Hari ini Suraya pulang ke kolej kediaman atau lebih mudah dipanggil sebagai asrama di kampusnya. Sejak cuti tempoh hari, Suraya sudah puas melepas rindu dengan seluruh ahli keluarganya. Kini, Suraya terpaksa pulang awal ke kampus.
Asrama kampusnya yang terletak di pantai timur itu sememangnya jauh dari rumahnya di Putrajaya. Namun, demi ilmu, Suraya nekad. Lagipun dia sudah semester akhir. Selepas ini, dia akan merdeka. Yeah!
“Jaga diri baik-baik Su. Belajar rajin-rajin,” pesan ibu saat Suraya turun dari perut kereta.
“Insya-Allah ibu, Su ingat pesan ibu. Ibu pun jaga diri baik-baik ya. Kirim salam abah, nenek dan adik,” kata Suraya lalu menyalami ibunya. Ayahnya tidak dapat menghantarnya hari ini kerana menguruskan neneknya di hospital. Suraya sedih tatkala melihat keadaan neneknya yang masih terbaring lemah. Semoga segalanya baik-baik sahaja, doa Suraya.
“Awal sangatlah Su sampai. Kenapa nak balik sehari awal? Mana kawan-kawan Su yang lain?” soal ibunya sambil melihat ke luar kereta.
“Su dah janji dengan kawan nak siapkan assignment sama-sama. Tu yang kami rancang balik awal sehari tu. Kejap lagi, Maisara dan Amira sampailah tu,” kata Suraya lalu menutup pintu kereta. Dia melambai ibunya sebelum menuruni bukit ke kawasan asramanya. Benar kata ibunya, keadaan asrama masih sunyi kerana belum ramai yang pulang.
“Ish, rasa menyesal pula sampai awal. Rasa seram pun ada kalau seorang diri macam ni. Manalah Mai dan Mira ni?” rungut Suraya. Dia kemudiannya membuka suis kipas kemudian duduk di birai katil.
“Berlengaslah,” rungut Suraya. Dia segera bangun lalu mencapai tuala mandi.
“Mandi dulu lah,” kata Suraya lalu menuju ke bilik air.
Tatkala kaki Suraya baru menjejak muka pintu bilik air, hatinya berasa gembira apabila terdengar bunyi orang sedang membasuh baju. Suraya tersenyum lalu mempercepat langkahnya. Dia menuju ke sinki lalu menyapa.
“Wah, bila sam…” Suraya mati kata. Di hadapannya kini kosong. Tiada sesiapa di sinki.
Klak!
Bunyi pintu utama bilik air yang tiba-tiba terkunci membuatkan Suraya pantas menoleh. Hatinya mula dipagut risau.
“Bukalah, buka! Jangan main-main,” kata Suraya sambil mengetuk-ngetuk pintu utama tandas.
Tiada jawapan.
“Bukalah cepat. Aku dapat kau, siap aku kerjakan,” amarah Suraya sudah memuncak. Tiada lagi ayat-ayat sopan. Baginya individu yang gemar bergurau sebegini sungguh melampau. Biadap!
Masih tiada jawapan.
Bulu tengkuk Suraya mula meremang. Dia merasakan ada seseorang di belakangnya. Baru sahaja dia hendak menoleh, tiba-tiba matanya ditutup dari belakang.
“Cuba teka, siapa?” bisik suara itu di telinga Suraya.
“Maisara?” teka Suraya walaupun suara itu bukan seperti temannya.
“Salah,” jawab suara itu.
“Amira?” teka Suraya lagi.
“Lagilah salah,” kata suara itu.
Suraya semakin hilang sabar. Tangannya terus memegang lengan orang yang mengusiknya itu.
Namun, dia berasa aneh. Tangan yang dipegangnya itu menggerutu dan kasar.
“Janganlah pegang. Tak acilah macam ni,” bisik suara itu dengan nada yang menyeramkan. Suraya sudah dihambat ketakutan. Sedaya-upaya dia cuba melepaskan diri, namun tidak berdaya.
“Takut? Hihihi,” kata suara itu dengan ketawa halus.
“Lepaskan aku, lepaskan!” jerit Suraya lalu menarik pintu di hadapannya dengan kuat. Syukurlah, pintu itu akhirnya terbuka. Suraya pantas melarikan diri tanpa menoleh ke belakang lagi.
“Suraya, jangan tinggalkan aku,” laung suara itu dari dalam bilik air.
“Pergi!!!” jerit Suraya sambil berlari sekuat hati. Tanda dia sedar, kakinya tersadung lalu terjelepok ke lantai.
“Aduh!” keluh Suraya lalu menggosok kepalanya. Perlahan-lahan matanya dibuka.
“Eh, kenapa gelap?” Suraya kebingungan. Tubuhnya kini bukan lagi di luar tandas, tetapi di tepi katil. Matanya digosok perlahan-lahan untuk mencerna persekitarannya.
“Aku di mana?” monolog Suraya cuba mengamati keadaan dirinya kini. Dinding di hadapannya membuatkan dia sedar. Rupa-rupanya dia asrama. Suraya ketawa sendiri kerana menyedari bahawa dia tertidur saat baru tiba di asrama tadi. Mujurlah semuanya hanya mimpi. Jam di dinding dikerling sekilas.
“Patutlah gelap. Dah pukul lapan malam rupanya, Tapi, kenapa sunyi?” gumam Suraya kembali risau. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya lalu bingkas bangun untuk mencari rakan yang lain.
Tiba-tiba matanya ditutup dari belakang.
“Suraya, kenapa tinggalkan aku di bilik air tadi?” bisik suara itu dengan ketawa halus.
“Tidak!!!” jerit Suraya yang masih keseorangan di asrama tanpa sesiapa…
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit