Dia Jatuh Tangga

Salam semua. Ini kisah aku dan ayahku. Aku tulis sempena harijadinya yang ke-72. Aku tak rasa dia baca Fiksyen Shasha tapi bagus juga buat kenangan.

Ayahku adalah seorang professor fisiologi dan sains kesihatan. Dia ada tubuhkan satu syarikat konsultasi. Banyak badan dan syarikat yang menjemput ayahku beri syarahan dan mengendalikan kursus-kursus sepanjang kerjayanya. Sekarang ni sudah bersara tapi masih aktif sana sini dengan projek kesihatannya.

Sejak kecil lagi, aku selalu mengikuti ayahku pergi mengendali kursus-kursus di seluruh Malaysia. Banyak hotel dan rumah penginapan yang kami duduk, maka banyak juga pengalaman yang tak boleh dilupakan.

Semasa aku berumur belasan tahun, aku diajak ayah untuk ke Johor Bahru untuk tolong mengendalikan kursus. Selalunya, kerjaku hanya masukkan data dalam app, angkut barang dan buat pendaftaran peserta-peserta kursus untuk kaji selidik. Tapi tujuan sebenar ayah bawaku, hanya untuk temankan dia dalam kereta, borak-borak, beri ‘moral support’. Bila aku cuti sekolah sahaja, inilah aktiviti yang aku paling tunggu-tunggu.

Kursus di JB kali ini dibuat untuk 2 hari 1 malam tapi kami tinggal di situ 2 malam untuk persiapan. Kami sampai di sebuah ladang kelapa sawit (kursus untuk para pekerja am syarikat kelapa sawit) dan dibawa ke sebuah banglo zaman kolonial, jauh dalam ladang sawit itu sendiri.

Sedikit sejarah. Rumah itu dahulunya dibina untuk pengurus British yang bertugas di ladang. Pada tahun 1942, semasa British berundur, rumah itu dijadikan ibu pejabat tentera Jepun, sebelum diserahkan kembali pada pihak British selepas Perang Dunia Kedua. Syarikat British tersebut kemudiannya diserap oleh badan kerajaan selepas merdeka dan kini milik sebuah syarikat separa persendirian.

Waktu sudah pukul 9 malam. Seorang wakil urusetia datang untuk beri kunci. Baik orangnya, En Zaki. Siap angkat beg ke dalam rumah. Katanya, pilihlah bilik tidur mana-mana pun dan guna la rumah ni sepanjang kursus.

Selepas dia beredar, kami pun mulalah tengok isi rumah. Aku belum pernah lagi tengok banglo secantik itu, dijaga rapi, bersih dan lengkap. Kami pilih ‘master bedroom’ di tingkat atas untuk ayah dan bilik sebelah untukku. Ada bilik air antara bilik kami. Bilikku dicat biru dengan perabot antik, termasuklah katil bersaiz queen. Dalam bilik ayah ada 2 katil queen. Luas biliknya.

Dah ‘settle’ semua aku pun cakap la ‘goodnight’ pada ayah. Aku minta supaya buka pintu bilik air agar tak rasa sunyi sangat.

Malam tu aku tidur amat nyenyak. Tak perlu aircon kerana suasana amat dingin. Kira-kira pukul 2 pagi, aku terjaga, dengar bunyi pintu depan di bawah dibuka dan ditutup semula, diikuti bunyi orang berjalan naik ke atas. Kedengaran suara lelaki bercakap dan seorang lagi perempuan menyahut. Aku nampak bayang orang bergerak di celah pintu bilikku. Terus aku bangun kunci bilik kerana aku tak mahu orang lain masuk bilik. Ingat kami je duduk rumah ni. Rupanya ada juga orang lain duduk sama.

Ayahku masuk ke bilikku, dari bilik air.
“Nia okay ke?” tanya ayahku
“Ok je. Kenapa?” tanyaku balik
“Tak de la. Ingat tak boleh tidur ke dok jalan hulu hilir…”

Bila dia tengok aku pun mamai mengantuk, dia pun masuk biliknya semula.

Pagi tu aku dan ayah bersiap untuk memulakan program untuk hari pertama. Selepas sarapan pagi dan pendaftaran, aku kembali ke banglo untuk kerja memasukkan data dalam laptop. Tempat kursus dan dorm para peserta adalah ‘quarters’ pekerja yang diubahsuai beberapa tahun dahulu. Kawasan ini sekarang digunakan untuk ‘training’. Jarak antara kuarters dan banglo lebih kurang 10 minit berjalan ikut jalan tanah merah. Boleh saja sebenarnya buat kerja di tempat kursus tapi aku memang suka bersendirian dan lepas kerja boleh aku ambil gambar rumah banglo itu dan sekitarnya. Dulu aku rajin ambil gambar guna kamera SLR lama milik ayah. Masa tu tak ada lagi smart phone canggih macam sekarang. Padaku kamera SLR masih lagi ‘superior’ banding kamera phone.

Aku masih kenyang, malas nak ke tempat kursus untuk makan tengahari, jadi aku makan roti dan solat Zohor dalam bilik. Di dapur tingkat bawah sudah mula bunyi orang masak ‘kelentang kelentung’ kuali, pinggan mangkuk, garfu dan sudu. Bau makanan, wah! Sedapnya. Macam bau kedai seafood pulak. Perutku mula berkeroncong, tapi segan pula turun. Entah-entah makanan untuk orang lain. Rasanya En Zaki dari urusetia pagi tadi ada cakap yang makanan kursus disediakan oleh caterer luar.

Aku pun baring atas katilku dan pasang earplugs di telinga. Pada orang ‘light sleeper’ sepertiku memang earplugs adalah keperluan asas untuk tidur. Aku pun terlena.

Aku terjaga bila terasa badan nak jatuh. Tau-tau dah terduduk di lantai belah kaki. Terkejut betul. Seumur hidup aku, tak pernah lagi jatuh katil. Kalau ye pun orang jatuh katil, mesti di sisi kan? Tepi katil tu. Ni tak, aku jatuh terduduk di hujung katil. Tak apa lah. Memang nak kena bangun pun. Tengok jam. Tidur tadi baru 15 minit. Dapur bawah tu pun masih bising lagi.

Masa berlalu begitu cepat kerana aku memang seronok duduk seorang dalam rumah tu. Aku baca novel, ambil gambar rumah dan pokok-pokok sekeliling rumah dan tengok VCD dalam laptop ayah. Selepas solat Maghrib aku berjalan ke tempat kursus balik untuk makan malam dan tolong apa yang patut.

Walaupun isi ceramah ayah lebih kurang sama saja untuk semua kursus, tapi dia suka berseloroh dengan peserta. Semua peringkat usia dan pangkat dia boleh masuk. Kalau dapat peserta yang agak serious pun, lepas habis sesi semua pakat ketawa tahap keluar air mata. Aku rasa kalau ayahku jadi ‘stand up comedian’ mungkin lagi sesuai kot.

Selepas habis ceramahnya malam itu, aku pun seperti biasa tolong kemas barang, bawa balik ke banglo. Semua berjalan lancar sampailah kami ucap ‘goodnight’ seperti malam sebelumnya.

Malam tu, aku dikejutkan dengan bunyi yang kuat di luar bilik. Pakai earplugs pun boleh dengar. Bunyi bam-bam-bam-krek! “Papa!” aku jerit, tak ingat apa, aku keluar bilik ingat ayahku jatuh.

Apa yang aku nampak di hadapan tangga turun ke bawah adalah belakang seorang perempuan, pakaian serabai, rambut kusut. Dia toleh padaku, aku lihat dia sedang menangis, macam meraung tapi tak keluar suara. Kemudian dia seperti bergelut dengan sesuatu aku tak boleh nampak dan ditolak ke arah tangga, lalu dia pun jatuh ke bawah. Bam! Bam! Bam! Krek! Itulah bunyi aku dengar tadi dalam bilik. Dia jatuh ngeri juga, kepala ke pinggul balik ke kepala dan seterusnya sampai ke bawah. Macam acrobat circus. Kali terakhir dia terhentak sisi tangga ada bunyi ‘krek’ benda patah.

