Jangan Tarik Aku

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca FS. Nama diberi Fadily. Kali ini aku nak berkongsi pengalaman aku sendiri berkenaan roh keluar dari badan (bukan meninggal dunia ye) atau lebih dikenali sebagai Astral Projection (AP). Pasti kebanyakan antara kita pernah lalui situasi macam ini.

Sebelum itu, sebagai muqadimah atau pengenalan serba sedikit tentang AP ini. Dia sebenarnya ada dua peringkat. Peringkat pertama dipanggil Lucid Dreaming (LD) di mana sewaktu kita sedang tidur, kita boleh kawal mimpi kita atau dalam erti kata lain, kita dalam keadaan separa sedar sewaktu kita sedang tidur. Peringkat kedua pula ialah Astral Projection (AP) iaitu sewaktu kita tidur, roh kita keluar dari jasad dan kita sendiri dapat melihat tubuh badan kita yang tengah terbaring. Kalau nak tahu lebih lanjut, boleh tanya dengan Encik Google.

Kembali kepada pengalaman aku, kita imbas kembali ke zaman sekolah menengah dahulu di mana permulaannya berlaku. Mula-mula aku lalui peringkat LD dulu. Pada satu malam aku tengah tidur m**i di dalam bilik asrama aku. Kemudian, ada satu masa itu aku dapat rasakan yang aku boleh kawal mimpi aku. Masa itu aku tengah mimpi aku tengah terbang. Dan aku sedar yang aku nak terbang ke mana-mana yang aku nak. Terasa diri aku seperti adiwira (superhero). Tapi, tak lama lepas itu, aku terus sedar dari mimpi. Banyak kali juga LD ini terjadi kepada diri aku cuma dia tak kerap sangat.

Aku naik peringkat ke AP tatkala aku melanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi awam di Seri Iskandar. Jujur aku katakan, peringkat AP agak menyeramkan sebab bila roh kita keluar dari badan, secara tidak langsung kita memasuki dunia roh atau alam ghaib dan kita boleh tengok benda yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Kalau pernah tengok cerita Insidious, macam itu la situasi dia.

Ada satu petang, badan aku rasa sangat penat sebab ada aktiviti kokurikulum petang itu. Aku mandi seperti biasa dan lepas solat Isyak, aku layan telefon bimbit pintar aku sebelum nak tidur. Masa nak lelapkan mata, aku baring menghadap siling. Ada satu masa itu, aku rasa nak tidur mengiring tapi aku lawan perasaan itu. Bermula dari situ, peringkat AP terjadi. Aku rasakan ada gegaran pada seluruh tubuh aku persis seperti ada sesuatu yang nak keluar dari jasad aku. Kemudian, aku cuba untuk buka mata. Alangkah terperanjatnya aku bila aku tengok badan aku sendiri terbaring atas katil.

“Aku dah meninggal dunia ke?”

Aku mula rasa takut dan gemuruh. Pada masa yang sama, aku cuba untuk masuk balik dalam jasad aku. Tak berhasil. Selang beberapa minit, aku terdengar satu suara yang sangat garau dan kuat sampai membuatkan bulu roma aku meremang tegak. Aku ingat lagi suara itu cakap;

“Dia dah keluar dari badan dia. Tarik dia.”

Seperti dia bercakap dengan entiti lain. Dan tanggapan aku benar. Sejurus suara itu bercakap, ada lagi satu suara garau lain yang membalas;

“TARIKK DIAAA~ HAAAA~”

Aku sudah m**i akal. “Nak tarik aku ke mana?” Aku cuba baca surah Al-Kursi, minta agar aku kembali sedar balik dalam dunia realiti. Tiba-tiba, aku rasakan yang aku ditarik sesuatu. Seperti ditarik balik ke dalam tubuh badan aku, aku rasa lega dan aku terus buka mata dan bangun dari katil aku. Terduduk sebentar. Badan aku masih gemuruh macam baru lepas terjaga dari mimpi ngeri. Mata aku melilau tengok di dalam bilik aku, kalau-kalau ada entiti dalam bilik aku itu. Oh ya! Sebelum aku ditarik balik ke dalam jasad aku, aku dapat tengok sekilas pandang kat satu sudut dalam bilik aku itu. Ada dua jelmaan hitam yang sangat besar memandang aku dengan senyuman sinis.

Beberapa kali juga la AP ini terjadi pada aku. Cuma dua suara garau itu yang paling aku tak dapat lupakan. Alhamdulillah, sekarang aku sudah jejak dunia pekerjaan, kejadian AP sudah tidak berlaku lagi. Sekian, coretan pengalaman Astral Projection aku.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Fazid Zac

1 thought on “Jangan Tarik Aku”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.