..selalu kagum dengan bait bahasa sepertinya ni, plot pun best..errm, ke memang selalu cerpennye style gini? Anyway, ni bukan sembarangan estetik. Cun.

  2. ni pengaruh cite drama melayu la ni.first and mid plot nmpk cm best tapi ending cam haram.syok sndri.anyway good job la for ur effort to put on this.thanks! credit to admin also ya for try publish this entry.

  3. Cerita agak rummit sebab nak faham nape tetiba Ammar ada dalam cerita ni

    Ending dia best, patut la kereta orang tua tu ada kesan cakar dekat kerusi

  4. persoalan tak terjawab sepenuhnya.
    cuba buat cerpen yang menjawab semua persoalan.
    mintak tunjuk ajar dari nasa yusof.
    salah seorang cerpenist yang akan jawabkan semua persoalan dalam cerpennya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.