Ada beberapa ketika dalam sejarah hidup aku yang aku rasa aku akan ingat sampai m**i. Ini antaranya. Kejadian berlaku beberapa saat saja tapi rasa seperti masa terhenti.

Reaksi pertama adalah untuk pergi ke bawah tolong perempuan tu. Tapi bahuku direntap oleh ayah yang cepat-cepat menarikku ke biliknya dan dikunci pintu. Pintu bilikku juga di kunci melalui bilik air.

Sejujurnya, aku tau ini platform mistik, aku boleh katakan di sini yang sedikit pun tak terlintas di kepala yang aku berhadapan dengan pengalaman ghaib. Aku nampak perempuan tu seperti kita semua, tiada samar-samar ke, bau lain ke. Jelas. Dia pun macam orang biasa, cuma dalam keadaan serabut dan agak terganggu.

“Nia tidur kat katil sebelah tu ye malam ni. Dah tak payah ingat apa lah,” kata ayah padaku, cara pujuk macam nak pujuk aku masa kecil supaya aku berkelakuan baik depan orang. Ada ‘warning’ pada nada suaranya. Aku tak tau apa dia baca, mulut terkumat-kamit ke seluruh penjuru bilik. Aku duduk atas katil masih terperanjat, fikiran bercelaru. Bunyi bam-bam-bam-krek masih kedengaran. Diikuti dengan bunyi orang naik tangga. Berulang kali.
Bam-bam-bam-krek-naik tangga.

“Tak pe la. Dia tak kacau kita, kita pun tak nak kacau dia,” kata ayahku seolah-olah semuanya baik-baik belaka. Bila aku tanya, dia kata, “toksah pikir la. Kalau boleh tidur, tidur, kalau tak, ni ha pilih la cerita apa nak tengok. Dia keluarkan album VCD yang kami bawa. Ini zaman VCD tuan puan. Kualiti filem ala kadar tapi masa tu rasa macam mewah betul.

Malam tu kami tengok cerita Alien yang dibintangi oleh Sigourney Weaver dalam laptop ayah. Dikuatkan sikit ‘volume’ agar bunyi di luar tak berapa kedengaran. Aku mula tenang. Sampai sekarang, bila aku takut, aku tengok cerita Alien. Siap aku simpan dalam laptop.

Dalam pukul 2 ke 3 pagi, bunyi di luar semakin perlahan dan lama-kelamaan terus tak kedengaran lagi. Sebelum terlelap ayah suruh aku ambil wudhu’.

Keesokan paginya, kami bersiap untuk memulakan hari terakhir kursus. Aku rasa letih betul. Ayah pula? Ayah ni seorang yang kuat semangat dan professional. Boleh dia tidur dan bangun segar-bugar macam tak ada apa-apa jadi malam tu. Aku rasa kalau jadi pada aku sekarang, terabur aku lari keluar rumah tu pakai baju tidur, naik kereta terus balik rumah. Tapi ayahku masih tenang, berfikiran rasional. Mungkin juga kami tak boleh nak keluar sebab Si Perempuan jatuh tu ada di tangga. Macam mana nak lepas dia untuk ke pintu depan kan? Ini semua aku fikir dah berbulan-bulan lepas kejadian la.

Program berjalan lancar dan sebelum balik, ada lah seorang pengurus syarikat tu datang beri cenderahati pada ayah. Dia boleh cakap, “Wah kami respect betul Prof, duduk rumah tu 2 malam. Tak takut ke? Saya sepatutnya duduk di situ jugak tapi tak berani. Jadi saya share dorm dengan yang lain.”

Kami ada tanya, ada tak orang lain yang kongsi rumah tu sejak kami duduk di situ. Memang tiada. Pekerja ke, peserta ke, tukang masak ke. Semua tak ada. En Zaki yang beri kunci tu pun sebenarnya ada kawan teman. Itu cepat-cepat dia balik. Takut. Haish… masa ni baru rasa macam nak muntah pun ada, nak ketawa macam orang gila pun ada, kepala dah berdenyut-denyut. Sapa yang masak? Sapa yang masuk rumah masa malam pertama tu? Tapi tengok muka ayah masih tersenyum tapi senyuman yang tak sampai ke matanya. Dah tau dah. Dia dah bagi ‘signal’ dah. Jangan buat benda tak senonoh depan orang.

