JALAN SURAU LAMA

JALAN SURAU LAMA
Assalamuaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca FS. Kisah pada ini adalah tentang pengalaman daripada ibu saya sendiri ketika dalam perjalanan ke surau bersama sepupunya ketika mereka masih bersekolah rendah. Aku dalam kisah ini adalah ibu saya manakala Tini (bukan nama sebenar) adalah sepupu kepada ibu saya. Begini kisahnya….

Seperti biasanya pada hujung minggu semua sepupu aku akan datang dan menginap di rumah pusaka nenek kami. Aku dan keluarga menetap hanya bersebelahan dengan rumah nenek oleh itu kami sekeluarga mudah untuk menjaga nenek dan sebab itu juga setiap hujung minggu aku akan dapat bermain dengan sepupu-sepupuku. Untuk pengetahuan semua juga pada setiap hujung minggu surau di kampung aku akan mengadakan bacaan Yassin dan juga sedikit kenduri. Selalunya pada waktu hujung minggu akan meriah di kawasan surau dengan suara riang kanak-kanak dan juga celoteh orang dewasa, hanya pada waktu ini juga laa kanak-kanak berani untuk pergi ke surau pada waktu malam tidak seperti hari-hari lain.

Hal ini kerana jalan untuk ke surau tersebut agak menyeramkan kerana berada di hujung kampung dan dikelilingi oleh kawasan hutan kecil dan kebun getah. Di simpang sebelum tiba di surau tersebut berdiri sebuah pokok ara yang besar dan rendang yang dikatakan berpenunggu serta sudah berusia berpuluh tahun. Terdapat juga beberapa kisah mistik berkenaan kawasan pokok tersebut tetapi agak panjang kisahnya jika ingin dikongsi disini. Mungkin nanti akan diceritakan dalam kisah lain.

Pohon tersebut juga selalu menjadi alasan bagiku dan adik beradik yang lain untuk selalu ponteng kelas fardhu ain. Berbalik pada kisahku pada malam itu, seperti selalunya kesemua ahli keluargaku dan sepupu-sepupuku akan pergi ke surau dan pada malam itu hanya tinggal aku dan Tini (sepupuku) yang lambat pergi ke surau kerana Tini sakit perut pada awalnya. Manakala yang lain telahpun pergi ke surau sebelum waktu maghrib lagi bagi membantu memasak juadah secara rewang (gotong-royong).

Kami berdua mula bertolak ke surau selepas waktu maghrib setelah selesai solat maghrib di rumah. Kami berdua hanya berjalan kaki ke surau kerana semua basikal dan digunakan oleh ahli keluarga yang lain. Jarak daripada rumahku dengan surau tersebut tidaklah terlalu jauh iaitu sekitar 800meter sahaja tetapi kami perlu melalui denai dan jalan kampung yang gelap kerana pada era 80-an tersebut tidak banyak lampu jalan yang dibina terutama sekali di kawasan-kawasan kampung. Kami memulakan perjalanan dengan membawa hanya beg berisi telekung dan kami membawa sebuah lampu suluh bagi menerangi jalan kami. Udara pada malam tersebut sungguh dingin dan mengundang perasaan seram di dalam hati kami berdua.

Kerana terlalu takut Tini berjalan sambil memeluk pinggangku dan menyembamkan mukanya di bahuku supaya dia tidak dapat melihat keadaan sekeliling yang menyeramkan. Aku mula bernyanyi-nyanyi kecil bagi mengurangkan rasa debar didada dan meneruskan perjalanan kami dengan perasaan yang bercampur-baur. Suasana pada malam itu begitu tenang dan sunyi, terlalu sunyi kerana tidak kedenganran walau sedikit suara serangga dan juga unggas di kawasan hutan kecil yang kami lalui tidak seperti kebiasaannya yang meriah dengan bunyian cengkerik dan juga lutong.

Perjalanan kami sepatutnya mengambil dalam masa 20 minit sekiranya berjalan kaki dan kami perlu melalui denai yang melintasi hutan kecil sebelum bertemu kebun getah dan akhirnya barulah kami akan menjumpai jalan utama kampung yang menuju ke surau du hujung kampung. Ketika kami hampir keluar daripada kawasan huran kecil itu tiba-tiba angin bertiup kencang dan secara tidak semena-mena datang bau busuk seperti kain reput, hapak dan tengik baunya. Tini yang sejak daripada tadi berdiam diri pada ketika itu baru bersuara dan mengajakku pulang kerana terlalu takut. Aku cuba menenangkannya dengan berkata bau busuk yang dihidunya itu adalah bau getah sekerap yang dibawa oleh angin walaupun aku sendiri ragu-ragu dengan penjelasanku itu. Kedudukan kami yang sudah separuh perjalanan juga menguatkan tekadku untuk meneruskan perjalanan kami pada malam itu.

Alhamdulillah Tini juga bersetuju dan kami meneruskan perjalanan kami namun dengan tempo yang lebih laju kerana setelah memasuki jalan kebun getah kami hanya perlu berjalan mengikut jalan kampung yang lurus yang akan membawa kami terus ke surau. Dalam perjalanan kami ketika itu walaupun lancar kerana Tini tidak lagi berpaut padaku namun terdetik rasa pelik di hatiku kerana tiada bau getah sekerap sedangkan kami berada betul-betul di dalam kawasan kebun getah sedangkan tadi kami hanya berada di tepi kebun namun bau busuk tersebut sangat kuat baunya. Namun aku hanya membiarkan segala pertanyaan dan rasa pelikku berlegar di kepala kerana bimbang akan reaksi Tini yang terkenal dalam keluarga kami sebagai seorang yang penakut sekiranya aku bangkitkan persoalan itu.