Dalam perjalanan balik ke rumah, kami banyak berdiam saja. Layan lagu dari CD.

Satu lagi perkara tentang ayahku, dia seorang saintis yang berpandukan hidupnya pada perkara yang rasional. Ya, dia percaya ada benda ghaib dan ya, dia juga menerima yang tak semua perkara kita boleh jelaskan secara rasional. Cuma bila ada pengalaman yang tak masuk akal ni, kami cuba elakkan dari berbincang mengenai perkara itu. Bukan malu tapi macam tak ada faedah nak takut-takutkan diri sendiri. Aku tak kacau kau, kau tak kacau aku. Bayangkan kalau takut-takut, macam mana ayahku nak cari rezeki, kan? Kalau hotel tu keras, tak kan nak pegi tukar hotel pulak. Nanti mengada-ngada, tak de orang nak panggil bagi ceramah.

Bila aku dah berumur macam sekarang, baru dia agak lembut sikit. Masa aku bawa dia tengok tanah pusaka di JB satu hari, baru dia teringat balik. Dia cerita, sebenarnya malam tu, dia dah dengar bunyi si perempuan jatuh tangga tu dalam sejam sebelum aku keluar bilik (betapa aku tidur m**i dengan earplugs). Katanya, dia lihat sama seperti aku lihat malam tu tapi dia kata perempuan tu jatuh sampai kakinya patah, leher pun macam dah terkehel. Bila dia pegi ke bawah nak tolong, tiba-tiba perempuan tu bangun balik perlahan-lahan. Kalau leher tu dah terkepak macam tu, agak mustahillah boleh bangun balik, berdiri dan berlari balik naik tangga. Masa perempuan tu naik tangga, dia terlanggar ayah dan ayah pun nyaris jatuh. Ayah kata memang meremang bulu roma dia. Perempuan tu berdiri balik di anak tangga teratas, meronta-ronta dan jatuh balik. Bam-bam-bam-krek! Sama seperti menonton video pendek yang akan mainkan benda yang sama berulang-kali.

Ayah kata dia rasa macam tak boleh gerak, tapi memandangkan dia risau keselamatan aku dalam bilikku, dia pun gagahkan juga naik balik, lari melepasi perempuan tu dan pegi ke bilik dia untuk mendapatkan aku. Bayangkan perempuan tu jatuh ke bawah dan dalam masa yang sama ayahku berlari ke atas. Dia berdoa cukup-cukup jangan bagi dia disergah perempuan tu.

Bilikku dikunci dari dalam, jadi ayah tak dapat masuk ikut pintu bilik. Mesti melalui bilik air juga. Masa tu lah aku keluar bilik.

Pengalaman yang kini jadi bahan sembang antara kami. Kami terima seadanya dan teruskan hidup. Sebelum aku berhenti tulis, aku saja nak beritahu yang gambar-gambar yang di’cuci’ dari kamera ayahku agak mengecewakan (jangan disuruh tunjuk di sini sebab ibuku telah ‘Marie Kondo’ banyak barang di rumah termasuk gambar-gambar amatur aku ambil). Aku tunjuk pada ayah, dia cakap tu kera tu di satu sudut daun tingkap rumah. Aku angguk saja, diam.

Happy birthday, Papa!

Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Nia

10 thoughts on “Dia Jatuh Tangga”

  1. Tahniah,..,….jalan cerita senang faham….tak berbelit2…….saya rasa mcm saya ada dlm banglo tu……banglo mesti kes pembunuhan…….

    Reply
  2. menggigil aku baca ni… kepala perempuan jatuh tengok straight kat u… tak mungkin perempuan tu d*****h kot…ni jatuh dahsyat… kemudian boleh bangkit balik naik tangga cam no sweat babe…let’s go again… eeee ….ni cik Pon cuba kacau ni.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.