Hampir 15 minit kami di dalam kebun getah itu dan perasaan kami pada ketika ini sudah gundah-gulana kerana sepatutnya perjalanan melintasi kebun getah ini hanya mengambil masa lebih kurang 5 minit sahaja kerana pada ketika itu kami sedang berlari-lari anak. Tambahan pula di penghujung kebun getah terbabit sepatutnya kami sudah dapat melihat kawasan surau yang selalunya diterangi oleh lampu kalimantang dan juga pelita yang dipasang.

Namun kami mula takut dan Tini juga hampir menangis kerana kami berada terlalu lama di dalam kawasan kebun getah itu. Agak mustahil bagi kami untuk tersalah jalan atau tersesat kerana arah yang perlu kami ambil hanyalah terus kehadapan mengikut jalan yang telah disediakan dan itulah yang kami lakukan. Aku yang hanya berserah dan tawakal kepada YANG MAHA KUASA supaya keluarkan kami daripada masalah yang dihadapi. Setelah penat berlari anak kami mula memperlahankan langkah dan aku mula membaca beberapa p****g ayat suci Al-Quran yang dihafal sambil meneruskan perjalanan. Alhamdulillah kami menjumpai jalan keluar daripada kebun getah tersebut namun kami masih hairan kerana kawasan surau yang selalunya terang benderang itu masih tidak kelihatan.

‘Mungkin kawasan surau tu gelap sebab pelita terpadam ketika angin kuat bertiup tadi kot’ kata Tini namun itu tetap mengusarkan aku kerana sepatutnya mereka sudah menyalakan semula pelita tersebut kerana angin kuat tadi hanya bertiup sekali dan itu pun hampir 20 minit yang lepas
‘agak mustahil sekiranya mereka tidak menyalakan semula pelita-pelita tersebut’ kataku dan tanpa sempat aku meneruskan persoalan Tini menarik tanganku dan mula berlari untuk cepat sampai ke surau tersebut kerana terlalu gembira telah keluar daripada kawasan kebun getah tadi. Namun tidak lama setelah berlari-lari anak, Tini yang tadi begitu bersemangat bertindak memperlahankan larian dan mula menangis. Aku mula berasa risau dan terus memeluk Tini dan menenangkannya. Setelah sedikit tenang aku mula bertanyakan sebab Tini menangis dan jawapannya amat memeranjatkan dan membuka mataku. Sebab mengapa Tini memberhentikan langkahnya adalah dia tidak melihat jalan lagi setelah tempat dia berhenti dan aku pun mula memerhati kawasan itu dan benar seperti apa yang dikatakan Tini tadi.

Pada mulanya aku tidak perasan langsung akan kawasan sekeliling kami kerana bimbang akan si Tini yang sedang menangis teresak-esak namun sekarang semuanya jelas dimataku. Kawasan setelah tempat kami berhenti itu seperti dilindungi oleh sebuah tirai yang gelap gelita dan jalan juga seperti tamat di mana kawasan kami sedang berdiri. Di diri dan kanan kami juga gelap gelita dan sunyi sperti kami berada di kawasan puncak gunung atau di tebing gaung pada waktu malam yang gelap. Aku yang sudah mula m**i akal hanya membiarkan Tini menyambung tangisannya dan dengan juraian air mata aku menguatkan diri untuk membaca ayatul kursi dan kemudiannya azan sekuat hatiku.

Hanya berserah kepada YANG MAHA KUASA sahaja yang mampu kami lakukan pada ketika itu dan itu yang aku lakukan. Syukur pada Allah S.W.T secara tiba-tiba aku terbersin dan apabila aku membuka mata terbentang di hadapanku kawasan sawah bendang seluas mata memandang. Jalan juga sudah mula kelihatan dan kawasan sekeliling mula menunjjukan rupanya tiada lagi kawasan gelap gelita seperti tadi. Tini yang tadinya terduduk menangis juga mula berpaut pada kakiku dan kehairanan bercampur gembira kerana mula tidak lagi berada di dalam kegelapan yang pekat. Perkara yang paling memeranjatkan kami pada ketika itu adalah kawasan bendang yang kami berada sekarang adalah berada di belakang kawasan surau yang ingin kami tuju pada awalnya dan jaraknya juga hampir 200meter melepasi surau.

Maknanya sepatutnya kami telah lama tiba di kawasan surau tersebut namun mata kami telah dipesongkan dan akhirnya kami terlajak sejauh 200meter dan bukan itu sahaja kami juga tanpa sedar telah melintasi jalan raya utama yang memisahkan kawasan surau di hujung kampung dan juga kawasan sawah padi. Setelah itu, kami berdua terus memecut dan meneruskan perjalanan ke surau sambil menangis dan Tini juga pengsan setelah kami berada di kawasan perkarangan surau. Kecoh pada malam itu dengan kisah daripada kami dan sejak itu tiada seorang pun orang kampung yang berani menggunakan jalan yang kami lalui pada malam hari melainkan dalam kumpulan yang ramai.

Alhamdulillah pengalaman daripada malam menyebabkan kami berdua demam dan Tini yang tadinya pengsan sedar tidak lama setelah itu apabila disedarkan oleh nenek kami. Pengalaman itu juga menyedarkan kami bahawa terdapat mahkluk lain yang berkuasa dalam memesongkan kita dengan izin ALLAH S.W.T.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Amyrul

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 71 Average: 4.6]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.